Sabtu, 1 Oktober 2016

Curangla Lagi Part 22

Entah apa anginnya hari itu, selepas maghrib Johan mula memandu ke rumah isterinya. Dia mahu menjenguk anak-anaknya. Rindunya kepada anak-anak sudah tidak tertanggung. Sudah tidak mampu menunggu sehingga ke hari cuti hujung minggu.

Sesampai di kediaman wanita itu, Bibik Sutinah yang menyambut kedatangannya. Dua anak perempuannya sedang membuat kerja rumah di ruang tamu. Melompat anak-anak itu sebaik sahaja terpandangkan Johan. 

“Mummy mana, sayang?” soal Johan lembut.

“Mummy kat dalam bilik dengan adik. Adik asyik nangis aja,” ucap Dani.

“Ya ke? Kenapa adik nangis? Dani kacau adik ya?” soal Johan mesra.

“Mummy kata adik tak sihat.”

Johan terdiam mendengar jawapan anaknya itu. Zairyl tak sihat? Kenapa dia tidak tahu? Buat seketika dia menemani dua anaknya itu di ruang tamu.

Tidak lama kemudian Lyn keluar dari bilik. Langkah wanita itu terhenti melihat Johan berada di ruang tamu. Dia tidak tahu pula Johan datang bertandang. Dalam keadaan dia begini, tiba-tiba dia rasa segan pula. Mahu berpatah balik ke bilik sudah tidak sempat, Johan sudah terpandangkan dia.

Johan turut terpaku melihat susuk isterinya itu. Hanya sesaat dua pandangan mereka bersatu. Selebihnya Lyn terus berjalan menuju ke tengah rumah dengan muka selamba seolah-olah tiada apa-apa.

Johan hanya mampu meneguk liur memandang isterinya itu. Matanya tidak mampu dilarikan daripada memandang setiap gerak-geri Lyn. Dadanya tidak keruan melihat sang isteri yang cukup selamba mengenakan kemeja putih longgar sebagai pakaian di rumah. Masalahnya, yang separas paha hingga ke bawah itu hanya terdedah begitu sahaja. Berdegup kencang dada lelaki itu dibuatnya.

“Dani…..Dina….ajak Daddy makan. Lepas tu siapkan kerja sekolah. Dah siap, tidur. Esok sekolah.” Lyn bersuara dari tengah rumah itu. 

“Okey, mummy!” sambut dua anak itu ceria.

“Daddy, jom makan,” ajak Dani sambil mencapai tangan si daddy agar ikut serta di meja makan.

“Yalah.” Johan akur sahaja dengan ajakan si anak. Harapannya dapatlah dia mendekatkan diri dengan wanita itu di ruang tengah itu. Namun saat dia menempatkan diri di sana, Lyn terus menonong berjalan untuk kembali ke bilik tanpa menegurnya.

“Lyn tak makan sekali?” pelawa Johan sebelum sempat Lyn menghilang dari pandangannya. Harap-harap Lyn sudi menemaninya makan di meja itu.

“Makanlah. I dah kenyang,” jawab Lyn sepintas lalu.

Johan hanya mampu meneguk liur. Putih mata melihat Lyn begitu pantas melesapkan diri ke dalam bilik. Ingatkan bolehlah dia mencuci mata memandang lama sedikit. Wanita itu lebih cekap meneka apa yang bermain dalam fikirannya dan melarikan diri daripadanya. Johan termalu sendiri.

Selesai makan, dia menemani lagi anak-anaknya itu. Namun sebenarnya fikiran Johan sudah terbang mencari wanita di dalam bilik sana. Akalnya sentiasa mencari idea untuk mendekati wanita itu. Hanya satu sahaja alasan yang tinggal. Zairyl!

“Dani dengan Dina tunggu sini ya? Daddy nak pergi tengok adik kat dalam,” ucap Johan sudah tidak tertahan. Mahu juga dia melihat apa yang sedang dilakukan Lyn di dalam bilik sana.

“Okey,” jawab Dani dan Dina serentak.

Dengan penuh debaran dalam hati, Johan melangkah mendekati bilik tidur isterinya itu. Pintu dilihatnya tidak tertutup sepenuhnya. Dengan penuh hati-hati, dia menyelitkan diri di celahan pintu bilik yang separuh tertutup itu. Dari tempat dia berdiri, dia sudah terhidu haruman yang membuatkan dia kembali teringat pada kamar tidur mereka dahulu. Haruman ini membuatkan hatinya semakin digamit rindu terhadap wanita itu.

Lyn menoleh dari atas katil apabila terperasan seseorang sedang berdiri di ambang pintu biliknya. Johan berada di situ. Lantas dia terus meletakkan jari telunjuk di bibir sebagai isyarat kepada lelaki itu agar tidak berbuat bising.

“I nak jenguk Aril. Dani kata dia tak sihat,” ucap Johan perlahan.

Lyn tidak menjawab. Dia kembali memandang anak lelakinya yang sedang terlelap rapat di tubuhnya itu. Johan terus masuk ke bilik itu dengan langkah senyap. Lyn meleraikan pelukan Zairyl dengan penuh hati-hati sebelum dia bangun dari katil. Dia terus menjauh untuk memberi peluang kepada Johan mendekati Zairyl.

Johan tunduk mencium kepala anaknya itu perlahan. Dahi anaknya itu disentuh. Panas sedikit badan Zairyl dirasakan. Patutlah anak kecil itu tidak mahu berenggang dengan Lyn. Rupanya demam. 

‘Cepat sembuh ya, sayang. Kesian mummy…’ bisik hati Johan saat memandang puteranya itu.

Johan menoleh ke arah isterinya yang sedang mengikat rambut di hadapan cermin.

“Dah pergi klinik?” soal Johan agak perlahan.

“Dah.”

Johan mengangguk puas hati biarpun jawapan itu hanya sepatah. Dia memandang Zairyl semula. Tidur anak itu cukup lena. Nampaknya tidak dapatlah dia bermain dengan anaknya itu.

Johan memandang semula isterinya itu. Lyn masuk ke kamar mandi setelah selesai mengikat rambut. Tidak terteguk liurnya melihat Lyn dengan selamba sahaja berpakaian singkat di dalam bilik itu. Lagak wanita itu seolah-olah dia tiada di situ. Sedangkan dia sudah tidak senang duduk. Matanya gatal sungguh mahu memandang paha mulus yang terdedah itu.

Johan terus membelek anaknya itu sehingga Lyn keluar dari kamar mandi. Wanita itu duduk di sofa sambil mencapai majalah. Dia terus tidak bersuara sambil memandang majalah di tangannya. Johan resah memandang gelagat isterinya itu. Ikutkan hati mahu sahaja dia mendekati Lyn. Tapi bimbang pula wanita itu mengamuk. 

Namun memikirkan Zairyl sedang tidur, tidak memungkinkan Lyn menengking atau meninggikan suara kepadanya, Johan nekad bangun juga. Wanita yang sedang duduk bersilang kaki di sofa itu didekatinya.

‘Alahai…. seksinya bini aku ni. Kalau aku tak buat hal dulu, senang-senang aja aku boleh terkam dia sekarang ni,’ keluh hati Johan sendiri.

“Lyn…” panggil Johan halus.

Wanita itu segera menurunkan majalah ke riba. Matanya memandang kosong ke arah suaminya yang sedang berdiri di hadapannya itu.

“Ada apa?” soal Lyn biasa.

Johan dengan muka tebalnya mula mengambil tempat bersebelahan dengan Lyn dalam pada mata terus memandang paras isterinya. Lyn masih berat mulut kepadanya. Dia sendiri sebenarnya tidak tahu apa yang mahu diluahkan. Hanya hati yang mampu berbisik sendiri meluahkan rasa yang masih terperam dalam diri.

Lyn mula menoleh apabila lelaki di sebelahnya itu sekadar diam. Dia ikut terpaku memandang renungan Johan kepadanya. Sinar di mata lelaki itu cukup mudah membuatkan dia hilang kawalan diri. Hatinya terasa dibadai arus deras yang pernah dirasai suatu masa dulu tatkala lelaki ini datang mendekatinya dengan godaannya.

Melihat Lyn mula jinak, Johan memberanikan diri mendekati wanita itu.

“Abang rindu sangat, Lyn.” Johan memulakan bicaranya agak payah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa seksa hatinya memendam rasa cinta ini. Wanita ini masih terlalu bererti kepadanya.

“Abang masih terlalu sayangkan Lyn,” tambah Johan lantas meraih jemari isterinya itu. Dengan keberanian yang tidak seberapa, jemari itu dibawa ke bibirnya. Mata Johan terpejam rapat menikmati saat-saat yang teramat berharga ini.

Lyn terus terdiam membiarkan Johan mengucup jemarinya berkali-kali. Entah kenapa hatinya sayu memandang wajah Johan yang sedikit menunduk. Saat kelopak mata lelaki itu terbuka, mereka kembali berpandangan. Tanpa kata mereka saling meluahkan apa yang tersembunyi dalam hati sendiri melalui pandangan mata.

Lyn terus terkaku biarpun dia melihat Johan mula mendekatkan wajah kepadanya. Dadanya tidak keruan saat nafas lelaki itu terasa hangat menampar wajahnya. Dia benar-benar sudah terlalai. Tatkala Johan dengan lembut menyatukan bibir mereka berdua, dia terus berdiam memejamkan mata.

Sesaat dua itu dia pasrah dengan kemesraan yang diberikan lelaki itu. Tidak mungkin Johan tidak merebut peluang setelah Lyn mahu melayani sentuhannya. Pinggang wanita itu diraihnya. Namun tiba-tiba lelaki itu ditolak oleh Lyn.

“I uzur!”

Johan tersentak sedikit memandang raut isterinya. Benarkah uzur? Atau Lyn ego, tidak mahu mengaku yang mereka sama-sama masih saling menyayangi.

“Keluar dari bilik ni!” ucap Lyn serius, lantas bangun.

“Kenapa buat abang macam ni, sayang?” ucap Johan kecewa. Kalau tak suka, kenapa isterinya membalas segala perbuatannya tadi?

“Jangan banyak tanya. Keluar aja! I tak nak tengok muka you lagi. You jangan ambil kesempatan atas kelemahan I, Johan. Jangan buat I bertambah benci dengan you,” ucap Lyn sedikit keras.

“Salah ke abang sentuh isteri sendiri?” soal Johan sambil dia bangun untuk mendekati Lyn yang berdiri di tengah bilik itu.

“Jangan tanya soalan macam tu pada I. Memang tak salah! You boleh buat apa yang you suka selagi hak tu masih di tangan you. Tapi hati I ni yang dah tak nak dengan you lagi!” jawab Lyn serius.

“Really?” balas Johan separuh mengejek.

Nada itu membuatkan darah Lyn tersirap naik. Mulalah dia menyesal kerana membiarkan lelaki itu menyentuhnya tadi.

“Kalau betul dah tak mahu, dah tak boleh terima abang lagi, kenapa biarkan tadi?”

“I nak cerai!”

“Senangnya bercakap. Sikit-sikit cerai, sikit-sikit cerai. Abang ni tak ada perasaan agaknya.”

“Apa I peduli!” jawab Lyn sinis lantas membelakangi lelaki itu.

“Pejabat agama ada, kenapa tak pergi mengadu sana? Abang jadi duda kaya. Boleh abang pikat janda lawa Erra Fazira tu. Tapi anak-anak, abang akan ambil.”

Tersirap darah Lyn mendengar syarat Johan. Pantas dia membalikkan tubuhnya kepada lelaki itu. 

“I beg your pardon?”

“Anak-anak dengan abang! Cukuplah mengugut abang soal cerai ni semua. Abang dah malas nak dengar.”

Lyn memandang lelaki itu dalam keadaan kemarahannya tidak tertahan. Rasa macam mahu dicencang-cencang saja lelaki itu. Sudahnya dia menerpa mahu memukul Johan. Tetapi lelaki itu sudah dapat menjangka apa yang akan berlaku. Lekas-lekas dia memegang kedua-dua belah tangan isterinya.

“Jangan! Abang angkat letak atas katil nanti. Hilang kes nak cerai, kita dapat anak lagi,” ugut Johan pula tatkala isterinya berhempas-pulas mahu memukulnya.

“Get out of my room! I hate you!” desis Lyn benar-benar sakit hati.

“Sudahlah tu! Aril tengah tidur tu,” ucap Johan sambil mendecit. Sudahnya tubuh isterinya itu dipeluk agar Lyn tidak mampu lagi meronta.

“Lepaslah!” rengus Lyn, tidak sudi dipeluk lelaki itu.

“Biarlah abang peluk kejap. Tadi sekejap sangat,” balas Johan sedikit lunak. Tidak mampu lagi menahan rindu, leher isterinya digomol.

Lembik lutut Lyn dibuatnya. Namun dia lekas-lekas menolak tubuh lelaki itu jauh daripadanya. Sudahnya Johan mengalah juga.

“Egonya isteri abang ni. Tak makan dipujuk,” keluh Johan.

Lyn tidak menjawab. Sebaliknya dia berlalu ke arah katil mahu melihat anaknya. Lambat-lambat Johan ikut mendekati isterinya. Punggungnya dilabuhkan rapat dengan Lyn. Rambut wanita itu dibelai lembut.

Lyn hanya terkebil-kebil merenung sang anak yang masih lena. Namun fikirannya terus menerawang jauh, mengenangkan kelukaan yang pernah diberikan Johan kepadanya. Mungkin dia masih sayang, tetapi dia sukar hendak menerima Johan semula.

“Abang minta maaf, sayang.”

“Tak perlu ucapkan maaf lagi. I dah bosan,” jawab Lyn.

“Janganlah macam ni.”

“I tak nak dengar lagi. Tolong pergi,” ucap Lyn sedikit tajam.

Johan menghela nafas perlahan. Sudahnya dia berpaling lalu berlalu dari situ. Tidak tahu apa yang hendak dibuat untuk melenturkan kebencian isterinya.

Setengah hari terpaksa berurusan di bank bagi menyelesaikan masalah hutang keretanya. Mujurlah kereta itu belum sempat ditarik oleh bank. Johan memilih untuk menyimpan kereta itu bagi kegunaan dirinya.

Petang itu, Johan segera mencari isterinya di bilik kerja wanita itu. Tetapi rupanya wanita itu baru sahaja beredar. Lekas-lekas dia berlari anak menuju ke lif. Harap-harap sempat mencari isterinya di bawah.

“Lyn…” panggil Johan sebaik sahaja keluar dari lif. Isterinya itu sudah berada di pintu utama lobi.

Lyn segera menoleh. Terlihat Johan sedang mengejar langkahnya, dia memperlahankan sedikit langkah untuk bersaing dengan lelaki itu.

Sebaik sahaja tiba di sisi isterinya, Johan mencapai pergelangan tangan Lyn.

“Lyn, pakailah kereta abang,” ucap Johan sambil meletakkan kunci Bentleynya itu di telapak tangan Lyn.

“Kenapa pula?” tanya Lyn hairan. Sebelum mereka berpisah, dia menyerahkan semula kereta kesayangan suaminya itu.

“Ambillah. Abang pakai kereta KIA tu.”

“Tak naklah! Bekas you naik dengan perempuan tu, you bak bagi I pula.”

“Dulu Lyn kata abang tak pernah belikan apa-apa untuk isteri abang. Sekarang abang beri kereta abang, tak mahu pula. Kereta Lyn tu dah lama.”

“You belikan dia kereta baharu. I dapat kereta bekas you naik dengan dia.”

“Jadi, abang patut buat apa? Belikan kereta lain dalam keadaan hutang abang masih belum selesai?” balas Johan agak sengit.

“Padanlah dengan muka you. You yang…”

Belum sempat Lyn habis membebel, Johan terus berlalu meninggalkan wanita itu di situ. Sakit hati punya pasal, Lyn melemparkan kunci kereta itu ke arah Johan. Tepat mengenai belakang suaminya dan kunci itu jatuh di lantai. 

Johan berpaling semula. Kunci itu dikutipnya sebelum dia memandang isterinya lama sekali. Sudahnya dia berpaling dan berlalu. 

“Macam ni ke sayang? Hari tu bukan main lagi merayu-rayu!” marah Lyn. Mulalah dia rasa nak menangis saja dengan perbuatan Johan.

Johan berhenti melangkah semula. Lama dia memandang isterinya yang masih berdiri di tempat yang sama. Nafas dihela panjang sebelum dia kembali semula kepada wanita itu.

“Ambillah. Abang bagi ni,” ujar Johan lembut.

“Kalau dah tak nak, cakap aja terus terang!”

“Sudahlah tu….. abang pujuk tak mahu. Habis tu, apa abang boleh buat?” tekan Johan lantas menarik tangan isterinya. Bimbang orang lain melihat keadaan mereka begitu. Namun Lyn menepis tangan suaminya.

“Sekarang baru nak buat baik. Dengan I pujuk macam nak tak nak aja! Dengan perempuan tu buat apa saja pun boleh. Bencilah! Kalau dah tak suka, lepaskan I sekarang!” marah Lyn. Terlalu marah sampai matanya jadi panas. Berkaca dan air matanya mengalir.

“Selama ni abang tak pujuk ke? Abang merayu-rayu sampai abang dah tak tahu nak cakap apa lagi. Abang buntu, Lyn! Abang ingat apa aja yang abang cakap, Lyn dah tak mahu percaya. Jadi abang diam aja. Senang. Cakaplah, apa yang Lyn nak abang buat? Lyn dah tak mahu tinggal dengan abang? Dah bencikan abang? Jadi apa yang patut abang buat?” balas Johan ketika mereka sudah berada di tepi kereta Bentleynya.

Lyn terdiam pula menahan sakit hati. Rasanya semua itu masih tidak mampu menandingi apa yang ditanggungnya selama ini. Pemberian ini tidak setara sama sekali dengan keistimewaan yang diberikan Johan kepada gadis itu.

Johan menekan kunci kereta untuk membuka pintu.

“Masuklah,” ucap Johan lantas menolak lembut wanita itu ke dalam kereta.

Lyn menghempas punggung ke kerusi tanda hatinya masih tidak terpujuk sedikit pun biarpun diberikan kereta itu. Johan merendahkan tubuhnya lalu mencangkung di celahan kereta.

“Abang bukan tak fikir. Tapi bagilah abang masa. Abang kena selesaikan masalah abang dulu. Itu aja yang abang minta,” ujar Johan dalam nada memujuk.

“Lepas semua ni jadi baru terfikir nak buat semua ni, kan?” cemuh Lyn tanpa memandang lelaki itu.

“Jadi Lyn nak abang terus buat tak tahu? Macam tu baru puas hati?” balas Johan pula. Serba salah dia. Peduli salah, tidak peduli pun salah juga!

“Selama ni pandai pulak you belikan apa-apa untuk dia!”

“Selama ni Lyn pernah minta apa-apa daripada abang? Pernah? Abang tak tahu apa yang orang perempuan suka. Dia pandai. Dia beli saja apa yang dia nak. Sesetengahnya abang tak tahu pun. Bukan abang yang sukarela belikan bagi suprise pada dia. Abang tak pernah pun buat macam tu,” balas Johan pula.

“Jadi kondo tu?”

Johan menghela nafas perlahan.

“Sebab dulu abang ingat abang akan kahwin dengan dia. Rumah tu atas nama abang. Hak abang! Bukan atas nama dia.”

“Tapi dia boleh bersenang-lenang dalam rumah tu, kan?”

“Lyn dah halau dia. Dia boleh halau Lyn dari rumah kita? Kedudukan Lyn masih tetap istimewa sebagai isteri abang,” balas Johan bersungguh-sungguh.

“Alah… kalau I tak halau, you takkan halau, kan?” cemuh Lyn. Masih belum puas mengungkit kesalahan suaminya.

“Okeylah, abang pun dah tak tahu nak cakap apa. Ungkitlah sampai puas. Lyn nak abang putuskan hubungan dengan dia, abang dah buang dia. Lyn nak berpisah daripada abang, tak apa…. abang sabar. Abang tunggu sampai Lyn sudi terima abang semula. Tapi setiap kali abang pujuk, jawapan yang keluar buat abang sampai tak tahu nak cakap macam mana dah. Yalah, memang abang salah. Abang dah minta maaf. Berkali-kali abang minta maaf. Tapi perbualan kita hanya ada soal siasat. Kenapa baru sekarang abang nak buat ini…. kenapa baru sekarang abang nak buat itu…. kenapa abang nak kahwin lain…. Abang dah kata, abang khilaf. Lyn nak abang jawab macam mana lagi? Lyn nak dengar abang kata, ya…. dulu abang memang sayang Syiha lebih. Macam tu? Untuk apa jawapan tu semua?” ucap Johan.

Lyn terdiam. Johan menoleh ke arah lobi seketika. Ramai kakitangan syarikat sudah keluar dari lobi itu. Seterusnya dia kembali memberi perhatian kepada isterinya. Perlahan jemari wanita itu dicapainya.

“Dah lama abang tak dapat pegang tangan ni.”

“Sibuk sangat pegang tangan perempuan lain!” desis Lyn meluat lalu dia menarik tangannya semula.

Johan diam memandang tampang kelat isterinya. Memikirkan kata-kata yang lain untuk memujuk.

“Abang nak layan isteri abang baik-baik. Abang tahu abang banyak buat salah. Tapi berilah abang peluang tu. Asyik salahkan abang… ungkit kesalahan abang… abang jadi buntu. Semua yang abang buat serba tak kena.”

“Dahlah. I nak balik!” balas Lyn, malas hendak mendengar bicara lelaki itu yang selanjutnya.

“Kereta Lyn biar abang drive sampai rumah,” kata Johan akur.

Lyn membuka beg tangannya, lalu kunci keretanya diberikan kepada lelaki itu. Johan bangun. Namun tanpa amaran, dia singgah seketika, menjamah bibir sang isteri.

“Tepilah!!!” marah Lyn. Tidak sudi mahu bermesra di situ.

“Asyik marah abang aja,” keluh Johan.

Lyn membalas dengan cebikan meluat. Lelaki itu ditolaknya sebelum pintu ditutup. Tanpa menunggu kereta itu keluar dari ruangan parkir, Johan segera berlalu ke arah Toyota Camry milik Lyn. Namun kemudian dia terdengar Lyn memekik.

“Johan, nak start kat mana??? I tak pandai!”

Spontan Johan terhenti melangkah dan berpaling menafsir batang tubuh isterinya. Dia lihat Lyn sedang berdiri di celahan pintu.

“Lailahaillallah…” Johan menepuk dahi sebelum kembali semula kepada isterinya.

“Kat tengah tu hah. Abang nak ajarkan tadi, Lyn cepat sangat halau abang.”

“Diamlah! Malas nak layan,” gerutu Lyn sebelum masuk ke dalam kereta. Baru ternampak butang start engine berada di mana.

“Brek kat bawah tu. Gear kat situ…”

“Tak payahlah! I dah tahu!” tukas Lyn lantas ditolaknya lelaki itu.

“Sementara abang ada ni, tanyalah dulu. Nanti tengah jalan, brek pun tak jumpa,” usik Johan sebelum dia ketawa kuat. Lucu pula melihat gelagat isterinya.

“I tahu! Dah, pergi sana!” balas Lyn lantas menutup pintu. Itu yang malas nak tanya. Sia-sia saja dia kena ejek!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan