“Abang hantar balik,” ucap Johan sebelum terus berlalu ke keretanya.
Bukan main riang lagi gadis itu sambil mengekori Johan. Kembang setaman hidungnya saat membuka pintu sebelah pemandu. Sempat berharap semua orang melihat dirinya mendapat tempat istimewa dalam hidup lelaki itu; mungkin bakal menduduki kerusi kereta itu secara tetap tidak lama lagi.
Namun Johan tidak terus menggerakkan kereta pergi. Hairan Syiha dengan gelagat kekasihnya. Macam sedang kusut.
“Ada apa, abang?”
“Abang ada sesuatu nak katakan,” ujar Johan perlahan. Sudah beberapa hari dia bertangguh. Dia sudah tidak sanggup untuk mengelak lagi.
“Apa?” balas Syiha ceria. Besar harapannya untuk mendengar berita baik hari ini.
“Abang dah tak boleh dekat dengan Syiha lagi. Abang harap Syiha faham keadaan abang sekarang,” jelas Johan perlahan.
Terbeliak mata Syiha memandang Johan. Harapan tadi bak kaca terhempas ke batu. Tidak sangka dalam sekelip mata Johan berubah pendiriannya. Ini tidak ada lain, tentu Johan sudah mula tergila-gilakan isterinya semula!
“Abang, sampai hati abang buat Syiha macam ni,” keluh Syiha dengan mata yang mula berkaca. “Abang tahu kan, yang Syiha betul-betul cintakan abang? Syiha tak boleh hidup tanpa abang!”
“Abang tahu, tapi abang terpaksa buat keputusan macam ni, Syiha. Abang dah janji dengan isteri abang yang abang takkan teruskan hubungan ni lagi,” balas Johan pasrah.
“Jadi abang buat keputusan sebab dia yang paksa abang? Perasaan abang pada Syiha macam mana? Patutlah sekarang abang asyik mengelak daripada Syiha,” rintih Syiha kesayuan.
Johan terdiam dalam pada dia menghela keluhan sendirian. Memang dia sudah banyak berjanji kepada Syiha. Tetapi dia tidak berdaya. Salah seorang antara dua wanita ini harus dilepaskan. Dan dia tidak sanggup melepaskan isterinya.
“Abang, Syiha akan bunuh diri kalau abang tinggalkan Syiha!” ugut Syiha nekad.
“Syiha, jangan sampai macam tu. Berdosa buat macam tu.”
“Habis tu, abang main-mainkan perasaan Syiha, tak berdosa? Abang tahu tak selama ni Syiha yakin dengan cinta abang. Tapi rupa-rupanya tak! Abang ni lemah. Abang tiada pendirian! Baru macam ni abang dah mengalah. Kerana dia, abang sanggup lukakan hati Syiha. Hidup Syiha dah tiada maknanya lagi kalau abang dah tiada lagi dengan Syiha,” tegas Syiha bersungguh-sungguh.
“Tapi abang terpaksa, Syiha. Bukan abang sengaja nak lukakan hati Syiha. Tapi hati isteri abang pun penting juga. Dia tak boleh terima semua ni,” balas Johan mulai resah dengan penerimaan Syiha.
“Habis tu, Syiha ni macam mana? Abang ingat Syiha boleh terima ni semua dengan mudah? Abang ingat mudah Syiha nak lupakan abang? Syiha tak boleh, bang. Syiha betul-betul sayangkan abang,” balas Syiha dan tanpa segan-silu tangan Johan dicapainya.
Johan menghela keluhan lagi. Serba salah dia dengan rayuan Syiha. Kini Johan mula tersepit oleh rasa tidak sampai hati. Hakikatnya Syiha juga disayanginya. Perlahan dia menarik semula tangannya daripada genggaman gadis itu. Biar gadis itu mengerti ada pengorbanan yang harus dilakukan. Dan dia tidak main-main saat ini.
“Syiha sanggup jumpa isteri abang kalau itu yang abang mahu.”
“Jangan, Syiha! Jangan sesekali Syiha buat macam tu. Abang tak suka! Hal abang dengan isteri abang, biar abang yang uruskan!” tegah Johan serius. Dia tidak suka Syiha masuk campur urusannya dengan Lyn.
“Habis tu macam mana? Takkan abang nak putuskan hubungan kita?” Syiha terus menangis.
Johan hanya diam tidak tahu harus berkata apa lagi untuk memujuk. Dia tahu Syiha memerlukan masa untuk menerima hakikat ini. Begitu juga dengan dirinya.
“Abang, apa Syiha nak cakap pada orang tua Syiha pasal ni? Orang tua Syiha dah lama tahu pasal kita. Mak dan ayah berharap sangat abang lekas masuk meminang, bang. Dia orang kalau boleh nak kita kahwin cepat-cepat,” rayu Syiha mula menggunakan orang tuanya pula sebagai tentangan kepada keputusan Johan.
Johan tersandar di kerusinya sambil melepaskan keluhan. Tiada jawapan yang terbit daripada benaknya saat ini untuk dipersembahkan kepada Syiha. Perasaan serba salah kian mencucuk-cucuk dirinya apabila Syiha menyebut tentang itu.
Selama ini Syiha memang sentiasa maju selangkah ke hadapan dengan mengajak dia bertemu dengan orang tuanya. Namun dia beranggapan masih terlalu awal untuk mereka melibatkan keluarga. Sementelah dia sendiri masih tidak pasti bagaimana pula dengan penerimaan keluarganya terhadap Syiha.
“Abang,” panggil Syiha apabila melihat Johan hanya diam sahaja.
“Abang tak tahu nak kata apa lagi, Syiha. Fikiran abang runsing. Tapi Syiha kena jelas dengan pendirian abang yang kita takkan boleh teruskan sebarang perancangan tanpa persetujuan isteri abang. Abang hanya akan jumpa dengan orang tua Syiha sekiranya Lyn dah berikan persetujuan untuk abang berpoligami,” ucap Johan perlahan.
“Abang dah tak sayangkan Syiha lagi ke?” soal Syiha menduga sekeping hati milik Johan itu.
“Tapi abang pun sayangkan Lyn, Syiha. Dia juga penting pada abang,” jawab Johan jujur.
“Abang, ini tidak adil untuk Syiha! Kalau abang tak cintakan Syiha, kenapa abang bagi Syiha harapan? Kenapa abang main-mainkan Syiha?” tangis Syiha kesayuan.
“Syiha kena faham, abang dah ada isteri. Ada halangan antara kita sekarang ini,” tekan Johan lagi.
“Kalau susah-susah sangat, kita kahwin kat sempadan aja. Syiha tak boleh lepaskan abang. Syiha cintakan abang sangat-sangat! Tolonglah jangan singkirkan Syiha, abang. Syiha tak tahu macam mana Syiha nak teruskan hidup tanpa abang.” Akhir bicara itu tangisan Syiha semakin lebat.
Johan memicit dahinya perlahan. Runsing. Yang di sana tidak mahu mengalah, yang seorang ini pun sama mengada-ada. Tolak cara halus tidak faham, tolak cara berterus terang pun Syiha tidak mahu terima.
“Kita tak boleh buat macam tu, Syiha. Abang tak sanggup!”
“Abang, Syiha pun ada perasaan. Apakah selama ini perasaan Syiha langsung tak penting pada abang?” bentak Syiha dalam tangisannya.
“Syiha, tolonglah faham keadaan abang.”
“Habis tu perasaan Syiha siapa nak faham? Siapa, bang???” Syiha makin membentak. Geram dia. Balik-balik Johan mahu mendahulukan isterinya itu.
“Apa selama ni abang tak pernah merasa bahagia dengan Syiha? Semudah itu abang nak lepaskan semua yang pernah kita ada? Ini tak mudah untuk Syiha, bang,” tambah Syiha lagi. Air matanya diseka dengan jemarinya.
“Ini pun tak mudah untuk abang, tapi dia dah banyak sangat berkorban untuk abang selama ni, Syiha. Abang tak sanggup tengok dia menangis kerana kita,” ujar Johan pula.
“Kalau dia sayangkan abang, dia takkan tamak macam ni, bang. Dia harus siap berkorban untuk kebahagiaan abang!” tegas Syiha, cuba mencucuk Johan.
Tok! Tok!
Ketukan di cermin sebelah Syiha mengejutkan mereka berdua. Mahu tidak mahu, Johan menurunkan cermin juga.
“Wow…. bincang apa dalam kereta berdua-duaan ni?” tanya Lyn setelah dia tunduk meletak tangan di birai jendela kereta.
Syiha terpaku. Johan pula menghela keluhan perlahan.
“You tahu, Syiha… I jarang naik kereta ni tau. Untung you, hari-hari boleh diangkut ke sana ke mari dengan Bentley kesayangan husband I ni,” ucap Lyn sambil ketawa kecil.
“Lyn, abang…”
“Listen!” pintas Lyn sebelum sempat Johan membuka mulut lebih banyak lagi.
“I pantang betul dengan orang yang menipu. Pantang sangat-sangat!”
“Kami berdua….” Syiha cuba bersuara, namun terkulum bicaranya dengan pandangan Lyn yang tiba-tiba terhala ke arahnya.
“Shttt…shttt…shttttt….” Lyn lekas-lekas meletakkan jari telunjuk di bibirnya, meminta Syiha berdiam.
“You boleh pandang kereta ni puas-puas. Memorinya sematkan dalam kepala you. Kemungkinan esok atau lusa, Johan tak akan dapat lagi memandu kereta ni. Dia takkan mampu bayar hutang dia yang yang sebanyak-banyak tidak tu.”
Syiha lekas-lekas memandang teman lelakinya itu.
Johan meraup wajahnya sambil menghempas kepala ke penyandar.
“And you, lady… belajar naik kenderaan awam lepas ni. Kerana I akan minta orang cari di mana kereta tu berada. I akan serahkan pada bank semula. Teman lelaki kesayangan you ni tak bayar pun pada bank hutang kereta tu. Dia dah tiada duit. Dengar, kan?” ujar Lyn sambil memandang Syiha.
Syiah terkumpal-kumpal memandang Lyn.
Lyn ketawa kecil memandang dua manusia itu.
“Kalau you nak tahu, bapa dia kaya. Dia pun sebenarnya kaya. Selain duit gaji dia itulah… Tapi duit tu tak akan boleh dinikmati oleh you berdua tanpa signature I. Kiranya…. tanpa I, lelaki kesukaan you ni tak ada apa-apalah sebenarnya. You nak dia…. silakan ambil dia bersama hutang dia.” Lyn ketawa di hujung bicara.
“Lyn, abang dah putuskan hubungan abang dengan dia. Apa lagi yang Lyn tak puas hati???” balas Johan sedikit keras. Dia malu diejek oleh Lyn begitu di hadapan Syiha.
“Eh! I tak suruh you tinggalkan perempuan ni. Ada ke I cakap macam tu?” balas Lyn selamba.
Johan mengeluh sedikit. Gelagat isterinya benar-benar membuatkan dia sakit hati.
“Syiha, I ni bukanlah jahat sangat. I tak suka seksa kaum sejenis I yang tak berdaya macam you. I dah cakap banyak kali dengan husband I ni, I tak kisah pun dia nakkan you. I suruh dia pergi pada you. Susah nak dapat bakal madu yang sporting macam I ni tau,” ujar Lyn
“Abang?” tanya Syiha mengenai hal itu.
Johan menoleh ke arah Syiha.
“Syiha tak kenal dia siapa. Apa yang dia cakap tak semestinya itu yang dia maksudkan. Semua tu simbolik,” ujar Johan.
Lyn ketawa geli hati sambil menegakkan tubuhnya.
“Tiba-tiba you berlagak macam cukup kenal I, Johan. Tidakkah itu juga simbolik? Pathetic!”
Johan bingkas keluar dari kereta. Sakit hatinya mendengar bicara isterinya itu.
“Sehari dua ni abang dah puas mendengar hinaan isteri abang sendiri. Abang akan terus mendengar selagi abang mampu, Lyn! Tapi sabar ni ada batasnya. Jangan cabar abang. Takut nanti menangis tak berlagu!” ucap Johan meninggi.
“Then divorce me!” balas Lyn sambil menoleh ke arah suaminya itu.
Johan terpempan memandang isterinya. Kali pertama semenjak bertahun-tahun lalu isterinya kembali menyebut tentang cerai. Syiha di dalam kereta bungkam. Konon tidak mampu masuk campur. Namun dalam diam berharap benar kehendak wanita itu ditunaikan dan Johan segera menuntut lubuk emas yang selama ini dipegang oleh wanita itu. Apabila sudah diceraikan nanti, alamatnya wanita itu pula yang hilang segala-galanya.
“Dia nak cerai sangat, ceraikan aja dia! Tak tahu hormat suami!”
“Diam, Syiha!” bentak Johan kepada Syiha.
Lyn spontan memandang ke dalam kereta itu. Meluap-luap rasa sakit hati dan bencinya. Wah…. berani sungguh Syiha berkata begitu di hadapannya. Tidak serik lagi nampaknya. Dia tahu Syiha berani kerana dia percaya Johan masih diperbodohkan.
“Abang, jangan biarkan dia pijak maruah abang. Sampai bila dia nak seksa abang macam ni? Bagi aja apa dia nak. Tuntut semula hak abang yang dia pegang. Dia tak berhak pun untuk semua tu,” ucap Syiha lagi.
“Lyn…” Johan lekas-lekas mendapatkan isterinya. Namun wanita itu segera berundur tanda tidak mahu disentuh Johan.
Lyn memandang Syiha amat lama. Namun Syiha sekadar buat selamba. Sepanjang hari ini dia mendengar pujian melambung-lambung kakitangan lain tentang kecantikan Lyn. Dia benar-benar sakit hati!
Tanpa berkata apa-apa, Lyn berlalu dari situ.
“Kau tunggu, perempuan! Jangan menyesal nanti,’ bisik hatinya penuh dendam.
Johan bungkam dengan riak wajah yang ketat sepanjang memandu. Syiha ikut berdiam dek kerana takut. Lelaki itu memandu agak laju. Dia tahu Johan marahkan dia.
Seterusnya Johan sekadar berhenti di luar pintu masuk ke kawasan kondo itu. Dia hanya pegun memandang ke hadapan menanti Syiha keluar dari kereta.
“Abang marah Syiha ke?”
“Lain kali jangan sibuk ikut masuk campur dalam hal rumah tangga abang! Abang tak suka!” ucap Johan agak tajam.
“Tapi Syiha ni bakal isteri abang. Apa salahnya Syiha peduli pasal abang?”
Johan menoleh ke arah Syiha.
“Hal abang dengan dia jangan masuk campur! Berapa kali abang nak cakap? Bahagian mana yang susah sangat nak faham ni??? Abang tak mahu hubungan abang dengan dia bertambah teruk!”
“Kenapa abang masih nak simpan isteri abang yang macam tu?”
“Sebab aku tak mahu ceraikan dia! Aku sayangkan anak-anak aku! Faham tak??? Kalau aku nak ceriakan dia, dah lama aku buat. Tak payah tunggu kau suruh!” bentak Johan dengan riak wajah menyinga.
Syiha terdiam sambil mencebik. Nak menangis akibat ditengking Johan.
“Tunggu apa lagi???”
“Abang marah Syiha. Sampai hati. Abang memang dah tak sayangkan Syiha!” Tangisan Syiha meledak di tepi Johan.
Johan bingkas keluar dari kereta. Tidak kuasa hendak memujuk dalam keadaan dia sedang berserabut dengan masalah. Pintu tempat duduk Syiha dibuka dan gadis itu ditarik keluar.
“Pergi sambung nangis dalam rumah. Abang tak ada masa nak pujuk,” ucap Johan sebelum pintu kereta ditutupnya semula. Seterusnya dia kembali ke tempat duduknya. Kereta terus dipandu pergi.
Keluhan dilepaskan Johan sambil memandang ke hadapan. Silap besar dia kerana membiarkan Lyn terlihat dia bersama Syiha tadi.
Setiba di rumah, riuh-rendah rumah dengan suara anak-anak menyambutnya pulang. Tetapi dia lihat Dani dan Dina sudah bersiap seperti hendak pergi berjalan.
“Daddy, mummy kata malam ni kita pergi Singapore.”
“Hah? Nak buat apa?” tanya Johan. Segera teringat yang hari ini hari Jumaat.
“Mummy ajak pergi holiday.”
‘Ah, sudah! Aku tak tahu apa-apa pun?’ keluh hati Johan sendiri. Apa pula yang hendak dibuat oleh isterinya itu?
“Mummy mana?” tanya Johan kepada dua anaknya.
“Kat atas, kemas baju.”
Johan bingkas mendaki tangga. Dia menemukan isterinya di dalam bilik. Sedang mengemas sedikit pakaian Zairyl untuk dibawa bersama.
“Nak pergi mana?”
“Holiday.”
“Abang ikut.”
“No way! I nak pergi holiday sebab I dah tak kuasa nak hadap muka you untuk dua hari ni, balas Lyn lantas kembali ke wardrobe.
Johan menghela nafas panjang sebelum mendekati Lyn.
“Lyn, abang dah tak ada apa-apa lagi dengan dia. Berilah abang peluang sekali lagi.”
“I dah tak ada banyak masa sekarang. Flight pukul 11 nanti. Please… I nak kemas baju. Anak perempuan you tu jasad aja ada kat sini. Otak masing-masing macam dah sampai Singapore dah,” ujar Lyn serius.
Johan menghela nafas perlahan.
“Apa abang nak buat selama Lyn dan anak-anak tiada?”
“Eh! Layanlah kekasih hati you tu,” jawab Lyn lantas ketawa kecil. Sesudah memuatkan pakaian anaknya, beg itu terus ditutupnya.
“Susah nanti Lyn nak jaga anak sendiri. Biarlah abang pergi sama,” ujar Johan bersungguh-sungguh mahu mengambil hati isterinya semula.
“I ajak Ary sekali. I bawa adik I juga.”
Johan bercekak pinggang sambil memandang isterinya. Susah dia hendak memujuk dalam keadaan isterinya bersikap begini. Mati kutu dia dibuatnya.
“Abang hantar pergi airport ya? pinta Johan lembut.
“Ary datang sini jemput I dan anak-anak.”
“Kenapa semua kebaikan yang abang cuba buat Lyn tolak? Apa yang patut abang buat, Lyn? Abang rasa macam tunggul dalam rumah ni!” ucap Johan sedikit keras.
“You boleh buat apa yang you suka. I dah tak peduli,” jawab Lyn hanya tenang.
“Lyn, abang sungguh-sungguh minta maaf ni. Abang tak sanggup kehilangan anak-anak dan isteri abang.”
Lyn hanya diam. Sesudah mengenakan pakaian Zairyl, anak kecil itu diletakkan ke dalam baby cot. Dia hendak bersiap.
Johan duduk di birai katil menahan kehampaan. Tidak tahu bagaimana hendak melembutkan hati isterinya lagi.
Selesai berpakaian, Lyn menghadap cermin pula. Mengenakan alat solek ke wajah.
Johan kian panas buntut dibuatnya.
“Nak tunjuk kat siapa cantik-cantik macam tu? Saja nak test market ke?”
“Sesiapa yang sudi pandang I. Bukan you seorang saja teringin nak test market, Johan. Nampaknya market I lebih besar berbanding you,” jawab Lyn selamba.
Punyalah nak marah sampai tak tahu nak kata apa! Lelaki itu bingkas bangun dan berlalu dari situ. Dahlah pergi holiday tidak mahu bawa dia. Sakit hati kena tinggal!
“Habiskan duit untuk perempuan tu lagi. Padan muka!” ujar Lyn lantas ketawa sendiri saat menghadap cermin. Sakit hatinya akibat peristiwa petang tadi dibalas kawkaw kepada Johan. Tak kuasa dia hendak bagi muka.
“Daddy tak pergi dengan kita ke mummy?” tanya Dina sebelum mereka masuk ke dalam kereta.
“Daddy you dah kena blacklist dengan bank. So, dia tak boleh ikut kita. Am I right, darling?” ucap Lyn selamba. Sempat lagi memerli suaminya.
Ariana ketawa di dalam kereta melihat abangnya tidak terjawab bicara kakak iparnya itu.
“Say goodbye to your father. Tell him not to be sad. We’ll be home on Sunday,” ujar Lyn dari dalam kereta.
“Bye-bye, daddy. We love you.” Bukan main riang lagi Dani dan Dina duduk di belakang bersama Bibik Sutinah.
Johan hanya pegun memandang anak-anaknya dengan riak mendung. Setelah kereta yang dipandu Ariana berlalu, tinggallah dia menjalani 2 hari ini seorang diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan