Sabtu, 1 Oktober 2016

Curangla Lagi Part 14

Sehingga ke petang, barulah mesyuarat dengan bahagian kewangan selesai. Longlai langkah wanita itu kembali ke biliknya. Kerjanya berlambak perlu disiapkan. Masuk ke dalam biliknya, dia mengeluh kecil. Banyak kertas A1 terdampar di atas meja bersama dokumen lain.

Lyn tunduk meraup wajah. Dia penat. Dengan beban kerja yang kian bertambah dan beban perasaan. Sungguh dia penat. Baru sekejap dia menyelak proposal di atas meja, kelihatan para pekerja sudah mula berjalan ke arah pintu utama.

Lyn membelek jam di pergelangan tangan. Sudah jam 5.30 rupanya. Sudahnya dia mengangkat gagang. Terdengar suara lelaki di sebelah sana. 

“I balik lewat sikit. You kena jaga anak malam ni,” ujar Lyn tanpa berbasa-basi lagi.

“Lambat? Pukul berapa?” tanya Johan.

“Tak tahu lagi. Itu aja I nak cakap,” balas Lyn lantas meletak gagang.

Tidak lama kemudian Johan muncul di ambang pintu bilik itu. Lyn sekadar mengangkat pandangan sekilas.

“Abang pun banyak kerja,” ujar Johan. 

“You memang selalu banyak kerja,” perli Lyn tanpa membalas pandangan Johan.

Johan menghela nafas perlahan. Terasa susah benar hendak berkomunikasi dengan wanita ini. Kebanyakan soalannya dijawab sambil lewa saja. Sekarang isterinya memilih untuk pulang lewat pula. Sungguh dia bimbang dengan keadaan ini.

“Lyn cuba jauhkan diri daripada abang?”

“Soalan apa ni, Johan? You tak nampak ke dokumen ni semua?” balas Lyn lantas memandang suaminya itu.

“You rasa kalau I nak jauhkan diri daripada you, I perlu buat macam ni ke? No! Kalau I nak, I boleh pergi bila-bila masa saja, Johan.” Lyn menambah lagi.

“Abang susah hati dengan keadaan ni, Lyn. Kita dah tak macam dulu.”

“Dulu you rasa I ni membosankan. You rasa lonely. I tak pedulikan you. You nak kembali semula pada semua tu?

You dah ada seorang perempuan yang perfect, menepati cita rasa you…. go on, Johan. Jangan menyesal. Kalau you rasa apa yang you buat tu benar, untuk apa kita menyesal? Yang penting kita bahagia biarpun kita terpaksa menghancurkan hati ramai orang. Tak gitu?” Sekali lagi Lyn melontarkan sindiran.

“Lyn, abang tak pernah anggap Lyn serentak itu.”

“Action speaks louder than words, Johan. Mulut selalu berbohong. Tapi tindakan you sangat jelas.”

“Okey…. abang mengaku semua ni berlaku kerana salah abang.”

“No. No. No. You tak salah. Fitrah lelaki memang macam tu. Pantang tengok perempuan, kan? Kenapa nak salahkan diri sendiri?”

Lyn tersenyum-senyum membalas pandangan Johan tatkala lelaki itu hanya terpaku. Biarpun suaminya beriak wajah tegang, namun dia masih mampu tersenyum santai.

Johan menghela nafas perlahan. Terasa kalah lagi dengan sang isteri. 

“What do you want me to do?” tanya Johan.

“Take good care of our children for tonight. That’s all I want,” balas Lyn sedikit tegas.

Johan menggeleng sendiri. Tidak tahu mahu berkata apa lagi. Sudahnya dia berpaling untuk berlalu. Kecewa dengan keadaan ini. Biar berkali-kali nafas dihela, rasa itu tidak mahu berlalu. 

Johan mengemas meja sebelum dia keluar mendapatkan keretanya. Mahu segera pulang ke rumah. Namun dia terpandangkan Syiha sedang menunggunya di lobi.

“Abang, hantarkan Syiha balik?”

“Hari ni tak boleh. Abang kena balik cepat.”

“Alah…. sekejap aja.”

“Balik naik trenlah. Abang nak kena anak di rumah. Lyn balik lambat,” balas Johan sambil terus berjalan ke arah keretanya.

“Apa punya binilah suruh suami jaga anak. Kenapa abang biarkan dia layan abang macam ni?” sergah Syiha.

Johan menoleh semula ke arah gadis itu.

“Pergilah balik! Jangan membebel lagi kat sini. Abang dah tak boleh nak dengar lagi,” ujar Johan sebelum dia meneruskan langkah ke kereta.

Terkebil-kebil Syiha memandang Johan meninggalkannya. Lelaki itu terus masuk ke dalam kereta dan berlalu.

“Sampai hati dia tinggalkan aku kat sini!” rengus Syiha. 

Beberapa hari kemudian

Tengah hari itu Johan tidak dapat menolak kekalutan apabila dia terserempak dengan kakaknya di lif.

“Mummy ada kat bawah. Kita lunch sama,” ucap Adrean. Bukan meminta sebaliknya bicara tadi lebih kepada arahan.

“Err… I ada…”

“Johan jangan nak mengelak! Kak long nak kau ikut sekali sebab Lyn pun ada. Dahlah Ary tiada, kau pulak nak bagi seribu satu alasan. Kau jangan nak makan kat luar pulak!” potong Adrean tegas.

“Kenapa mummy datang sini pulak?” soal Johan hairan. Bukankah seharusnya ibunya itu berada di rumah bersama dengan bapa mereka?

“Saja aja nak jumpa anak dia yang dah tak sempat lagi nak balik rumah jenguk orang tua,” sindir Adrean selamba.

Johan menelan liurnya kelat. Dia tahu semenjak kebelakangan ini dia culas untuk pulang ke rumah ibu bapanya kerana kerap melayan Syiha ke sana dan ke mari. Sedangkan jarak ke rumah ibu bapanya tidaklah sejauh Johor Bahru dengan Kelantan.

“Tapi minggu lepas kan Lyn dah balik jumpa mummy,” kata Johan.

“Kau tu anak mummy. Lyn tu menantu. Sama ke menantu dengan anak sendiri? Lagipun apa salahnya mummy datang makan tengah hari dengan kita? Atau kau dah ada janji dengan perempuan lain?” Adrean menyerang lagi adiknya itu.

Johan tidak menjawab kerana dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Namun akalnya berfikir bagaimana pula dengan seorang lagi wanita yang sudah dijanjikan makan bersama hari ini. 

Belum sempat Johan menjawab, Lyn sudah muncul di perkarangan lif itu. Wanita itu tidak berkata apa-apa kepada Johan.

“Tu mummy,” ucap Lyn setelah keluar dari lif.

Johan tersenyum tawar apabila ternampak ibunya di lobi itu. Matanya memandang sahaja sikap isterinya. Tubuh tua ibunya dipaut erat oleh Lyn seolah-olah sudah bertahun tidak bertemu. Padahal minggu lepas mereka baru sahaja bertemu.

Agaknya mahukah Syiha melayan sebagaimana Lyn melayani ibunya selama ini? Mampukah Syiha menambat hati ibunya sepertimana Lyn lakukan selama bertahun-tahun ini? Hati Johan berbisik sendiri, membandingkan sikap kedua-dua wanita itu dalam pemerhatiannya.

‘Ah! Aku tak boleh samakan dia dengan Lyn. Tak adil kalau aku bandingkan mereka berdua…’ bisik hati Johan lagi. 

“Johan!”

Johan tersentak dengan jerkahan kakaknya. Terkebil-kebil matanya menadah pandangan tiga wanita itu kepadanya.

“Apa dia?” soalnya lugut.

“Berangan pulak dia. Jomlah cepat. Mummy dah lapar ni. Kita makan dekat kafe ni ajalah. Dah tak sempat nak pergi jauh,” gesa sang ibu kepada anak lelakinya itu.

Terbeliak mata Johan memandang belakang kakaknya. Adrean menoleh ke belakang sambil mengerling sinis adiknya itu.

“Tambah cawangan? Cawangan apa???” Segera meledak reaksi terperanjat sang ibu. Spontan matanya memandang menantu perempuannya itu. Namun dia hanya melihat Lyn hanya tenang, tersenyum seolah-olah tiada apa-apa.

“Johan nak kahwin lagi ke?” Puan Sri Sakinah menoleh ke arah Johan yang berjalan di belakangnya.

“Eh, mana ada! Takkanlah Johan nak buat macam tu. Merepek aja kak long ni. Maksud kak long, Johan dapat projek baharu lagi.” Terkial-kial Johan mahu memperbetulkan tanggapan ibunya.

Adrean tersenyum sendiri di hadapan.

“Tahu kau takut ya?” bisik hatinya mengejek.

Puan Sri Sakinah beristighfar perlahan. Tubuh anak sulungnya itu ditampar lembut. Geram dia kerana dipermainkan oleh anaknya itu.

“Kak long korang ni…. kering darah mummy ni dengar Johan nak tambah cawangan. Ingatkan sungguhlah Johan nak kahwin lagi. Jangan nak buat pasal. Daddy tak macam tu, jangan anak lelaki dia pulak yang lebih advance daripada dia. Nak tengok daddy mengamuk, buatlah!” Kata-kata berupa peringatan itu singgah juga di telinga Johan.

Perlahan Johan meneguk liur. Lega namun tidak sepenuhnya.

Sementara menanti hidangan yang dipesan sampai, mereka berbual-bual. Namun saat itu mata Johan asyik meligas mencari seseorang. Lyn sudah tentu perasan dengan keanehan sikap suaminya itu. Johan seperti tidak senang duduk di situ.

“Cari siapa?” soalnya kepada Johan.

“Er…. tiada sesiapa. Tadi abang janji nak makan dengan Rosman. Tapi entah mana dia pergi.” Sekali lagi Johan menjadikan berbohong sebagai habitnya.

Lyn menoleh ke sekeliling. Ingin mencari di mana kelibat Rosman. Namun ketika dia menoleh ke pintu utama kafe itu, dia ternampak Syiha berjalan ke arah kafe. Kebetulan pula ketika itu Syiha sedang menghantar isyarat dengan menunjukkan telefon bimbitnya ke arah meja mereka.

Lyn lantas menoleh ke arah suaminya itu. Spontan dia juga melihat wajah Johan semacam sahaja. Kepala lelaki itu tergeleng-geleng entah kenapa. Seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan kepada wanita di pintu kafe itu. 

Melihat sikap kepura-puraan Johan, Lyn spontan menyepak kaki lelaki itu di bawah meja. Johan tersentak lantas mengaduh perlahan. Berkerut wajahnya memandang Lyn.

“I will slap her face if you do that again. Don’t try me. Ask her to leave, Johan!” bisik Lyn amat tajam. Pandangan mereka bersatu buat sedetik dia. Lyn menghantar ugutan melalui anak mata.

Johan menarik nafas cuba untuk bertenang. Saat itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa menggelabahnya dia. Dadanya berdegup kencang kerana dia tidak menyangka isterinya itu terlihat dia berkomunikasi secara senyap dengan Syiha sebentar tadi.

“Eh! Bukan ke itu Rosman?” Puan Sri Sakinah menegur apabila ternampak seorang lelaki yang masuk ke kafe itu sambil melipat lengan bajunya. Kelihatan Rosman sedang mencari meja kosong.

Spontan itu Puan Sri Sakinah melambai kepada Rosman. Rosman tersenyum dan ikut melambai sekali. Johan semakin tidak senang duduk.

‘Matilah aku!’ keluh hati Johan resah. Pandangan mata Lyn kepadanya semakin menyesalkan perasaan.

“Nak lunch ke, Man?” Puan Sri Sakinah menyapa mesra setelah anak muda itu berada dekat dengannya.

“Ya, auntie….” jawab Rosman sopan.

“Mari makan sekali dengan kami.” Puan Sri Sakinah segera meluahkan pelawaan itu. Kebetulan pula ada kerusi kosong di meja itu.

“Eh! Tak menganggu ke?” balas Rosman dengan senyum mekar.

“Apa pula mengganggunya? Tadi Johan risau takut you tercari-cari dia. Katanya you berdua dah janji nak lunch bersama hari ini. Kebetulan you dah ada ni, marilah sekali. Tak gitu, bang?” Lyn lantas menjawab sebelum ada sesiapa yang lain memotong jalan. Sekilas matanya mengerling tajam suaminya yang sudah berpeluh di kerusinya itu.

“Oh! Johan dah janji dengan Rosman ke sebelum ni? Baguslah kalau macam tu. Duduk, Man. Dah lama auntie tak jumpa Man.”

Spontan Rosman memandang Johan dengan sedikit perubahan di wajahnya.

‘Bila masa aku berjanji dengan dia?’ hatinya bertanya hairan.

“Duduklah,” ajak Adrean pula.

Rosman akur juga. Sambil duduk matanya sempat merenung Johan yang enggan memandangnya. Entah apa pula olah sahabatnya itu hinggakan namanya pula yang dikaitkan dengan janji lelaki itu.

“Macam mana kerja sekarang ni, Man?” soal Puan Sri Sakinah kepada sahabat kepada anak lelakinya itu.

“Macam biasa, auntie. Makin lama makin banyak tanggungjawab yang mesti dilunaskan,” balas Rosman lembut.

“Baguslah kalau begitu. Dalam kerja ni mesti serius. Jangan main-main. Jangan campur adukkan urusan kerja dengan peribadi,” pesan Puan Sri Sakinah. Secara tidak sengaja pesanannya itu bagaikan telah menampar pipi anak lelakinya itu.

Wajah Johan sedikit memerah apabila ada beberapa pasang mata terhala ke arahnya berserta dengan senyuman memerli. Jika diikutkan hatinya, saat ini juga dia mahu mengangkat punggung. Tetapi memikirkan ibunya yang masih tidak tahu akan tembelangnya, Johan cuba bertahan lagi. Bimbang jika dia membuat keputusan nekad begitu, dia juga yang akan mendapat padahnya apabila ibunya itu banyak bertanya nanti.

“So, bila nak kahwin lagi ni, Man? Dah lama menduda, takkan nak terus begitu?” soal Puan Sri Sakinah menjurus kepada hal peribadi pula. Persoalan yang diajukan membuatkan Lyn dan Adrean segera memasang telinga setajam yang boleh untuk mengetahui kisah peribadi Rosman yang terlalu jarang diperkatakan selama ini.

“Belum lagi, auntie. Hati saya belum terbuka nak ke arah tu,” ujar Rosman kelat.

“Yang dah pergi biarlah dia pergi. Itu dah janji Allah untuk dia. Kita yang masih hidup ni kena teruskan hidup. Anak-anak Man pun perlukan perhatian seorang ibu. Auntie carikan calonnya, mahu?”

Rosman ketawa sedikit mendengar cadangan wanita yang amat dihormatinya itu. Terasa dirinya begitu dihargai kerana selama ini dia dilayan seperti anak oleh Puan Sri Sakinah.

“Auntie ni…. macam zaman dulu-dulu pulak.”

“Man, my mom ni banyak kawan tau. Yang tua…. yang muda… semuanya kawan dia. You jangan pelik kalau you nampak my mom ni berjalan dengan anak-anak dara. You cakap aja yang jenis macam mana you nak. Mesti ada sangkut seorang dengan you nanti,” sampuk Adrean.

Lyn sudah tergelak. Lucu melihat Rosman tersipu-sipu macam anak dara sunti.

Puan Sri Sakinah juga ketawa.

“Tiadalah. Mummy ada kenal dengan Zarith Sofia, anak Datin Zaridah dengan Dato’ Syeikh Jukri. Mungkin Zarith itu sebaya dengan Rosman. Kalau tak pun mungkin dia muda sikit daripada Rosman. Dia pun dah pernah kahwin dulu. Tapi disebabkan suaminya curang, mereka bercerai. Dia tak mahu dimadukan. Dia pun tiada anak. Biasalah…. kita masing-masing ada pendirian sendiri. Dia rasa dia tak boleh hidup berkongsi, dia pilih untuk menyendiri,” kata Puan Sri Sakinah.

“See? Mesti ada yang tersangkut dengan you,” sambut Adrean lantas menerbitkan tawa mereka yang ada di situ.

Namun tidak bagi Johan. Telinganya panas mendengar tentang kecurangan suami Zarith Sofia itu sehingga menyebabkan rumah tangga Zarith dan suaminya musnah. Itukah yang bakal terjadi kepadanya kerana dia amat jelas dengan pendirian Lyn yang lebih kurang sama sahaja dengan wanita bernama Zarith Sofia itu?

“Alah! Kenal-kenal dulu apa salahnya. Orangnya pun boleh tahan. Kulit putih lebih kurang sama macam menantu auntie ni,” tambah Puan Sri Sakinah sambil ditepuknya bahu Lyn di sisinya itu.

Rosman tertawa perlahan. Entah bagaimana saat itu secara tidak sengaja matanya beradu panjang dengan menantu Puan Sri Sakinah yang dikatakan berkulit cerah itu. Buat beberapa saat bola mata masing-masing bagaikan melekat berdua. Rosman terasa seperti disengat eletrik. Berdegup kencang jantungnya apabila terpanah oleh pandangan mata yang bersinar saat membalas pandangannya. 

Babak sesaat dua itu sempat diperhatikan oleh Johan. Berderau darahnya apabila melihat Rosman dan isterinya berpandangan mesra seperti itu. Perasaannya terbakar hangus mengenangkan Rosman yang menduda itu juga boleh tahan kacak orangnya. Cuma Rosman orangnya jenis tidak suka tersenyum.

Buat seketika ketiga-tiga manusia itu bungkam tanpa kata. Rosman pula mula terasa sikit janggal berada di situ. Terasa bersalah pula kerana wanita itu isteri orang. 

Jam 2 petang barulah mereka bersurai dari tempat itu. Namun setelah pintu lif terbuka, hanya Rosman dan Adrean sahaja yang masuk. Johan hanya terpacak di hadapan pintu itu tanpa berniat untuk turut serta. Ketika Lyn mahu masuk, pergelangan tangan isterinya itu segera dicekupnya.

“Kenapa?” soal Lyn apabila lif itu sudah berlalu naik ke atas.

“Lyn ingat abang tak nampak apa yang terjadi waktu kita tengah makan tadi?”

“Jadi apanya?” soal Lyn benar-benar tidak mengerti.

“Abang nampak apa yang terjadi tadi! Abang nampak macam mana seronoknya isteri abang bermain mata dengan lelaki lain depan abang! How could you!” tengking Johan yang muka terbakar dek rasa cemburu.

“Apa you merepek ni? Siapa yang bermain mata?” balas Lyn sengit.

“Jangan nak bohong!!!”

“Suka hati youlah!” balas Lyn malas hendak melayan. Punat lif ditekan semula.

“Listen to me… hei, dengar sinilah!” gerutu Johan geram. Isterinya itu dipaksa memandangnya.

“Stop it!!!” jerkah Lyn cukup lantang sebelum tangan Johan ditepis kasar.

Terkedu Johan dibuatnya. Mujurlah di kawasan lobi itu lengang.

“I memang pantang orang yang suka menuduh membuta tuli. You nak sakitkan hati I ke? Okey, I boleh tunaikan apa yang you hajatkan.”

“Lyn masih isteri abang! Jangan cabar abang macam ni!” tekan Johan.

“You rasa I peduli dengan semua tu ke, Johan? Tolong berhenti bercakap sekarang. I tak ada masa nak layan. Berhenti cari gaduh sebelum I pergi tampar perempuan simpanan you tu!”

Johan terdiam serta-merta. Hilang taringnya apabila diancam begitu.

“See? Kelemahan you sekarang adalah perempuan tu. You takut I apa-apakan dia,” ejek Lyn lantas masuk ke dalam lif yang baru terbuka.

“Bukan macam tu. Abang tak senang hati. Semua lelaki pandang Lyn.”

“Don’t change the subject, Johan. I dah muaklah.” 

Johan menghela nafas perlahan. Perang dingin yang dilancarkan isterinya ini benar-benar memeningkan kepalanya. Sudahnya mereka berdiam sebelum membawa haluan ke bilik masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan