Sabtu, 1 Oktober 2016

Curangla Lagi Part 5 Novel

Penerbangan dari Dubai sudah selamat mendarat di KLIA. Lyn bersama penumpang lain sudah lama mengosongkan perut pesawat. Langkah diayun laju untuk ke balai ketibaan. Johan berjanji akan menjemputnya.

5 minit dia berpusing-pusing di ruangan hadapan balai ketibaan, akhirnya Lyn menemui Johan yang sedang bercakap di telefon bersebelahan dengan kaunter check in hotel. Bibirnya tersenyum mekar apabila terpandangkan lelaki itu. Sayangnya Johan masih tidak perasan kehadirannya. Serta-merta wanita itu terus menarik beg berodanya untuk mendekati lelaki itu.

Lyn berdiri seketika sambil menanti Johan selesai bercakap di telefon. Khusyuk benar lelaki itu sehingga masih tidak menyedari kehadirannya di situ. Namun seketika kemudian Johan menoleh. Kelam-kabut lelaki itu meminta diri kepada teman berbualnya. 

“Hai, sayang…” tegur Johan mesra. Tangannya didepangkan kepada sang isteri. Entah berapa lama agaknya Lyn memerhatikan dia berbual di telefon. Gugup, bimbang sang isteri terdengar perbualannya tadi.

“Hai,” Lyn membalas mesra. Tubuhnya segera dilontarkan ke dalam pelukan lelaki itu. Setelah 3 minggu dia tidak bertemu dengan lelaki kesayangannya itu, sesungguhnya di teramat rindu. Hiruk-piruk KLIA itu dan pandangan orang kepada mereka tidak dipedulikannya.

“Sorry, abang cakap dengan klien tadi. Tak sedar Lyn dah sampai. This is for you,” ucap Johan mesra sambil menyerahkan mawar merah yang sudah disiapkan untuk menyambut ketibaan sang isteri.

“Thank you.” Lyn menyambut huluran itu bersama dengan ucapan itu dan senyuman mesra. Ternyata dia gembira dengan sambutan Johan walaupun agak berlainan berbanding selalu.

“Apa hal pulak laki aku ni bagi bunga segala ni? Selalunya tak pernah macam ni,’ hatinya sempat bertanya sendiri.

“Abang rindu,” luah Johan dalam nada mesra. Sempat dia mengucup dahi wanita itu untuk menyatakan kebenaran kata-katanya.

Lyn ketawa kecil. Bahagia mendengarkan itu. 

“Jom, balik. Anak-anak kita mesti dah tunggu tu,” ucap Johan lagi. 

Lyn akur. Bukan setakat anak-anak yang menanti, tetapi dia sendiri sudah separuh meroyan kerana terpaksa meninggalkan anak-anak dengan Johan. Apatah lagi anak yang bongsunya belum pun bercerai susu daripadanya. 

Di dalam kereta dia berceloteh itu dan ini kepada suaminya itu. Bercerita tentang segala urusannya sepanjang 3 minggu berada di bumi Emiriah Arab Bersatu itu. Johan pula kelihatan seronok melayani celoteh sang isteri. Tetapi sepanjang masa itu, Lyn tersedar beberapa kali dia melihat ada panggilan masuk ke telefon suaminya dan dimatikan oleh lelaki itu setelah melihat nama si pemanggil. 

Menyedari mungkin Johan enggan melayan si pemanggil kerana mahu memberi perhatian kepada ceritanya, dia segera mengurangkan tahap celotehnya. Kasihan pula dia melihat lelaki itu. Cuba juga menyediakan masa untuknya sedangkan Johan juga banyak urusan lain. 

Sesampai di rumah, Lyn terus mendapatkan dua orang anak kembarnya. Terpekik-pekik dua anaknya itu setelah melihat ibunya berada di depan mata. 

“Yeay! Mummy dah balik!!! I miss you ,” jerit mereka berdua. 

Betapa damainya perasaan seorang ibu sepertinya setelah mendengar luahan hati dua orang anaknya. Betapa dia juga terlalu merasai kerinduan itu.

“I miss both of you,” ucap Lyn mesra. Kedua-dua anak itu dikucup bergilir-gilir.

“Sekolah macam mana? Okey tak?” soal Lyn kepada anak kembarnya itu.

“Okey. Best sangat, mummy. Teacher Roy baik.” cerita Farah Ramadhani agak lantang. Matanya bercahaya memandang sang ibu yang tersenyum kepadanya. Tidak terkesan oleh matanya keletihan di wajah sang ibu. 

“Good. Dina?” Lyn bertanya kepada anaknya yang lagi seorang itu. Si adik, Farah Irdina hanya diam sahaja memandang perbualan ibu dan kakaknya. 

“Dina selalu tidur dalam kelas.” Sebelum sempat si adik menjawab, si kakak sudah mencelah dengan aduannya. Ada sedikit pandangan jelik dilemparkan kepada si adik. 

“Really? Entah kenapa mummy macam tak berapa suka dengar tu, Dina.” Lyn memandang Dina yang sedikit pendiam.

“No!” Terbeliak mata Dina kepada kakaknya itu yang suka benar mengadu. “That’s not true, mummy! I didn’t sleep in the class….” jelas Dina bersungguh-sungguh kepada sang ibu.

“Yes you did!” sampuk si kakak.

“No, it wasn’t like that…”

“Sudah! Sudah!” Lyn segera mencelah pertikaian dua anaknya itu. Ini bukanlah kali pertama dua anaknya itu menunjukkan sikap tidak sebulu mereka. Dua beradik itu saling menjeling tanda tidak puas hati.

“Jangan nak bertekak pulak depan mummy. Mummy tak suka! Mana adik?” soal Lyn. Aduan Dani juga enggan dipanjangkan lagi. 

“Adik ada kat dalam bilik bibik dengan Mak Cu Ary,” jawab Dani sambil menjeling si adik.

Lyn terus memandang ke arah yang dikatakan oleh anaknya itu.

“Mummy nak tengok adik sekejap. Sit down here and behave! Jangan bergaduh! Dani jangan nak buli Dina lagi. Mummy cubit Dani kalau Dani buat adik nanti,” ucap Lyn sengaja mengeraskan nadanya. Dia memandang sekeliling, mencari kelibat suaminya dan beg yang dikatakan mahu dibawa masuk oleh Johan tadi. Namun kedua-duanya tiada di situ.

Lyn bangkit daripada duduk lalu kembali semula ke pintu rumah. Namun setelah dijengah ke luar rumah, dia ternampak Johan di satu sudut di halaman rumahnya. Lelaki itu sedang melayan seseorang di telefonnya. Tiba-tiba entah kenapa nalurinya ditarik untuk memerhatikan gelagat Johan. 

‘Dengan siapa dia bercakap tu? Kenapa mesti bercakap jauh-jauh?’ hati Lyn mula tertanya sendiri.

Lain macam benar rasa hatinya setelah melihat senyuman Johan yang mekar tatkala melayan si pemanggil. Berseri-seri pula senyuman lelaki itu dilihatnya. Masakan bercakap dengan klien boleh tersenyum seperti itu?

“Ah! Agaknya kawan dia kut?’ Lyn memujuk hati untuk menolak prasangka buruk terhadap suaminya.

Enggan menanti Johan, Lyn segera masuk untuk mencari anak kecilnya itu. Di bilik Bibik Sutinah, dia menemukan adik iparnya Ariana sedang tergolek di atas katil bersama dengan Aril. 

“Eh! Akak dah sampai ke? Sorry, Ary tak sedar.” Ary kelihatan sedikit terkejut melihat kelibat Lyn di situ.

“Baru lagi akak sampai. Aril baru tidur ke?” soal Lyn kepada adik iparnya itu. Dia tidak melihat kelibat pembantu rumahnya di situ. Mungkin wanita itu di dapur atau di belakang rumah. 

“Baru lagi tidur. So, macam mana dengan Dubai? Seronok?” Ary bertanya mesra.

“Ermm…. pergi bekerja, Ary… seronok apanya? Asyik fikir nak balik cepat. Risau anak-anak kat rumah. Lainlah kalau pergi holiday dengan famili. Barulah boleh tanya macam tu,” jawab Lyn selamba.

Ariana tergelak kecil dengan jawapan Lyn.

“Hero mummy ni buat apa?” usik Lyn lantas anak kecilnya itu diangkatnya.

Ariana tersenyum. Ralit memandang kakak iparnya yang menyentuh pipi mungil Zairyl dengan kucupannya.

“Akak dah balik, bermakna malam ni Ary boleh balik rumah daddy, kan? Rindu Ary dengan katil Ary tu.” Suara Ariana kedengaran lembut membelah keasyikan Lyn melepaskan rindu kepada anaknya.

Lyn segera memandang Ariana semula.

“Cepatnya nak balik? Tunggulah esok. Akak baru aja balik. Takkan tak mahu tunggu dulu?” sambut Lyn sambil kepala anaknya itu diusap mesra.

“Tak boleh tunggu lagi dah. Ary rindu sangat dengan bantal-bantal busuk Ary kat rumah tu,” Ariana menjawab selamba. Sengaja beralasan padahal dia sudah jelak melihat perangai abangnya yang semakin tak ingat dunia. Disebabkan dia ada di rumah ini melayan anak-anak saudanya, Johan semakin sedap pulang lambat setiap hari. Asyik ada hal saja. Sedangkan setiap hari lelaki itu keluar dari pejabat tepat jam 5.

“Dah tua bangka pun nak mengelek bantal busuk lagi. Esok bila dah kahwin, jangan sampai tak kenal mana suami, mana bantal busuk dahlah,” seloroh Lyn lantas ketawa kecil. Melihat gerakan anak lelakinya itu terus dia mengusik-usik anak itu. Setelah ‘terbaukan’ ibunya, Zairyl terus menggeliat dengan mulut yang termuncung-muncung meminta sesuatu. Lyn ketawa kecil dengan gelagat anaknya itu.

“Rindu mummy ke ni?” soalnya lalu bajunya diangkat. Menyusukan anak kecil itu. Matanya begitu asyik sekali memandang anaknya yang begitu rakus menghisap susunya itu.

“Ary sebenarnya ada benda nak cakap dengan akak ni. Tapi bukan sekarang. Nanti bila ada masa kita jumpa ya?” kata Ariana dengan nada yang sengaja diperlahankan. Dia memandang Lyn seketika, kemudian memanjangkan leher ke arah pintu, seolah-olah takut ada orang lain terdengar kata-katanya.

Lyn kembali memandang Ariana.

“Kenapa? Ada apa-apa yang penting ke sampai nak kena tunggu masa lain?” soal Lyn hairan dengan kelakuan adik bongsu Johan itu. Berkerut dahinya melihat gelagat Ariana.

“Adalah…. nanti Ary cakap. Bila ada masa kita keluar ya? Tapi jangan cakap dengan orang lain tau!” kata Ariana lagi.  

Mahu tidak mahu, Lyn mengangguk juga menurut kemahuan adik iparnya itu. Selebihnya dia memang terlalu ingin tahu apa yang mahu diperkatakan oleh Ariana.

Malam itu….

Selesai mendapat bahagian masing-masing, dua anak kembarnya itu dipaksa tidur. Selepas ini sudah tentulah ‘bahagian’ sang suami pula yang bakal menyusul. Setelah Adil ditidurkan, Lyn segera mendekati suaminya yang sudah bersiap sedia di katil. Dia tersenyum memandang Johan berseksi di atas katil dengan hanya memakai seluar pendek seolah-olah menunggu haknya diberikan oleh sang isteri. 

“Patrick, Mr Jocker dengan semua Pak Arab kat sana mahu Lyn terus renew kontrak dengan Emirates, bang.” Lyn memulakan kata sambil dia mendekati Johan di katil. Tubuh lelaki itu yang sedang terlentang diusap mesra.

“Baguslah.” Itulah jawapan spontan Johan sambil matanya memandang ke atas.

Namun jawapan itu tidak menaikkan semangat Lyn langsung. Tadi dia menjangkakan bukan itu jawapan yang akan diberikan oleh Johan. Lama dia memandang paras suaminya itu untuk meneliti reaksi sebenar lelaki itu. Namun Johan hanya tegak sahaja memandang siling di atas. Malahan sentuhannya juga tidak mendapat sebarang reaksi.

“Lyn ingat abang tak suka….” duga Lyn perlahan. Berbisik manja di telinga suaminya itu. Perlahan jarinya menguis-nguis dada lelaki itu mahu menggoda. 

Johan mengeluh melepaskan perasaannya. 

“Gelilah,” desisnya sambil tangan isterinya itu dialihkan. Seolah-olah tidak suka dengan sentuhan itu, sedangkan selalunya matanya terpejam seronok dengan godaan sang isteri. Tetapi kali ini tubuhnya mengeras bagaikan enggan dimesrai.

“Selalunya tak geli pun? Hari ni geli pulak ke?” desis sang wanita mula terbaukan sikap aneh suaminya itu.

Lyn mencuba lagi. Masakan 3 minggu tidak bertemu Johan mampu menolak dirinya?

“Apa keputusan yang Lyn dah buat untuk semua Pak Arab tu? Nak renew kontrak jugak dengan Emirates? Kalau Lyn nak terus kerja dengan Emirates, abang tak kisah,” kata Johan enggan melayan rungutan Lyn sebentar tadi. Matanya terus memandang siling.

Lyn memandang suaminya itu agak lama. Banyak yang memelikkan dirinya semenjak kebelakangan ini. 

“Hari tu abang memetir-metir marah bila Lyn nak kerja terus dengan Emirates. Abang kompelin Lyn tidak banyak masa di rumah. Lyn selalu kena travel tinggalkan abang dengan anak-anak. Kali ni lain pulak. Mimpi apa semalam? Rasanya Lyn takde buat solat istikharah tentang itu. Abang ada buat ke?” terselit sedikit gurauan dalam dia meluahkan kata-kata.

Johan tersenyum. Lyn perasan, senyuman itulah senyuman pertama semenjak dia tiba di sisi suaminya di katil ini. Perasaan tidak enak tadi segera meligas pergi. Perlahan dia tunduk mengucup leher lelaki itu. Soal kerjanya tidak ingin dibincangkan sekarang. Kerinduannya kepada Johan diluahkan melalui sentuhannya.

Usahkan membalasnya, lelaki itu hanya tegak sahaja dengan mata buntang memandang siling. Tubuh lelaki itu keras bagaikan menahan sesuatu.

“Kenapa ni? Abang macam tak suka aja?” soal Lyn hairan. Mula kecil hati dengan reaksi acuh tidak acuh suaminya itu. “Kita dah lama tak jumpa. Abang pulak macam tak minat aja,” tambahnya lagi. Malu sendiri dia apabila Johan seolah-olah tidak tertarik kepadanya. Hanya dia sahaja yang terhegeh-hegeh.

“Abang penatlah. Esoklah ya?” pujuk sang lelaki lembut.

Lyn terdiam. Matanya meneliti sikap sang lelaki yang 360 darjah berubah. Selalunya dialah yang tak menyempat.

“Kenapa dengan dia? Baru 3 minggu aku tinggalkan dia, dia dah berubah?’ desis hati kecil Lyn. 

Sebagai orang yang paling hampir dengan lelaki itu, segala sikap Johan umpama makanan kepadanya. Kemesraan Johan sudah mengurang. Selalunya dialah yang melebihi anak-anak mahu dimanjakan apabila Lyn pulang dari jauh. Dialah yang paling cepat menyuruh anak-anak tidur agar dapat meluangkan masa bersama.

“Banyak kerja ke di office tadi?” Lyn bertanya pula. Cuba juga memujuk hatinya kerana dia tahu Johan memang seorang yang kuat bekerja. Mungkin kedinginan Johan berpunca daripada itu. 

“Hmm…. kerja. Bila masanya yang tak banyak, sayang…” ucap Johan sambil menggeliat perlahan. Kemudian dia mengambil bantal guling di tepi katil itu lalu dibawa ke dalam pelukannya. Tubuhnya dipalingkan membelakangi si isteri.

Lyn semakin terpaku memandang reaksi suaminya itu. Dirinya terasa dibiarkan terkulat-kulat sendirian. Semakin itu dia merasa aneh. Selalunya Johan tidak tidur dengan memeluk bantal itu. Malah sebelum ini dia sering dimarahi lelaki itu kerana membiarkan bantal itu berada di antara mereka. Bantal itu seolah-olah membataskan mereka berdua. Hari ini bantal itu yang dipeluk Johan seolah-olah bantal itulah isterinya.

“Abang ada masalah ke?” soal Lyn tidak tahan dengan kelakuan lelaki itu. Belakang lelaki itu dipandang lama. 

Johan menoleh seketika. Kemudian dia menggeleng sahaja.

“Habis tu kenapa abang macam ni?” tanya Lyn lagi. “Abang masih marahkan Lyn sebab Lyn ke Dubai ke? sambung Lyn dengan pertanyaan itu. Teringat dia sebelum ini mereka ada bertengkar apabila dia mengatakan yang dia akan ke Dubai lagi buat kesekian kalinya. Tetapi rasanya selepas itu hubungan mereka pulih semula setelah dia memujuk suaminya itu. Masakan masih ada yang terbuku dalam hati lelaki itu?

“Takde apa, sayang. Abang tak marahkan Lyn. Abang cuma penat aja. Tidurlah.” Sedikit lembut Johan memujuk akhirnya. Cuba juga untuk tersenyum mesra biarpun dia sendiri merasakan dirinya amat canggung. Lakonannya bagaikan tidak menjadi. Perasaannya tidak aman saat ini. Inilah yang dikatakan berdosa. Dia sendiri yang tertekan dihambat perasaan.

Akhirnya dek kerana malas mahu memikirkan lagi, Lyn membaringkan juga tubuhnya ke tilam itu. Tetapi tidak mampu rasanya untuk dia menghalau pergi rasa terkilannya dengan kelakuan aneh Johan yang kian mencucuk-cucuk sekeping hati yang terlalu menyayangi lelaki itu.

Demi cinta….. cuba juga dia menelan alasan suaminya yang sedang keletihan. Walaupun dia mula terasa ditinggalkan sendiri bersama sebuah ketakutan yang tidak pernah dirasainya selama ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan