Apa terjadi sekalipun, Johan sedar dia tidak dapat mengelak daripada menjawab persoalan orang tuanya. Riak wajahnya lugu saat pulang ke rumah Tan Sri Muzhaffar. Kebetulan isterinya juga ada di sana. Anak-anaknya gembira sekali melihat si daddy.
Petang itu Tan Sri Muzhaffar memanggil anak lelakinya. Mereka perlu berbincang dari hati ke hati tentang masalah rumah tangga yang sedang membelenggu Johan dan Lyn. Pandangannya hambar, tanda rasa kecewanya dengan anak lelaki tunggalnya itu tidak mampu untuk terpadam.
“Daddy tak pernah membayangkan keadaan akan jadi begini sekali. Kau tak akan mampu membayangkan betapa kecewanya daddy dengan kau, Johan,” Tan Sri Muzhaffar menggeleng berkali-kali.
Johan diam tidak mampu untuk membalas.
“Daddy tak sangka kau akan pergi sejauh itu. Sesuatu yang daddy tak boleh terima sama sekali.”
“Saya tersilap, daddy.”
“Senang kau bercakap. Sekali kau buat salah, kau buat muka kesian. Kau fikir orang sekeliling kau ni robot?” balas Tan Sri Muzhaffar.
Johan terdiam semula.
“Sungguh kau nak nikah dengan perempuan tu,”
Johan lekas-lekas menggeleng.
“Saya dah tak ada apa-apa hubungan lagi dengan dia.”
“Itu satu hal. Hati kau sendiri, adakah bulat menolak perempuan itu kerana diri kau sendiri yang tak mahu? Atau kau terpaksa? Jangan sebab hari ini kau nak Lyn balik semula pada kau, kau sanggup buat macam-macam. Tapi esok lusa kau buat lagi. Apa kesannya nanti pada anak-anak kau? Tak fikir?” tempelak Tan Sri Muzhaffar.
Johan tunduk tanpa jawapan.
“Tak tahulah daddy nak kata apa lagi dengan kau ni. Semenjak dulu ada saja masalah sang kau buat sampai isteri kau lari. Sekarang dah berangan nak pasang yang baru pulak. Bukan kecil masalah yang kau buat pada rumah tangga kau ni. Besar! Kau bukan budak-budak lagi, Johan. Anak dah 3. Bilalah kau ni nak matang?” leter si daddy lagi.
“Saya dah cuba untuk berubah, daddy. Tapi Lyn tak mahu maafkan saya. Saya masih sayangkan isteri dan anak-anak saya,” balas Johan rendah.
“Kau pun tahu perangai isteri kau tu macam mana. Masih nak menempah susah. Cukup baiklah Lyn tu boleh tahan selama ini dengan kau ni. Kau rasa ada perempuan lain yang boleh sabar dengan perangai kau, bawa sini, Johan! Daddy nak jumpa dia!” tegas Tan Sri Muzhaffar.
Johan tunduk, tidak tahu lagi apa yang hendak dijawabnya.
“Sekarang Lyn nak minta cerai. Apa kau nak buat? Daddy dah tak ada upaya nak pujuk dia bersabar dengan perangai kau ni. Daddy speechless, Johan. Sebab daddy tak sangka sama sekali kau akan bawa pengkhianatan semacam ini pada isteri kau.”
“Saya akan cuba pujuk dia, daddy. Saya tak akan ceraikan dia,” sambut Johan bersungguh-sungguh.
“Abah Lyn dah tahu?”
“Tak tahu. Saya tak tahu Lyn dah beritahu orang tua dia ataupun tidak,” jawab Johan perlahan.
Tan Sri Muzhaffar menggeleng. Dia pun tidak tahu entah apa hendak dijawabnya kepada Haji Duan. Dia malu! Sekarang ini dia pun tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Hajah Edah. Apa tanggapan besan perempuannya itu nanti?
“Kau selesaikan sendiri dengan abah Lyn tu. Daddy dah tak tahu apa nak buat lagi, Johan.”
Johan menghela nafas panjang. Seram sejuk apabila soal mentuanya disebut bapanya. Mentuanya itu lebih banyak berdiam. Tidak suka masuk campur urusan rumah tangganya. Tetapi diam bapa mentuanya itu, jangan disangka membiarkan. Dahulu dia juga yang berjanji bagai nak rak kononnya tidak akan menyakiti hati isterinya itu. Sekarang dia mungkir janji.
“Perempuan tu macam mana? Kau masih ada hubungan dengan dia?”
Johan menggeleng.
“Saya dah tinggalkan dia. Tapi dia masih call saya.”
“Dah sedap apa yang dia nak semuanya dapat. Memanglah dia tak mahu tinggalkan kau! Daddy mahu dia berhenti ganggu kau lagi. Beri dia sedikit duit supaya dia diam. Dia mesti jauhkan diri daripada kau kalau tak mahu dapat susah!” ucap Tan Sri Muzhaffar tegas.
Johan mengangguk akur. Masalah yang dibinanya harus diselesaikan satu per satu. Masalahnya, dia tidak tahu yang mana harus diselesaikan dahulu.
Ketika hati tidak sebegitu berani, Johan memberanikan diri pulang ke rumah mentuanya. Dia sedar, hanya lelaki itu sahaja yang dapat memujuk Lyn.
Ketika tiba di rumah mentuanya awal pagi itu, lelaki itu sedang mengasah mata sabit di atas pangkin di belakang rumah. Semenjak bersara, lelaki tua itu lebih suka membuat kerja kampung bagi mengisi masa lapang.
“Lyn tiada cakap apa-apa dengan abah,” ucap Haji Duan perlahan. Kecewa juga hatinya mendengar apa yang diucapkan menantunya.
“Saya tahu dia sengaja diamkan hal ni sekarang. Nanti dia akan beritahu abah juga. Daripada abah dengar daripada orang lain, biarlah saya berterus terang aja.”
Haji Duan mengangkat pandangan.
“Jadi, kau nekadlah nak bernikah lagi?”
“Tak. Abah, dah saya katakan tadi saya tersilap. Saya khilaf,” balas Johan bersungguh-sungguh.
Haji Duan menghela nafas panjang sebelum dia menggeleng.
“Apa yang buatkan kau fikir nak berkahwin lain?” tanya lelaki tua itu biasa. Parang itu diketepikan sebelum dia memandang menantunya itu.
“Abah tanyakan sebab yang mungkin kedengaran biasa-biasa pada lelaki macam saya.”
“Abah tak berhak pertikai keputusan kau kalau benar kau nak bernikah lagi. Itu hak kau. Tetapi abah mahu bertanya demi perkahwinan kau yang sedia ada. Lelaki selalunya lupa. Nikah dua, tiga, empat itu hanya sunnah dan rukhsah. Sunnah yang berat untuk ditunaikan kerana tanggungjawabnya itu berpanjangan. Menjaga perkahwinan sedia ada itu wajib. Jadi, abah mahu tahu apa sebabnya kau memilih untuk bernikah seorang lagi?” ujar Haji Duan.
Johan terdiam. Apakah sebab yang khusus selain dia telah terjatuh hati kepada wanita lain? Tiada!
“Tiada sebab? Saja-saja nak tempah susah?” selar Haji Duan lantas memandang menantunya itu.
“Saya khilaf, bah….”
“Mudah kita mengakui kesilapan kita. Keliru antara yang benar dan tidak. Kebanyakan kaum lelaki senang benar menjadikan sunnah sebagai alasan untuk berkahwin lagi sedangkan yang ada itu lebih utama, lebih wajib untuk dijaga.” Haji Duan menghela nafas panjang.
“Isteri kau tu, sampai sekarang kau masih tak mampu suruh dia tutup aurat. Dinasihatkan sudah, ditegur pun sudah. Macam tu juga. Anak-anak kau lebih kurang sama. Abah ni susah hati, Johan. Esok lusa mati, entah macam manalah nanti dalam kubur. Anak-anak semua Alhamdulillah berjaya. Tapi urusan semudah tutup aurat pun tak mampu jaga. Kau sebagai suami pun tak tahu apa kau nak buat supaya isteri kau dengar kata. Entahkan kau pun suka isteri kau jaja aurat dia. Bahu kita orang lelaki ni ada tanggung bahagian anak dan isteri. Kalaulah dosa dan pahala TH dapat ditengok denga mata kasar, abah rasa kita ni tiada masa nak fikir soal kahwin banyak,” leter Haji Duan dalam nada rendah.
Johan diam mendengar soal itu diungkit oleh bapa mentuanya.
“Asas itu saja pun kau sudah gagal, jangan fikir soal kahwin lain sekarang. Abah tak mahu dengar. Itu semua mengarut!”
“Saya faham, bah.”
“Jadi, kau balik ni sebab kau nak minta nasihat tentang Lyn,” telah orang tua itu dengan pandangan ekor mata ke arah Johan.
“Saya dan Lyn dah berpisah rumah. Saya susah hati, abah. Di tak mahu maafkan saya. Apa yang patut saya buat,”
Haji Duan diam sambil memandang ke hadapan. Seketika kemudian kepala digelengkan tanda ada kekesalan yang tidak terluah.
“Isteri ni ada sebab kenapa dia tak mahu dengar cakap suami; tak mahu hormat suami. Allah beri kaum lelaki kuasa sebagai ketua tetapi ramai yang gagal. Bila kita tidak menunjukkan personaliti sebagai ketua yang layak dihormati, orang akan pandang rendah pada kita, Johan.”
“Sepanjang saya jadi suami, saya dah banyak buat salah pada isteri saya, bah”
“Tiada manusia yang tak buat salah. Tapi mengulangi kesalahan yang sama berkali-kali itulah yang sering jadi masalah dalam rumah tangga. Macam mana kita nak memimpin kalau kita pun lalai?” ucap Haji Duan.
Johan diam mendengar bicara bapa mertuanya itu.
“Apa keputusan Lyn?” tanya Haji Duan tidak lama kemudian.
“Dia nak minta cerai.”
Haji Duan menggeleng berkali-kali. Kesal. Tak ada penyakit, cari penyakit.
“Jadi, sekarang tak jadi nak kahwin dua pulak?” Lelaki tua itu menoleh ke arah menantunya.
“Saya lebih sayangkan isteri saya, abah. Saya tak mahu kehilangan dia,” balas Johan rendah.
“Kamu tu, itulah. Dah jadi macam ni, sesal pun tak ada guna.”
“Tolonglah saya, abah. Saya masih sayangkan anak-anak dan isteri saya. Saya dah cuba perbetulkan kesalahan saya, tapi Lyn terlalu keras hati. Dia bawa anak-anak saya pergi,” adu Johan bersungguh-sungguh mengharapkan orang tua itu campur tangan demi melembutkan hati isterinya itu.
“Sekejap lagi abah telefon dia,” jawab Haji Duan perlahan.
Tengah hari itu muncul pula isterinya di rumah mertuanya. Tiada lain, sudah pasti Haji Duan yang menyuruh anaknya itu pulang.
“Nak gaduh ke apa, jangan depan anak-anak. Ibu tak suka,” pesan Hajah Edah kepada anak perempuannya.
“Penat nak gaduh aja,” balas Lyn sambil meletakkan anak lelakinya itu di tengah katil. Zairyl masih lena biarpun sudah tiba di rumah datuknya.
“Hmm…. eloklah dah ada ni,” tegur Haji Duan sebaik sahaja pulang dari masjid.
“Mengadu apa?” tanya Lyn kepada suaminya yang melugu di ruang tamu dengan muka minta simpati.
Johan hanya diam.
“Apa cerita kamu berdua ni? Abah dah dengar daripada Johan tadi. Sekarang kamu pula. Abah nak dengar dua-dua belah pihak,” ucap Haji Duan setelah mengambil tempat di sofa.
“Lyn nak bercerai.”
“Astaghfirullah…” keluh orang tua itu lantas mencabut kopiah di kepalanya.
“Senang benar sebut nak cerai ni,” ujar Haji Duan.
“Dah tak tahan hidup macam ni,” balas Lyn nekad. Alang-alang bapanya sudah tahu masalah mereka, biarlah dia berterus terang sahaja.
“Jika ada sebarang perbuatan suami kamu yang memudaratkan tubuh badan kamu, nyawa kamu dan anak-anak, abah takkan halang. Tetapi selagi nafkah tak terabai, hak anak-anak tetap diutamakan, tak ada pukul-memukul…. abah tak setuju kamu minta cerai. Cepat benar kamu buat keputusan nak bercerai. Ada apa-apa masalah, perbaiki. Bukannya ditinggalkan macam tu sahaja,” ucap Haji Duan kepada anaknya itu.
“Panjang kalau nak cerita. Malas nak ulang benda yang sama banyak kali,” balas Lyn tanpa memandang bapanya itu.
“Masalah ini melibatkan hati dan perasaan kamu berdua. Janganlah anak-anak diheret sama. Cubalah lembutkan hati tu, Lyn. Cuba memaafkan. Berbanding kamu pujuk anak-anak tu supaya terima keputusan kamu untuk bercerai, adalah lebih baik kamu pujuk hati kamu sendiri.”
Lyn berdiam pula. Tetapi nasihat bapanya bak bola memantul di dinding. Tak lekat dalam benaknya. Hati tetap menolak untuk menerima suaminya semula. Malah bengang kian bertambah kepada suaminya kerana pandai-pandai melibatkan bapanya dalam masalah mereka.
“Fikir panjang-panjang. Jangan kerana setahun yang sakit ni, korbankan kebaikan yang sudah dinikmati sebelum ini. Kita pun tak tahu apa yang Allah nak kurniakan pada masa depan. Bersabarlah. Perlahan-lahan perbaiki apa yang tidak elok.”
Lyn tetap berdiam. Satu-satunya lelaki yang tidak berani untuk dibantah sesuka hati, inilah dia. Agaknya sebab itulah Johan bertindak untuk merujuk masalah itu kepada bapa mertuanya.
“Bincang elok-elok,” suruh Haji Duan lantas dia bangun dari situ.
Johan mengangkat pandangan kepada isterinya. Lyn membisu seribu bahasa. Memegunkan diri memandang ke arah jendela ruang tamu itu. Perlahan dia mengangkat punggung untuk mendekati isterinya.
“Abang beritahu abah sebab abang rasa abah patut tahu.”
“Patut tahu atau you sengaja gunakan kelemahan I?” selar Lyn dalam nada tajam.
“Abang buat macam ni sebab abang sayangkan anak-anak abang. Abang tak boleh hidup seorang diri, Lyn. Abang nak isteri dan anak-anak abang semula.”
“No comment!” balas Lyn lantas memandang ke arah lain. Enggan lagi berbincang apa-apa.
“Sayang…. sayang…. sampai bilalah nak keraskan hati macam ni?” keluh Johan lantas menggeleng sendiri.
Lyn terus bungkam tanpa jawapan. Enggan bertelagah di hadapan bapanya, jadi dia lebih rela berdiam diri. Namun untuk mengalah, memang tidaklah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan