Sebelum kasih menjadi benci, aku memilih berpisah di sini…
“Kita nak pindah? Kenapa daddy tak ikut?” tanya Dina saat diminta masuk ke dalam kereta.
Sungguh si ibu tidak terjawab soalan anak itu. Hati Lyn rentak seribu. Tangisannya ingin pecah lagi.
“Dina ikut mummy. Insya-Allah nanti daddy akan selalu jumpa Dina.”
“Tak nak! Dina nak duduk sini, rumah kita,” ujar anak itu bersungguh-sungguh. Lekas dia memegang tangan si daddy erat-erat tanda tidak mahu berpisah.
“Daddy minta maaf, nak.” Johan tidak terdaya hendak meneruskan bicara. Dadanya sendat oleh rasa sebak saat memandang raut anak yang tidak berdosa. Tubuhnya direndahkan lalu kedua-dua anak perempuannya dipeluk serentak.
“Daddy sayang Dani dan Dina,” ujar Johan. Namun wajahnya berkerut tanda dia mahu menangis.
“Dani pun sayangkan daddy,” jawab Dani perlahan. Pandangan matanya begitu menyedihkan.
Johan menangis di hadapan anak-anaknya.
“Daddy jangan nangis. Dani tak marah daddy pun,” ucap Dani lagi. Sekali lagi anak itu memeluk leher si daddy.
“Dengar cakap mummy. Jangan buat mummy susah hati, sayang. Dengar pesan daddy ni ya?” pesan Johan setelah tangisannya reda. Dahi kedua-dua anaknya itu dikucup penuh kasih sayang.
Dani dan Dina memandang sayu wajah Johan. Tidak mengerti mengapa mereka harus berpisah.
“Beri dia pada abang,” pinta Johan kepada isterinya.
Lyn menyerahkan anak bongsunya tanpa mahu menatap wajah suaminya itu. Tanpa dapat ditahan, di hadapan wanita itu. Johan menangis sekali lagi saat mengucup pipi Zairyl. Sebelah tangannya sempat mencapai pergelangan tangan isterinya. Wanita itu ditarik lalu dipeluknya.
Tidak terdaya menahan perasaan, Lyn menangis juga dalam pelukan suaminya.
“Abang minta maaf, sayang. Demi anak-anak, tolonglah pertimbangkan semula keputusan Lyn. Jangan buat macam ni pada anak-anak kita. Ini anak kita, sayang. Demi Tuhan, abang tak akan ulangi lagi.”
Lyn tidak terdaya untuk menjawab. Hanya kepalanya digelengkan tanda dia sudah tidak berdaya lagi untuk berkata apa-apa.
“Abang masih terlalu sayangkan Lyn. Abang tahu kata-kata tak mampu menjanjikan apa-apa lagi. Tak memadai. Tetapi kesalahan yang abang buat, mengapa anak-anak abang ikut sama terima akibatnya? Buatlah apa saja. Abang akan terima hukumannya. Tapi jangan pisahkan anak-anak daripada abang.”
“I dah tak boleh lagi,” balas Lyn perlahan. Tubuh lelaki itu ditolaknya sebelum dia menjauhkan diri daripada Johan.
Dani dan Dina terpaku memandang ibu mereka menangis sehingga begitu sekali.
Johan memberikan anak bongsunya kepada Bibik Sutinah. Masih tidak putus asa memujuk isterinya itu. Ketika wanita itu mahu mengangkat salah sebuah beg, Johan lebih cepat mencapai pergelangan tangan isterinya lalu ditarik ke arahnya.
“Janganlah pergi jauh daripada abang, sayang. Abang sanggup melutut asalkan Lyn ubah keputusan ni. Tengoklah anak-anak kita. Anak-anak tak bersalah sama sekali. Abang yang salah selama ni.”
“Suatu hari nanti anak-anak akan faham juga. Jangan guna anak-anak untuk ubah pendirian I sekarang. Sebelum ni you tak kisah pun apa kesannya pada anak-anak you.”
“Abang mengaku semua salah abang. Tiada apa yang lebih pedih untuk seorang bapa bila tengok muka anak-anak bersedih kerana abang. Suatu hari nanti abang akan terkenang anak-anak abang jadi macam ni kerana abang. Abang tak tahu macam mana nak teruskan hidup dengan kenyataan tu, sayang.”
Lyn diam. Tidak ingin berkata apa-apa lagi. Tangannya ditarik daripada Johan. Air matanya diseka.
Melurut jatuh bahu Johan. Tahu apabila sudah bulat hati isterinya, bukan mudah untuk dia melenturkannya.
“Lyn…” Johan sempat menarik lagi tangan isterinya. Namun Lyn berkeras enggan membiarkan dirinya dekat dengan Johan. Memandang pun tidak mahu.
“Takkan tiada tertinggal sedikit pun rasa sayang tu untuk abang? Sikit pun jadilah. Abang akan berusaha kembalikan semula kasih sayang tu ke tempat di mana sayang itu berada dulu.”
“Suatu masa dulu I letakkan kasih sayang tanpa syarat, tanpa sebarang syak wasangka yang hari ni I akan diduakan dengan entah sesiapa. Tapi you tak rasa bahagia. Buktinya sudah cukup jelas. Waktu tu kasih sayang tu tiada harganya lagi. Biar sebanyak mana I lakukan untuk you, itu tetap tak cukup. Dia lebih istimewa, lebih baik berbanding I. Sekarang you sebut anak-anak. Semalam you lupa untuk pandang muka setiap anak-anak waktu pilih untuk bahagia dengan perempuan lain. Dia masih muda. Dia mampu beri anak-anak lebih ramai lagi. Esok lusa you akan lupa juga tentang hari ni,” balas Lyn. Sedaya upaya tidak mahu menangis lagi.
“I cuma nak teruskan hidup demi anak-anak, Johan. I penat bergelut dengan perasaan. Ini lebih baik daripada dia orang nampak kita asyik bertengkar. I dah tak tahan lagi! Kenapa susah sangat you nak faham,”
Johan terdiam memandang isterinya. Liurnya ditelan payah. Terasa kelat saat melepasi kerongkongnya. Kembali memandang dua anak kembarnya. Kedua-duanya memandangnya dengan pandangan sayu.
Demi alasan yang satu itu, Johan akhirnya membiarkan isterinya mengangkat beg untuk pergi. Sementara itu dia mendapatkan Zairyl. Anak itu didakap sepuas-puasnya. Biarpun cuba untuk reda, betapa hanya ada kesedihan yang amat dalam, yang tidak mampu ditelannya begitu saja.
Tidak terdaya Johan menahan perasaan tatkala terdengar Dani dan Dina asyik memanggilnya sebelum berlalu. Dia tidak mampu melakukan apa-apa lagi.
‘Maafkan daddy, sayang…’ hatinya berbisik hiba. Sungguh, inilah hukuman yang paling berat untuk diterimanya. Saat yang sungguh pahit! Biar dihimpun kemaafan sedunia ini, dia tahu itu masih tidak memadai untuk menebus semula kekhilafannya.
Seperti mimpi, rumah tu tiba-tiba menjadi begitu sepi tidak lama selepas itu. Johan bungkam tidak tahu apa yang perlu dibuat di celahan kesepian itu. Bayang anak-anaknya terlihat di mana-mana, membuatkan dia dihukum oleh kepiluan.
Duduk termenung di birai katil, Johan menangis sendirian mengenang segala-galanya. Hanya itu yang termampu dilakukan. Inilah masanya untuk dia mencapai impiannya bersama Syiha. Bukankah begitu? Tetapi entah kenapa semua itu sudah tidak mendatangkan sebarang makna. Dia tidak berminat lagi!
Entah bagaimana, hati disapa oleh rasa rindu. Rindu pada keindahan dulu. Suatu masa dulu, dialah lelaki yang paling bahagia tatkala dikurniakan sepasang anak perempuan. Manis hanya seketika. Isteri ditatang bagai minyak yang penuh, namun tahun demi tahun berlalu, semuanya kian hambar.
‘Tuhan sedang mengujiku,’ bisik hati Johan sendiri. Cuba memujuk diri agar tidak kalah dengan keadaan ini.
‘Ya Tuhan…. ampuni aku kerana aku telah ingkar pada amanah yang telah engkau letakkan di bahuku,’ bisik hati Johan kesedihan.
Ruang tamu itu kosong. Johan mengeluh lagi dalam hati. Dalam diam dia terseksa dengan keadaan ini.
Johan ke meja makan. Di atas meja, makan malam sudah tersedia.
Betapa sayunya hati Johan saat menghadap juadah sendirian di meja. Kalau dahulu ada isteri dan anak-anaknya menyerikan hidupnya saban hari. Tetapi tidak pada saat ini. Baru kini dia sedar betapa berharganya kenangan manis itu semua kepada dirinya biarpun hanya secebis yang ada dalam fikiran.
Bergenang seketika kelopak mata Johan. Ingatannya terus ditarik-tarik untuk mengingati isterinya itu. Betapa kini segala kebahagiaan yang pernah dimilikinya sudah tiada lagi. Kekerasan hati isterinya ternyata masih tidak mampu dilentur dengan pujuk rayu.
Tiada selera mahu menikmati makan malam, Johan sekadar mengisi perutnya dengan ala kadar. Selebihnya dia segera mempersiapkan diri untuk menunaikan solat isyak di masjid. Tidak sanggup rasanya untuk dia terus memandang kesuraman suasana rumah itu setelah ditinggalkan sendirian.
Di sujud terakhir, Johan membisikkan doa. Dia sedar di sejadah itulah tempat yang paling dekat dengan Yang Maha Esa. Dia meminta. Memohon segala-galanya; keampunan, ketenangan jiwa, kekuatan dan juga kesabaran. Rayuan dipanjatkan dengan penuh ketulusan di hati agar ada sedikit simpati daripada Allah buatnya. Tiada yang lain harapannya; moga diberikan peluang kedua untuk dia membina semula keluarga dan maruah diri. Dia tetap mahu meminta biarpun tahu dia tidak layak.
Setelah selesai jemaah isyak itu, Johan memilih untuk membaca al-Quran. Berharap dengan cara itu dia akan diketemukan dengan ketenangan hati.
Betapa sayunya hati saat melagukan kalimah-kalimah Allah dengan lidahnya. Terasa sungguh ajaib kerana satu per satu keresahannya gugur bak embun yang menitis dari hujung dedaunan. Ternyata Allah masih sayang kepadanya. Jiwanya kian damai seperti malam yang semakin melabuhkan tirainya.
Al-Quran ditutup. Solat sunat dikerjakan. Tangan ditadah berdoa, merayu kepada Ilahi. Tanpa sedar Johan menangis sendiri. Tanp segan-silu berkali-kali dia mengulangi doanya agar dilembutkan hati isterinya untuk menerimanya semula.
Malam itu, Johan mengambil telefonnya. Segenap keberanian dihimpun sehabisnya, dia mendail nombor wanita itu. Dengan harapan dia dapat mendengar suara itu buat seketika. Cukuplah sekadar penawar rindu.
Dua kali dia mendail akhirnya panggilannya berjawab di hujung sana. Seperti yang diharapkan, itu jugalah yang dimakbulkan. Nada Lyn kedengaran kaku tatkala menjawab salamnya.
“Dah tidur?” soal Johan lembut.
“Belum. Dani dengan Dina meragam pula hari ni. Dia orang baru aja tidur,” jawab Lyn perlahan.
Johan terdiam seketika. Suara isterinya kedengaran sedikit serak seperti orang baru lepas menangis. Mendengar dua anaknya itu mula buat perangai, Johan sedar pasti susah untuk Lyn mengendalikan dua anaknya itu sendirian.
“Aril sihat?”
“Sihat,” jawab Lyn serba ringkas.
“Dani dengan Dina kenapa?” tanya Johan mula mengembalikan perbualan mereka tentang dua kembar itu.
“Entahlah. Dia orang tak mahu makan tadi. Puas I pujuk. Tapi dia orang terus diam. Macam marah dengan I pun ada,” jawab Lyn masih dengan nada tadi.
Johan menghela nafas perlahan. Kasihannya…. itulah yang dirasakan saat ini kepada isterinya itu. Menanggung segala beban sendirian bukannya mudah. Dia sedar kerenah anak-anak yang kian membesar pasti memeningkan kepala isterinya itu.
“Kenapa tak beritahu abang?” ucap Johan lembut.
Lyn terdiam seketika. Entah kenapa hatinya teramat sayu saat ini. Kesan daripada kesedihan lalu dan tekanan hari ini, akhirnya membuatkan air matanya mengalir juga. Namun dikawal esakannya agar Johan tidak mendengar. Hanya Tuhan sahaja yang tahu kesedihan yang terkepung dalam hatinya saat ini. Benar-benar terbeban dengan kerenah anak-anak yang sudah mula pandai menunjuk perasaan. Salah diakah? Apakah dia terlalu ego selama ini?
“Sayang, jangan menangis. Abang susah hati dengar Lyn menangis macam ni.” Mendayu pujukan lelaki itu. Terlalu sayu hatinya mendengar kesedihan isterinya. “Pasal Dani dengan Dina biar abang pujuk dia orang ya?” ucap Johan lagi.
“Dia orang rindukan you agaknya,” jawab Lyn sambil mengusap pipinya yang basah.
“Sayang, jangan menangis lagi ya? Abang tahu Lyn tertekan dengan perangai anak-anak. Ada sebarang masalah, jangan sembunyikan daripada abang. Mungkin anak-anak terkejut dengan keadaan kita macam ni. Tambahan pula nak sesuaikan diri dengan rumah baharu,” pujuk Johan lembut.
“I tahu keputusan yang I buat ni dah mencacatkan emosi anak-anak. Tapi I pun perlukan ruang untuk teruskan hidup. I takut anak-anak akan salahkan I yang menyebabkan keadaan kita jadi macam ni,” luah Lyn dalam kesayuan yang masih berbisa.
“Abang takkan biarkan anak-anak kita berasa kekurangan apa-apa walaupun kita dah tak macam dulu. Abang janji abang akan buat apa saja untuk kembalikan semula keluarga ni. Tak perlu tanggung semua ni seorang diri, sayang. Abang ada. Abang faham Lyn juga perlukan masa untuk diri sendiri. Abang takkan mendesak dan memaksa lagi macam dulu. Tak adil kalau abang biarkan Lyn tanggung semuanya sendiri. Insya-Allah semuanya akan kembali okey. Abang akan pujuk anak-anak,” ucap Johan bersungguh-sungguh.
“Okeylah. I nak tidur. Kepala I ni pun dah pening.” Lyn meminta diri segera.
“Banyak sangat menangis ke?” duga Johan perlahan.
“You rasa macam mana?” Lyn ikut membalas dengan cara yang sama.
“Jangan terlalu stres, sayang. Tak baik untuk kesihatan. Abang nak sayang ambil kesempatan ini untuk relaks dan tenangkan fikiran. Jangan terlalu fikirkan yang sudah-sudah. Itu semua dah berlalu. Insya-Allah semua tu takkan kembali lagi pada kita,” pujuk Johan.
“Jangan terlalu berjanji tentang masa depan. Dulu pun you dah berjanji macam-macam. Akhirnya kita jadi macam ni,” ucap Lyn dalam nada jengkel.
“Abang tahu semua yang abang katakan dah tak ada ertinya lagi. Tapi abang tak rela tengok anak-anak terima kesan daripada kesilapan abang. Abang malu,” jawab Johan lagi.
“Johan, I dah tak boleh dengar ayat-ayat yang sama lagi. I dah bosan!”
“Bukan macam tu. Jangan salah anggap pada abang, sayang. Abang tahu Lyn masih tak boleh lupa tentang apa yang abang dah buat. Tapi kalau kita terus macam ni, macam mana dengan anak-anak? Kita tak patut korbankan perasaan anak-anak untuk kita. Itu yang abang nak Lyn faham. Lyn nak hukum abang, hukumlah! Abang terima dengan lapang dada. Tapi anak-anak tak ada kaitan dengan semua ni. Kita jangan tambah lagi susah mereka. Itu yang abang nak sayang fikir,” ucap Johan tetap berlembut. Dia tahu dia harus bersabar dengan keras hati isterinya itu.
“Baru sekejap tadi I dengar you kata you takkan desak I lagi,” balas Lyn mula mengeras nadanya.
“Abang bukannya mendesak. Tapi abang minta Lyn lembutkan sikit hati tu untuk abang. Untuk anak-anak kita. Kita takkan selamanya boleh macam ni,” pujuk Johan semakin lembut.
“Jadi you harap I akan hadap you semula macam dulu, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku? You nak I layan you siang malam macam raja dalam keadaan perasaan I sendiri terumbang-ambing?” tukas Lyn.
“Abang janji keadaan takkan sama lagi, sayang. Tolonglah…”
“I dah tak sanggup lagi. You tak akan faham, Johan. Bukan mudah untuk I berikan semula diri I dalam keadaan I macam ni. Semudah itu melukakan, semudah itu juga you harap I kembali taat sebagai isteri? Isteri you ni robot ke?”
“Abang tak bermaksud macam tu, sayang…”
“Okeylah, I letak telefon dulu. Anyway, thanks for calling. Assalamualaikum,” pintas Lyn lantas talian itu terus dimatikannya tanpa mendengar jawapan Johan.
Johan hanya mampu menghela nafas perlahan. Biarpun hampa, namun puas juga hatinya dapat berbual dengan Lyn. Sejujurnya dia sebenarnya tidak tahu apa lagi yang harus dibuat dalam keadaan dia begini. Dengan seribu satu masalah yang ada, dia juga teramat sengsara. Sehingga ruang untuk dia bernafas pun cukup sempit.
Akhirnya Johan ke meja kerjanya. Komputer riba dibuka. Tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang mahu dibuatnya dengan laptopnya itu.
Setelah beberapa ketika dia sekadar pegun di situ, akhirnya di papan kekunci komputer itu dia meluahkan isi hatinya. Seperti dulu-dulu, dia menghantar e-mel kepada isterinya itu. Dia mahu wanita itu mengerti keseluruhan hatinya.
Maafkan abang, Lyn. Hati abang teramat sayu. Abang tahu dah terlalu banyak kesedihan yang abang berikan kepada Lyn selama ini. Hanya Tuhan yang tahu apa yang abang lalui selama ini. Setiap cebis kekesalan ini terlalu menyakitkan untuk abang telan begitu sahaja. Tapi abang percaya, inilah ujian untuk diri abang.
Suatu masa dulu Tuhan memberikan kita kebahagiaan untuk kita genggam bersama. Sayangnya genggaman abang terlerai lebih cepat. Mungkin Allah nak abang sedar kelemahan abang sendiri. Apa pun yang berlaku tak seharusnya abang gadaikan keluarga abang sendiri. Apatah lagi untuk kepentingan diri sendiri.
Setiap titis air mata isteri abang yang jatuh kerana abang, tak mampu abang bayar semula. Luka dalam hati Lyn tak mampu abang ubatkan dengan kata-kata. Tapi sayangnya, dulu abang tak sedar betapa berkuasanya air mata seorang isteri ke atas suami seperti abang. Tatkala kasih sayang seseorang yang ikhlas untuk abang sudah diambil semula, abang turut kehilangan semuanya termasuklah harga diri abang sendiri. Sekali lagi abang mohon ampun atas segalanya.
Buat anak-anak daddy, maafkan daddy, sayang.
Pada akhir ayat itu rasa sedih yang terkulum sudah tidak tertahan. Johan menangis teresak-esak sendiri menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan. Sesungguhnya dia tidak sekuat mana untuk menang dalam sengsara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan