Semenjak kebelakangan ini ligat benar isterinya itu. Ke mana saja pergi tidak langsung memberitahunya. Johan pula, demi hendak meraih semula kemaafan isterinya, dia rela begitu sahaja.
“Aril, tidurlah…” ucap Johan sambil menguap. Sudah letih. Anak lelakinya masih segar-bugar. Sekejap meniarap, sekejap terlentang pula. Susu sudah sebotol dihentamnya. Tidurnya tidak juga. Sehingga tersengguk-sengguk Johan mendodoikan Zairyl.
Terlelap seketika, Johan tersedar yang anaknya sudah turun dari katil. Lekas-lekas dia bangun mendapatkan anak itu semula.
“Tidurlah! Kenapa tak mahu tidur ni?” marah Johan, mula terbeban dengan kerenah sang anak. Anak kecil itu dibawa ke dalam dakapannya, tetapi Zairyl sibuk menggesel-geselkan wajah ke dada daddynya. Anak itu menyelak baju Johan. Bibirnya tetap disua ke dada daddynya itu.
“Mummy aja ada buah dada besar. Daddy tiada,” ucap Johan perlahan. Namun setelah dibiarkan perbuatan anaknya, Zairyl makin tidak tenteram.
“Apa ni? Aril…” tegur Johan. Sudahnya anak itu mengaruk pula kerana tidak dapat apa yang dihajatkan.
“Yalah.,,, yalah… mari baring dengan daddy ya? Sayang hero daddy ni,” pujuk Johan.
Hampir jam 12 malam barulah Lyn pulang ke rumah. Dia terpandangkan Zairyl sedang lena dalam pelukan suaminya. Wanita itu senyap-senyap mengerjakan urusan dirinya. Sesudah selesai menyarung gaun tidur, Lyn segera mendapatkan anaknya itu.
Johan terjaga ketika anaknya diambil daripadanya. Lekas-lekas dia mencekup pergelangan tangan sang isteri.
“Tidurlah sini,” ucap Johan perlahan.
“Let me go,” balas Lyn tidak peduli.
“Sayang….please,” rayu sang lelaki rendah. Sungguh dia rindukan suasana dahulu.
“I nak ambil anak ni!” tegas Lyn dalam bisikan.
“Tidur sini apa salahnya?” balas Johan cuba memujuk.
“I tak naklah. You tak faham ke???” balas Lyn siap menjegilkan mata.
Sudahnya lelaki itu akur juga melepaskan tangan sang isteri. Lyn segera mengangkat anak kecilnya lalu dibawa bersamanya.
Johan menghela nafas panjang. Terpandangkan isterinya mengenakan kimono satin yang cukup cantik. Lelaki itu meninggalkan ranjang lalu pergi ke arah kamar tidur yang didiami Lyn. Kebetulan kamar itu masih belum bertutup sepenuhnya.
“Lyn,” panggil Johan tatkala sang isteri sedang meletakkan anak di tengah katil.
“Nak apa lagi?” Lyn membalas dengan nada dingin.
“Pergi mana tadi?”
“Shopping,” jawab Lyn biasa. Langsung tiada rasa bersalah berbuat begitu kepada suaminya.
“Sampai bila kita akan macam ni?” ujar Johan agak hampa.
“Entah.”
Johan mendekati sang isteri ketika Lyn sedang menyusun bantal.
“Abang masih sayangkan Lyn. Janganlah layan abang macam ni,” rayu lelaki itu lantas belakang sang isteri disentuhnya. Namun Lyn pantas menegakkan tubuhnya sebelum memandang lelaki itu.
“I can’t take this anymore. I need you,” bisik Johan cukup mendayu. Tubuh sang isteri dielusnya lembut.
“I dah tak sayang you!” tegas Lyn lantas menolak tangan Johan.
“Senangnya cakap macam tu pada abang.”
“Apa lagi yang you nak ni? Pergilah layan bakal isteri muda you tu. I ni membosankan. Nak buat apa memujuk rayu pada isteri you ni?” perli Lyn lantas menjauhkan diri daripada lelaki itu.
“Menjauhkan diri daripada abang takkan memulihkan keadaan kita, sayang.”
“You still don’t get it, do you? Siapa kata I nak keadaan pulih semula? I tak mahu tengok muka you, Johan! I sedang belajar hidup tanpa you.”
Terdiam lelaki itu mendengar jawapan sang isteri. Nekad benar berkata begitu kepadanya.
“Tak apalah. Rehatlah. Abang tak mahu ganggu,” ucap Johan perlahan. Seterusnya dia berpaling untuk keluar dari kamar itu.
Lyn berlalu ke katil lalu punggungnya dihempas di sini. Keluhan dilepaskan deras.
Bersusah payah mengunci jam loceng agar dia tidak bangun lewat lagi. Semenjak diboikot isterinya, kerap dia bangun lambat. Di ruang lain di rumah itu, sudah kedengaran suara anak-anak. Johan lekas-lekas bersiap. Enggan terlepas bersarapan pagi bersama anaknya.
Namun ketika dia menutup pintu bilik, dia terserempak dengan Lyn yang baru keluar dari kamarnya sambil mendukung Zairyl. Mulalah terbeliak mata Johan memandang isterinya mengenakan tight dress separas lutut dan berlengan sekadar hingga ke siku. Sesuatu yang sudah tidak pernah dilihatnya semenjak sekian lama.
Saat berada di belakang isterinya, matanya terus terpusat pada lenggok punggung yang berbalut dress hitam ketat dan sendat itu. Mulalah dia menelan liur menahan kempunan melihat bentuk tubuh yang masih tidak jauh lari dari zaman anak dara isterinya itu. Nak sentuh, tetapi takut. Bimbang disembur dengan mantera caci dan maki yang pedih.
Lyn hanya buat tidak tahu biarpun sedar mata Johan masih melekap ke arahnya. Bukan sekadar Johan, anak-anaknya juga ikut teruja melihat ibu mereka cantik benar.
“Mummy nak pergi mana? Cantiknya! Nak ikut!”
“Hesy! Mummy kerjalah,” jawab Lyn biasa.
Tanpa menegur Johan, Lyn terus melayan keperluan anak-anak yang hendak bersarapan pagi. Johan macam orang bingung di situ. Sesekali matanya meratah bentuk tubuh isterinya dari atas ke bawah.
Johan menggaru kepala yang tidak gatal. Anak-anaknya tetap ceria di meja makan sehinggalah hendak bertolak ke sekolah. Setelah Dani dan Dina berlalu, hanya tinggal Zairyl masih berada di dakapan Lyn.
Sebelum pergi kerja, sempat juga wanita itu melondehkan sebelah bajunya pada bahagian bahu. Mengepam susu daripada dadanya ke dalam botol dengan begitu selamba di meja makan. Maka bertambah terderalah Johan memandang.
Lebih sadis lagi apabila anaknya sempat juga mendapat giliran menyedut dari tubuh si ibu sebelum si ibu ke pejabat. Johan terkulat-kulat memerhatikan anaknya itu. Rasa macam nak berbuih mulutnya menahan kempunan.
Zairyl yang sudah kekenyangan ceria sahaja saat diberikan kepada Bibik Sutinah. Maklumlah, dah puas berkepit dengan mummynya.
Johan ikut berlalu bersama Lyn. Ketika wanita itu di hadapan kabinet kasut, mata Johan kian terbuntang memandang Lyn menonggeng mengambil kasut di dalam kabinet itu. Bukan main lentik lagi sampai dia ternganga. Tetapi kemudian mulutnya ditutup dan liur ditelan.
Setelah menegakkan tubuhnya, Lyn sempat mengerling lelaki di belakangnya. Johan tidak sempat mengelak pandangan isterinya. Namun Lyn hanya diam sebelum dia meletakkan sebelah tangannya ke dinding sebagai penahan tubuh. Kasut bertumit disarungkan ke kaki.
Sesuatu yang amat mempersonakan. Johan suka melihat isterinya mengenakan kasut tumit tinggi.
“Cantik sangat hari ni. Ada apa?” tanya Johan perlahan.
“Yang penting tiada kena-mengena dengan you,” balas Lyn tanpa memandang suaminya itu.
Pedih hati Johan mendengar bicara isterinya. Rasa menyesal pula. Kalaulah dia tidak buat hal, agaknya sesenang itu dia mendapat apa yang dia hendakkan saat ini.
“Kita pergi sama, ya?” pelawa Johan.
Lyn hanya buat tidak dengar. Terus berlalu ke keretanya. Tanpa lelaki itu dia tidak mampu hidup?
Salah sama sekali!
Kehadiran wanita itu di pejabat turut membuatkan kakitangan yang lain ikut memandang. Terutamanya yang lelaki. Masing-masing tidak melepaskan peluang mencuci mata. Terutama si Zakir.
“Kalau aku dapat bini cantik gitu, sumpah aku tak cari yang lain woo! Aku tatang baik-baik. Agak-agak kalau suami dia dah tak mahu, bagilah kat aku. Aku nak! Takpe! Pakej janda dengan anak 3 pun aku reda. Apa punya bodohlah suami dia main kayu tiga. Pedih hati aku ni tengok Puan Azlyn tu menderita tau,” ucap Zakir macam bersungguh-sungguh saja. Tidak kisah langsung jika bicaranya nanti akan membuahkan kemarahan Johan.
Ariana ketawa.
“Cerminlah diri tu dulu. Kakak ipar I tak naknya lelaki mentah macam you ni. Pikat perempuan pun tak pandai, ada hati nak try kakak ipar I.”
“Tak apa. Aku sanggup bertapa di Gunung Nuang untuk menuntut ilmu. Tak cukup Gunung Nuang, Gunung Kinabalu pun boleh. Aku memang suka perempuan matang ni. Adoi…. bilalah boleh ‘ayat’ ni? Dah lama memendam rasa. Seksa setakat jadi secret admirer ni. Kalau Puan Azlyn tu tak bahagia dengan suami dia sekarang, biar aku ajalah yang bahagiakan dia.”
Mengilai Ariana mendengar ucapan Zakir. Tidak sedar di belakang mereka ada seseorang sedang menahan marah. Tawa Ariana terhenti serta merta setelah perasan abangnya tercegat di belakang mereka.
“Ops!”
“Apa?” tanya Zakir lantas ikut memandang ke belakang. Johan memandangnya dengan dada turun naik menahan marah.
“Sorry. Tak menyesal,” ujar Zakir selamba.
Johan menerpa mahu mendapatkan Zakir, namun Ariana lebih cepat membentengi teman baiknya itu.
“Dia bergurau ajalah, Abang Johan. Chill.”
“Kau jaga sikit mulut tu. Pecah muka kau nanti!” ucap Johan sebelum dia berlalu dari pantri itu. Mulalah dia terasa hendak mengamuk saja.
“Eleh… marah konon! Dia sakitkan hati isteri dia tak apa pulak. Aku sebagai secret admirer Puan Azlyn tu, terasa hati, tahu tak? Aku tak suka tengok dia merana. Aku pun ikut menderita. Cubit paha dia, paha aku ni yang merah,” ucap Zakir.
Gelak Ariana meledak lagi. Geli hati dengan gelagat gila-gila si Zakir.
“Hei, buat apa kat situ lagi? Tak ada kerja ke?” sergah Adrean tiba-tiba.
Terkulum senda gurau dua manusia itu saat terpandangkan Adrean berdiri tidak jauh dari pintu pantri itu memandang mereka berdua.
“Baru nak breakfast,” jawab Ariana lantas berjalan ke arah pintu.
“Dah dekat pukul 9. Breakfast apa lagi? Pergi buat kerja sana! Asyik gelak aja. Awak tu dah bertunang, cubalah gelak tu perlahan sikit. Ni gelak macam puntianak,” tegur Adrean kepada adiknya. Sempat memandang Zakir yang berjalan menunduk.
“Selamat pagi Dato’,” ucap Zakir dalam nada membodek.
“Selamat pagi,” jawab Adrean lantas menggeleng melihat gelagat dua manusia itu. Entah apalah yang seronok benar. Ketawa sampai dia di luar pun boleh dengar.
Dua sekawan itu berjalan ke arah bilik masing-masing. Secara tidak langsung melintasi bilik General Manager. Spontan Lyn mengangkat pandangan. Terpandangkan Ariana, mereka bertukar senyuman. Sudahnya Zakir ikut merasa bahagia melihat senyuman itu.
“Tak boleh jadi ni. Aku nak ‘ayat’ jugak!” ucap Zakir lantas berpatah balik ke bilik General Manager, membuatkan Ariana terkejut.
“Zakir, you nak mati ke apa???” tukas Ariana kalut.
Zakir hanya buat tidak dengar. Dengan muka selamba lelaki muda itu menempel di ambang pintu dengan sengih kerang
Lyn terus tergamam memandang gelagat Zakir.
“Puan Azlyn, cantik puan hari ni. Sudi tak kiranya puan keluar dating dengan saya?”
“Excuse me? Apa you cakap?” tekan Lyn benar-benar terkejut.
“Saya…. adoi…” Tidak sempat Zakir mahu mengulang bicaranya. Ariana sudah menarik telinganya agar berlalu segera.
“Jangan layan dia, kak. Dia gila!”
“Aduh! Aduh! Putus telinga aku, Ary! Aku belum habis cakap lagi. Puan Azlyn, saya dah tak sanggup lagi memendam rindu. I love you!” Ucapan itu sekadar mampu diberikan daripada jauh. Perit telinganya akibat ditarik Ariana.
Beberapa kakitangan terdekat ikut tercengang melihat keberanian Zakir cuba mengurat wanita seorang itu. Tidak kurang, Lyn juga ikut tercengang dengan apa yang berlaku. Baru hari pertama dia bergaya sakan, dah ada mengajak dia keluar dating. Sudahnya dia ketawa sendiri sambil menepuk dahi.
“Kau nampak tak GM baru hari ni?” tanya Syafikah sambil berdiri di tepi meja Syiha.
“Apasal pulak kau cakap pasal dia dekat aku?”
“Budak-budak ofis hari ni bercakap pasal dia. Kau dah nampak dia tak?”
“Tak. Ada apanya?” balas Syiha.
“Cantik gila aku cakap kau! Serius aku cakap. Selalu dia simple aja. Hari ni memang buntang mata budak-budak ofis pandang,” giat Syafikah. Sengaja hendak menjolok kemarahan Syiha.
Syiha mencebik sedikit. Cantik pun apa guna, suaminya sudah tidak mahu!
“Hei! Kau dengar tak ni?”
“Dengarlah! So, kau nak aku buat apa?”
“Aku tak rasa suami dia tak hairan dengan semua tu. Habislah kau. Tergugatlah kedudukan kau. Takkanlah Encik Johan tu buta mata hati lagi, tak nampak isteri dia cantik macam tu?” ujar Syafikah lantas ketawa.
Syiha mencebik, tidak hairan. Tidak gentar langsung. Cantik? Dia pun cantik juga. Dan kelebihannya, dia muda. Anak dara lagi! Kalau tidak, masakan Johan tergila-gilakan dia.
Namun ketika jam 10 pagi, dia sempat ternampak wanita itu berjalan di hadapan department mereka. Termasuk dia, semua kepala mencanak memandang ke arah Lyn.
“Pergh!!! Nasiblah isteri orang. Hati aku macam dah nak tergolek. Mata tak boleh pandang tempat lain. Makan tak kenyang mandi tak basahlah jawabnya,” ucap salah seorang lelaki tidak jauh dari situ.
Kata-kata itu disambut tawa oleh yang lain.
“Tak payah pandang sangatlah. Suami dia juga yang untung dapat belek malam-malam. Korang dapat berangan aja,” balas kakitangan perempuan pula.
Syiha mendengus tidak senang. Hati lekas dipagut rasa iri dan dengki.
Usai waktu makan tengah hari, tandas kakitangan perempuan sememangnya penuh padat dengan para pengguna. Beberapa orang kakitangan berlonggok mengenakan alat solek di cermin. Seorang demi seorang berlalu setelah selesai. Ketika ruangan itu sudah hampir kosong, Lyn muncul di situ.
Dua orang perempuan yang masih setia menghadap cermin saling berpandangan.
“Hello ladies,” tegur Lyn sebelum dia masuk ke salah sebuah tandas.
“GM baru tu ke?” bisik salah seorangnya.
“Yes,” jawab temannya.
“Cantik. Cantik macam tu pun dicurangi juga, kan? Pelik aku dengan husband dia tu,” bisik perempuan tadi.
“Tapi susah senyum. Nampak sombong. Agaknya sebab tu laki dia cari lain.” Mereka berbalas-balas bisikan.
Secara kebetulan seorang lagi perempuan tiba-tiba muncul di situ. Kedua-duanya senyap serta merta. Namun tidak ingin berlalu dari situ biarpun sudah selesai menempek make up. Giliran Syiha pula menempek make up setebal-tebal yang boleh agar kelihatan lebih menarik berbanding orang lain.
Dua orang itu memandang dengan ekor mata melihat Syiha menggunakan make up berjenama Mary Kay. Terpampang jelas jenama itu pada beg yang dibawanya. Bukan main senang hati Syiha mengenakan make up ke muka. Bangga dirinya menjadi bahan tontonan. Namun kemudian dia terpaku memandang cermin setelah salah sebuah pintu tandas terbuka.
Lyn berlalu ke cermin, berdiri sedikit jarak daripada Syiha. Ketika membasuh tangan, dia sempat mengerling Syiha yang kaget.
Lyn membuka dompetnya, mengeluarkan sebatang lipstik lalu memandang cermin sambil mengenakan lipstik itu. Tiga perempuan itu terpaku begitu sahaja dengan gelagat Lyn. Lebih-lebih lagi Syiha. Nampak terkejut riak wajahnya apabila terpandangkan simbol pada penutup lipstik itu.
“What?” tegur Lyn hairan dengan gelagat tiga wanita itu.
“Puan pakai make up brand apa?”
“CD.” Lyn kembali memandang cermin. Sesungguhnya dia tidak gemar membawa beg alat solek sepertimana musuh ketatnya itu. Memadai sebatang lipstik dan bedak.
“Puan anak dah 3, body cantik lagi…. pakai rahsia apa ek?”
“Don’t eat too much,” jawab Lyn sambil membetulkan warna lipstik di bibirnya. Kemudian dia mencapai penutup lipstiknya sebelum kembali memandang tiga perempuan itu.
“And I work hard for what I want. I tak goda suami orang untuk dapatkan apa yang I nak. I tak paksa husband I atau husband orang lain belikan ‘Mary Kay’ untuk I. I kerja dan beli sendiri,” ujar Lyn sebelum dia mencapai dompetnya. Lipstik itu disimpannya ke dalam beg kecil itu sambil memandang Syiha.
Syiha kejung di hadapan cermin tidak mampu menjawab. Manakala dua perempuan itu menekup mulut.
Lyn berlalu dari situ tanpa menunggu lagi.
“Christian Dior beli dengan duit sendiri, you.” Salah seorang berbisik sambil mengerling sinis beg make up Syiha. Seorang lagi ketawa geli hati.
“Anak dara ni… semua anak dara cantik. Tapi perempuan dah kahwin ni, berapa kerat aja mampu maintain cantik macam tu, ya tak? Sebelum kahwin bolehlah tempek make up setebal-tebalnya. Sejam depan cermin pun boleh. Tak ada anak nak jaga. Lepas kahwin, kalau masih boleh tempek make up sejam depan cermin dalam keadaan anak ramai, susah! Ada perempuan yang dah kahwin, tak sampai seminit duduk depan cermin pun dah nampak perfect. Itu yang I salute. Kiranya kita yang anak dara ni kena surrenderlah. Dah kalah!”
Syiha panas buntut mendengar bicara gadis itu.
“Apa maksud korang ni hah?” bentaknya geram.
“Eh! I tak cakap pasal you pun. Terasa ke?” Kedua-duanya berlalu tanpa memperdulikan Syiha.
Syiha mengertap bibir. Mulalah sakit hatinya dipagut cemburu. Tak mungkin wanita itu tidak mengikis suaminya. Tidak mungkin! Sampai hati Johan tidak memberitahunya tentang semua ini.
Keluar dari tandas, Syiha segera pergi mencari Johan di biliknya. Johan tercengang memandang gelagat gadis itu.
“Abang, Syiha nak cakap dengan abang!”
“Ada apa?” balas Johan sekadar acuh tidak acuh.
“Isteri abang sengaja cari pasal dengan Syiha.”
“Dia buat apa?” tanya Johan biasa.
“Dia perli Syiha. Tahulah dia punya make up branded. Tak payahlah nak perli-perli!” tegas Syiha bengang.
Johan menghela nafas perlahan sambil menyapu dahinya.
“Hal kecik aja. Biarlah. Hal macam tu pun nak gaduh ke? Perempuan!” desis Johan perlahan.
“Biarlah abang kata? Berapa duit abang habis belikan dia barang-barang macam tu hah?” jerkah Syiha siap dengan mata membuntang.
“Apa lagi ni? Abang mana tahu semua tu?” tekan Johan, malas hendak melayan kerenah seumpama itu.
“Syiha tahu, mesti abang yang belikan dia semua tu, kan? Tak adil!”
“Abang tengah kerja ni, Syiha. Pergilah balik tempat Syiha. Kalau Ariana nampak nanti, tak pasal aja Syiha kena marah.”
“Syiha sakit hati. Dia selalu ganggu Syiha. Syiha tak pernah kacau dia pun! Kenapa? Dia buat semua ni sebab nak menang, kan? Dia nak menunjuk yang dia lebih cantik daripada Syiha.” Macam bertih goreng mulut Syiha memuntahkan kata-kata. Cuba membenamkan hasutan ke dalam diri Johan.
Johan tunduk dengan helaan nafas panjang.
“Sudahlah tu. Hal temeh-temeh macam ni pun nak gaduh,” balas Johan sedikit bergetar suara menahan marah. Tidak kuasa hendak memikirkan semua itu. Hairan sungguh dia dengan orang perempuan. Tentang itu pun boleh jadi gaduh ke?
“Abang biarkan aja isteri abang buat sesuka hati! Patutlah dulu susah sangat nak tunjuk siapa isteri abang!” marah Syiha lagi.
Johan menoleh ke arah Syiha.
“Jadi Syiha nak abang buat apa? Pergi marah dia?”
“Yalah! Syiha tak sukalah perangai dia tu. Berlagak!”
Johan diam.
“Tak kuasa aku. Karang aku yang putih mata lagi!’ hati Johan berkata-kata sendiri.
“Abang takut dengan isteri abang ke?”
“Pergi balik tempat Syiha. Dah pukul 2.30 ni. Orang lain semua dah start kerja. Abang tak kuasa nak dengar benda merepek macam ni. Pasal barang make up pun nak gaduh,” balas Johan. Belum beristeri dua lagi dia dah pening dengan kerenah kedua-duanya. Kalau dah berpoligami, haruslah kurus kering dia dibuatnya.
Syiha mengertap bibir melihat Johan hanya cakna tidak cakna sahaja kepadanya.
“Pergi buat kerja Syiha. Abang tak suka dengar lagi hal macam ni.”
Mahu tidak mahu Syiha keluar juga. Johan menggeleng sendiri. Tidak muat otaknya hendak disumbat dengan hal seumpama itu.
Selesai kerjanya, Johan bangun bersama dokumen di atas meja. Kakinya dihalakan ke bilik isterinya.
Lyn mengangkat pandangan setelah lelaki itu masuk.
“Proposal baharu,” ucap Johan lantas meletakkan dokumen tebal itu ke atas meja Lyn.
Lyn memandang seketika kulit dokumen itu. Terpandangkan nama ‘Kel. Ngampilan Kecamatan Yogyakarta’ tertera dia situ. Seterusnya dia mengangguk sebelum mengambilnya lalu diletakkan dekat dengan komputernya.
“Tak mahu semak dulu?” tanya Johan.
“Later. You may go now,” sambut Lyn tanpa memandang lelaki itu. Namun bicaranya tidak diberi perhatian oleh Johan sama sekali.
Johan bercekak pinggang memandang isterinya. Tidak puas hati dengan reaksi Lyn. Bersusah payah dia menyudahkan kerjanya dengan cepat. Isterinya juga yang meminta proposal itu siap segera. Itu saja reaksinya?
“Ada apa lagi?” tanya Lyn lantas memberikan tatapan Klang buat suaminya itu.
“Sekurang-kurangnya selaklah dulu. Tengok apa yang kurang.”
“I nak baca lepas you pergi. Sekarang you boleh pergi,” jawab Lyn dengan kerutan di kening.
Johan menggaru keningnya sedikit. Sebetulnya dia mahu terus berada di situ. Pandang apa yang dia suka pandang.
Lyn menghela nafas perlahan sebelum dia mencapai dokumen itu lalu dibukanya. Membaca mukadimah proposal itu dengan cepat. Namun tanpa dapat ditahan, dia menyelak helaian-helaian seterusnya.
Johan sekadar memandang isterinya khusyuk membaca proposal itu. Lyn menyelak muka hadapan semula, mencari tajuk yang hendak dibacanya. Seterusnya dia melangkaui ke bahagian tengah.
I fell in love with you. Not for how you look, but for who you are
Kening Lyn berkerut sebelum kertas itu diramasnya lalu dibuang ke dalam tong sampah di bawah meja.
Terkejut Johan melihat perbuatan isterinya. Dia buang begitu sahaja???
Lyn kembali memandang proposal itu tanpa memberi sebarang komen tentang nota itu.
Johan menggaru kepalanya. Hampa!
“Lyn buang macam tu aja kertas itu?”
“What else?” jawab Lyn selamba tanpa memandang lelaki itu.
Cadangan Pampasan
Terdapat lebih kurang 19 buah rumah haram telah didirikan di atas tanah tersebut. Cadangan pampasan untuk mengambil semula hak tanah yang telah didiami selama lebih 10 tahun oleh penduduk tempatan.
Harga Tanah (nett) - Rp. 2,900,00/m2
Pampasan (nett) - RM 359859.68 (Rp 128,2270,000)
“Berapa percent pampasan kita beri berdasarkan harga tanah?”
“Macam yang kita bincangkan sebelum ni, 5 percent.” Johan menjawab pantas.
Lyn mengangguk dua tiga kali. Puas hati dengan jawapan suaminya.
“Okey. I semak selebihnya nanti,” ucap Lyn lantas memandang Johan semula.
“Abang nak handle projek ni,” ucap Johan bersungguh-sungguh. Serik dia. Dia yang bersusah payah, sudahnya Rosman pula yang dapat nama.
“This is your project,” jawab Lyn biasa.
“Sure?” tanya Johan.
Lyn sekadar mengangguk.
Seketika kemudian, Johan mendekati Lyn di balik meja. Tubuhnya didekatkan ke arah wanita itu.
“Abang maksudkan apa yang abang tulis tu.”
“I bukan budak-budak lagi. I tak hairan dengan love quete yang boleh dikutip dari Internet,” jawab Lyn sedikit sinis.
“Sampai macam tu sekali?” Kening Johan berkerut sedikit.
“Apa lagi yang you nak?” balas Lyn lantas menoleh mencari pandangan suaminya itu. “You nak I terkinja-kinja suka? Tak ada ertinya lagi pada I, Johan. Don’t treat me like I’m stupid.”
Johan menegakkan semula tubuhnya. Tercabar. Namun dia sedar, dalam keadaan ini egonya tidak lagi punya harga. Hanya akan memburukkan keadaan.
“Sana you nak, sini pun you bermanis mulut. Mana satu ni? You ingat I toy ya?” ujar Lyn lantas ketawa kecil.
“Abang dah tak ada apa-apa lagi dengan dia,” jawab Johan bersungguh-sungguh.
“Really?” Lyn menggeleng tanda tidak percaya. Masakan semudah itu lelaki ini meninggalkan Syiha?
“Lyn, kita masih boleh cuba selamatkan perkahwinan ni. Abang tahu abang yang buat salah…” Belum sempat Johan habis berbicara, Lyn sudah mencelah.
“You yang hancurkan perkahwinan ni, sekarang yang sebut ‘kita’? Kenapa I yang kena berhempas-pulas bersama you sedangkan you yang pilih keadaan ni sebelum bertanya pendapat I? Ada apa sebenarnya? Tiba-tiba you rasa perkahwinan ni penting berbanding kehendak you bak berbini seorang lagi.”
“Abang tak pernah anggap perkahwinan ni tak penting, Lyn.” Johan segera menyanggah.
“Ya ke? Jadi, untuk apa you hancurkan hati I demi wanita lain? Kalau perkahwinan ni penting, you takkan buat sehingga keadaan jadi macam ni, Johan.”
Johan menghela nafas perlahan. Tidak terjawab akan bicara isterinya itu.
“It’s okay…” ucap Johan perlahan sebelum dia berpaling untuk berlalu. Tidak tahu bagaimana lagi hendak memujuk isterinya itu. Buntu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan