Sabtu, 1 Oktober 2016

Curangla Lagi Part 4

Setahun kemudian…..

Lyn memandang suaminya itu yang baru selesai mandi. Dalam diam dia masih berkira-kira mahu mengatakan tentang sesuatu kepada lelaki itu. Dari tadi dia menanti kepulangan suaminya dari pejabat. Baru kini dia dapat melihat Johan di dalam bilik ini.

“Tak tidur lagi ke?” soal Johan sebaik sahaja terpandangkan isterinya itu yang masih berjaga selewat ini. 

“Lyn tunggu abang. Ada hal penting yang Lyn nak bincangkan dengan abang,” ujar Lyn lembut.

“Apa dia?” soal Johan pantas. Pakaian tidur yang disediakan oleh isterinya itu di atas katil segera diambilnya.

“Tahun ni Lyn dah tamat kontrak dengan EK, bang.” Lyn memulakan mukadimahnya.

“Then?” Reaksi Johan selamba sahaja. 

“Dia orang tawarkan Lyn kontrak baharu dengan tawaran gaji baharu.”

“Berapa?” Reaksi Johan masih seperti tadi.

“12 ribu dengan kontrak selama 5 tahun lagi. Hujung minggu ni Lyn kena pergi kursus selama 3 minggu sebelum sign kontrak dengan diaorang bulan Februari ni,” jelas Lyn lagi.

“Nak ke Dubai lagi? Berapa kali nak kursus dalam setahun ni?” Spontan Johan mengeraskan suaranya tanda tidak senang. 

“Abang, yang dulu-dulu tu bukannya kursus. Kali ini barulah kursus. Tak boleh tak pergilah!” terang Lyn bersungguh-sungguh.

Johan menghela nafas keras. Kakinya mula dihalakan ke tempat tidurnya. Wajahnya mulai cemberut.

“Habis tu prestasi sebagai isteri dan ibu dalam rumah ni macam mana?” soal Johan tajam. 

Lyn kekeluan melihat reaksi negatif suaminya itu. Di sedar bukan sekali dua mereka bertingkah pendapat tentang hal ini. Sudah terlalu kerap!

“Lyn baru habis bersalin. Anak kita masih kecil, Lyn nak tinggalkan jauh-jauh macam ni. Lyn tak fikir ke tentang tu? Takkan bos-bos Lyn yang dekat Arab tu tak tahu yang Lyn ada anak kecil?” tambah Johan lagi. 

“Diaorang tahu. Tapi bak buat macam mana kalau semuanya datang serentak? Memang kebetulan pula dalam waktu terdekat ni Lyn tamat kontrak dengan EK. Bukannya Lyn yang minta keadaan macam ni, bang. Lyn cuma minta abang faham sekali ni aja,” keluh Lyn kepayahan untuk meminta pengertian suaminya itu.

“Sayang tahu dalam setahun berapa kali abang kena tinggal macam ni?” balas Johan semula dengan soalan itu. Sengit nadanya memuntahkan rasa terabainya selama ini.

Lyn terdiam pula.

“Dalam sebulan mesti ada sekali Lyn ke Dubai. Hari cuti pun kadang-kadang kerja. Hari-hari balik lambat. Abang rasa abang ni dah jadi nombor dua selepas kerja Lyn. Takkan selamanya kita nak macam ni?” tekan Johan tidak berpuas hati.

“Tapi Lyn tak pernah abaikan abang kan?” bangkang Lyn enggan menerima kata-kata suaminya.

Johan ketawa mengejek.

“Memang betul apa yang abang cakap. Tapi bukannya hari-hari Lyn balik lambat. Hanya hari Isnin dengan hari tabu aja Lyn balik lambat, bang. Hari Jumaat Lyn kerja setengah hari aja. Selalunya kalau Lyn ke Dubai pun, hanya untuk 2 hari sahaja, bang. Hari ini Lyn pergi, esoknya Lyn balik semula. Lyn ke sana bukannya suka-suka. Sebab kerja! Takkan itu pun abang tak boleh faham?” tekan Lyn pula.

“Siapa pulak yang nak faham abang? Company tu memang bawak suweilah,” cemuhnya tajam.

Lyn benar-benar terkejut mendengar suaminya melabelkan begitu pada syarikat tempat dia bernaung selama ini. Johan tak sedar agaknya, syarikat yang dikatakan suwei itulah yang telah banyak memberi khidmat kepada mereka sekeluarga apabila mereka mahu ke luar negara. Dengan tambang percuma dan layanan kelas pertama, sudah lupakan Johan?

Johan mengerling isterinya seketika.

“Yalah…. first day Lyn masuk kerja semula lepas duit bersalin, terus bawa berita buruk macam ni. Manalah abang tak naik angin?” merendah sedikit nada Johan saat itu.

“Kut ya pun janganlah cakap macam tu. Abang kompelin masa kerja Lyn padat tapi bila abang dengan staf company abang dapat special price untuk semua destinasi, abang tak konpelin pulak? Waktu tu seronok sebab separuh duit syarikat jimat bila pergi melancong mana-mana! Kepala Lyn ni tak habis pening lagi nak melayan kawan-kawan abang yang semuanya nak fly ke luar negara free. Asal nak pergi overseas
aja muka inilah yang dicari. Semuanya nak dapat tiket murah. Nak murah naiklah  Air Asia! Senang! Ini tak, nak naik tiple 7 aja. Tapi bayar mahal tak mahu! Abang tu, sebab Lyn kerja kat situlah, abang dapat naik flight free tau! Jangan lupa tentang itu.” Lyn membebel geram.

Johan terkedu serta merta. Setiap patah kata sang isteri tertempek tepat ke mukanya. Terasa berdesing telinganya. Malu sendiri dengan cemuhannya sebentar tadi sedangkan dia sendiri sedar dia memang banyak mengambil kesempatan dengan kedudukan Lyn di dalam syarikat itu. 

“Dah diaorang yang nak bagi free, aku sapu ajalah!” bisiknya dalam hati.

“Time kita dapat bonus, mulalah dia tersengih-sengih minta belikan itu ini. Bonus tu siapa yang bagi?”

“Mengungkitlah tu!” desis Johan perlahan. Sengaja mahu menutup kesalahan sendiri. 

“Habis tu abang ingat Lyn baru lepas berzikir ke tadi? Padanlah dengan muka tu. Bila bercakap main sedap bercakap aja. Esok-esok bila Lyn dah resign, abang sediakan ajalah duit berguni-guni bila anak-anak abang tu sibuk nak ke Disneyland lagi. Tu…. anak dara abang tu dah sibuk nak ke London pulak. Hah! Siap-siap ajalah.” Lyn pula mengambil giliran untuk menghentam suaminya. Tajam matanya memandang Johan. Geram kerana dia sememangnya faham, kalau Johan sudah naik angin, bercakap pun mulalah ikut sedap mulut aja.

Johan menoleh memandang isterinya itu.

“Marahlah tu?”

“Memanglah marah. Mulut tu asyik nak menyakitkan hati kita aja!” desis Lyn kelat.

Johan menghela nafasnya seketika. Dia memang sedar selama ini banyak kebaikan yang didapatinya selama isterinya itu bekerja dengan syarikat penerbangan itu. Banyak insentif yang disediakan untuk Lyn sebagai salah seorang pengurus di situ. Kalau dihalang kemahuan Lyn yang masih mahu bekerja di situ, sudah tentulah dia yang rugi nanti. Lagipun jika Lyn ke Dubai selama 3 minggu nanti, adalah dia masa dengan ‘si dia’ tanpa gangguan sesiapa. Perlahan Johan mendekati isterinya di atas katil itu.

“Okeylah! Sorry. Abang tak sengaja tercakap macam tu. Abang cuma geram aja. Dahlah semenjak Lyn mengandung asyik tak nak aja dengan abang ni. Hari tu waktu Lyn lepas bersalin, abang kena ‘puasa’ lama. Sekarang ni kena tinggal lagi. Batin terseksa tau, sayang!” keluh Johan dengan suara lunak manis.

“Siapa suruh abang buat Lyn mengandung? Lepas tu dia yang kompelin itu ini.” Lyn sempat mencebik malas mahu melayan alasan Johan.

“Tengok tu? Tak baik cakap abang macam tu tau? Itu kan sunnah bank. Meramaikan lagi pengikut Nabi Muhammad ni dapat pahala, sayang,” Johan menyambut dengan sengihan. Lengan isterinya diusap manja.

“Yelah, bang….. lelaki ni kalau sebut tentang sunnah Nabi ni tang kahwin banyak dengan ramaikan anak aja yang mahir. Yang lain kantoi aja pun!” tempelak Lyn selamba. Dengan pantas dia membaringkan tubuhnya ke tilam itu. Lelaki terus itu dibelakanginya. Malas dia mahu melayan bicara Johan lagi. Sunnah Nabi konon! 

“Dah nak tidur ke ni?” tanya Johan lembut sambil menghimpit belakang tubuh isterinya itu. Bimbang jika lama rajuk isterinya, dia juga yang susah nanti.

“Habis tu, nak lawan abang bertekak? Sampai esok pun tak habis. Baik tidur, lagi banyak faedahnya. Lyn sekadar menjawab malas. Sakit hatinya masih bersisa.

“Kita belum habis bincang lagi, kan? Bila Lyn nak ke Dubai tu? Siapa nak jaga baby kita?” dengan lembut Johan bertanya.

Lyn lantas menoleh apabila telinganya diperdengarkan soalan yang terakhir itu.

“Zairyl itu anak siapa?” soal Lyn semula.

“La…. apa pulak tanya abang macam ni? Mestilah anak kita.”

“Habis tu, abang masih nak tanya siapa yang nak jaga baby kita kalau bukan abang? Jiran sebelah? tempelak Lyn lagi. Ada sahaja patah bicara Johan yang menyakitkan hatinya. Bukankah sebagai bapa sudah tentulah tanggungjawab Johan menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak selama dia tidak bersama suaminya itu? Sepertimana dirinya apabila Johan bekerja di luar daerah, dia yang menjaga kesemua anak-anak mereka.

“Nanti malam-malam kalau baby bangun macam mana?” soal Johan lagi. Mula risau dengan cabaran yang satu itu.

“Abang kan bapaknya? Abang bangunlah susukan dia. Selalu kan diri tu bangun susukan anak. Jangan bangun buat anak aja pandai! Jangan hanya meramaikan sunnah Nabi aja yang abang tahu, tapi bab menjaga hasil daripada benih sendiri, abang buat-buat tak tahu,” sindir Lyn tajam.

Sekali lagi Johan terkedu dikenakan isterinya. Berdesing telinganya lagi dengan sindiran tajam sang isteri.

“Mana abang tahu jaga baby, yang…” pujuk Johan mendayu.

“Padanlah dengan muka! Selama ini tugas jaga anak semuanya Lyn yang buat. Bila anak menangis tengah malam bang buat pekak aja. Sedap tidur! Bila sekali ni Lyn suruh abang, mulalah abang banyak alasan.”

“Habis tu kalau sayang dah tahu abang tak tahu jaga anak, takkanlah sayang nak suruh abang yang jaga Aril malam-malam. Bukannya abang tak mahu, tapi sayang tahulah abang ni memang susah nak bangun. Nanti bila Aril menangis , abang tak sedar. Alamat sampai esok pagilah anak kita lapar,” ucap Johan rendah. Memang dia boleh melayan anak-anak dengan baik, tapi bab bangun malam memang dia surrender!

“Banyaklah alasan abang! Kalau suruh bangun susukan anak malam-malam memang berat. Cuba suruh bangun ajak buat anak, laju aja mata dia celik! Tengah-tengah malam pun dia sanggup!” desisnya geram.

Johan tersengih mendengar kata-kata isterinya itu. 

“Buat anak memangla tengah-tengah malam, yang. Panaslah kalau  buat anak tengah hari buta. Lagipun makruh hukumnya suami isteri bersama waktu tengah hari ni. Syaitan banyak. Nanti kalau dapat anak dapat yang degil,” jawabnya selamba.

Namun Lyn sekali lagi menjelingnya. Gurauan itu langsung tidak menghiburkan hati.

“Lyn akan cakap dengan bibik, dia yang jaga Aril. Malam Aril mesti tidur dengan bibik. Kalau nak harapkan abang, memang kurus keringla budak tu bila Lyn balik nanti,” sambung Lyn segera, rancangan yang sudah lama berada dalam fikirannya. Mati hidup balik dia tidak akan membiarkan Aril tidur berdua sahaja bersama Johan. Bukannya dia tidak tahu, Johan kalau sudah tidur, dunia ni habis dibom di tengah dunia pun belum tentu suaminya itu mampu bangun!

Johan terus tersenyum mendengar kata-kata isterinya itu. Mudah hidupnya.

“Sayang ni memanglah isteri abang yang mithali. Ni yang buat abang bertambah sayang ni.”

Lyn mencebik.

“Mithalilah sangat!” desisnya meluat.

“Betul! Abang ikhlas ni, sayang. Abang tak main-main. I love you so much, sayang. Nanti balik dari Dubai jangan lupa souvenir abang ya?” Sepantas kilat pipi sang isteri dikucupnya.

“Tadi bila kita cakap nak ke sana bukan main lagi dia marah. Sekarang dengan muka tak malunya minta souvenir. Abang ni memang jenis muka tembok, kan? Hee…. sengal betul!” Getus Lyn geram.

Johan terkekeh-kekeh ketawa.

“Nak buat macam mana… dah memang semenjak azali lagi husband Lyn ni memang muka tembok. Muka tembok pun abang tahu Lyn memang tergila-gilakan abang semenjak dulu, kan sayang?”

Lyn menjeling dalam cebikan.

“Tak kuasalah ak tergila-gilakan abang! Perasan!”

Johan terus ketawa sambil memaut tubuh sang isteri. Dalam hatinya dia merasa begitu bahagia. Ditinggalkan selalu pun tidak mengapa, kerana dia sudah ada yang menemani sepinya. Dalam bayangannya wajah gadis itu bertamu lagi.

Siakap si nohong gelama ikan duri

Apabila kau bohong, melukai hati isteri!

Riak wajah Rosman berubah apabila melihat Johan datang bersama dengan gadis itu! Tanpa sengaja lelaki itu mengeluh perlahan membesitkan rasa tidak senangnya.

Semenjak kebelakangan ini dia benar-benar tidak tenteram dengan apa yang sering dilihatnya. Keakraban Johan dengan Syiha membuatkan dia merasa sedikit bimbang. Kalau dia tahu Johan akan membawa Syiha bersama, tidak ingin dia mahu makan tengahari bersama Johan di restoran itu. Lebih baik dia makan bersama kakitangan lain sahaja. Buang masa dia sahaja memandu ke Ampang Point ini jika dia masih menghadap kelakuan dua manusia itu.

"Lama tunggu?" soal Johan ceria.

"Baru lagi." Hambar nada jawapan Rosman. Matanya dilarikan dari memandang Syiha yang sedang menghimpit Johan di hadapannya. Meluat benar dia melihat aksi mengada--ngada wanita itu.

"Kita order dulu?" kata Johan kepada Syiha di sebelahnya.

Rosman hanya diam. Memandang dua manusia yang menilik menu bersama juga tidak ingin dilakukannya. Geram benar dengan Johan. Tergamak memuat onar begini walaupun sudah berkahwin. 

"Abang, Syiha nak ke tandas sekejap ya?" kata Syiha meminta diri dari Johan setelah selesai mereka membuat pesanan kepada pelayan.

Johan hanya mengangguk membiarkan. Kemudian matanya memandang Rosman semula.

"Sorrylah. Aku tak ajak tapi dia yang merengek nak ikut. Nak tak nak terpaksalah aku angkut dia sekali," ujar Johan yang seakan mengerti ketidakselesaan Rosman saat itu.

"Aku tak fahamlah dengan kau ni, Han..."

"Apa yang kau tak faham? Kau tak faham kenapa aku kawan dengan Syiha walaupun aku dah ada bini?" teka Johan dengan senyuman santainya.

"Apa pasal kau buat macam ni? Takde angin takde ribut tiba-tiba kau buat hubungan dengan perempuan yang sepuluh tahun lebih muda dari kau. Kalau kau bujang lagi takpelah jugak. Kau dah kahwin, dah ada anak tiga orang, Johan. Kau tak sedar ke tentang itu?" tegur Rosman.

"Nak buat macam mana kalau aku dah terjatuh hati dekat dia. Bukannya aku rancang semua ini, Man. Semua ini ketentuan Allah," balas Johan mudah.  

"Klise sangat jawapan tu,Han. Memang Allah yang tentukan semua ini berlaku. Tapi Allah tunaikan apa yang kita sendiri mahukan. Kau boleh elakkan semua ini. Tapi aku tengok kau ini macam serah diri kau bulat-bulat untuk dipancung. Selama ini aku tengok kau dengan Lyn okay aja. Tiba-tiba pulak kau letakkan Syiha antara kau berdua. Takkan kau tak rasa berdosa tipu isteri kau sendiri? Isteri kau baru lepas bersalin, Han!"  

"Man, aku tiada niat nak tipu Lyn. Aku terpaksa. Takkan aku nak berterus terang dengan dia yang aku dah ada Syiha? Mahu mengamuk dia nanti."

"Tahu pun kau takut! Cuba kalau kau yang kena tipu macam ni? Buatnya tiba-tiba kau nampak bini kau melepek dengan mana-mana pak arab macam kau buat dengan Syiha, kau tak marah? Kau tak sakit hati?" marah Rosman.

Johan diam sambil mengeluh sedikit. Malas hendak menjawab. Bimbang jadi sengketa pula.

"Aku cuma bengang sebab kau ni macam dah lupa siapa diri kau yang sebenarnya. Kau macam dah tak ingat lagi macam mana susahnya dulu waktu kau nak pikat Lyn. Bila dia dah terima kau, kau buat macam ni pada dia. Kalau aku ni yang selama ni tengok kehidupan kau pun aku rasa bengang. Inikan pula Lyn. Takkan kau sanggup nak gadaikan kebahagiaan kau hari ini sebab perempuan lain?"

"Kau tak tahu apa masalah aku selama ini, Man. Aku sunyi. Isteri aku asyik dengan kerja dia aja. Aku asyik kena tinggal sampaikan aku rasa terabai. Bila aku jumpa Syiha, aku tak sangka aku akan jatuh hati pada dia. Dia pandai menghiburkan aku. Bukan salah aku seorang semua ni, Man."

Rosman terasa mahu ketawa dengan alasan Johan. Dia tahu, orang kalau sudah mabuk cinta seperti ini, mata hati memang sudah tidak mampu melihat lagi.

"Aku ni malas nak campur hal rumah tangga kau, Johan. Tapi kau ingatlah... isteri kau tu banyak 'kabel' dalam pejabat. Tak mustahil dia dapat tahu nanti. Kalau dia tahu pasal ni mampuslah kau!" ucap Rosman cuba mnyedarkan Johan tentang itu. Mungkin Johan sudah terlupa, Lyn masih seorang ahli lembaga pengarah dalam Neraca Holdings.

"Eh! Kau janganlah beritahu dia. Apa aku buat aku tahulah, Man. Kau jangan masuk campur pulak," sambut Johan tidak senang dengan teguran itu.  

"Aku tak ingin nak jadi tukang sampai. Tapi kau pun janganlah melampau sangat. Kesian anak-anak kau, Johan. Baru beberapa tahun kau berbaik dengan dia, kau dah buat hal macam ni pulak. Buatnya Lyn tahu nanti, nahaslah kau. Kau jangan lupa, isteri kau tu lain macam sikit. Bila dia dah dendam dengan kau nanti, panas buntut kau dibuatnya." 

"Alah! Kalau tiada yang mulut tempayan pecahkan lubang, tak akanlah Lyn boleh tahu. Aku dengan Syiha, main-main aja, Man. Bukannya serius sangat pun," gerutu Johan, cuba mengelak. Kata-kata Rosman itu membuatkan dadanya resah entah kenapa.   

"Kalau dah berkepit hari-hari, takkan main-main lagi? Sampai kau belikan dia kereta, masakan itu masih main-main? Kau kena ingat, bukan semua orang boleh tutup mulut macam aku. Kalau kat pejabat tu orang dah mula bercakap, tak mustahil adik dengan kakak kau boleh tahu. Kalau dia orang tahu, takkanlah Lyn tak akan dapat tahu?" Rosman berleter lagi.

"Alah! Orang dalam pejabat tu semuanya nak menyibuk hal orang. Apa aku nak buat itu hak aku, Man. Dia orang tak payah nak sibuk-sibuk nak masuk campur urusan rumah tangga aku. Bila aku rasa aku perlu beritahu Lyn, aku akan beritahu dia. Sekarang ni aku tak rasa nak buat macam tu, sebab aku dengan Syiha belum merancang apa-apa lagi," balas Johan masih menegakkan keegoannya. 

Rosman menggeleng kesal melihat tingkah sahabatnya itu.

"Suka hati kaulah, Johan. Tapi kau jangan kata aku tak bagi ingatan kat kau pulak. Kau tahu kan bini kau tu bila ada masa, dia akan datang ke pejabat semula. Lagipun dia masih ada hubungan baik dengan ramai kakitangan lain dalam NH. Buatnya dia orang beritahu bini kau pasal ni, naya kau nanti."

Johan terdiam memandang Rosman di hadapannya. Sedikit sebanyak apa yang diperingatkan Rosman kepadanya itu memang benar. Setiap kali mesyuarat ahli lembaga pengarah, Lyn memang akan menghadirkan diri. Cuma semenjak mengandung dulu, Lyn sudah tidak melakukannya. Itu pun kerana dia yang meminta Lyn mengurangkan sedikir beban kerjanya kerana bimbang kesibukan Lyn akan menjejaskan kandungan isterinya. 

"Jangan tunggu sampai nasib kau jadi maam aku baru kau nak menyesal dahlah, Johan. Aku ingatkan aja. Selagi ada ni, hargailah sebaiknya..." tambah Rosman lirih. Sedih mengenangkan sahabatnya yang mudah benar lupa diri. Tidak seperti dirinya; jodohnya bersama Dalilah terhenti apabila Tuhan mengambil semula isteriya sekitar 2 tahun lalu dalam kemalangan jalan raya. Sehingga kini dia masih merindui arwah isterinya itu. Bertambah sedih apabila anak-anak terpaksa diserahkan kepada ibu dan bapanya untuk dijaga kerana dia tidak berdaya menjaganya dengan baik tanpa kehadiran seorang wanita bernama isteri. 

Perbualan itu termati apabila kelibat Syiha kelihatan semula di meja itu.

""Air tak sampai lagi ke, bang?" soalnya kepada Johan.

"Belum." balas Johan sambil memandang Rosman sekilas. Sahabatnya itu memandang ke arah lain. Perasaannya tidak enak melihat mood sahabatnya itu langsung tiada untuk berada di situ.

"Abang baju abang ni ronyoklah. Siapa yang gosok baju abang ni?"

Johan berdehem seketika. Kelakuan Syiha yang mengusap-usap dadanya benar-benar tidak menyenangkan. Apatah lagi Rosman di hadapan langsung tidak bersuara. Hanya memandang ke luar tanpa memperdulikan mereka. 

"Abang, Syiha tanya ni..." rengek Syiha manja.

"Orang gaji abang yang gosok," jawab Johan perlahan.

"Bini abang tak gosok baju abang ke selama ni?'' Syiha bertanya serius.

"Bini abang sibuk. Dia banyak kerja." Masih sebegitu ringkas jawapan Johan.

"Banyak kerja pun kenalah gosokkan baju suami. Itu tanggungjawab isteri bukannya orang gaji. Sebab itulah suami-suami sekarang ni selalu ada hubungan dengan orang gaji sebab bini lebih pentingkan kerja sendiri. Orang gaji abang tak pandai gosok baju abang ni. Salah cara dia gosok kemeja abang. Sepatutya kemeja macam ni kena gosok dengan air, barulah sisi baju ni betul," ucap Syiha tanpa rasa bersalah.

"Alah! Gosok betul-betul pun bila dah pakai ronyok jugak," sambut Johan selamba. Kalau diikutkan hatinya mahu saja ditolaknya Syiha agar kembali tegak tanpa bersandar kepadanya begini. Malu mukanya kepada Rosman yang berada di situ.

"Yalah! Tapi malulah kalau perempuan tak pandai gosok baju. Ini mesti kes tak sempat ni. Gosok baju asal boleh aja. Bini abang tu takkan sampai gosokkan baju abang pun dia tak boleh buat?" komen Syiha lagi.

Rosman terus mengangkat tangannya memanggil pelayan. Panas dadanya seperti tidak mampu ditahan lagi. Melihat aksi Johan dan Syiha seleranya untuk makan segera mati. Malah dalam dadanya ini rasa meluatnya sudah meluap-luap.

"Bil saya!" ucap Rosman kepada pelayan yang datang.

"Tapi makanan encik belum sampai lagi."

"Takpe. Saya ada hal."

Pelayan itu mengangguk akur dengan alasan Rosman.

"Takkan kau nak blah dah, Man?" soal Johan agak terkilan.

Rosman tersenyum sinis.

"Kau makanlah. Aku nak balik office," ujarnya.

"Kenapa?" soal Syiha yang tidak mengerti dengan kelakuan Rosman itu. Dia memandang Rosman dan Johan bersilih ganti.

Johan tidak menjawab namun Rosman sudah menggeleng kesal. Tergamak sekali Johan membiarkan wanita lain menilai isterinya sendiri begitu sahaja. Sementelah Syiha langsung tidak kenal siapa Lyn sebenarnya. Siapa Syiha untuk menilai orang yang tidak dikenalinya seperti itu?

"Man, makanlah dulu. Makanan kau sekejap lagi sampailah," pujuk Johan.

"Takpelah. Aku dah kenyang. Kau makanlah. Jangan rasa terganggu sebab aku. Kalau aku lapar aku makanlah kat mana-mana nanti. Just enjoy this moment! You wish for it so you deserved it!'' balas Rosman separuh memerli.

Johan menelan liurnya kelat. Telinganya merah kerana merasa tersindir dengan ucapan Rosman itu. Ketika itu pelayan datang membawakan bil untuk Rosman.  

Kasihan kau, Johan. Kasihan sebab suatu hari nanti kau akan menyesal dengan kaca yang kau pilih hari ini akan membuatkan kau terluka pedih, hati Rosman berbisik kesal.  

Setelah meletakkan dua not sepuluh ringgit di atas folder bil itu, dia terus berlalu tanpa kata lagi.  









Tiada ulasan:

Catat Ulasan