Sabtu, 1 Oktober 2016

Curangla Lagi Part 27

Pulang ke rumah agak lewat, anak-anak sudah berlingkar di hadapan TV bersama Bibik Sutinah. Riuh mulut dua beradik itu bertanya ke mana perginya Johan dan Lyn sehingga pulang lewat.

“Daddy banyak kerja kat ofis.”

Johan segera naik ke bilik. Setelah mandi, dia turun semula untuk bersama anak-anaknya. Lelaki itu terus mendapatkan Zairyl daripada sang isteri.

“Hero daddy…” keluh Johan kerinduan. Pipi anaknya digomol sehingga Zairyl memekik kegelian. Dina dan Dani ikut ketawa. Seronok melayan kerenah adik kecil mereka.

“Abang, Lyn nak naik atas ya?”

“Pergilah. Dina dan Dani pergi masuk tidur. Dah lewat ni. Esok susah nak bangun pagi,” balas Johan.

“Dengar apa kata daddy tu? Anak-anak dara mummy ni kena tidur sekarang. Dah pukul 10 lebih. Waktu untuk tidur,” ucap Lyn.

“Alah….mummy dengan daddy baru balik.”

“Esok sekolah, kan?” balas Lyn lembut. Tangannya dihulurkan kepada dua anak kembarnya itu.

“Siapa tak mahu tidur, dia kena jaga adik,” suruh Johan pula. Lekas-lekas dua beradik itu bangun lalu mengekori ibunya. Lebih rela pergi tidur.

Johan bangkit ke dapur setelah isteri dan dua anak perempuannya itu berlalu.

“Bik, Aril dah menyusu ke belum?” tanya Johan kepada Bibik Sutinah di dapur itu.

“Belum. Aku beri dia susu jam 7 tadi. Biar aku buatkan dia susu.”

“Yalah.”

Johan duduk di ruang tamu melayan anak lelakinya sementara isterinya menyiapkan keperluan anak-anak untuk ke tadika esok. Mujur juga baju sekolah Dani dan Dina sudah siap digosok oleh Bibik Sutinah. Setelah itu dia membawa kemeja suaminya pula ke bilik menggosok. Masa yang ada diguna untuk menyelesaikan kerja yang lain sementara anak kecilnya masih leka bersama Johan. Dia hanya tersedar apabila Johan masuk ke bilik bersama Zairyl yang sudah terlentok di bahu lelaki itu.

“Senang dia tidur?” tegur Lyn, hairan melihat anak bongsunya itu sudah terlentok di bahu Johan.

“Penat,” balas Johan separuh berbisik.

“Mengantuk benar sampai tidur pun menganga! Dengan mulut comot, baju kotor… anak Ahmad Rafael Johan ke yang selebet sangat ni?” bebel Lyn sambil menggeleng melihat gelagat anak lelakinya itu. Entah apa yang dibuat Zairyl sehari suntuk ni.

Johan tersenyum kelucuan. Penuh hati-hati anaknya itu diletakkan di tempat tidurnya.

“Biar Lyn tukarkan baju dia,”

“Takpelah. Biar abang buat. Bagi abang bajunya,” ujar Johan.

“Biarlah Lyn buat. Nak lap badan dia sekali.”

Sudahnya Johan akur juga. Lyn membawa sepasang baju tidur baharu ke tempat tidur Zairyl. Lelaki itu berdiri di sisi isterinya memerhatikan apa yang dilakukan oleh Lyn. Wanita itu menanggalkan pakaian Zairyl penuh hati-hati. Anak kecil itu berkalih sekali-sekala saat si ibu mengelap mukanya dengan tuala lembap. Terakhir sekali barulah lampin pakai buang ditanggalkan.

“Kering aja lampin ni? Dia tak kencing pun,” ucap Lyn saat mengelap sekitar punggung anak itu. Namun sebaik sahaja anak itu ditelentangkan, maka makbullah doa si ibu.

“Oi, bertuah punya anak si Johan!” termelatah sang ibu. Terkejut. Lengkap dengan pancutan tinggi ke arah ibunya. Lyn terpaku memandang baju tidurnya yang basah pada bahagian dada. Seterusnya dua bola matanya mencari wajah sang suami.

“Tak sempat nak tutup. Bukan main banyak lagi dikencingkan dekat mummy.”

Johan ketawa geli hati dengan gelagat anaknya itu.

“Itulah, tadi tak nak kencing. Bertuah punya anak! Babap paha ni, baru tahu!” marah Lyn sekadar lunak-lunak manja kepada anak lelakinya.

“Biar abang buat, sayang. Pergilah tukar baju,” ucap Johan. Tugas memakaikan baju si anak segera diambil alih oleh sang daddy pula. Namun tidur Zairyl mula rasa terganggu. Anak kecil itu menangis tidak keruan.

“Daddy ada sini,” pujuk Johan lantas mendukung anaknya. Ke sana sini melayan kerenah anaknya itu agar Zairyl tidak menangis lagi.

Lyn yang baru sahaja selesai membersihkan diri segera pergi mendapatkan suami dan anaknya. Cepat sahaja Zairyl menghulurkan tangan kepada ibunya pula.

“Mummy belum pakai bajulah. Sekejaplah,” pujuk Lyn.

Zairyl mula menangis sekuat-kuat tidak apabila Lyn menjauh. Sudahnya sang ibu kembali mendapatkan anaknya.

“Yalah…. yalah… mummy pujuk. Mummy pujuk. Alah…. 
alah sedihnya. Mummy buat tak tahu aja ya?”

Sesudah bertukar tangan, Zairyl sedikit tenang. Kepalanya disandarkan ke bahu sang ibu.

“Mummy belum pakai baju. Bagilah mummy pakai baju dulu. Macam mana mummy nak dukung, nak pakai baju lagi…. terselaklah tuala mummy ni kalau macam ni,” ujar Lyn kepada si anak.

Johan sekadar memandang gelagat anaknya dari birai katil.

“Kejap ya? Mummy nak ambil baju ni.” Tangan dipanjangkan pada sehelai gaun malam yang tergantung. Namun Zairyl mula ikut mahu menarik baju lain.

“Jangan! Nanti jatuh baju tu.” Lekas-lekas dilepuk tangan anak di dukungannya. Bagi mengelakkan anak itu menarik kain baju yang sedang tergantung, Lyn mengubah kedudukan Zairyl dari sebelah kanan ke kiri tubuhnya. Tidak sedar kaki anaknya terselit di belahan tualanya. Sudahnya tuala itu melurut separuh badan.

“Eh, habis londeh tuala aku!” Tidak tentu arah Lyn mahu menutup semula bahagian atas tubuhnya. Namun…

“Haaa?” Zairyl memandang dekat-dekat wajah ibunya. Kemudian dia memandang ke bawah. Ternampak pula organ yang sudah lama tidak dikecapinya. Sebelah tangan dilekapkan di situ segera. Sekadar hendak memberitahu, sudah lama rasanya tidak dikepit di situ.

“Tak payah nak pegang-pegang kat situ dah! Ingat comel sangat ke buat muka macam tu? Tak comel pun!”

Zairyl menyeringai tiba-tiba. Sehari suntuk tidak dapat bermanja dengan ibunya, inilah masanya!

“Abang, ambillah anak ni!” gerutu Lyn.

Sebaik sahaja anak kecil itu bertukar tangan, tuala itu terus jatuh melurut ke lantai. Johan mengekek ketawa melihat Lyn menggelinjang tidak tentu arah mahu mendapatkan semula tualanya.

“Baru seorang anak lelaki, habis tertanggal kain aku! Kalau anak 5 tak tahulah apa jadi,” bebel Lyn geram dengan keletah anak kecilnya.

Johan ketawa lagi sebelum dia mengucup pipi anak itu.

“Nakal betul hero daddy ni. Sampai tercabut tuala mummy. Tadi kencing kat mummy,” ucap Johan mesra.

“Tidur sana! Baru tidur kejap dah bangun,” bebel si ibu.

Setelah selesai berpakaian, anak kecil itu kembali diambilnya dari dukungan Johan. Tiba masa menidurkan anaknya semula.

“Tadi tu acah aja konon dah tidur. Selagi tak dapat berkepit, selagi itulah dia tak puas hati. Tidur cepat, sebelum mummy cubit paha tu!” Lyn meleter. Sebaik sahaja dibaringkan di sebelah wanita kesayangannya, Zairyl terus menyembamkan wajahnya ke tubuh wanita itu. Syahdu rasanya dapat dikepit oleh sang ibu.

Johan melabuhkan tubuhnya dekat dengan anak dan isterinya.

“Biar daddy pulak peluk ya?” usik Johan. Tangan anak kecilnya ditarik. Namun Zairyl lekas-lekas menepis. Tidak mahu berjauhan daripada ibunya sama sekali!

“Yalah. Tidur lekas. Mummy pun nak tidur jugak,” bisik Lyn sambil kepala anaknya diusap penuh kasih sayang.

Buat seketika tiada perbualan antara mereka. Bimbang suara mereka menarik perhatian anak kecil itu.

Johan mula mendekatkan diri ke arah anak dan isterinya. Zairyl tiba-tiba menoleh sebaik sahaja terasa sang daddy menghimpitnya. Tatkala tangan Johan mahu memaut pinggang Lyn, tangannya ditolak si anak, seolah-olah tidak membenarkan sesiapa memeluk ibunya melainkan dia seorang sahaja.

“Tengok tu? Daddy pun nak peluk mummy,” tegur Johan.

“Abang tu mulalah nak menyakat. Karang dia tak mahu tidur, abang berjaga dengan dia. Lyn nak tidur.”

Johan ketawa kecil. Masih tidak puas melayan keletah anak lelakinya.

“Peluklah daddy sama. Asyik peluk mummy aja,” bisik Johan sambil menarik anak itu kepadanya.

Zairyl merengek tidak senang. Tangannya ditarik semula daripada pegangan daddynya. Tubuh ibunya dipeluk erat-erat tanda tidak mahu berkongsi wanita ini dengan sesiapa. 

“Yalah…. yalah… tidur lekas,” Punggung anak itu ditepuk lembut. Dengan harapan, lekaslah si kecil ini tidur.

Berkali-kali ditepuk, didodoi barulah Zairyl lena. Panjang nafas yang dihela Johan tanda kelegaan yang teramat sangat. Masa dia pula untuk membelek isterinya.

Johan memerhatikan isterinya memindahkan anak ke dalam baby cot. Seterusnya wanita itu kembali semula ke katil.

“Tak tidur lagi?”

“Belum,” jawab Johan dengan senyum manis. Senyum ada makna!

Lyn menepuk bantal sebelum berbaring. Namun matanya membesar tatkala sang suami pula menghimpitnya.

“Tadi anak, ni daddynya pulak minta didodoi! Tak reti nak tidur sendiri agaknya.”

Johan ketawa kecil sebelum wanita itu dipeluknya. Mula sudah mood hendak bermanja-manja dan memanjakan. Walaupun keletihan, kehendak lelaki itu dilayani juga. Berkobar-kobar si Johan melaksanakan upacara membuat anak.

Sesudah itu, wanita itu dipeluknya erat. Sesuatu yang sudah lama tidak berlaku. Kini dia sudah tahu, wanita tidak inginkan emas permata sebagai tanda sayang. Tidak semestinya. Asalkan mereka tidak dilayani seperti objek pemuas nafsu semata, isteri pasti terasa bahagia.

Susahkah mencari bahagia? Tidak susah jika manusia itu tidak menganggap yang ringan itu hanyalah ringan.

Anak-anak kerap mengadu bosan di rumah. Kononnya keadaan tidak sama seperti mana rumah lama mereka. Tiada sebarang aktiviti hendak dibuat oleh mereka tiga beradik di rumah. Sepanjang hari cuti, mereka hanya berkurung di rumah. Belajar dan menonton TV. Itu sahaja. Dani dan Dina kerap meminta untuk membela kucing. Sampai naik pening sang ibu jadinya.

Johan mula terfikir hendak mengerjakan rancangan tertentu. Kedudukan rumah yang didiami isterinya itu agak unik. Pada bahagian halaman belakangnya betul-betul berada di cerun yang dipasak dengan konkrit. Halaman berpagar itu hanya kosong selain daripada rumput yang tebal menghijau. Kawasan itu sangat menarik jika dijadikan taman riadah untuk anak-anaknya.

“Daddy nak buat apa ni?” Dua beradik itu mula sibuk menemu ramah si daddy ketika Johan rancak membuat kerja pertukangan.

“Cage untuk kucing. Kan Dani kata nak kucing?”

“Alah…. tapi nanti mummy marah. Nanti mummy suruh buang kucing itu.”

“Hesy! Takkanlah mummy nak buang? Kesianlah dia,” ujar Johan lembut.

“Ya…. mummy kata nanti kucing berak, siapa nak cuci!” ucap Dina perlahan.

“Ha… Dina dengan Danilah yang kena cuci. Sehari sekali, kena buang kucing punya poo-poo. Takkan semua mummy nak buat? Mummy nak basuh adik punya poo-poo lagi… Ajar kucing poo-poo kat pasir tau. Kalau sayang kucing, kita kena jaga dia. Bagi makan…. bagi dia bersih selalu. Bila kucing bersih, dia jadi sihat,” jelas Johan sambil sibuk mengukir kayu-kayu yang ada.

Dani dan Dina mengangguk serentak.

“Daddy buat sangkar kat sini, ada jalan pergi ke rumah. Nanti kucing boleh masuk ke rumah dari sini. Bila malam, Dani dengan Dina masukkan kucing ke sini tau.”

“Yeay!”

Seharian Johan mengerjakan sangkar itu. Masih banyak yang belum siap. Terlihat isterinya sedang bercekak pinggang memandangnya dari dalam rumah. Lelaki itu tetap terus mengerjakan tugasnya biarpun sedar isterinya memandang dengan pandangan tidak puas hati. Sudahnya Lyn keluar mendapatkan suaminya itu.

“Abang tak ada bincang dengan Lyn pun sebelum buat semua ni,” ujar Lyn.

“Abang buat untuk anak-anak kita,” jawab Johan perlahan.

“Tambah lagi kerja kat rumah ni.”

“Sebab tu kita kongsi segalanya, Lyn.” Johan menjawab selamba.

Lyn mendengus tidak senang.

“Abang rasa Lyn pun suka kucing, kan?”

“Suka, tapi tak kuasa nak bela dalam keadaan macam ni. Siapa nak jaga? Anak-anak abang, tahu peluk aja. Anak lelaki abang tu kalau tak buat sepah memang tak sah,” balas Lyn.

“Kita ajarlah anak-anak buat apa yang perlu. Dani dan Dina dah besar. Kena pandai buat kerja rumah.”

“So, where is the kitten?” tanya Lyn lagi.

“Nanti Ary bawakan,” balas Johan sambil jaring dinaikkan pada bahagian tepi sangkar itu. 

“Kenapa Lyn rasa sangkar ini besar sangat?” tanya Lyn sambil membantu Johan memegang jaring itu, sementara lelaki itu memaku setiap penjuru untuk melekatkan jaring itu ke rangka utama.

“Besarlah okey. Ada tempat nak poo-poo, tempat main.”

Petang itu Ariana tiba di rumah itu bersama satu sangkar besar. Terlopong Lyn melihat 3 ekor anak kucing bersama si ibu dan si bapa yang dibawa oleh adik iparnya itu. Memang comel dan gebu. Tetapi kenapa terlalu banyak?

“Banyaknya, sampai 5 ekor! Siapa nak bela ni???” tukas Lyn tidak puas hati.

“Tak tahu. Tanya Abang Johan.”

“Siapa punya idea ni?” tanya Lyn mula geram dengan suaminya.

“Your husband itulah. Ni kucing kawan dia. Kawan dia nak fly ke China. So, dia minta adopt kucing ni,” jawab Ariana lantas ketawa kecil.

“Satu famili?”

“Satu famili. Sepasang jantan betina. Yang kecik tu anak-anak dia. Kawan dia bagi free, tapi dengan syarat kena adopt semua sekali. Sebelum ni Abang Johan ada tanya anak kucing kat kedai. Harga ribu riban. Tak jadi dia nak beli.” Ariana ketawa kecil.

Lyn memandang ke arah lelaki seorang itu. ‘Sedap aja dia ambil kucing orang letak di rumah ni!’

“Jangan risau, kucing ni semua toilet trained,” ucap Ariana lantas menepuk bahu kakak iparnya. Sedar yang anak-anak buahnya semuanya sukakan haiwan. Termasuklah Zairyl; seperti mana saat ini, kucing itu dicekiknya lalu dibawa ke mana sahaja. Kononnya macam sedang mendukung kucing.

“Matilah kucing tu, nak oi! Hadoi… macam ni nak bela kucing? Alamatnya pendeklah nyawa kucing tu,” gerutu Lyn mula pening dengan gelagat anak-anaknya. Segera dia mendapatkan kucing itu daripada anaknya.

“Awak tu kecik lagi. Kucing ni besar daripada awak. Hee… tak tenteram ke hidup tu kalau tak bagi mummy ni pening? Like father like son betullah!” Lyn berleter sambil kucing itu dimasukkan semula ke dalam sangkar.

Oleh kerana sangkar yang dibuat si daddy belum siap, terpaksalah haiwan itu dibiarkan di dalam rumah. Anak-anak memang cukup suka dengan kehadiran haiwan itu. Riang melihat anak-anak kucing itu berkeliaran di dalam rumah. Sudah pandai menyesuaikan diri.

“Ha….barulah ceria sikit rumah bila dah ada pets,” ucap Johan setelah selesai kerjanya.

“Dani…. Dina…. letak kucing tu kat luar,” suruh Lyn kepada anak-anak perempuannya. Segera dia mencari anak lelakinya. Zairyl sedang duduk mengerjakan beg tangan si ibu.

“Mandi jom, sayang?” ajak Lyn kepada anak kecilnya.

Zairyl menoleh sebelum dia mengangkat tangan lalu digoyangkan tanda tidak mahu. Sibuk benar nampaknya tu!

“Mandi lekas. Tak tahu apa dah rupa apa dengan bulu kucing kat muka. Hee… anak…anak!” gerutu Lyn lantas mencapai beg tangannya sebelum anaknya didukung. Tetapi beg tangannya terasa berat.

“Apa Aril letak dalam beg mummy ni?” Zairyl kembali diletakkan ke atas karpet. Pantas Lyn membuka zip beg tangan. Terkedu dia melihat isi di dalamnya. Anak kucing! Serta merta anak kucing itu melompat keluar.

Zairyl mula berleter marahkan si ibu kerana membiarkan kucing itu keluar dari beg itu.

“Alamatnya matilah kucing ni nanti. Sabar ajalah. Jangan esok aku sampai kat ofis, ada kucing dalam handbag aku dahlah,” ucap Lyn sambil mengurut dada dengan perbuatan anak lelakinya itu.

Kata orang, haiwan belaan terapi yang baik untuk mengelakkan stres. Tetapi Lyn bertambah stres apabila anak lelakinya asyik hendak membelek kucing, sehinggakan ke malam. Masalahnya, haiwan itu sudah mula takut dengan anak kecilnya itu.

“Abang, tengoklah anak abang ni. Lyn dah penat dah ni. Dah malam pun dia sibuk gentel kucing lagi,” keluh Lyn.

“Hero daddy ni bila nak tidur?” tegur Johan. Anak lelakinya segera diangkat untuk dibawa naik ke tingkat atas. Tetapi Zairyl meraung tidak rela.

“Sudah! Sudah! Kucing nak tidur. Aril pun kena tidur. Esok pulak main kucing,” pujuk Johan.

Pada mulanya Zairyl tetap berkeras mahu kehendaknya dituruti. Namun kemudian dia terlena dengan sendirinya di tengah katil ibu bapanya.

Lyn dan Johan turun semula ke bawah setelah anak-anak lena di kamar masing-masing. Tanpa anak-anaknya, Lyn pula sibuk membelek kucing itu.

“Macam tak suka. Tapi suka,” tegur Johan kepada isterinya.

“Siapa cakap tak suka?” balas Lyn selamba. Kucing itu dibawa ke sofa lalu diletakkan di atas ribaannya.

“Jangan nanti sampai abang pun terabai dahlah,” ucap Johan lantas meraih bahu sang isteri.

Lyn mula mengerling suaminya.

“Anak-anak dara abang dah boleh diharap, bolehlah bela kucing. Kalau tidak, jangan haraplah.”

“Nanti kita ajarlah Dani dan Dina bersihkan sangkar kucing seminggu sekali. Hari-hari beri makan dan bersihkan tempat poo-poo dia. Itu lebih baik daripada anak-anak kita duduk tengok TV aja,” ucap Johan sambil memandang kucing itu. Elok duduk di atas ribaan isterinya sambil diusap-usap oleh Lyn.

“Tengok? Kucing pun suka mummy. Abang dah buatkan pintu, nanti dia pandailah keluar masuk sendiri.”

Lyn tersenyum sambil memandang kucing itu. Ada benar kata suaminya. Melalui haiwan ini mereka boleh mengerah anak-anak agar jadi ringan tulang. Belajar buat kerja yang wajib dibuat. Sekaligus mendisiplinkan mereka. Indahnya hidup jika mereka bijak mengaturkannya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan