Wanita itu hebat bukan tatkala dia mampu membalas kesakitan suaminya, tetapi apabila dia mampu bersabar dan patuh perintah Allah….
Malam itu Johan berubah menjadi pendiam. Dia berbaring keletihan di tilam. Matanya asyik terkebil-kebil bagaikan orang mamai. Risau juga Lyn melihatnya. Dia tidak nampak lelaki itu seperti sedang merajuk, tetapi lelaki itu seperti sedang berada di dunia lain.
Beranikah dia mahu mengulangi lagi perbuatannya tadi? Tidak! Serik pula rasanya.
“Mahu aku siapkan makanan untuk bapak?”
“Dia tidak mahu makan,” ucap Lyn perlahan.
“Bagaimana dia jadi begitu. Aku tak faham,” keluh Bibik Sutinah.
“Saya marah dia.”
“Wah…. tahniah, bu. Kau berjaya membuatkan suamimu jadi bodoh. Sekarang dia pasti akan ikut perintahmu. Inilah yang semua wanita mahukan,” bidas Bibik Sutinah, sengaja memulang paku buah keras.
Sentap! Lyn tidak dapat bersuara mendengarkan itu.
Bibik Sutinah kembali ke dapur sambil menggeleng sendiri. Dia kemudiannya kembali semula bersama secawan Milo yang sudah dibancuh.
“Aku tidak mahu menyalahkanmu. Tapi seharusnya kau sadar, membuat begitu tidak menjadikan kau menang. Hanya hatimu puas. Lambat laun akan ada kesannya pada dirimu sendiri jika hatimu masih hidup. Yang tidak sedar itu pasti hatinya sudah Allah matikan.”
“Saya rasa bersalah, Bik.”
“Seharusnya kau rasa bersalah. Aku terlalu takut jika kau tidak punya rasa bersalah bila menyakiti hati suamimu. Kau rasa kau saja yang benar. Kau sakiti dia sehingga dia jadi gila. Bahaya tu. Nabi bilang, wanita itu banyak dalam neraka dengan banyak sebabnya. Salah satunya kerana lidah suka derhaka pada suami. Sudah kau minta ampun?”
Lyn mengangguk perlahan.
“Ya, baguslah. Banyak wanita dicurangi, dia tidak melihat apa sebabnya. Cuma mengadu domba yang dia dilukai. Tidak kurang juga memang benar-benar dianiaya suami. Tetapi kalian akan duduk setempat, merasakan kalian itu sama tarafnya. Sedangkan tidak. Allah melihat dari awal sampai akhir. Kerana itu, Allah itulah sebaik-baik penghukum.”
Sedih. Lyn terasa mahu menangis. Namun Bibik Sutinah segera menyentuh bahu wanita itu.
“Ibu, bersabarlah selalu. Aku juga perempuan sepertimu, aku ngerti kesakitanmu. Tapi bukankah Allah itu yang memiliki segala penawar? Bukankah Allah itu yang memegang hati setiap hamba-Nya? Allah juga yang memegang hatimu. Kau rasa suamimu yang bertanggungjawab merawat sakit di hatimu? Tidak… sama sekali salah fahaman itu.”
“Kau bakal ingat semua kesakitan yang dia berikan kepadamu selama ini. Ya….. selagi ada izin Allah, kau tak mungkin akan lupa perbuatan suamimu. Tapi yang membezakan kita semua, siapa yang lebih memberatkan syukur tatkala Allah memberikan rahmatnya berbanding terus-terusan mengungkit kesalahan suaminya untuk memuaskan hati. Mereka yang terus berbuat amal sehingga imannya ditambah oleh Allah, hatinya jadi tenang. Dan akhirnya dia reda dengan ujian yang telah Allah berikan kepadanya.”
“Aku tahu kau bukan jenis wanita yang memandang enteng pada rahmat Allah yang lainnya. Punca kebahagiaanmu, bukan dari tangan suamimu, begitu juga suamimu…. bahagianya tiada di tanganmu, bukan di tangan bakal isteri keduanya atau yang seterusnya; tetapi bahagia itu ada di tangan Allah. Diberikan kepada setiap manusia mengikut kehendak Allah.”
Lyn mengangguk sambil mengusap pipinya yang basah. Terkesan benar hatinya dengan apa yang berlaku. Juga dengan bicara Bibik Sutinah.
“Pergilah kau berikan dia air ni. Moga dia baik-baik saja.”
“Terima kasih, Bibik.”
Naik ke tingkat atas, dia lihat Johan sedang mengiring membelakanginya. Lelaki itu tidak berkutik biarpun dia sedang mendekat.
“Abang,” panggil Lyn sambil bahu lelaki itu ditariknya.
Johan menoleh ke belakang. Bagaikan baru sedar Lyn berada dekat dengannya.
“Minum air ni,” ucap Lyn lantas membawa cawan berisi Milo dekat dengan suaminya.
Johan bangkit perlahan sebelum bersandar ke kepala katil. Air itu dihirupnya sedikit demi sedikit setelah membaca bismillah.
Lyn memerhatikan wajah lelaki itu tanpa jemu. Lancang mulutnya mengeji, tidak kisah jika kehilangan lelaki ini. Angkuh seolah-olah apa yang dikatakan itu bulat sudah. Percaya lelaki ini tidak akan mampu teruskan hidup tanpanya. Dia rasa megah dengan kenyataan itu.
Nah! Baru dua tiga jam suaminya hilang, dia sudah separuh gila menahan takut. Ternyata lidahnya juga suka berbohong.
“Abang maafkan Lyn?” tanya Lyn kemudian.
“Apa?” Johan menoleh kepada isterinya.
“Abang, kenapa dengan abang? Lyn risau,” ucap Lyn lantas menyentuh wajah suaminya. Lain benar lelaki ini. Tidak tahu apa yang sudah dibuatnya.
Johan memandang isterinya lama. Kemudian dia kembali menghirup sisa air itu. Lyn mengusap kepala lelaki itu pula.
“Lyn tak sepatutnya cakap macam tu pada abang. Lyn minta maaf,” ujar Lyn perlahan.
“Abang maafkan. Abang nak tidur.”
Lyn tidak berpuas hati. Benarkah dia sudah berjaya membuat lelaki ini menjadi bodoh? Macam robot sahaja.
Johan memberikan cawan itu semula kepada isterinya. Seterusnya dia berbaring semula dalam posisi tadi.
Lyn meletakkan cawan itu di atas meja. Perlahan dia mendekati Johan. Tunduk mengucup kepala suaminya. Kemudian sampai di telinga. Jemarinya mengusap bahu lelaki itu. Namun Johan seperti tidak perasan dengan perbuatan isterinya.
Johan kian tenang dengan usapan itu. Matanya kian layu. Tubuh yang kepenatan segera mengundang lena.
Lyn memaksa suaminya itu menghadapnya. Johan terkebil-kebil merenung Lyn. Perempuan itu cuba menguji lagi. Baju di tubuhnya ditanggalkan. Baju dalam dilepaskan. Juga masih dalam reaksi yang sama. Fikirannya melayang-layang teringatkan suasana siang tadi.
Tetapi beberapa saat kemudian barulah reaksi Johan berubah. Seolah-olah baru tersedar apa yang dibuat oleh Lyn di hadapannya. Bola matanya membesar sedikit tanda kehendak lelakinya sudah mula terpancing. Segar bugar dia jadinya. Lekas-lekas Johan bangun. Tetapi perempuan itu menahan tangan Johan.
“Nanti dulu,” bisik Lyn perlahan. Jarinya dilekatkan di bibir suaminya.
Johan menelan liur macam orang kempunan apabila ayam goleknya dibawa jauh ketika dia sedang amat lapar.
“Lyn?” panggil Johan ketika kamar itu menjadi gelap. Tidak nampak kehadiran wanita itu di dalam kegelapan itu.
“Ya, sekejap.” Lyn menghidupkan lampu tidur. Johan mengengsot mendekati tempat tidur isterinya. Terus perempuan itu dipeluknya tanpa sempat Lyn duduk. Sudahnya dia terduduk di atas paha lelaki itu akibat ditarik Johan.
“Sabarlah…” gerutu Lyn perlahan.
Tak sempat nak sabar dahlah haih! Tangan Johan dah merayap dulu. Sudahnya perempuan itu reda sajalah.
Wanita itu memandang lama raut sang suami. Sudahnya dia berbaring di atas bantal yang sama sambil memeluk Johan.
2 jam kemudian….
Lyn tersedar apabila terasa suaminya tiada di sebelahnya. Pantas dia bangun dari ranjang. Malah dia perasan anak kecilnya juga tiada di tempat tidurnya. Wanita itu keluar dari bilik untuk mencari dua beranak itu. Dari kawasan tangga, dia terdengar suara Johan bercakap-cakap seorang diri di ruang tamu.
Langkah Lyn terhenti di tengah tangga. Terpandangkan suaminya sedang cuba membaringkan anaknya yang ligat tidak mahu dipakaikan lampin pakai buang. Separuh telanjang merangkak ke sana sini. Agaknya Zairyl sudah melepas. Dia tidak sedar bila masa anaknya itu menangis.
Perlahan-lahan Lyn berundur lalu naik ke atas semula tatkala suaminya masih tidak sedar dirinya sedang dipandang. Kali ini memilih untuk mengikut nasihat Bibik Sutinah. Berdiam dan memandang dari jauh semata.
Lyn kembali semula ke tempat tidurnya. Lama dia menanti Johan dan Zairyl. Mungkin anaknya tidak mahu tidur. Tetapi tidak lama kemudian dua manusia itu hadir semula di bilik itu. Lyn hanya diam menangkap pergerakan suaminya melalui deria.
“Tidur. Daddy tepuk ya?” ucap Johan perlahan. Jenuh juga mahu menidurkan anaknya itu.
Zairyl mahu bergolek semula. Johan mengusap belakang anaknya berkali-kali sehingga Zairyl menjadi lesu akibat mengantuk. Lama-kelamaan anak itu tidur juga. Lama Johan menemani anaknya di situ, seolah-olah tidak jemu memandang raut polos itu terlena.
Setelah agak lama anak itu tidak bergerak, Johan bangun untuk ke tempat tidurnya semula. Tapi kakinya terpasak di pertengahan bilik itu sambil memandang isterinya. Perlahan lelaki itu mendekati Lyn. Kepala isterinya pula diusapnya. Kemudian dia tunduk mengucup rambut Lyn.
Spontan Lyn menoleh ke belakang. Tidak mampu lagi untuk buat-buat tidur. Terkejut Johan dibuatnya.
“Abang buat Lyn terjaga?”
“Hmm…” jawab Lyn malas. Dia menelentangkan tubuhnya sambil mengeliat. Buat-buat pula melihat jam. Baru jam 3 pagi. Tetapi saat dia memandang suaminya semula, bukan main lagi mata lelaki itu merenung hadapan tubuhnya.
“Tengok apa?” Lyn menyilangkan tangannya di dada.
“Hah?” Johan tersedar daripada renungan miangnya. Perlahan dia bangun lalu berpindah naik ke atas katil, mahu menyambung tidur. Tanpa meminta izin, dia meletakkan kepala di atas bantal yang sama dengan isterinya.
Lyn menolehkan ke arah lelaki itu. Johan masih ralit memandangnya tanpa sepatah kata.
“Apa?” tanya Lyn hairan dengan gelagat suaminya.
“Abang peluk ya?” ucap Johan separuh berbisik.
“Peluklah,” jawab wanita itu selamba.
Johan meraih tubuh wanita itu sehingga rapat kepadanya. Mereka berdiam seketika. Lyn mula memikirkan apa yang berlaku selama ini. Namun dia memejamkan mata rapat-rapat sehingga kedengaran semula apa yang diucapkan oleh Bibik Sutinah.
Lyn membuka mata semula. Masih utuh pandangan Johan kepadanya.
“Abang nak bawa Lyn pergi jalan,” ucap Johan perlahan.
“Tak payahlah. Sekarang Lyn banyak kerja. Lagipun susah hati nak tinggalkan anak-anak,” balas Lyn rendah.
Johan terdiam saat Lyn mengalihkan tubuh membelakanginya. Terkebil-kebil matanya memandang rambut hitam yang terdampar di atas bantal.
Lyn memejamkan mata semula.
‘Ah! Kau nk Lyn…. bila dia ajak, kau tolak peluang ni. Nanti kau kata dia tak mahu berbuat baik pada kau.’ Ada gema berkata dalam hatinya.
Spontan Lyn kembali memandang suaminya di belakang.
“Nak pergi mana?” tanya Lyn pantas.
“Lyn nak pergi mana?” balas Johan pula.
Lyn terdiam seketika. Sementelah anak bongsunya tidak lagi menyusu badan, apa salahnya dia merebut saja peluang ni.
“Abang ada duit lagi ke?”
“Ada. Hutang tu dah tak sebanyak mana,” balas Johan lantas tersenyum. Namanya sudah bebas daripada disenaraihitamkan oleh bank.
“Vietnam?”
“Itali?” cadang Johan pula.
“Itali?” Lyn sebut semula. Terkejut. Mampukah lelaki ini menanggung kosnya?
Johan mengangguk sedikit. Lyn tersenyum tiba-tiba. Nampaknya cadangan suaminya lebih menarik berbanding Vietnam.
“Bila?” tanya Lyn pula.
“Nantilah…” balas Johan sebelum dia kembali memaut tubuh isterinya. Bersiap sedia untuk menyambung tidur.
Lyn diam. Nanti? Alamatnya janji tinggal janjilah jawabnya!
Melihat pasangan itu kembali bersama, maka menangislah syaitan dan sekutu-sekutunya. Begitulah juga dengan mereka yang sentiasa tidak jemu mendoakan perceraian buat pasangan itu. Masing-masing memandang hairan melihat sepasang suami isteri itu datang ke pejabat dengan kereta yang sama pagi itu.
Mereka berdua berdiri menanti di lif paling hujung. Johan bersandar di dinding batu membelakangi orang lain, sementelah Lyn berdiri di hadapannya. Lelaki itu ralit memandang lantai. Tiada perbualan antara kedua-dua mereka. Lyn pula sibuk memerhatikan nombor di mana kedudukan lif berada.
Namun tiba-tiba dia menoleh ke arah Johan. Tiada angin tiada ribut, tangan lelaki itu tiba-tiba merayap di belakangnya. Seterusnya turun ke punggung wanita itu. Tiada segan silu punggung wanita itu dipicitnya.
Pantas tangan miang itu Lyn tolak. Sementelah ramai kakitangan sedang memandang ke arah mereka. Malu mukanya. Namun kemudian tangan Johan kembali lagi ke tempat tadi. Tadi sebelah sini, sekarang sebelah sana pula diramasnya.
“Abang!” marah Lyn dengan mata terjegil.
“Hmm?” Johan menayang muka lugu.
Sebaik pintu lif terbuka, Lyn segera masuk. Tetapi sedang dia berjalan…
Pup!!! Punggungnya ditampar Johan.
Lyn tersentak. Mujurlah ketika itu dia betul-betul berada di ambang lif.
Johan segera menekan butang agar pintu itu tertutup. Tetapi terbuka semula. Ada beberapa orang kakitangan perempuan mahu masuk. Lekas-lekas Johan menghalang.
“Eh! Berambus naik lif lain. Tak payah sibuk hal rumah tangga orang,” ucap Johan lantas menekan butang mahu menutup pintu itu.
Terkedu semua kakitangan itu diperli Johan. Lyn ikut terkedu juga. Lama dia memandang saat lelaki itu kembali mendekatinya.
“Kenapa tak bagi budak-budak tu masuk?”
“Mak cik bawang!” desis Johan tidak peduli.
“Mak cik bawang?” balas Lyn tidak mengerti.
Johan tidak menjawab, sebaliknya dia memulakan lagi tabiatnya tadi.
“Janganlah, abang! Apa kena dengan abang ni?” marah Lyn, lantas lengan lelaki itu dipukulnya.
“Naughty sangat ni. Abang babap lagi sekali. Biasa ni…” ujar Johan. Dan….
Pap!!! Sekali lagi punggung wanita itu ditamparnya sedikit kuat.
Serta merta Lyn menjulingkan mata ke atas. Malas nak layan!
Johan ketawa kecil sebelum mereka keluar dari lif. Sengaja dia berjalan di belakang agar dia boleh buat apa yang dia suka. Tidak lama kemudian mereka terpisah arah. Lyn menonong ke bilik kerjanya bagi menyelamatkan diri daripada gangguan seksual lelaki itu.
Tengah hari itu, sekumpulan pekerja upahan hadir di situ untuk kerja-kerja membuat kerja ubah suai pejabat. Sibuk dengan projek baharu, Johan terpaksa menggunakan bilik mesyuarat untuk membuat kerja bersama kakitangan yang terlibat.
Lyn hanya berkurung di biliknya sementara beberapa orang pekerja syarikat luar itu memasang satu lapisan pada cermin yang menjadi dinding biliknya. Ketika dia sedang ralit, dia terpandangkan salah seorang pekerja lelaki itu memandangnya dari balik cermin. Pada mulanya dia cuba buat tidak tahu. Tetapi lama kelamaan dia jadi meluat melihat lelaki asing itu tersengih-sengih macam orang miang. Konon kacak benar. Mengajaknya bermain mata.
Dan setelah lapisan pada cermin dipasang, sebahagian besar pekerja itu berlalu. Namun lelaki itu tiba-tiba masuk ke bilik kerja Lyn membuatkan dadanya berdebar-debar.
“My number. Call me when you’re free,” ujar lelaki itu lantas tersenyum senget.
Lyn terkejut memandang sekeping kad yang diletakkan lelaki itu di atas mejanya. Kad itu tertulis nombor telefon.
“Kenapa I nak kena call you?” balas Lyn benar-benar aneh.
“Mungkin kita boleh keluar dinner atau lunch kalau ada masa nanti.”
“You tak nampak ke kat pintu tu ada tulis puan? You tak baca sebelum masuk sini?” tanya Lyn sengit.
“Oh, sorry. Sorry…”
“Sebelum I panggil bos you ke sini, lebih baik you ambil balik kad tu.”
“Okey. Okey. Sorry, puan. You nampak macam belum kahwin.” Lelaki itu meraup wajahnya sebelum berlalu. Malu habis! Tetapi di hadapan pintu bilik Lyn, dia terlanggar seorang lelaki yang sedang berjalan laju.
“Tepilah! Buta ke???” Akibat terlalu malu, dia naik angin pula kepada Johan. Tubuh Johan ditolaknya sehingga terdorong ke belakang selangkah dua.
Spontan Johan melayangkan tangannya. Penamparnya singgah tepat di pipi lelaki itu.
“Kau jangan nak biadap sangat. Aku halau kau keluar dari sini nanti,” ucap Johan sambil dia menuding ke wajah lelaki muda itu. Mungkin baru berusia 24 atau 25 tahun.
Lelaki itu lekas-lekas berlalu. Lyn ternganga melihat perbuatan suaminya. Namun dia buat-buat tidak nampak. Johan berdiri lama memandang gelagat pekerja itu. Kemudian dia memandang ke dalam bilik kerja isterinya pula. Lyn membalas pandangan itu sebelum Johan berlalu ke arah biliknya sambil menggeleng sendiri.
“Dia nampak ke?” bisik hati Lyn sendiri.
Tidak lama kemudian, kelibat Johan muncul lagi berjalan di hadapan biliknya.
“Abang,” panggil Lyn.
Johan menoleh sebelum dia melencong masuk ke bilik isterinya.
“Kenapa tampar budak tu?” tanya Lyn.
“Dia tolak abang. Kurang ajar betul,” jawab Johan bengang.
Lega hati Lyn. Jadi maknanya Johan tidak nampak budak itu cuba menguratnya.
“Ada apa?” tanya Johan.
“Tak ada apa-apa. Tu aja nak tanya.”
“Abang ada kerja,” ujar Johan sebelum dia berlalu.
Namun setelah itu, Lyn tergelak seorang.
“Padan muka kau kena penampar dengan laki aku,” ujar Lyn geli hati. Spesies Syiha versi lelaki agaknya.
Seketika kemudian Lyn bangun. Tirai biliknya di bahagian sebelah kiri dikembangkan. Sekali gus dia dapat melihat aktiviti di bilik sebelah. Setelah kembali duduk, dia ternampak Johan sedang berdiri di hujung meja sambil menunduk meletakkan dua telapak tangannya di atas meja. Ada dua orang pegawai lain berdiri di sisi Johan sambil menuding kertas A1 yang sedang terbentang di hadapan mereka.
Tanpa sengaja matanya terus terpasak pada susuk lelaki seorang itu. Mata perempuannya menelanjangkan seriap gelagat suaminya. Dalam keadaan Johan separuh menonggeng, matanya jadi miang pula.
Lyn mengangkat gagang lalu mendail nombor sambungan bilik itu. Seperti yang diduganya, Akram yang berada di sebelah Johan maju ke arah telefon untuk menjawab. Setelah menjawab, bola mata Akram memandang wanita di bilik sebelah sambil menelinga apa yang disuruh oleh wanita itu. Terkejut!
“Eh! Saya tak berani. Nanti dia tumbuk saya pulak. Encik Johan tengah sibuk tu,” ujar Akram.
“Cakap aja I yang suruh,” jawab Lyn selamba.
Setelah meletakkan gagang, Akram memberanikan diri mendekati Johan. Teragak-agak mahu melakukan perbuatan itu. Tetapi sudahnya…
Pap!!!
Johan terkejut lantas menegakkan tubuhnya.
“Kau dah kenapa???” tegas Johan sambil memegang tempat yang yang menerima tamparan itu. Pedih!
“Bu… bukan saya. Dia yang suruh,” ujar Akram lekas-lekas menuding ke arah wanita di bilik sebelah.
Johan menoleh ke bilik itu. Lyn buat-buat sibuk membelek dokumen sambil mengertap bibirnya. Kakitangan yang bersama Johan mula ketawa geli hati.
“Balas dendamlah tu,” gerutu Lyn lantas menyambung kerjanya semula.
Lyn memandang ke arah suaminya seketika. Ketika itu Johan juga sengaja menoleh ke arah isterinya. Spontan lelaki itu mengangkat jari telunjuk lalu digoyangkan, sebagai isyarat akan ada balasan menyusul nanti!
Selesai kerjanya di bilik mesyuarat, Johan sempat singgah di bilik isterinya. Lyn sekadar memandang sekilas suaminya yang datang lalu mendekatinya di balik meja. Lelaki itu membongkok kan tubuh sambil meletakkan sebelah tangan di lengan kerusi isterinya. Menjadikan wajah mereka kian dekat.
“Apa?” tanya Lyn tanpa memandang lelaki itu.
Johan tidak menjawab. Sebaliknya dia memandang wanita itu terus-terusan. Tidak puas memandang rambut, pandang muka pula. Kemudian turun lagi ke leher dan seterusnya.
“Abang nak apa ni?” tanya Lyn sekali lagi.
Johan tetap tidak menjawab. Matanya memerhati ke arah luar bilik itu pula. Sekadar mahu melihat jika ada sesiapa perasan dia berada di dalam bilik itu.
“Abang!” sergah Lyn.
“Ya!” sergah Lyn.
“Ya!” Spontan Johan kembali memandang isterinya.
“Ada apa? Diam aja?” ucap Lyn dengan kerutan di kening.
“Kita keluar sekejap?”
“Nak pergi mana?” balas Lyn tidak mengerti.
Mulut tidak ingin menjawab. Biarlah rangan sahaja yang menjawab. Mulalah tidak tentu arah wanita itu dibuatnya. Puas ditolak, tangan itu tidak reti bahasa juga. Merayap ke sana sini.
“Dahlah! Pergilah sana…” ucap Lyn benar-benar takut orang lain melihat gelagat Johan.
Johan kembali menegakkan tubuhnya sambil memandang ke luar. Keadaan masih seperti biasa. Sudahnya dia bercangkung di tepi kerusi isterinya. Bonusnya… orang di luar tidak akan perasan apa yang berlaku di balik meja itu.
“Sekejap aja.” bisik lelaki itu.
“Tak naklah. Dahlah tu…” gerutu Lyn kekalutan. Puas ditepis tangan Johan. Makin parah jadinya. Dia pun sudah tidak senang duduk.
“Jomlah,” pujuk Johan masih tidak putus asa.
“Ada ke ajak kita memonteng kerja,” rungut Lyn sambil mengerling ke arah pintu biliknya.
“Bukan selalu,” jawab Johan perlahan.
“Okey. Kita balik.”
“Apa barang balik. Ada budak kecik sibuk. Budak kecik tu eloknya didenda aja. Kasi dia adik. Biar dia rasa. Asyik nak kepit dia aja,” jawab Johan tidak setuju.
Spontan Lyn ketawa sambil menolak lelaki itu.
“Jangan nak mengada-ada ya. Tiada adik-adik ni semua. Belum sampai masanya. Anak abang tu kecil lagi.”
“Johan!”
Terkejut beruk dua manusia itu disergah oleh Adrean dari ambang pintu. Johan lekas-lekas berdiri semula.
“Apa, kak long?” tanya Johan dengan muka sekupang.
“Kau buat apa kat situ?” tanya Adrean sinis.
“Bin… bincang projek baharu.”
“Ya ke? Tangan tu meraba-raba. Projek apa yang kau orang bincang tu? Kau ingat kak long tak nampak?”
“Mana ada meraba??? Kak long ni main tuduh aja. Tak baik buat fitnah!” jawab Johan lantas merona wajahnya. Tidak tentu arah dia.
Lyn lekas-lekas menekup muka. Malu!
“Tahulah dah berbaik. Bukan main lagi kau orang ya. Entah ya bincang pasal kerja, entahkan bincang projek peribadi,” perli Adrean sebelum dia berlalu dari situ.
“Kan dah kena. Memalukan betullah!” gerutu Lyn lantas menampar tubuh suaminya itu. Namun jemarinya sempat dicapai Johan lalu diramas lembut.
“Jumlah, sayang. Dah lama abang tunggu ni. Dahlah malam tadi tak dapat.”
“Bukan salah Lyn, kan? Abang yang berdengkur awal sangat,” jawab Lyn dalam kerlingan.
Johan menyeringai setelah Lyn mengambil beg tangannya.
“Jomlah cepat. Lyn nak pergi tandas dulu ni.”
“Sayang buah hati abang ni,” ucap Johan kian ceria. Pantas dia kembali ke biliknya.
“Ida, saya ada hal di luar. Saya masuk pejabat lepas waktu makan tengah hari nanti,” pesan Johan kepada pembantunya itu.
“Okey, bos.”
Johan menanti isterinya di hadapan lif. Tidak lama kemudian muncul wanita kesayangannya di situ.
“Ke mana?” tanya Lyn. Johan enggan pulang ke rumah. Jadi, dia masih tidak tahu di mana mereka akan singgah sekejap lagi.
“Rumah kitalah. Tiada orang kacau,” jawab Johan lantas menekan butang lif untuk turun ke bawah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan