PEPERANGAN DALAM RUMAH TANGGA
Peperangan
yang saya maksudkan ialah pertengkaran dan perselisihan faham antara
Daddy dengan Mama. Kejadian ini sering berlaku, seperti yang terdapat
dalam lagu ciptaan bapa saya "Sedangkan Lidah Lagi Tergigit". Apabila
kedua-duanya tidak bertegur sapa, maka sayalah yang mersa beruntung.
Cara mereka berperang agak unik. mereka tidak akan bertegur sapa antara
satu sama lain hingga kadang-kadang hampir seminggu. Masing-masing
'besar kepala' macam kata M.Zain dalam filem Seniman Bujang Lapok. "Itu
batu besar ada duduk atas dia punya kepala" kedua-duanya menanti siapa
yang harus menegur dahulu. Lucu juga gaya mereka bergaduh. Jadi sayalah
yang akan menjadi orang tengah sebagai perantaraan mereka berdua. Satu
yang saya suka tengok mereka bergaduh, kerana setiap kali saya dipanggil
oleh kedua-duanya, saya akan diupah seringgit tiap seorang.
Sekiranya
bapa saya mencari sesuatu seperti kain, baju atas apa sahaja, selalunya
mama akan mencarikannya, jadi bila musim peperangan, bapa akan
memanggil saya supaya bertanyakan mama di mana barang yang dicarinya
itu, dengan demikian saya diberi upah satu ringgit oleh bapa. Begitu
juga dengan mama, dia akan memanggil saya untuk bertanyakan sesuatu
kepada bapa, dan mama juga akan memberi saya satu upah satu ringgit.
Bayangkanlah, kalau dalam satu hari mereka menyuruh saya sebanyak
sepuluh kali, sudah tentu saya akan mendapat ganjaran RM20,
kaya!kaya!.... Saya Kaya! Tentu kadang-kadang saya kasihan melihat bapa
saya, hidupnya tidka pernah senang. dia membuat cerita untuk orang
ketawa, tetapi dia sendiri menangis di dalam rumahnya, tiada siapa yang
tahu.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan