Sedang Johan berdiri di balik mejanya, Syiha masuk ke bilik itu. Johan mengangkat pandangan.
“Kereta KIA Cerato tu sekarang kat mana?” tanya Johan.
“Ada kat kampung.”
“Serah pada bank semula. Abang akan suruh orang pergi tarik,” putus Johan dalam nada serius.
“Alah…. kenapa pulak,” desah Syiha terkejut.
“Abang dah tak mahu bayar lagi,” Johan menjawab selamba.
“Okey…” Syiha menjawab lemah.
“Keluar sana,” ucap Johan dengan pandangan tajam ke arah Syiha. Tidak senang mahu melayan gadis itu menempel lagi kepadanya.
“Syiha nak bercakap dengan abang sekejap.”
“Tak ada apa kita nak dibincangkan lagi.” Johan terus berpaling untuk mendapatkan dokumen di kabinet sudut biliknya. Bapanya meminta dia memberikan sedikit wang sebagai ganti rugi kepada Syiha. Sudah diberikannya tetapi nampaknya urusan mereka tetap belum selesai.
“Abang, Syiha cuma nak bercakap dengan abang sekejap aja,” rayu Syiha sambil mengekori Johan ke sudut bilik itu.
“Abang nak keluar ni. Tak ada masa,” ujar Johan tanpa memandang Syiha.
“Dari semalam Syiha tunggu abang. Abang, Syiha tak cukup duit nak masuk rumah sewa. Syiha kena bayar 5 ribu.”
“Sewa saja rumah yang mampu bayar. Cari rumah yang murah. Banyak rumah yang sewanya murah. Selesai masalah,” balas Johan lantas kembali ke mejanya. Komputernya dimatikan sebelum dia membuka laci, mengambil telefon bimbitnya.
“Tapi rumah tu buruk. Kena duduk ramai-ramai. Abang kan tahu, Syiha tak berapa suka duduk ramai-ramai.”
“Itu lebih baik daripada duduk bawah jambatan,” jawab Johan sebelum berlalu ke pintu.
“Munirah mana, Ida???” Tiba-tiba melengking suara Johan di hadapan pintu biliknya itu.
“Abang, dengarlah ni,” rayu Syiha sambil meraih lengan Johan. Namun lelaki itu segera menepis tangan Syiha.
“Pergi sana!!! Aku tengah kerja ni. Tak nampak ke???” Kali ini lengkingan suara Johan tertuju khas buat Syiha, membuatkan Zahidah, pembantu Johan turut terkejut di biliknya.
“Tu, Iphone tu jual! Kau ingat aku ni kilang cetak duit???”
“Nangis! Anak aku pun tak cengeng macam tu sekali! Kau ingat kau minah cendol??? Semua benda nak sesakkan dalam otak aku!” ujar Johan berang.
Zahidah tunduk sambil menekup mulut. Hendak ketawa mendengar perkataan minah cendol itu.
“Aku tengah banyak masalah, lagi kau nak tambah masalah aku,” bebel Johan sebelum dia berlalu ke arah pintu utama pejabat meninggalkan Syiha di situ. Munirah telah berada di situ menunggunya.
Zahidah tersenyum-senyum mendengar bicara lelaki itu. Tidak berani mahu masuk campur. Bukannya dia tidak tahu lelaki itu jenis kepala angin.
Setelah pintu lif terbuka, terjengul wajah isterinya. Lyn segera keluar dari ruangan kecil itu.
“Kevin ada call I,” ucap Lyn ketika dia melintasi Johan.
“Pasal apa dia call you?” tanya Johan sedikit terkejut. Sepatutnya lelaki itu menghubunginya.
“I tak tahu. Dia kata you tak jawab phone. Penting. You call dia semulalah,” ucap Lyn.
Johan mengangguk sebelum melangkah masuk ke dalam lif. Namun tiba-tiba dia menahan pintu lif.
“Lyn,” panggil Johan sambil menjengah ke luar.
Lyn berpaling semula ke arah suaminya.
“Budak-budak okey?” tanya Johan.
“Dina dengan Dani merajuk. Tak mahu pergi sekolah.”
Johan sekadar mendengar sebelum dia masuk semula ke dalam kotak lif itu. Keluhan terlepas tanpa sengaja ketika terkurung di dalam lif itu. Lekas-lekas dia menyemak telefon bimbitnya. Terlihat pesanan di peti WhatsAppnya, Kevin mahu berjumpa. Segera dia menaip balasan kepada lelaki itu. Seterusnya dia mendail nombor untuk menghubungi anak-anaknya.
“Helo…. ni Dani ke Dina?”
“Dani ada kat bilik. Daddy nak cakap dengan Dani?” jawab Dina perlahan.
“It’s okay. Daddy bercakap dengan Dina pun boleh.”
“Bila daddy nak balik?” tanya Dina mula rendah suaranya. Macam orang sedih.
“Daddy kerja jauh. Esok lusa baru daddy datang jumpa Dina ya?” balas Johan lantas keluar dari lif.
Munirah mengekori lelaki itu sambil menelinga dalam diam perbualan Johan.
“Alah… tak bestla. Kenapa daddy kerja jauh-jauh? Dina nak balik rumah kita. Kat sini tak best,” rengek Dina.
Johan ketawa perlahan.
“Janganlah sedih. Nanti daddy nangis. Siapa nak pujuk daddy? Sekolah macam mana?”
“Hmm…. tak best. Dina tiada kawan.”
“La…. kenapa pulak?”
“Semua orang tak suka kawan dengan Dina dan Dani. Daddy, Dina nak balik sekolah lama. Please?”
Johan menghela nafas payah.
“Mula-mula memang macam tu. Sebab dia orang tak kenal Dina dan Dani. Lama-lama nanti okeylah.”
Dina diam di hujung sana.
“Sayang daddy, janganlah sedih. Esok daddy pergi jumpa Dina ya? Boleh?” pujuk Johan.
“Boleh.” Hambar sahaja jawapan anak itu.
“Okey. Daddy nak kena pergi kerja ni. Daddy tak mahu Dina sedih-sedih lagi. Daddy susah hati.”
“Okey.”
“Bye sayang. Love you.”
Johan menghela nafas panjang setelah mematikan talian. Mulalah runsing dengan masalah anak-anaknya pula.
Biarpun naik kereta yang sama, dua manusia itu tidak banyak berbual. Munirah si kaki kerja, tidak habis-habis membelek dokumen kerja. Johan pula asyik memikirkan anak-anaknya.
Tiba di tapak projek, Johan terpandangkan lelaki bernama Kevin itu berjalan ke arahnya di hadapan pintu masuk.
“Bos!” Lelaki Cina itu mengangkat tangan sebagai menyapa.
Johan memandang Munirah seketika.
“Tunggu kejap. I ada hal.”
Munirah sekadar mengangguk lalu menjauhkan diri daripada dua lelaki itu.
“Apa cerita?” tanya Johan sambil bercekak pinggang memandang lelaki itu.
“Sudah jumpa,” ujar Kevin perlahan.
“You jumpa itu kereta kat mana?” soal Johan. Sedikit lega mendengar berita itu.
“Di Bentong. Tapi ada masalah. Itu kereta dia punya adik lelaki sudah sorok. Kita tak boleh tarik. Kalau saya punya orang pergi ambil juga, nanti kena tangkap sama polis. Apa macam?”
“Kurang ajar!” desis Johan. Sudah tahu benar akan taktik itu. Dia membuang pandang. Buat seketika dia berdiam memikirkan apa yang perlu dibuat untuk mendapatkan semula kereta itu.
“Bila you mahu pergi sana?” tanya Johan.
“Bila-bila you free, kita pergi.”
“You ada kawan pandai curi kereta?”
Kevin menyengih sebelum menjawab.
“Adalah. Tapi tak boleh bising-bising.”
“I pergi sekali sama you hari Jumaat ni. Kita ambil itu kereta.”
“Okey, bos.”
Johan termenung seketika. Sakit pula hatinya dengan gelagat keluarga Syiha. Mempermainkannya seperti ini.
“Kau ingat aku tak boleh ambil balik kereta tu?” desis Johan bengang. Geram yang berkati-kati menunggu masa saja untuk dibalas.
Lewat petang itu barulah Johan kembali semula ke pejabat. Sempat terpandangkan isterinya berjalan menuju ke keretanya. Johan berlari anak mendapatkan wanita itu. Lyn yang masih tidak sedar kehadiran suaminya segera membuka pintu. Dan tanpa sengaja dia menonggeng sesaat dua di celahan pintu untuk meletak barangan di kerusi sebelah sana. Tidak tahu ada mata memandang penuh minat.
“Ehem….” tegur Johan.
Lyn menoleh ke belakang.
“Eh! Bila masa you ada kat sini?” tanya Lyn terkejut.
Johan tidak menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya dia mendekatkan diri ke pintu kereta yang sedang terbuka luas.
“Abang ada call anak-anak tengah hari tadi. Abang bercakap dengan Dina.”
“Apa dia cerita?”
Johan menggaru dahinya seketika sebelum menjawab.
“Abang ambil dia orang berdua esok, ya?”
“Okey. Tapi bila?”
“Tengah harilah. Malam abang hantar balik.”
“Aril?”
“Aril biarlah dengan Lyn. Abang nak bercakap dengan dia orang berdua.”
“Okey,” jawab Lyn ringkas. Seterusnya dia masuk ke dalam kereta. Masih lagi menanti apa lagi yang mahu diucapkan oleh Johan. Tetapi lelaki itu terus sahaja menutup pintu kereta itu.
Lyn menurunkan cermin jendela kereta.
“Ada apa-apa lagi?”
“Tak ada. Baliklah cepat. Nanti bising pula mak cik dua orang kat rumah tu.”
Tanpa sengaja Lyn tergelak sedikit.
“Okey.”
“Hati-hati, sayang.”
Lyn sekadar mengangguk. Sempat memandang pemergian suaminya itu melalui cermin pandang belakang. Secara tidak sengaja dia terlihat kelibat Syiha berdiri seperti mahu menunggu Johan. Lekas-lekas dia menoleh untuk melihat apa yang berlaku di belakang sana.
Dan dia terpandangkan Johan tiba-tiba membuat lencongan ke arah ruangan parkir semula. Gadis itu dilihatnya menghentak sebelah kaki akibat kecewa. Seterusnya dia melihat Syiha mengekori Johan. Mulalah dia sibuk nak jadi spy.
Lyn keluar semula dari kereta. Dia terlihat suaminya berjalan laju di belakang deretan kereta lain. Syiha juga ikut berjalan laju untuk mendapatkan Johan. Sudahnya lelaki itu berlari pula sehingga pos pengawal. Syiha tidak jadi mahu mendapatkan Johan. Lelaki itu sudah jauh ke hadapan sana.
Lyn ketawa berdekah-dekah melihat gelagat dua manusia itu. Tidak sangka Johan akan buat begitu kepada Syiha.
Syiha berpatah balik setelah tidak berjaya mendekati Johan. Terlihat pula dia Rosman sedang menjinjing beg kerja sambil berjalan mendapatkan keretanya. Dia berjalan laju ke arah lelaki itu.
“Abang Rosman, boleh tumpangkan sampai stesen LRT tak?” tanya Syiha. Tidak sedar dia sedang berdiri dekat dengan musuh ketatnya.
Rosman terpaku memandang Syiha. Tidak pernah-pernah perempuan ini menegurnya. Mimpi apakah dia?
“Saya pun balik jalan kaki,” jawab Rosman lantas ketawa kecil sebelum berlalu meninggalkan Syiha.
Lyn bergerak ke arah belakang keretanya. Sengaja dia berdiri di situ agar Syiha menyedari kehadirannya.
Syiha terus terpaku memandang musuhnya ada di situ. Benci! Tetapi tidak mampu hendak meluahkan bicara. Sedar…. kalau tak pandai, lebih baik jangan bermain kata-kata dengan wanita itu. Takut dia yang menangis tidak berlagu nanti.
“Kalau nak, I boleh tumpangkan you. Tapi I hantar you pergi zoo.”
Syiha mendengus dengan muka masam sebelum mengatur langkah semula. Bukan main laju dia berjalan. Sakit hati. Hari ini kena naik bas lagi!
“Bos, petang ni saya nak balik awal, boleh tak?” tanya Zahidah saat berdiri di hadapan Johan.
“Boleh,” jawab Johan siap dengan anggukan. Maksud Zahidah cukup dimengertikan. Dia mahu pulang tepat jam 5 nanti.
“Terima kasih, bos.”
“Dating?” tanya Johan sekadar berbasi-basi.
“Taklah. Penat. Pening kepala semenjak tadi.”
“Pergilah klinik,” suruh Johan. Sedar yang gadis itu menanggung banyak beban sebagai pembantunya.
“Tak payahlah. Dah dekat pukul 3 pun,” jawab Zahidah lembut.
Johan sekadar mengangguk. Senang dengan prestasi kerja Zahidah. Jarang lewat dan tidak pernah bercuti sakit.
“Bos nak air ke?” tanya Zahidah sebelum keluar dari bilik Johan.
“Takpelah. I kenyang,” jawab Johan.
Khusyuk dia membuat kerja, seruan alam pula mencelah. Hendak pergi mengosongkan pundi kencing seketika. Johan bingkas bangun untuk ke tandas. Tetapi dia ternampak isterinya sedang berdiri sambil bercakap dengan Ariana di hadapan pintu masuk ke pantri. Buat seketika dia memerhati sehinggalah Ariana berlalu dari situ. Manakala Lyn pula masuk ke dalam pantri bersama sebiji mug di tangan.
Terlupa serta-merta hasrat hendak ke tandas. Johan ikut berjalan ke arah bilik kecil itu.
“Sayang,” tegur Johan setelah dia menjengah ke dalam.
Lyn yang sedang berdiri di hadapan mesin penapis air Coway segera menoleh ke arah pintu. Johan terus masuk tanpa diajak.
“Cantik hari ni,” ucap Johan saat berdiri di belakang isterinya. Jujur pengakuannya. Hari ini bagaikan tidak cukup mata dia memandang Lyn.
Lyn hanya menoleh sebelum meneguk air masak dari mug. Setelah habis barulah dia bersuara.
“You nak air ke?”
“Abang nak Lyn,” jawab Johan perlahan.
Lyn hanya diam tanda tidak mahu melayan usikan itu. Dia menadah air suam pula. Johan memandang ke arah pintu, sekadar mahu memastikan tiada sesiapa datang ke situ. Sudahnya dia memberanikan diri meletakkan jemarinya di pinggul isterinya.
“You nak apa ni?” rengus Lyn. Namun tangan lelaki itu tidak pula ditolaknya.
“Tadi kan dah cakap…” Usapannya berlabuh mesra di perut isterinya pula.
“Jangan nak mengada-adalah, Johan!” Spontan Lyn menepis tangan lelaki itu. Pergerakan yang agak keras membuatkan air di dalam mug itu tumpah sedikit lalu terkena kasutnya. “Hesy, kan dah tumpah!”
Johan ikut memandang ke bawah. Lyn meletakkan mug itu di atas mesin penapis air sebelum dia berlalu ke arah singki. Kebetulan ada kain di situ. Kain itu digunakan untuk mengelap kasutnya yang basah.
Sedang Lyn masih terkial-kial, Johan mendekati isterinya. Sekali lagi dia memandang ke arah pintu pantri. Tiada orang!
Dengan sengaja dia menyinggul punggung wanita itu dari belakang tatkala Lyn masih tertunduk-tunduk mengelap kakinya. Akibatnya Lyn terdorong ke hadapan. Hampir sahaja kepalanya melanggar kabinet di hadapannya. Tetapi segera diselamatkan oleh Johan. Tubuh isterinya dipaut segera. Tetapi tempat tangan Johan berpaut sungguh membuatkan Lyn terkejut besar!
“Apa ni???” bentak Lyn. Tangan lelaki itu yang masih melekap di hadapan tubuhnya cepat sekali ditepis.
“Tak sengaja.”
“You sengaja! I tahu you sengaja tolak I tadi!” marah Lyn.
“Tak sengaja. Sungguh! Tindakan refleks. Manalah abang boleh jangka tangan ni nak terpegang kat situ. Kira rezeki abangla ni,” balas Johan lantas tersengih-sengih seronok.
Mencuka wajah wanita itu. Geram berapi-api. Dia tahu Johan sengaja buat begitu. Dia tahu! Terus dia berlalu ke arah pintu, tetapi berpatah balik kerana terlupa mugnya.
“Marah abang sampai terlupa mug. Marah ke suka?” usik Johan lantas ketawa kecil.
“Diamlah! Benci!” marah Lyn dengan riak wajah cukup ketat.
Johan mengekori isterinya keluar dari bilik kecil itu. Sempat dia memerhati lenggok sang isteri berjalan hingga wanita itu masuk ke bilik kerjanya.
“Hai, sayang… bilalah nak habis merajuk,” keluh Johan sendiri. Sudahnya dia kembali meneruskan seruan alam yang tergendala.
Ada tandas yang dekat, Johan sengaja memilih pergi tandas yang jauh. Kerana tandas yang jauh itu perlu melalui bilik kerja Lyn. Sambil itu dapatlah dia mencuci mata. Tetapi masalahnya, dia terpaksa juga melintasi jabatan yang menempatkan Syiha.
Bukan main laju Johan berjalan mahu mengelak perempuan itu. Tetapi bola mata Syiha lekas saja terlihat bekas teman lelakinya itu. Mulalah dia turut sibuk buat-buat ke tandas.
Terdesak setelah diabaikan oleh Johan, Syiha rela menunggu di hadapan tandas lelaki semata-mata mahu bertentang mata dengan lelaki itu. Tidak sedar malapetaka sedang mendekatinya.
Johan tersentak melihat Syiha berdiri sambil bersandar di dinding betul-betul di hadapan pintu tandas.
“Abang!” serbu Syiha lalu lengan Johan dirangkulnya.
“Nak apa lagi ni? Hesy, pergi buat kerjakan!!!” tegas Johan lalu menarik lengannya daripada Syiha.
“Kenapa abang buat Syiha macam ni?”
“Buat apa???” balas Johan lantas berjalan laju mahu meninggalkan Syiha.
Gadis itu segera mengejar lalu menarik belakang baju Johan.
“Syiha!!!” jerkah Hanim dari jauh.
“Hah?” Syiha terkejut. Berpasang-pasang mata memandang ke arah lorong itu.
“Balik tempat awak!!! Mana report yang saya minta tadi???” laung Hanim.
Syiha terpempan mendengarkan itu.
“Kan dah kena,” gerutu Johan sebelum dia berjalan laju meninggalkan Syiha.
Dengan riak wajah melugu, Syiha kembali ke mejanya. Hanim bercekak pinggang menahan marah.
“Nak siapkanlah ni….”
“Tak habis-habis nak ganggu suami orang. Muka tak malu betul! Orang dah tak mahu, awak terhegeh-hegeh. Tak ada maruah ke??? Awak ingat sini tempat awak main-main? Semua orang buat kerja. Awak dari tadi termenung nakkan laki orang. Gatal sangat!” marah Hanim.
Semua kakitangan pegun memandang ke arah Syiha.
Syiha membisu dengan riak wajah mencuka. Malu akibat ditempik oleh Hanim.
“Buat malu orang perempuan aja,” leter Hanim geram.
Peristiwa itu mulalah menjadi siulan mak cik bawang sehinggalah sampai ke pendengaran Ariana. Maka sampai juga ke pendengaran Lyn. Mulalah naik hantu wanita seorang itu. Segera dia mencari Syiha.
“I will slap your face if you touch my husband again,” ucap Lyn sambil jari telunjuknya dituding ke arah Syiha.
Syiha terangguk-angguk tanda tidak berani hendak membangkang.
“Let me know, which part of you that’s hard to understand? I will show you now.”
Syiha terkulat-kulat memandang Lyn. Takut jika tersalah jawab, mendapat hadiah pelempanglah dia saat ini.
“Jawab sekarang, you faham ataupun tidak? I boleh buat demo depan staf lain.”
“Faham, puan.”
“Ahmad Rafael Johan tu husband I, bapa kepada anak-anak I. You jangan ganggu dia lagi. Kalau you tak kenal I, I memang garang dan I tak peduli orang mengata I ni garang ke…. sombong ke… I don’t care! You pun pernah kata pada husband I yang I ni garang, kan? Sekarang I buktikan apa yang you kata tu betul. Dengan perempuan macam you ni, I tak kuasa nak bersopan santun! I biarkan you terus berkerja kat sini sebab I tak biasa pecat kakitangan sesuka hati. Tapi you jangan melampau. Last warning…. I nampak you dekati husband I lagi, you jaga!”
Syiha terkebil-kebil lagi. Setelah Lyn berlalu, dia mencebik sendiri. Syafikah hanya menggeleng.
“Insaflah, Syiha. Buat malu kaum aja kau ni. Nak kerja buat cara nak kerja,” tegur Syafikah pula.
“Suka hati akulah nak insaf ke tidak! Selagi aku tak dapat apa aku nak, aku takkan mengalah. Ingat aku takut dengan perempuan tu ke?” balas Syiha dengan mimik wajah menjengkelkan.
“Aku tak pernah jumpa orang yang tak reti bahasa macam kau ni. Dah tuan punya badan tak mahu, sudahlah tu.”
“Aku masih sayang dia.”
“Tapi dia tetap nakkan isteri dia. Sedarlah diri tu, Syiha. Kau dah kalah.” Syafikah menggeleng kesal. Menyesal benar dia mengajak Syiha bekerja di sini. Tempias perbuatan Syiha ikut terkena kepadanya.
Syiha diam menahan bengang mendengar bicara Syafikah. Benarkah dia sudah kalah? Dia rasa dia masih belum kalah. Johan dan isterinya masih tinggal berasingan. Inilah masa terbaik untuk dia mencelah. Apa jadi sekalipun, dia tetap hendakkan Johan!
“Malu ni perisai orang beriman, Syiha.”
“Dahlah, malas aku nak dengar kau membebel.”
Syafikah menjongketkan bahu. Dia sekadar nasihat saja. Terpulanglah kepada Syiha mahu mendengar ataupun tidak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan