“Dengarnya Encik Mansur dah tak mahu lagi menyandang jawatan itu. Tadi dia kata dia betul-betul nak bersara,” luah Johan lembut kepada wanita berusia hampir ke penghujung 30-an itu. Matanya memandang kakaknya yang sedang meneliti dokumen yang mereka terima dari Jabatan Ukur Bahan itu.
Adrean mengangguk. Kaca matanya ditanggalkan dan diletakkan di atas meja. Tidak tahu pula dia yang Johan berminat untuk membincangkan tentang isu persaraan General Manager itu. Dia membalas pandangan adiknya itu.
“Dia dah decided macam tu, apa boleh buat? Kenapa? Johan nak tawarkan Lyn kembali semula ke NH untuk jawatan tu?” kata Adrean pula. Saja mahu menduga pendirian adiknya itu.
Johan menggeleng.
“Dia dah kata nak terus kerja dengan Emirates. Biarlah.”
Adrean terus memandang adik lelakinya itu. Lama dia meneliti riak wajah Johan yang kelihatan cukup selamba. Masih menyangka hubungan sulitnya itu masih rahsia sedangkan ramai yang sudah pun tahu. Tinggal Lyn dan orang tua mereka sahaja yang masih tidak tahu.
“Kau boleh pujuk dia kerja dengan kita, Johan. Kak long masih belum berbincang dengan BOD tentang pengganti untuk jawatan tu,” ucap Adrean sekadar mahu menduga reaksi Johan.
“Ah! Tak payahlah. Dia nak kerja dengan Emirates. Biarlah. Johan tak suka paksa dia buat apa yang dia tak suka.” Itu juga jawapan Johan.
‘Kalau dia ada dekat sini, mampuslah aku. Mahu disiat-siatnya kulit aku kalau dia tahu pasal Syiha,’ keluh hati Johan sendiri.
Adrean tersenyum sendiri. Jawapan Johan sudah diagaknya. Masakan Johan mahu Lyn bertemu muka dengan bakal madunya sendiri? Memang tidaklah!
‘Umur baru 35 dah berangan nak berpoligami ke, Johan? Kau tak ukur baju di badan kau sendiri ke? Kau tak ingat macam mana perangai Lyn tu? Kau memang sengaja menempah susah!’ hati Adrean mendesis sendiri.
“Johan jangan lupa, kalau kak long bersara..,.Lyn orang yang menduduki carta pertama sebagai calon untuk menggantikan kak long. Kau pun tahu dia menantu kesayangan daddy. Mungkin dia harus bermula dari sekarang.” Sekali lagi Adrean menduga. Dia mahu Johan selalu ingat dengan kenyataan itu. Tidak mustahil suatu hari nanti adiknya terpaksa merayu untuk mendapatkan semula kedudukannya di dalam Neraca Holdings.
Dia mahu Johan sedar, jika suatu masa dahulu Lyn dengan senang hati saja menerima harta pemberian bapa mertuanya, tetapi kini wanita itu tidak lagi sebodoh dahulu. Kehadiran Lyn dalam kelurga mereka menambah lagi kekayaan mereka dalam pengambilalihan Mirhad Corporation yang pernah hampir tumbang akibat masalah pecah amanah dahulu.
Setelah lebih 4 tahun Mirhad Corporation diambil alih, kini syarikat itu kembali bernafas seperti biasa. Kebijakan Lyn tidak akan mampu dikejar Syiha. Kini ekuiti yang dimiliki Lyn dalam Mirhad Corporation adalah hasil usaha wanita itu sendiri. Bukan lagi hadiah perkahwinan seperti yang pernah dianggap Johan hampir 7 tahun dahulu. Malah hakikat Lyn kini jauh lebih kaya berbanding Johan yang masih menumpang hasil keluarga.
Johan terdiam terus-terusan. Kata-kata Adrean itu dalam diam menakutkannya. Mahukah isterinya itu menerima Syiha dalam hidup mereka dengan mudah atau kisah 7 tahun lalu bermula lagi? Entah! Johan tidak tahu.
“Lyn betul-betul dah decided nak teruskan kontrak kerja dengan Emirates?” soal Adrean mencantas lamunan Johan. “Sebab kak long perlukan dia untuk Mirhad Corporation. Syarikat tu dah semakin baik sekarang, dan kalau boleh kak long mahu cadangkan pada BOD untuk Lyn ambil alih pengurusan Mirhad,” sambung Adrean. Sengaja dia mahu menarik Lyn mendekat agar langkah Johan pincang sedikit dengan kehadiran Lyn.
Johan terkumpal-kumpal dalam pada dia memandang kakaknya. Teringat dia sebelum ini Lyn ada mengatakan hasil perbincangan di Dubai sebelum ini. Dia juga ada menyatakan sokongannya terhadap keputusan isterinya itu. Namun tidak sesungguhnya kerana saat itu dia sedang runsing memikirkan tembelangnya. Panggilan daripada Syiha yang tidak henti-henti membuatkan dia benar-benar diburu ketakutan sendiri. Bimbang Lyn akan mendapat tahu tentang hubungan luarnya.
Sebelum ini semasa ketiadaan Lyn, dia bebas menghabiskan masa dengan Syiha. Tetapi sudah tentulah tidak bebas lagi selepas kepulangan Lyn. Masalahnya Syiha pun macam tak reti bahasa dengan statusnya sebagai suami orang. Tetap juga mahu menghubungi biarpun sudah diingatkan banyak kali supaya tidak mengganggunya ketika dia berada di rumah.
‘Aduhai…. inilah susahnya jika tiada beban, batu diambil untuk digalas!’ keluh Johan dalam hati. Kini dia benar-benar tersepit dengan jalan yang sedang dipilihnya.
“Johan!”
Teguran itu membuatkan Johan terkejut.
“Hah? Apa dia?” Dia terpinga-pinga memandang kakaknya itu.
“Termenung ingatkan siapa?” tegur Adrean dengan renungan tepat di wajah adiknya itu.
“Err…. takde sesiapa. Johan keluar dululah. Ada kerja sikit ni,” kata Johan lantas dia bangun. Enggan lagi tertangkap memikirkan masalah sendiri sewaktu sedang bekerja.
Sampai di biliknya, Johan didatangi oleh Syiha.
“Hai…” tegur wanita muda itu dengan riak yang cukup manja.
“Not now, Syiha! Abang ada banyak kerja sekarang,” Johan menggerutu. Tidak senang melayan Syiha dalam keadaan dia sedang serabut dengan kerja yang melambak.
“Alah! Tadi tak boleh! Sekarang pun tak boleh! Habis tu bila yang boleh? Dahlah malam karang nak ajak keluar pun tak boleh. Nak layan binilah…. anak-anaklah!” dengus wanita itu separuh manja. Johan tetap didekatinya.
“Janganlah macam ni. Orang nampak nanti. Dato’ ada kat bilik dia. Kalau dia nampak nanti, habislah abang,” ucap Johan serius.
Langkah Syiha termati apabila nama wanita itu meniti di bibir Johan. Wanita itu memang diseganinya. Terlalu serius ketika di dalam pejabat. Malah dalam usia baru 36, wanita itu sudah menggalas gelaran Dato’, sesuai dengan penglibatannya dalam dunia perniagaan.
“Nanti abang call Syiha ya? Syiha rindu sangat,” seru wanita manja itu cukup lembut.
“Yalah. Nanti abang call.” Itulah janji yang sempat diukir Johan. Janji yang diukir untuk menyelamatkan nyawanya saat ini. Kalau kakaknya terlihat Syiha bermanja-manja dengannya di dalam pejabat ini, matilah dia!
Sepeninggalan Syiha, Johan termenung sendiri. Otaknya terus ligat mencari jalan keluar. Memutuskan hubungan dengan Syiha? Bolehkah? Mahukah Syiha melepaskannya tanpa membocorkan rahsia mereka kepada isterinya itu? Memang taklah kut!
Aduhai…. Johan runsing. Pandangan orang lain dia tidak peduli tetapi dia amat bimbangkan Lyn. Mahukah Lyn memaafkannya? Kedua-duanya dia sayang. Yang lama dia sayang…. yang baharu pun dia sayang. Tapi kalau Lyn tidak boleh menerima Syiha, bagaimana?
Terbayang dia reaksi Lyn sekiranya wanita itu mendapat tahu nanti. Apakah isterinya itu akan menangis merayu kepadanya? Apakah wanita itu akan mengganyangnya sepertimana selalunya suami-suami yang ditangkap curang oleh isteri mereka?
Entahlah! Johan akui benar dengan salah satu perangai isterinya yang masih diingatinya walaupun tidak pernah diamalkan lagi oleh Lyn. Perangai itulah yang membuatkan dia terasa panas punggung apabila berhadapan dengan isterinya, bersama drama swastanya semenjak beberapa bulan ini. Dia tahu Lyn seorang yang sangat susah memaafkan jika hatinya disakiti; bimbang sifat pendendam Lyn akan bangkit semula.
Johan menghela nafas perlahan. Runsing! Sebahagian dirinya amat menyesal dengan ketelanjurannya. Kerana dia sedar dia masih menyayangi Lyn. Tetapi sifat bakalnya sebagai lelaki kini sudah menyusahkannya. Dia berasa bersalah. Dia berasa amat berdosa kepada isterinya yang terlalu setia kepadanya selama ini. Juga rasa bersalah kepada Syiha kerana memberi harapan palsu.
“Abang rasa patut tak kita kahwin cepat?”
Johan diam sambil menguis makanan di pinggan. Tidak mendengar kata-kata Syiha.
“Abang!”
“Hah?” Johan segera mengangkat pandangan.
Syiha tayang wajah cemberut.
“Ingat yang satu lagilah tu! Dengan kita pun nak ingat dia jugak. Nanti balik peluklah puas-puas,” rungut Syiha.
“Apa dia Syiha tanya tadi?” tanya Johan sedikit hambar.
“Syiha nak kita kahwin cepat.”
Johan segera mengeluh sebelum dia bersandar. Cakap pasal kahwin, seleranya terus mati. Susah! Syiha pula semakin kerap bercakap soal ini.
“Kenapa?”
“Bukan senang. Abang kena beritahu isteri abang dulu,” ujar Johan.
“Jadi, beritahu ajelah. Apa masalahnya? Abang tak berani?” balas Syiha selamba.
Johan menggaru kepala yang tidak gatal.
“Abang kena cari jalan supaya dia setuju.”
“Kalau dia tak setuju?”
Johan terdiam pula. Kalau isterinya tidak bersetuju, bermakna dia harus memilih antara dua. Lyn ataupun Syiha. Sanggupkah dia menjandakan isteri sendiri demi wanita yang baru dia kenal?
“Syiha akan jadi isteri yang baik untuk abang,” ucap Syiha bersungguh-sungguh. Besar harapannya agar Johan memilih dia. Pakej lengkap; kacak, kaya dan Johan seorang lelaki yang senang mengikut kehendaknya. Siapa yang tidak mahu lelaki begini?
Johan membuang pandang. Kalau sampai terpaksa menceraikan isterinya, dia tidak sanggup.
“Kenapa abang diam?”
“Abang tak mungkin akan buang dia daripada hidup abang, Syiha.”
“Jadi, abang akan lepaskan Syiha? Lepaskan perempuan yang terlalu sayangkan abang?” duga Syiha. Bicara Johan sudah mula menakutkannya.
“Abang….” Johan mula menghela nafas perlahan. Sebahagian hatinya mula ragu-ragu sendiri. Dia pun tidak tahu mengapa harus dia memilih jalan ini. Tempoh hari dia merasakan inilah keputusan yang tepat. Tetapi sekarang, dia serabut pula.
“Abang, janganlah diam aja. Syiha nakkan kepastian?”
“Nantilah. Abang tiada idea sekarang,” jawab Johan malas hendak fikir lagi. Tepu sudah otaknya ini.
“Cepat makan. Kita balik,” putus Johan lantas memandang je arah lain.
Syiha tunduk menyambung suapannya. Namun fikirannya terus berkisar hendak mengikat lelaki ini kepadanya.
“Lepas kahwin nanti, Syiha nak kita ada ramai anak.”
Johan diam juga. Tidak berkutik seolah-olah tidak mendengar. Sebetulnya fikirannya sudah melayang jauh kepada isterinya.
“Abang dengar tak?”
“Hah?” Johan melugu di hadapan Syiha.
“Abang ni asyik diam aja. Kenapa?” bentak Syiha mula hendak menangis. Sedih apabila diabaikan.
“Lekaslah makan. Dah lewat ni!” desis Johan sedikit tajam.
Syiha buat muka merajuk. Rusuh hatinya melihat kekasih hati seperti sedang menjauhkan diri. Bimbang Johan berubah hati. Kalau boleh, dia mahu memiliki lelaki ini seorang diri. Atau dalam erti kata lain, dia mahu Johan menceraikan isterinya. Jadi, seharusnya dia membiarkan rahsia ini sampai kepada isteri Johan. Lumrah wanita, kecewa, menangis…. kemudian minta cerai. Itu yang dia mahu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan