Baru saja memulakan kerja di pejabat, Lyn mengalami kekejangan pada bahagian perutnya setelah semenjak pagi tadi dia mengalami rasa tidak selesa di situ.
“Alamak…. kenapa ni?” ucapnya sambil mengusap perut. Malah semenjak semalam organ hadapan tubuhnya terasa nyeri semacam.
Ketika berurusan di tandas, dia terlihat beberapa titis darah sedangkan tarikh seharusnya dia datang bulan masih bersisa beberapa hari lagi. Tidak pernah terjadi sesuatu seperti ini kepadanya. Tetapi rasa nyeri pada bahagian hadapan tubuhnya itu lekas membuatkan dia mengagak yang dia hamil. Apatah lagi semenjak pagi tadi kerap benar dia hendak ke tandas.
Setelah kembali ke mejanya, Lyn mencapai telefon. Namun telefon itu diletakkan semula.
‘Kalau aku tak pregnant, sia-sia aku beri harapan pada dia,’ bisik hati Lyn. Sudahnya dia memutuskan untuk membuat pengesahan sendiri terlebih dahulu sebelum memberitahu Johan tentang itu.
Ketika waktu makan tengah hari, suasana jadi agak sibuk di hadapan lif. Salah sebuah lif tidak dapat digunakan kerana ada kerja-kerja pengubahsuaian sedang dijalankan di situ. Lyn memilih untuk menunggu di pejabat sehinggalah kawasan itu tidak sesak. Lagipun suaminya entah di mana.
Tidak lama kemudian, Johan muncul di bilik kerja isterinya. Dia terpandangkan isterinya tertunduk-tunduk memegang perut.
“Kenapa ni, sayang?”
“Entahlah. Perut ni dah dua kali cramp,” luah Lyn.
“Sakit?”
“Tak selesa.”
Johan berdiri memerhatikan isterinya. Tidak tahu apa yang hendak dibuat untuk meredakan keadaan itu.
“Macam mana boleh cramp? Selalu ke jadi macam ni?” tanya Johan lantas bercangkung di tepi kerusi isterinya.
Lyn tidak terus menjawab. Puas diusap-usap perutnya agar ketegangan itu reda segera. Sekarang dia yakin ini tanda kehamilan.
“Pregnant kut,” ucap Lyn lantas memandang Johan.
“Really?” Mula membesar kelopak mata sang suami.
“Lyn agak aja. Lyn belum period lagi.”
Johan memandang isterinya dengan riak teruja. Kalau benar, syukurlah!
“Nak pergi klinik?”
“Lyn nak makan dulu. Perut ni macam masuk angin. Tak selesa,” jawab Lyn perlahan. Dia boleh memeriksa sendiri di rumah nanti. Tidak perlu sampai ke klinik.
“Ramai staf kat depan lif tu.”
Lyn mendecit sedikit. Dia tidak suka berebut. Sesak kepalanya melihat kawasan hadapan lif itu yang penuh dengan barang-barang pembinaan. Bunyi juga agak bising semenjak tadi.
“Tunggulah kejap. Malas nak berebut kat situ.”
“Abang belikan makanan dari bawah. Kita makan kat atas nak?” cadang Johan.
“Tak payahlah. Lambat nanti.”
Berkali-kali Johan menjengah. Kelihatan laluan ke biliknya sudah lengang. Bermakna ruangan hadapan lif itu sudah tidak sesesak tadi.
“Jom? Dah tak ramai,” ajak Johan segera.
Tetapi ketika mereka sampai di situ, masih ada kakitangan sedang menunggu lif. Mereka yang paling belakang. Secara tidak sengaja, Johan ternampak kelibat Syiha berada betul-betul di hadapan pintu lif.
Macam magnet, gadis itu menoleh ke belakang. Ternampak Johan sedang bersandar di dinding sambil menyeluk poket. Isterinya pula berdiri di dalam ruangan pejabat sambil memandang telefon bimbit. Saat pandangan mereka bersatu, pantas Johan membalikkan kedudukannya menghadap sang isteri.
Syiha mendongkol sakit hati. Teringat peristiwa di KLIA tempoh hari. Sakit hatinya masih bersisa. Sedap-sedap saja Johan membawa wanita itu pergi berbulan madu. Dia tidak dipedulikan!
Setelah lif terbuka, Syiha ikut tertolak masuk ke dalam lif. Lega hati Johan apabila gadis itu sudah hilang dari pandangan mata. Segera dia mengajak isterinya menanti di hadapan lif.
“Dia ada tadi ya?” ucap Lyn kepada suaminya.
“Ada.” Johan membalas perlahan.
“Setia betul dia pada abang. Masih tak mahu mengalah.”
Johan hanya diam. Masih ada beberapa orang lagi di situ masih menunggu lif selain pekerja kontraktor masih sibuk dengan tugas mereka. Johan sempat memerhatikan pekerja-pekerja itu memotong kabel. Suasana mula bingit oleh mesin pemotong. Salah sebuah lif terbuka, lekas-lekas kakitangan yang masih tinggal masuk. Penuh dan padat!
“Tunggulah. Tinggal kita aja pun,” ujar Lyn. Enggan masuk ke kotak lif dalam keadaan berhimpit-himpit begitu. Sudahnya pintu lif itu tertutup.
Di bawah lain pula ceritanya. Ketika memeriksa beg tangannya, dia tersedar sesuatu yang kurang. Terlupa dompetnya, Syiha berpatah semula ke lif.
Agak lama menunggu. Hanya dua buah lif yang beroperasi. Namun setelah dia berjaya sampai ke tingkat atas semula, kebetulan terpandangkan Johan dan Lyn sedang menunggu lif untuk turun. Johan ikut terkesan Syiha mahu keluar dari kotak lif itu, serta-merta dia berpaling untuk ke lif sebelah.
“Sini abang.” Lyn mengajak suaminya menggunakan lif yang digunakan oleh Syiha.
“Sinilah,” balas Johan tanpa memandang ke arah kotak lif yang masih terbuka itu.
Betapa sakitnya hati Syiha. Johan seolah-olah jijik mahu berada dekat dengannya.
Ketika sepasang suami isteri itu memandang ke arah lain, dia menolak beberapa batang besi yang tersandar di dinding dan bergegas pergi. Pekerja kontraktor yang sedang membuat kerja menoleh.
“Eh! Eh! Besi tu!” teriak salah seorangnya.
Serta-merta Johan menoleh ke belakang. Tiga batang besi itu mula menyenget lalu tumbang ke arah isterinya. Tidak sempat menahan, dia hanya mampu menarik tangan Lyn. Sudahnya batang besi itu tertimpa mereka berdua. Tetapi yang paling tepat terkena sudah tentulah Johan. Batang besi itu tepat menghentam kepalanya.
“Oh my god…. abang!” Bola mata Lyn terbeliak luas apabila melihat darah turun laju di pipi suaminya.
Kelam-kabut pekerja kontrak itu mengangkat semula batang besi itu. Sambil duduk di lantai, Johan tergeleng-geleng beberapa kali. Kepalanya sakit yang teramat sangat. Matanya menjadi kabur. Dia hanya terlihat darah sudah banyak di kemejanya. Perlahan-lahan kesedarannya mula menurun.
“Abang! Abang!” Kelam-kabut Lyn menjerit saat lelaki itu rebah tiba-tiba.
“Allahuakbar! Encik!” Beberapa orang pekerja kontrak itu ikut kalut melihat keadaan Johan. Tubuh itu longlai di atas ribaan isterinya.
“Saya call ambulans!” putus salah seorang lelaki itu.
“Abang! Jangan takutkan Lyn macam ni. Bangun, abang!” Tidak putus asa Lyn cuba mengejutkan lelaki itu. Dia terasa mahu menangis. Takut yang teramat sangat.
Lelaki-lelaki itu membantu membaringkan Johan di lantai. Lyn hanya terfikir hendak memanggil kakak iparnya. Dalam keadaan dirinya juga tercedera dan tangan yang berlumuran darah, dia menyentuh juga skrin telefon bimbitnya, menghubungi Adrean.
Syiha terkejut melihat Johan terbaring di lantai ketika dia kembali semula di situ. Dia terkaku. Keadaan jadi kecoh apabila Adrean dan Ariana naik semula ke tingkat itu untuk melihat apa yang berlaku. Namun, tiada siapa perasan si pelakunya turut berada di situ memerhatikan keadaan Johan sehingga lelaki itu bersama isterinya dibawa pergi oleh ambulans.
“Apa jadi tadi?” tanya Adrean kepada pekerja-pekerja di situ.
“Kami tak nampak. Besi tu saya letak di tepi lif tadi. Sandar di situ. Sini dah tak muat. Tiba-tiba jatuh.”
Adrean memerhatikan keadaan sekeliling.
“You sandar kat sini?” tanya Adrean lantas menuding ke arah tempat besi itu berada tadi.
“Ya. Tak tahu macam mana boleh jatuh. Saya dah ikat besi tu. Semua sekali jatuh. Besi tu berat. Bukan senang boleh jatuh.”
“Siapa ada selain dia orang berdua,”
“Saya tak perasan. Rasanya ada orang keluar dari lif tadi. Tak nampak siapa. Kami tengah sibuk kat sini,” balas lelaki selaku penyelia di situ.
“Siapkan kerja cepat. Pastikan keselamatan di sini,” balas Adrean sebelum dia memandang adiknya.
“Panggil ketua sekuriti. Kak long ada hal nak bincang.”
“Sekarang?” balas Ariana. Sekarang masih waktu makan tengah hari.
“Ya! Kak long nak tengok CCTV,” jawab Adrean sebelum dia berlalu ke biliknya.
Senyap sunyi Syiha, khusyuk membuat kerja walaupun ramai orang masih bercerita tentang apa yang menimpa Johan. Masih belum ada berita tentang keadaan lelaki itu, tetapi dalam diam dia benar-benar takut.
“Syiha,” panggil Hanim.
“Ya.” Spontan Syiha memandang ke arah penyelianya itu.
“Cik Ariana panggil awak,” tegur Hanim.
“Hah? Ada apa?” tanya Syiha mula cuak.
“Tak tahu. Pergi cepat,” suruh Hanim.
Syiha bangkit juga walaupun hati berasa tidak sedap. Apabila difikirkan, tiada sebab orang akan menuduhnya. Semua itu sekadar kemalangan biasa.
Di hadapan bilik Ariana, gadis itu segera meminta Syiha mengikutnya.
“Kita nak ke mana?”
“Tan Sri nak jumpa you,” jawab Ariana.
“Kenapa?”
Namun, Ariana hanya diam.
Ketika mendekati bilik mesyuarat, Syiha terpandangkan seorang lelaki tua sedang duduk di kerusi pengarah urusan sambil memandang laptop di atas meja itu. Adrean pula sedang berdiri di samping lelaki tua itu sambil berkata sesuatu sambil menuding ke arah skrin. Juga ada beberapa orang pengawal keselamatan di situ. Syiha makin tidak sedap hati.
“Come,” ajak Ariana lantas masuk.
“Tutup pintu,” arah Tan Sri Muzhaffar kepada anak bongsunya itu.
“Duduk sini,” katanya kepada Syiha pula.
Menggigil lutut Syiha saat dia diminta duduk di kerusi dekat dengan lelaki itu.
“Duduk,” arah Tan Sri Muzhaffar lagi. Matanya memandang gadis itu dari atas ke bawah. Setelah Syiha duduk, dia memusingkan laptop itu ke arah Syiha.
“Tengok,” arah lelaki tua itu dengan pandangan mata tepat kepada Syiha.
Spontan Syiha menekup wajahnya saat terpandang dirinya sedang terlihat dalam rakaman itu.
“Anak saya masih berada di unit kecemasan. Belum sedar lagi. Kamu tahu apa kamu dah buat?” ujar Tan Sri Muzhaffar lagi.
Syiha menggeleng. Dia tidak sangka Johan yang terkena. Dia tidak bermaksud hendak mencederakan lelaki itu. Berderai air matanya. Sesal.
“Kenapa?” tanya Tan Sri Muzhaffar kepada gadis itu.
“Saya tak bermaksud nak buat macam tu pada dia.”
“Tapi jelas you yang tolak besi tu,” Adrean menyampuk. Tidak puas hati dengan jawapan Syiha.
“Dia target Kak Lyn,” ucap Ariana pula.
“Betul ke?” tanya Tan Sri Muzhaffar serius.
Syiha tidak menjawab. Sebaliknya dia menangis agak kuat.
Tan Sri Muzhaffar menghela nafas perlahan. Perbuatan ini sukar untuk diterimanya.
“Panggil polis.”
“Tan Sri, jangan! Saya minta maaf. Saya janji takkan ganggu Johan lagi. Tolong jangan panggil polis! Saya menyesal,” rayu Syiha. Tidak semena-mena dia melutut di tepi lelaki tua itu.
“Maaf? Bukan sesuatu yang senang dimaafkan macam ni. Kalau terjadi apa-apa pada anak saya, macam mana?” jawab Tan Sri Muzhaffar. Tidak terusik hatinya dengan ucapan maaf itu. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu kebimbangannya saat ini. Keadaan Johan masih tidak pasti. Anaknya sempat tersedar seketika semasa dirawat, namun tidak sedarkan diri semula.
“Saya tak sangka keadaan akan jadi macam ni, Tan Sri.”
“Panggil polis. Saya tak boleh terima alasan tu. Awak tak berniat nak cederakan Johan, jadi awak berniat nak cederakan Azlyn ke? Kenapa?”
“Saya cemburukan dia. Dia suka bersaing dengan saya. Sebab dialah Abang Johan dah tak pedulikan saya lagi,” jawab Syiha sambil mengongoi menangis.
Tan Sri Muzhaffar lantas memandang anak sulungnya. Adrean menggeleng tanda tidak mahu melepaskan wanita itu kali ini.
“Panggil polis,” arah Tan Sri Muzhaffar kepada pengawal keselamatan.
“Tan Sri, tolonglah…. saya orang susah.”
“Awak orang susah, tapi awak buat macam ni boleh senang je? Kalau tidak kena pada Johan, kena pada Azlyn. Awak tak terfikir ke apa akan jadi pada anak-anak mereka kalau ada perkara buruk terjadi? Takde! Takde! Saya tak boleh berkompromi lagi dengan perbuatan macam ni,” ujar Tan Sri Muzhaffar serius. Hanya sebab cemburu manusia sanggup hilang akal.
“Saya janji takkan ganggu diaorang lagi, Tan Sri.”
Tan Sri Muzhaffar diam. Telefonnya berbunyi tiba-tiba. Segera dijawabnya.
“Macam mana?” tanya lelaki itu setelah talian disambungkan.
Kepala Syiha terteleng. Jatuh daripada kerusi dan pengsan.
“Ouch!” Lyn tertunduk menahan sakit.
Ironisnya, Tan Sri Muzhaffar dan semua yang ada di dalam bilik itu terpanar melihat apa yang berlaku.
“What the hell???” Mata Adrean terbeliak melihat Syiha tidak bergerak dibuat oleh Lyn.
“Sekarang baru boleh report polis,” ucap Lyn puas hati.
“Kak Lyn, please teach me how to do that. Please… please….” ucap Ariana. Terkejut dan kagum dengan apa yang berlaku. Sedikit pun tidak peduli dengan Syiha yang sedang diberi bantuan oleh pengawal keselamatan.
“Dah lama simpan dendam. Kalau jadi apa-apa pada anak dalam kandungan aku ni, dia kena bertanggungjawab! Nasib baiklah aku tak keguguran!” bebel Lyn seolah-olah Syiha masih mendengar.
“What? You pregnant lagi ke???” tanya Adrean terkejut.
Tan Sri Muzhaffar ternganga memandang menantunya itu. Lyn mula tersengih-sengih sambil memicit bahunya yang sakit.
“Alhamdulillah,” ucap Tan Sri Muzhaffar penuh kesyukuran. Berharap benar hubungan Johan dan Lyn pulih sepenuhnya. Bertambah bilangan cahaya mata, bermakna bertambahlah tanggungjawab yang mesti dipikul.
“Belum. Lyn pun baru tahu tadi, kak long. Tak sempat nak cakap dengan dia. Dia mengadu sakit kepala, mata tak berapa nampak. Doktor beritahu ada dadah beku dalam kepala dia. Tapi doktor jangka darah beku itu akan hilang sendiri. Tak perlu operation sebab tak teruk,” Lyn menjawab lirih. Bimbang benar dia dengan keadaan Johan.
Sejam kemudian, ruangan pejabat itu mula dihadiri oleh kehadiran anggota polis. Syiha menangis tidak berlagu saat tangannya digari untuk dibawa pergi.
Terlajak kereta bolehlah diundur, terlajak perbuatan, CCTV ada sebagai buktinya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan