HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI
Kehidupan
kami semasa di Kuala Lumpur memang seronok, bapa saya sibuk dengan
kerjanya di studio, dan kami di rumah dengan hal masing-masing, dengan
bantuan dua pembantu rumah, iaitu Abang Ngah yang bersama kami sejak
dari Singapura dan nenek yang kami anggap orang paling tua di dalam
keluarga kami. Perkara yang tidak pernah terlintas dan terfikir di
kepala kami, lebih-lebih lagi bapa saya, rupa-rupanya ianya berlaku
dengan sekelip mata, dan amat memeranjatkan.
Pada
satu malam sedang kami duduk bersembang, saya lihat kakak saya Normah
seolah-olah tidak senang duduk, sekejap masuk, sekejap keluar. Sesekali
dia memandang ke arah saya dan yang lainnya. Saya tidak terfikir
apa-apa, sementara Abang Ngah pula sibuk berkemas untuk pulang ke
kampungnya. Tiba-tiba saya melihat Normah turut mengemas baju-bajunya
dan memasukannya ke dalam beg. Saya terus bertanya, "Kak Normah hendak
ke mana ni?" dia menjawab sambil menundukkan kepalanya "Hendak bermalam
di rumah kawan di Ampang."
Hati
saya mula khuatir dan memikirkan sesuatu yang tidak elok. Saya terus
bertanya kepada adik saya Betty, dia tidak menjawab hanya menangis. Saya
semakin hairan, tetapi cuba mendiamkan diri. Abang Ngah memang akan
pulang ke kampungnya esok pagi ke Beserah, tetapi saya tidak mengesyaki
apa-apa. Malam itu Normah pergi bersendirian ke rumah kawannya di
Ampang. Dia keluar dengan selamba seolah-olah tidak ada apa-apa yang
berlaku, cuma dia sempat menoleh beberapa kali melihat rumah kami yang
pernah dia diami itu.
Pada
keesokan harinya Abang Ngah pula pergi dengan agak tergesa-gesa, dia
hanya mengucapkan selamat tinggal dan terus keluar dengan membawa
begnya. Pada sebelah malamnya setelah bapaku pulang dari studio, dia
kelihatan gusar dan agak gelisah. Dia bertanya nenek pembantu rumah
mengapa Normah belum pulang-pulang lagi. Nenek agak tergaman dan
memberitahu yang saya tentu tahu ke mana Normah pergi.
Saya
bertambah resah, kerana tidak tahu apa yang hendak dijawab, kerana bapa
saya memang tidak benarkan anak-anaknya keluar meninggalkan rumah tanpa
izinnya. Dia tidak mahu anak-anaknya merayau-rayau dan tidur di rumah
orang sehingga tidak pulang rumah. Setelah saya terangkan, dia hanya
mendiamkan diri. Selepas itu, dia bersuara dalam nada yang biasa,"Besok
kalau dia pulang suruh jumpa Daddy."
Sejak
hari itu Normah yang kami sayang dan sering berbual mesra dengannya,
akhirnya pergi dan tidak pernah kembali lagi. Betty juga rupanya telah
membuat rancangan untuk mengikuti jejak Normah. Akhirnya dia juga
meninggalkan rumah. Setelah disiasat kami mendapati rupanya Normah telah
berjanji untuk menunggu abang Ngah di stesen bas dan mengikutnya ke
Kuantan dan akhirnya mereka berkahwin. Ketika berita ini sampai kepada
bapa saya, dia begitu marah dan mengingatkan kami supaya jangan cuba
memujuk dan memanggilnya pulang. Bapa berkata, kalau betul-betul Ngah
sukakan Normah, kenapa tidak berterus terang sahaja.
Sejak
itu bapa saya kelihatan muram dan sedih sahaja, kerana dia tidak sangka
perkara-perkara demikian berlaku di dalam rumah tangganya. Dia amat
kesal dan amat tersentuh dengan peristiwa yang berlaku itu. Dia sangat
menyayangi anak-anaknya, walaupun sebahagiannya adalah anak angkat.
Sejak peristiwa itu, saya dapat melihat kesedihan dan kegelisahan jelas
di wajah bapa saya. Lebih-lebih lagi sewaktu bapa saya bersendirian
apabila Mama terpaksa bekerja di laur negeri di Bangkok. Bapa saya
walaupun mempunyai masalah, dia sentiasa senyum dan ketawa agar nampak
ceria, dia tidak pernah tunjukkan perasaan sedihnya kepada orang lain.
SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan