Sabtu, 1 Oktober 2016

Curangla Lagi Part 23

 Mesyuarat ketua jabatan.

Duduk berjam-jam menghadap mesyuarat, Johan sudah mula menguap. Mendengar aduan itu dan ini, usul itu dan ini. Tiba-tiba ada getaran di poket seluarnya. Lelaki itu mengangkat punggung sedikit untuk mengambil telefonnya dari dalam poket seluar. Di skrin dia terlihat satu nombor asing.

‘Siapa ni?’ bisik hati Johan. Sudahnya dia menjawab juga.

“Abang…” Terus kedengaran suara Syiha dengan nada penuh sendu.

Terkejut Johan.

“Ada apa call I?” balas Johan hairan.

“Syiha nak minta tolong. Syiha kena jamin adik Syiha kat penjara. Kena bayar 5 ribu. Tolonglah Syiha, abang,” rayu Syiha mendayu-dayu.

“Kenapa pulak I yang kena tolong dia? Dia yang hisap dadah, siapa suruh?”

“Abang, takkan abang langsung tak kesiankan Syiha?”

“I tengah meeting ni. Nanti I whatsapp address, you pergi sana. Minta duit tu. Kata pada orang kat sana, I yang suruh minta.”

“Betul ke ni, bang?”

“Ya. Tunggu kejap.” Johan terus mematikan talian. Kemudian dia memandang kakitangan di sebelahnya.

“Buka Google sekejap. Tolong carikan Insath address,” bisik Johan.

Munirah sekadar mengangguk sambil mencapai telefonnya. Setelah beberapa ketika membuat pelayaran Internet, dia memberikan telefonnya kepada Johan. Bukan main tekun lagi Johan menaip alamat itu.

                         Bangunan Zakat Selangor

                         3-01-1, Presint ALAMi,

                         Pusat Perniagaan Worldwide 2,

                         Persiaran Akuatik, Seksyen 13,

                            40100 Shah Alam


Alamat itu segera dikirimkan kepada nombor yang digunakan Syiha tadi. Munirah tunduk menahan gelak. Macam tahu kepada siapa bosnya memberikan alamat itu.

Usai waktu mesyuarat, Johan bingkas bangun untuk kembali ke biliknya. Munirah pula singgah di pantri. Sebelum masuk, terlihat dua tiga orang kakitangan sedang berdiri membuat air. Dan dia juga turut terdengar bicara mereka.

“Lelaki bila ada duit mulalah curang. Samalah macam orang tu. Ada bini cantik pun tak tahu bersyukur. Sekarang padan muka. Kalau akulah…. memang aku tak layan.”

“Betul. Lelaki ini kalau curang sekali akan curang lagi. Encik Johan tu dulu, sanggup berhabis untuk perempuan tu dengarnya. Sampai berpisah suami isteri. Lelaki macam tu jangan diberi muka.”

Perbualan itu lenyap setelah Munirah masuk. Munirah senyum lembut.

“Membawang ke?” tegur Munirah.

“Eh, taklah!” Tersipu-sipu mereka. Kalut entah kenapa.

“Macamlah kita ni suci dalam debu sangat, kan? Tak ada dosa curang langsung. Allah beri rezeki, beri kita macam-macam…. suruh jaga mulut jangan membawang, jangan bertabaruj pun kita tak nak dengar. Allah suruh kita cintakan Allah lebih daripada hal dunia pun kita tak mahu dengar. Kalau nak ikutkan, wanita ni lebih banyak curang kepada suami. Allah suruh tutup aurat kecuali yang zahir sahaja kerana kecantikan tubuh badan hanyalah untuk suami. Tetapi ingkar atas alasan fitrah wanita inginkan perhatian. Bentuk tubuh badan ditelanjangkan oleh setiap pandangan mata lelaki lain. Tidak dapat kita bariskan siapa yang mendapat faedahnya. Lelaki curang secara zahir, wanita curang pada suami secara halus. Maka, elok tak diberi muka kita ni? Kita pun sama saja.”

Senyap! Seterusnya mereka berlalu dari situ.

Munirah menggeleng kesal. Sebagai orang yang paling dekat bekerja dengan Johan, dia tidak suka membawa mulut tentang hal yang tidak perlu. Menjawab apa yang ditanya saja. Itu pun kepada majikannya.

Tetapi sesetengah cerita yang didengari daripada orang sekeliling sudah ditokok tambah. Orang sekeliling suka menjadi batu api mendoakan pasangan suami isteri itu segera bercerai. Ada yang konon berlagak lebih daripada tahu hal rumah tangga orang. Bukankah semua perbuatan itu Allah larang?

Dua wanita itu kembali membawang setelah keluar dari situ.

“Hmm… baik punya back-up. Ada hati pada bos  sendirilah tu. Maklumlah…. anak dara tua.” Dua perempuan itu ketawa serentak.

Sehari dua ini hati selalu berasa serba tidak kena. Sakit tanpa sebab. Setiap apa yang ada di hadapan matanya tidak juga menghembirakan. Orang yang paling sedap menjadi tempat melepaskan kemarahan sudah tentulah Johan. Lesen besar untuk menyeksa hati suami sudah ada di tangan. Maka, digunakan sebaik-baiknya.

Ketika lelaki itu melayan anak-anak, Lyn ke sana dan ke mari. Mengutip sepah yang dibuat anak-anaknya. Tanpa secubit senyum, bakul mainan anak-anaknya sengaja dihempas kasar.

Johan memandang isterinya berkali-kali. Dani dan Dina masih ralit dengan antiviti menulis di buku. Seterusnya Lyn berlalu untuk naik ke bilik dengan muka yang ketat. Johan hanya memandang denga rasa tidak sedap hati. Cuba mencari apa yang membuatkan isterinya tertekan.

‘Agaknya dia penat,’ bisik hati Johan.

Johan kembali melayan anak-anaknya. Zairyl sibuk mahu mengambil pensel si kakak.

“Jangan…. tajam ni,” tegur Johan lantas menjauhkan pensel itu daripada anak kecilnya.

Bum!!!

Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu dihempas di tingkat atas. Semua terkejut mendengar bunyi itu.

Johan segera bangun. Dua anaknya itu juga mahu ikut naik.

“Duduk situ.”

Bibik Sutinah keluar daripada kamarnya tanpa sempat menanggalkan telekung.

“Waduh… apa-apaan tuh?”

“Pegang dia sekejap, Bik.”

Bibik Sutinah segera mengambil Zairyl daripada Johan. Pantas Johan mendaki tangga untuk naik ke tingkat atas. Pintu bilik isterinya sudah tertutup.

“Lyn?” panggil Johan. Cuba membuka pintu itu namun gagal. Berkunci.

“Buka, sayang. Abang kat sini. Nak marah abang, ni abang dah ada.”

Spontan pintu bilik itu terbuka dari dalam. Johan masuk lalu pintu ditutupnya.

“Janganlah buat macam ni depan anak-anak. Terkejutlah budak-budak tu. Nak marah, marah abang. Abang ni dah ada depan Lyn ni. Tak apa, abang dengar apa aja yang Lyn nak cakap.”

“You buat apa pun keadaan hati I ni takkan kembali semula macam dulu. You boleh buat macam tiada apa-apa berlaku. Macam tak bersalah.”

“Tapi abang akan usaha semampu abang. Ikut cara abang. Lyn tak boleh arah-arah abang kena buat begini, kena buat begitu sampai Lyn puas hati. Abang tak pandai teka. Mana yang abang boleh sabar, abang sabar. Bila abang dah tak mampu sabar, abang jauhkan diri. Sebab abang tak mahu nanti kemarahan abang ni buat keadaan jadi makin buruk,” balas Johan.

“You memang jenis suami yang tak faham. Tak peduli!”

“Kalau abang tak peduli, abang tak datang sini. Tapi bila abang datang, muka masam. Abang tegur tak mahu jawab. Lyn nak abang buat apa? Cakap terus terang supaya abang faham,” ujar Johan lalu mendekati isterinya. Bahu wanita itu cuba disentuhnya, namun Lyn menepis. Berkali-kali dia mencuba mendapatkan isterinya, hanya tepisan kasar menjadi hadiah.

Ketika Lyn cuba menjauhinya, Johan segera mencekup pergelangan tangan isterinya lalu wanita itu dipeluknya erat. Tanpa dapat ditahan Lyn menangis dalam pelukan lelaki itu.

“Abang sayang isteri abang. Bila Lyn macam ni, abang risau, sayang. Tuhan aja yang tahu apa yang ada dalam hati abang ni,” luah Johan saat isterinya itu menangis. Dia tahu, marah tanpa sebab ini fasa-fasa biasa yang akan dilalui isterinya. Kerana hatinya sunyi. Hatinya merindui dirinya yang dahulu, ketika belum menikmati kelukaan itu.

“Abang nak Lyn rehat. Budak-budak biar kat bawah,” ucap Johan setelah puas isterinya itu menangis. Wanita itu didudukkan di birai katil. Seluruh raut sang isteri diusapnya dengan penuh kasih sayang.

“Abang bawa pergi jalan-jalan ya? Tinggal anak-anak dengan daddy.”

Lyn menggeleng sambil menyeka air mata.

“I tak nak apa-apa daripada you lagi! I nak hidup sendiri! I dah tak tahan lagi dengan semua ni. I dah penat!”

“Lyn, semua yang abang buat tu tanda abang masih terlalu sayangkan Lyn. Abang tak mampu ubah masa lalu. Abang berusaha demi masa depan kita. Itu kemampuan yang Allah beri pada abang. Mintalah apa saja pada abang, abang akan usahakan. Tapi jangan minta sesuatu yang abang tak mampu beri. Abang pun terseksa, Lyn. Abang kesiankan anak-anak.”

“You yang buat keadaan jadi macam ni. Sekarang tanggunglah akibatnya. Dulu masa buat tak ingat anak-anak pun. Sekarang baru nak tunjuk baik! Sebanyak mana kebaikan yang you beri takkan mampu kembalikan semula hati I ni pada you!”

Johan berdiam sambil melabuhkan duduk di birai katil.

“Ke sana sini dengan perempuan tu. I jadi tunggul menunggu kat rumah. Berhabis demi perempuan tu. Pandang muka you pun I dah tak sanggup, inikan pulak nak beri peluang lagi!” ucap Lyn tajam.

Johan diam lagi. Sekadar mahu memberi peluang kepada Lyn meluahkan bicara. Manusia itu apabila menyimpan, dia berada sakit. Tetapi apabila mendapat peluang meluahkan, dia akan memindah kesakitan itu melalui kata-katanya; sehingga sang suami tunduk menahan sugul mendengar maruahnya ditelanjangkan melalui kata-kata yang berbisa.

Setengah jam menjadi sejam. Sejam bertambah lagi sejam. Setiap bicara isterinya tidak dapat dibalas Johan. Dia buntu. Otaknya seperti telah tersekat. Diri seperti telah terperosok menjadi kerdil. Masa inilah yang paling baik untuk dia menjadi pelakon lelaki terbaik, melakonkan watak orang yang tidak punya perasaan. 

Wanita, kadangkala bercakap apa yang tidak mampu dia buat.

“I dah tak boleh terima you lagi. Setiap kali I pandang you, hati I ni makin sakit! I nak hidup sendiri!”

Sayangnya, ketika suaminya berdiam, dia bertanya-tanya sendiri. Dia rasa dibiarkan.

“Selama hidup bersama, you tak pernah beri I apa-apa! Itu pun nak kena tunggu I cakap. Dengan perempuan tu, pandai pula. Sepanjang hidup dengan you, tak ada apa yang you berikan pada I!”

Wanita itu juga kadangkala tidak melihat bakti suaminya yang kecil-kecil. Hadiah pemberian suaminya jadi tidak berguna saja setelah dia berada sakit.

“You fikir apa yang you buat, hati I ni akan kembali semula macam dulu? Hati I ni sakit sangat-sangat! I benci tengok muka you!”

Lyn mengingati setiap detik dia disakiti tetapi lupa pula tika dia mencela suaminya. Sedangkan perintah Allah supaya tetaplah taat kepada suami selagi suami berbuat baik. Namun tidak jejak lagi dalam fikiran semua itu.

“Wahai wanita, jika anda tidak mampu merubah fitrah yang ada pada wanita, lalu bagaimana dapat merubah fitrah yang ada pada suamimu?’

Dia sudah tidak berdaya mendengar. Ketika fikirannya sudah tidak mampu untuk disumbat dengan setiap bilah bicara Lyn, tiba-tiba Johan mengangkat punggung lalu berlalu ke pintu untuk keluar. Akibat perbuatannya itu, Lyn menghempas pintu. Dentuman kuat itu tidak langsung mengejutkan Johan.

Di bawah, semua mata memandang ke arah Johan.

“Pak,” tegur Bibik Sutinah.

Johan hanya menoleh tanpa menjawab. Fikirannya kosong. Yang ada hanyalah ulang suara setiap bicara isterinya. Seperti pita rakaman yang tidak mampu berhenti.

“Youlah lelaki paling tak guna yang pernah I jumpa. Tak hidup dengan lelaki macam  you ni pun tak rugilah!’

Kata-kata itu berulang siar di telinganya berkali-kali. Kesedihan entah hilang ke mana. Dia memandang anak-anaknya, terasa seperti berada di jalan mati. Johan berdiri di tepi meja makan, memandang ke jendela terdekat dengannya agar dia kembali normal. Terapi tidak berjaya.

Lelaki itu menarik nafas agar dia kembali berdaya. Masih juga gagal. Tanpa sedar dia mengeluarkan telefon bimbit, dompet, kunci kereta serta kunci kediamannya lalu diletakkan di atas meja itu.

“Pak, mahu ke mana?” tanya Bibik Sutinah.

“Saya nak ambil angin sekejap di luar,” ucap Johan perlahan.

Wanita itu memerhatikan Johan dengan rasa gusar. Lain macam benar dia lihat lelaki itu. 

“Pak, apa-apa pun yang dia lakukan, aku minta kau sabar. Demi anak-anakmu.”

Johan diam. Dia keluar tanpa berkata apa-apa lagi.

‘Ah… mungkin dia ambil angin seperti yang dia bilang,’ bisik hati Bibik Sutinah.

Detik demi detik, minit demi minit; dari siang, malam pun berganti… Johan tidak masuk juga ke rumah. Bibik Sutinah menggaru kepala. Hati risau semacam. Semacam aneh melihat segala barangan yang ditinggalkan Johan di atas meja makan itu. Majikan perempuannya pula masih berkurung di atas.

“Waduh…. ke mana perginya?” ucap Bibik Sutinah. Di atas meja itu Johan meninggalkan kunci rumah, telefon bimbit, dompet dan kunci keretanya. Dan kini, sudah 2 jam lelaki itu keluar. Sedangkan tadi dia cuma berkata mahu mengambil angin di luar.

“Daddy kamu ke mana saja nih, Dani. Risau banget Bibik ni. Mummy kamu itu pun tidak keluar-keluar.”

“Tak tahu,” jawab Dani lantas kembali memandang TV.

Bibik Sutinah mengusap dahi Zairyl yang sedang lena.

“Entah-entah dia kabur…’ bisik hati Bibik Sutinah, mula terfikirkan kemungkinan itu.

“Kamu lihat adik kamu bentar ya? Bibik ke atas dulu nih,” pesan Bibik Sutinah kepada dua anak itu.

“Okey.”

Bibik Sutinah segera mendaki naik ke tingkat atas. Diketuknya pintu bilik tidur Lyn sambil memanggil itu.

Lyn segera membuka pintu biliknya.

“Ibu, aku rasa aneh ni. Bapak Johan… sedari tadi tiada di bawah. Tadi dia bilang mahu ambil angin di luar. Sampai sekarang tiada masuk,” ujar Bibik Sutinah.

“Biarlah dia”

“Ibu… buat seketika, tolong buang amarahmu. Aku fikir dia kabur. Wang, telefon, kunci kereta sama kediamannya ditinggalkan di atas meja.”

Lyn segera keluar dari bilik lalu turun ke bawah. Memang benar apa yang diucapkan Bibik Sutinah. Mulalah hatinya terdetik rasa tidak enak. Lyn berlari menaiki tangga, menukar pakaian sebelum dia turun semula.

“Bik, tolong tengokkan anak-anak saya. Saya pergi cari dia.”

“Yalah…” balas Bibik Sutinah.

Tidak dapat mengeluarkan kereta, Lyn terpaksa menggunakan Kia Cerator milik Johan yang terparkir di luar pagar. Mulalah dia rasa hendak menangis pula. Kereta dilarikan ke rumah lamanya. Di pertengahan jalan, dia terlihat ada kemalangan di laluan motorsikal.

“Abang…” tanpa sedar suaranya terlepas. Kereta dihentikan di tepi jalan. Segera dia berlari untuk melihat gerangan yang terlibat dalam kemalangan itu.

Rupanya bukan! Kemalangan itu melibatkan dua buah motorsikal. Lyn kembali memandu keretanya. Mata asyik meligas ke tepi jalan sambil memandu. Hati risau tidak terperi, mata pula mulalah mahu berkaca-kaca.

Namun takdir Tuhan, menemukan dia dengan susuk seorang lelaki berjalan di bahagian laluan motorsikal. Dia tidak cam gerangan itu kerana agak gelap. Lyn memberhentikan kereta di tepi jalan. Secara tidak langsung, lampu keretanya menyuluh ke arah susuk itu.

Lyn keluar dari kereta lalu berlari ke arah lelaki itu.

“Abang!” jerit Lyn, tidak dapat melintasi laluan motosikal kerana ada motosikal yang sedang dipacu laju.

Lelaki itu terus berjalan tanpa memperdulikan apa-apa.

“Abang, nanti dulu!” Tiba-tiba suara Lyn tenggelam oleh rasa sebak. Memang benar itu suaminya. Lekas-lekas dia melintas jalan lalu berlari ke arah Johan. Lengan lelaki itu ditarik dari arah belakang.

Lelaki itu terkejut apabila dia disentuh orang. Dia memandang kosong seperti tidak kenal siapa yang menyentuhnya itu.

Johan sambung berjalan semula. 

“Abang, jangan buat macam ni!” Wanita itu meraung sebelum lelaki itu ditahannya lagi.

Anehnya lelaki itu seperti orang tidak sedar apa-apa. Reaksinya kosong. Di telinganya masih bermain pita rakaman tadi. Seperti satu mantera yang merasuknya.

“Abang!” Lyn masih cuba menahan tubuh lelaki itu daripada terus berjalan. Wajah Johan dihadapkan kepadanya.

“Abang suami tak guna,” bisik Johan perlahan.

“Lyn minta maaf…” rayu wanita itu. Lelaki itu dipaksanya melintas jalan agar mereka kembali ke kereta. Puas ditariknya lelaki itu. Johan masih seperti orang yang tidak sedarkan diri.

Wanita itu memandu dalam keadaan menangis. Tidak sangka sama sekali suaminya akan berbuat begini akibat perbuatannya tadi. Johan tersandar longlai di tempat duduk di sebelah pemandu. Dia kepenatan. Dua kakinya menggigil kerana sudah hampir 3 jam menapak, menanggung beban tubuhnya tanpa henti.

Lyn memberhentikan kereta di stesen minyak di hadapan. Sebotol air mineral dibelinya sebelum kembali ke kereta. Johan masih seperti tadi. Penutup botol dibuka lalu dia menarik tangan Johan.

Johan menoleh sepantas kilat. 

“Minum, abang.”

Johan memandang air itu sedetik dua. Setelah ditolak oleh sang isteri ke bibirnya, barulah dia tersedar yang air itu perlu diminum. Air itu digogoknya rakus. Bakinya diberikan semula kepada Lyn. Seterusnya dia kembali bersandar, memikirkan apa yang baru berlaku tadi.

Lyn menarik lengan lelaki itu.

“Kita pergi hospital?” ucap Lyn. Risau melihat nafas lelaki itu menderu seolah-olah sedang kepenatan.  

Johan tidak menjawab kerana soalan itu tidak jejak di pendengarannya dalam pada dia masih memikirkan apa yang berlaku. Tiba-tiba dia terasa betapa tidak bermakna dirinya ini. Sedetik kemudian dia berasa amat sedih. Dia tersekat tidak tahu hendak ke mana. Dunia ini terasa amat sempit untuk dia bernafas.

“Abang,” panggil Lyn. Betapa dia berasa amat bersalah saat terpandangkan ada air mata gugur di pipi Johan. Sedarlah dia kini, dia telah berjaya menyakiti lelaki itu. 

“Lyn minta ampun sangat-sangat,” ucap Lyn. Air matanya ikut jatuh. Tidak pernah melihat lelaki itu menjadi kosong begini sekali. Semua ini adalah kerana kata-katanya yang tidak bertapis.

Johan hanya diam sambil memandang sekeliling. Masih layakkah dia memberi maaf kepada wanita ini? Dia tidak tahu.

“Abang, pandang sini.”

Johan membalas pandangan isterinya. Lama. Kala itu dia tersedar inilah wanita yang dicintainya selama ini.

“Lyn?” ucap Johan tiba-tiba.

“Ya…” sambut Lyn dengan deraian air mata. Wajah lelaki itu diusapnya.

“Lyn minta maaf…”

Johan menelan liurnya payah. Jemari yang masih melekap di pipinya diramas lembut. Kembali ke alam nyata, betapa dia merasakan hanya wanita inilah yang dia ingini saat ini. Perlahan dahi wanita itu dikucupnya. Lama sekali.

Rasa bersalah, Lyn menarik lelaki itu lalu dipeluknya. Sungguh, hari ini hari yang terlalu menakutkan. Lebih takut berbanding suaminya keluar mencari wanita lain. Seribu kali lebih takut daripada itu. Kerana…. dia masih sedar, tanpa reda lelaki ini, maka nerakalah tempatnya kemudian nanti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan