ZAMAN KEKECEWAAN BAPA
Bermula pada tahun-tahun tujuh puluhan kegemilangan filem Melayu yang diterbitkan oleh Studio Merdeka mulai pudar dan merosot. Keadaan ini disebabkan kerana
saingan hebat filem-filem dari luar negara dan juga peranan televisyen
yang begitu menonjol. Karyawan filem dari Studio Merdeka pula sudah
kurang bertenaga. Dari tahun 1970, bapa saya telah merasakan yang dia
sudah tidak diberi perhatian, tekanan hidup semakin meruncing, namanya
tidak sebesar dahulu lagi, kecemerlangannya yang selama ini dirasakan
semasa beliau di Studio Jalan Ampas Singapura sudah tidak lagi
dipandang.
Tetapi
dia masih mampu mengarahkan beberapa filem seperti Dr Rushdi, Gelora,
Putus Sudah Kasih Sayang, Jangan Tinggal Daku dan yang terakhir
Laksamana Do Re Mi. Ada ura-ura mengatakan beliau bersama beberapa orang
menubuhkan PERFIMA. Isu ini telah menimbulkan banyak rungutan dan
masalah, kerana rakan-rakan sudah mula mempersoalkan kewibawaannya.
Kemudian pada tahun 1973 sebelum beliau meninggal dunia, beliau bersama
H.M.Shah menubuhkan pula Rumpun Melayu.Namun ianya juga menemui
kegagalan. Mulai dari saat inilah saya dapati beliau sering sahaja
bermuram dan mengikut apa yang diceritakan oleh Saloma kepada saya,
Daddy sudah mula merasa tekanan yang amat sangat dan pernah dia
menyampaikan hasratnya untuk menerbitkan filem sendiri, tetapi tidak ada
sesiapa pun waktu itu yang mengambil tahu.
Dari
apa yang saya dapat tahu melalui teman rapatnya, Dato L.Krishnan pernah
mempelawanya duduk di pejabatnya dan buatlah apa yang dia mahu buat,
tetapi bapa saya hanya mengucapkan terima kasih. Sejak dari itulah hidup
bapa saya agak susah dan tidak mempunyai income atau pendapatan yang
lumayan, kalau dibandingkan dengan nama besar yang dimilikinya. Saloma
terpaksa bekerja di kelab malam semula dan cuba mencari rezeki hanya
untuk membantu bapa saya yang sedang dihimpit kesusahan itu. Tidak ada
sesiapa yang tahu tentang kehancuran hati dan kesengsaraannya. Kami
hanya makan ala kadar, pendek kata keluhan P.Ramlee di dalam hatinya
sahaja.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan