Beberapa hari lalu dia memasang keinginan untuk bertemu Ariana, baru kini dia mampu melakukan kerana kesibukannya di tempat kerja. Ketiadaan Johan kerana ke luar negara sebelum ini membuatkan dia terkejar-kejar mahu lekas pulang ke rumah.
Setelah Johan pulang semalam, barulah kini dia dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan Ariana. Kebetulan pula hari ini dua penerbangan dari Dubai yang seharusnya tiba jam 2 petang tadi telah dibatalkan. Kelapangan yang ada ini digunakan sebaiknya untuk merungkai teka teki dalam kepalanya.
“Apa maknanya semua ni, Ary?” soal Lyn setelah bertemu dengan Ariana di Restoran Ole-Ole Bali di Sunway Piramid tengah hari itu.
Ariana memandang seketika kakak iparnya itu. Surat yang dikirimkan kepada Lyn melalui Bibik Sutinah tempoh hari, kini kembali ditunjukkan Lyn kepadanya. Matanya memandang surat itu lama sebelum kembali memandang kakak iparnya. Terasa sukar untuk dia berterus terang tentang keadaan sebenar, namun merahsiakannya daripada Lyn juga dia tidak sampai hati. Dia sudah tidak sanggup melihat kakak iparnya yang selama ini rapat dengannya terus ditipu dengan sandiwara abangnya itu.
“Cakaplah, Ary. Jangan diam aja macam ni. Akak tak faham tentang semua ni. Tolonglah akak,” pinta Lyn separuh merayu. Resah hatinya melihat Ariana yang hanya diam membisu.
“Sebenarnya Abang Johan ada perempuan lain, kak.” Sebaris ayat itu meluncur perlahan daripada mulut Ariana.
Lyn yang mendengar bungkam jadinya. Lidahnya kelu. Mulutnya yang sedikit terbuka ditutup dengan tangan. Terasa nafasnya kian sesak setelah mendengar sesuatu yang amat ditakutinya. Kalau lebih seminggu yang lalu dia hanya mendengar spekulasi sahaja daripada Bibik Sutinah, kali ini dia dihidangkan dengan kebenaran. Tanpa dapat ditahan matanya berkaca.
“Ya ke? Mana Ary tahu?” soal Lyn lantas menyeka air matanya yang mahu gugur. Cuba dikuatkan semangatnya agar hakikat ini dapat didepaninya dengan sabar. Dia perlukan bukti dan bukannya cakap kosong. Siapa yang suka jika suaminya dituduh sembarangan?
“Ary tahu sebab budak ni budak department Ary sendiri. Dia budak lepasan diploma UITM. Baru beberapa bulan bekerja di NH sebagai sales person. Sebelum ni Ary ada dengar desas-desus tentang hal itu. Tapi Ary tak percaya sebab Ary tak nampak apa-apa yang pelik dengan perangai Abang Johan waktu dekat pejabat. Tapi sebelumnya akak balik hari tu, Ary nampak dia orang dekat True Fitness KLCC.”
“Mungkin dia orang sekadar kebetulan datang kat situ aja kut.” Lyn memintas dengan anggapan itu. Masih berharap agar segala yang dikatakan Ariana itu sekadar omong kosong sahaja. Masih enggan percaya suaminya berubah laku sehingga begitu.
“Kak, Ary tahu akak mesti susah nak terima kenyataan ini. Tapi mereka bukan sekadar kebetulan bertemu. Tapi tiada kebetulan dengan waktu itu, kak. Ary nampak perempuan itu duduk atas riba Abang Johan. Kalau dah bergelak ketawa mesra, lepas tu berpegangan tangan, takkan masih kebetulan lagi? Mata Ary ni yang nampak sendiri! Ary tak tipu! Surat yang Ary bagi itu bukti jelas. Abang Johan belikan perempuan itu kereta! Bagi perempuan itu duduk kondo dia di Pantai Hill Park,” tekan Ary dalam kelembutan berbicara.
Semakin terkelu Lyn mendengar cerita Ariana. Dadanya berombak kencang.
“Lagipun dah ramai sangat orang yang bercerita hal yang sama. Masakan semuanya bohong? Sebab tu waktu akak balik dari Dubai hari itu, Ary nak sangat jumpa akak sebab Ary nak akak tahu tentang ni. Semakin lama nanti semakin teruk Abang Johan tu jadinya. Perempuan tu ketuk duit Abang Johan kawkaw. Abang Johan dah ditimbun dengan hutang. We must stop him before it’s too late!”
Lyn tersandar di kerusi itu. Air matanya bertakung dan dengan pantas mengalir di pipi. Perlahan dia menekup mulutnya cuba menahan diri daripada meraung di situ. Dia tenggelam dengan lautan kekecewaan yang amat menyakitkan. Tidak disangka, suaminya yang amat dipercayainya selama ini sanggup membuat begini kepadanya.
“Kak, sabarlah. Ary akan tolong akak.”
“Tolong apa Ary? Tolong nasihatkan dia? Orang yang tengah mabuk asmara ni nak dengar ke nasihat orang lain? Patutlah dia sekarang macam dah tak suka balik ke rumah. Akak memang rasa dia dah berubah. Tapi akak tak sangka sampai macam ni sekali perubahan dia. Puas akak fikir apa yang tak kena dengan diri akak ni yang menyebabkan dia berubah, dah tak macam dulu. Akak sangka dia kecil hati dengan akak sebab akak nak terus kerja dengan Emirates. Tapi rupanya tak. Rupa-rupanya dia dah ada orang lain. Akak yang bodoh masih tidak tahu yang dia tengah dilamun cinta baharu! Patutlah dia macam nak tak nak aja dengan akak,” balas Lyn agak lirih.
Teringat dia dahulu sewaktu Johan mahu memikatnya, apa sahaja Johan sanggup buat untuknya. Itu jugakah yang telah Johan lakukan kepada wanita muda itu? Jika tidak, masakan hutang kad kredit Johan boleh setebal itu jadinya?
“Don’t give up! Akak ada kami semua. Kami akan tolong akak,” pujuk Ariana bersungguh-sungguh.
Lyn teresak sayu di situ. Meluahkan sendu tanpa dia mengetahui di mana letak dirinya kini di sisi Johan. Terasa apa yang sedang melanda rumah tangganya ini seperti satu mimpi. Mimpi yang amat ngeri! Kasihnya terlalu dalam terhadap lelaki itu.
Tanpa kehadiran Johan bagaimanakah hidupnya nanti? Tegakah dia melihat Johan dimiliki wanita lain? Dia? Lalu memilih untuk hidup sendiri, ataupun dia harus kuatkan hati untuk meneguk setiap inci rasa pahit hakikatnya berkongsi suami ataupun bermadu? Mana satu harus dipilihnya agar jiwa tidak terseksa?
“Kenapa dia buat akak macam ni? Takkan dia tak ingat anak-anak dia? Aril masih kecil. Apa salah akak pada dia, Ary?” Esakan Lyn terus kedengaran sayu dalam dia melontarkan pertanyaan itu.
“Akak, ini bukan salah akak. Dia orang tu baru bermula, sedangkan akak kenal Abang Johan dah lama. Ary cakap dengan akak ni pun sebab Ary sayangkan akak dan anak-anak buah Ary tu. Ary pun tak mahu Abang Johan terus tersalah arah. Akak kena bertanya terus pada dia tentang ni!” tegas Ary enggan ikut sama lemah seperti Lyn.
“No! Akak tak sanggup nak dengar pengakuan dia. Kalau akak dengar pengakuan dia nanti, akak tak tahu macam mana akak nak teruskan hidup,” luah Lyn pula. Terlalu lemah untuk dia menghadap kenyataan ini. Kerana selama ini dia merasakan dirinya terlalu selesa dengan kehidupannya tanpa memikirkan kemungkinan itu akan berlaku kepadanya.
“Tak sangka… akak ingat dia lain daripada semua lelaki yang akak kenal selama ni. Tapi akak salah! Dia sama aja! Manisnya kata bila mengukir janji. Dulu waktu memikat, bulan dengan bintang tu pun macam boleh dipetik dengan tangan. Tapi belum 10 tahun kami berkahwin, dia dah berubah hati. Sekarang, bila kebahagian dah ada depan mata, segala janji hilang entah ke mana. Dasar lelaki! Tak pernah cukup dengan satu!” desis Lyn kelat.
Ariana terpaku memandang kakak iparnya itu. Tidak mahu berkata apa. Harapannya Lyn ada rancangan yang mampu membuat abangnya kembali setia. Sebagai ahli keluarga, dia akan bersedia untuk membantu dan menyokong apa sahaja yang terbaik untuk kakak ipar dan abangnya itu.
“Akak patut cakap dengan mummy dan daddy pasal ni.”
“Jangan, Ary! Jangan cakap apa-apa pada daddy. Akak tak mahu daddy susah hati sampai dia sakit. Biarlah dulu… ini masalah rumah tangga akak. Biar akak fikirkan apa yang patut dibuat. Akak tak rasa kalau daddy ataupun mummy ikut campur, Abang Johan akan suka. Silap-silap semakin memberontak dia jadinya. Bukannya tak pernah jadi macam tu sebelum ni,” tegas Lyn menolak cadangan Ariana itu.
Dia tahu sangat perangai Johan. Jika kehendaknya tidak dipenuhi, dia akan memberontak. Itulah yang pernah terjadi kepada mereka berdua dahulu apabila bapa mertuanya itu menolak untuk menerima bekas kekasih Johan sebagai pilihan Johan. Sebaliknya Johan dipaksa berkahwin dengannya.
Hampir 2 tahun hubungannya dengan Johan bergolak. Dia juga ikut menerima tempias kebencian Johan kepadanya dahulu sehingga dia pernah bertekad untuk menghancurkan hidup lelaki itu. Namun semua dendam itu bukan sahaja memusnahkan hidup Johan, tetapi hidupnya sendiri kerana saat itu dia sendiri pun sebenarnya sudah lama jatuh cinta kepada lelaki itu.
“Akak!”
Lamunan Lyn tercantas apabila telinganya diterpa suara Ariana.
“Ary tahu akak kecewa. Kalau Ary di tempat akak pun Ary akan rasa macam tu. Tapi akak jangan lemah. Kami semua ada dengan akak. Tak ke mana perginya Abang Johan tu tanpa restu keluarga.”
“Cukuplah dia dah pernah dipaksa berkahwin dengan akak dulu, Ary.”
“Takkan akak nak mengalah macam tu aja? Akak, perempuan tu tak ikhlas pada Abang Johan. Takkan akak sanggup tengok perempuan tu musnahkan hidup Abang Johan?”
“Tapi Abang Johan suka dia, Ary. Patut ke akak halang perasaan dia?”
“Abang Johan tu cuma ditipu oleh rupa luaran perempuan tu. Akak jangan cepat berputus asa. Fikirkan anak-anak akak. Kita kena kembalikan dia yang dulu,” pujuk Ariana cuba menaikkan semula semangat Lyn.
“Entahlah…. akak tak tahu nak buat apa. Bagi akak masa, Ary…” putus Lyn akhirnya. Hanya itu yang dia ada buat masa ini.
Usai pertemuan dengan Ariana, Lyn terus pulang ke rumah. Dia tidak dapat menumpukan perhatiannya pada kerjanya lagi, lalu segera urusan di KLIA diletakkan seketika di bahu pembantunya, Mona.
Dia hanya berkurung di dalam bilik bersama Zairyl melayan hati yang retak sehingga ke lewat petang. Di atas katil, anak itu dilayannya. Cuba dipujuk kesedihannya dengan memerhatikan keletah manja Aril. Namun setiap kali memandang anaknya itu, semakin itulah air matanya mengalir. Lyn terkenangkan masa depan anak-anaknya.
Kepiluannya ditambah lagi selepas jam melepasi angka 6 petang, Johan ada mengirimkan WhatsApp kepadanya dengan memberitahu ada banyak kerja di pejabat sebagai alasan tidak dapat pulang awal.
Jam 12.15 pagi barulah Johan pulang ke rumah. Bilik itu sudah gelap namun dia tidak tahu, sekujur tubuh yang kelihatan kaku di atas katil itu sebenarnya masih segar menahan bara dalam hati.
Lyn diam menahan marah. Kalau diikutkan hatinya, memang Johan sudah ditembaknya hingga berkecai. Nantilah! Dia akan mendapatkan kepastian yang lebih lagi sebelum memaksa suaminya mengaku.
“Eh! Belum tidur lagi?” soal Johan setelah dia perasan mata Johan masih terbuka luas apabila suasana bilik itu diterangi oleh lampu tidur.
“Belum,” jawab Lyn perlahan sahaja.
“Kenapa tak tidur lagi ni?” tanya Johan mesra. Dia duduk bersebelahan dengan Lyn.
“Tak boleh tidur.” Itulah jawapan Lyn. Betapa dia benci melihat kemesraan palsu suaminya itu. ‘Seronok ke menghabiskan masa dengan kekasih hati?’ desis hatinya yang bengkak.
“Tak sihat ke? Ada masalah kat tempat kerja?” soal Johan apabila terkesan olehnya kehambaran wanita itu. Lampu tidur itu diterangkan lagi agar dia boleh melihat wajah sang isteri.
Namun tindakannya secara spontan membuatkan Lyn terpandangkan bahagian pipi Johan turut diterangi lampu kuning itu. Paling tidak disangka oleh Lyn apabila matanya terkesan kesan lipstik berbentuk bibir di pipi suaminya saat lelaki itu mendekatkan wajahnya ke arah lampu itu.
Enggan membiarkan Johan melihat wajahnya, Lyn segera memalingkan tubuhnya menghadap ke arah tempat selalunya Johan berbaring. Matanya dipejamkan serapat-rapatnya untuk mengawal kesedihan. Betapa saat ini dia seperti mahu meraung sekuat-kuat hati.
‘Kenapa ini yang kau hadiahkan kepada aku, Johan?
Kenapa aku yang harus menerima semua ini?’ rayu hatinya dalam hiba yang teramat dalam. Betapa tidak adil sungguh Johan kepada dirinya setelah dia menyerahkan seluruh perasaannya kepada lelaki ini untuk disayangi; lelaki itu menghadiahkan dengan kenyataan ini.
“Sayang, kenapa ni? Marahkan abang ke?” soal Johan cuba membalikkan semula tubuh isterinya itu agar memandangnya.
Namun Lyn pantas menolak tangan Johan di pinggangnya.
“Kenapa ni?” soal Johan lagi. Tidak mengerti mengapa tiba-tiba isterinya bersikap begini.
“Abang banyak kerja tadi. Sebab tu abang balik lambat,” jelas Johan lembut.
‘Cukuplah kau menipu aku!!!’ hati Lyn menjerit lantang. Namun biarpun hatinya berperang hebat, tetapi mulutnya terkunci rapat. Sesungguhnya dia tidak sanggup untuk bertanya lebih-lebih kerana dia amat takut untuk mendengar sendiri kenyataan itu daripada mulut suaminya. Namun ditipu begini juga dia teramat sakit.
“Yang…. pandanglah sini,” pinta Johan lembut. Bahu Lyn diraihnya. Lyn sekali lagi menolak tangan lelaki itu.
Johan terpaku memandang reaksi isterinya itu. Tiba-tiba dia menjadi orang yang paling bodoh untuk memujuk. Menghilang jauh sifat penyayangnya terhadap wanita itu. Lalu tanpa kata, dia bangun dan terus ke bilik air tanpa berkata apa-apa lagi.
Saat itulah Lyn menumpahkan segala kesedihannya. Dia menangis semahu-mahunya. Betapa saat ini dia dihidangkan dengan satu dugaan yang amat berat untuk digalas. Oh, beginilah rasanya apabila dikhianati seseorang yang amat disayanginya!
Beberapa minit sebelum maghrib menjelma, Lyn tiba di rumah. Di rumah, Dani dan Dina kelihatan begitu senang sekali menonton TV yang membingitkan. Lyn jadi rimas melihat keadaan itu, sudahlah dia sedang keletihan. Kini dia melihat anak-anaknya itu seronok sekali menghadap TV. Satu kepantangan yang amat besar bagi dirinya melihat itu semua!
“Perlahankan TV tu,” arahnya.
Namun dua anaknya itu hanya buat bodoh sahaja bagaikan tidak mendengar arahannya itu.
“Hei!!! Pekak ke? Tak boleh dengar perlahan-lahan?” Hilang sabar dengan keadaan itu, nada suara Lyn ikut meninggi melawan suara TV.
Dua anak itu menoleh memandang sang ibu yang mula menyinga. Lyn dengan pantas merebut alat kawalan jauh daripada tangan Dani dan ditekannya alat kawalan jauh itu dengan kasar sebelum dihumbannya ke dinding sehingga berkecai alat kawalan jauh itu.
Terkejut besar Dani dan Dina melihat kegarangan Lyn saat ini. Menggigil seketika tubuh kedua-duanya tatkala menadah pandangan buntang ke arah keberangan sang ibu yang selama ini sering memanjakan mereka.
“Is this the time to watch TV?” Lyn menengking dua anak perempuannya itu.
“No!” jawab Dani dan Dina serentak dalam ketakutan melihat amukkan sang ibu.
“Then, what are you doing here? Pukul 6.30, mummy kata pergi mengaji, sekarang dah nak pukul 7! Lepas maghrib nanti Bibik ada kerja lain nak buat, dah tak sempat nak mengaji. Dani dengan Dina ni nak kena ya? Semuanya nak kena cakap banyak kali. Kalau mummy mati sehari dua ni, bolehlah buat apa yang you all suka. Mummy dah tiada lagi nak larang itu ini! Anak dengan bapak sama aja! Tak habis-habis nak menaikkan darah aku!” lantang Lyn mula melepaskan kemarahannya.
Dua kanak-kanak itu berlaku dengan pantas untuk menunaikan perintah sang ibu. Bimbang jika bertangguh lagi cubitan berbisa sang ibu pula yang menjadi makanan mereka waktu maghrib begini.
Lyn menghela nafas keras melihat semak yang dibuat oleh dua anak perempuannya itu di rumah tamu. Dikutipnya satu per satu patung Barbie yang tertiarap di atas karpet bersama dengan beraneka jenis permainan lain. Sedang dia sibuk mengemas ruang tamu itu, Johan pulang. Lyn hanya memandang sekilas sahaja kepulangan lelaki itu.
“Kenapa ni, sayang?” soal Johan apabila ternampak alat kawalan jauh ASTRO itu sudah berkecai di tepi dinding. Tidak sedap hatinya melihat wajah mencuka isterinya itu.
“Awalnya balik? Tiada kerja dah ke kat pejabat tu? Atau hari ni tiba-tiba aja kat pejabat tu semuanya siap?” dalam nada sindiran Lyn bertanya.
Johan terkebil-kebil seketika.
“Kenapa marah-marah ni?” soalnya lembut.
“Hati I sakit. Anak-anak you bukan main sedap lagi tengok TV entah dari pukul berapa. Sepatutnya diaorang mula mengaji dengan Bibik pukul 6.30 tadi. Tapi diaorang tengok TV pula. Balik ke rumah, I ingat nak rehatkan otak I yang tengah berserabut ni. Tapi balik-balik rumah bersepah macam tongkang pecah,” ujar Lyn sedikit keras. Apabila hati mula meradang, panggilan mesranya buat suami juga sudah menghilang entah ke mana.
Johan tergelak menyindir pula.
“Bila mummy dengan daddy tiada kat rumah, memanglah anak-anak akan buat apa yang diaorang suka. Kalau dah tahu macam tu, baliklah awal sikit lain kali.” Kali ini Johan pula yang melontarkan sindiran itu kepada isterinya. Matanya mengerling sang isteri yang masih belum melepaskan uniform kerjanya.
“Oh! I kena duduk rumah sebab I ni mummy diaorang. Habis tu yang daddy diaorang bolehlah balik lambat ikut suka setiap hari? I sorang aja yang ada tanggungjawab educate anak-anak? Tugas you educate siapa? Perempuan-perempuan muda kat pejabat you tu?” Semakin meledak kemarahan itu apabila dia pula yang disindir semula oleh Johan.
Bagaikan disengat tebuan, wajah Johan berubah merah serta-merta.
“Jangan nak mempertikaikan apa pulak tanggungjawab I, Lyn. Tanggungjawab I yang paling jelas di sini ialah mencari rezeki untuk anak-anak dan isteri, dan I pun tak suka bila I balik dalam keadaan penat, isteri I membentak-bentak I macam ni. Make it clear to yourself!” Johan dengan hati yang panas membalas semula serangan isterinya itu.
“Selama ni, I ni tak pernah jadi mummy pada diaorang ke? Habis tu, selama ni siapa yang bersengkang mata menjaga diaorang siang dan malam? You?” bentak Lyn semula. Kepada suaminya itu dihamburkan ketidakpuasan hatinya.
‘Aku siang malam bersengkang mata jaga anak. Kau tahu sedap aja buat anak! Balik-balik, aku yang kau salahkan!’ hati Lyn membentak panas.
“Tanya diri you, anak-anak selalunya bersama you atau dengan orang gaji? Jangan pelik kalau anak lebih mendengar cakap orang gaji daripada cakap you! Esok jangan terkejut kalau Bibik tu yang diaorang panggil mummy, you pulak yang dipanggil Bibik!” tempelak Johan selamba.
Spontan Lyn mencapai salah satu permainan anaknya di dalam bakul berhampiran dengannya lalu dilemparkan kepada suaminya itu. Hampir sahaja mengenai wajah Johan. Namun lelaki itu sempat mengelak.
“That’s enough, Lyn!” tengking Johan.
“Fine! Lelaki yang tega lukai hati aku, tak akan aku biarkan, Johan. Tak akan aku biarkan!” Lyn ketawa kecil sebelum dia berlalu ke tangga.
Johan terpaku memandang gelagat isterinya. Apa maksud Lyn? Mulalah dia kalut. Lekas-lekas dia berlalu ke tangga juga. Apa jadi sekalipun dia harus memujuk segera!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan