Lyn ralit memandang Johan yang baru masuk ke dalam bilik itu. Perasaan kasihnya kian menggebu sebaik sahaja Johan mendekatinya. Dia mengharapkan sesuatu yang indah berlaku kepada mereka setelah beberapa hari ini dia dihadiahkan dengan kedinginan lelaki itu. Dia terlalu merindui suaminya yang dahulu.
“Hai, sayang.” Johan menyapa agak hambar. Dahi sang isteri dikucupnya lembut.
“Hai…” Lyn membalas dalam mata yang terpejam rapat. Terasa tubuh lelaki itu mahu dipautnya namun sayangnya Johan menjauh daripadanya dengan pantas. Tangan yang dihulur terasa tidak sampai.
“Lambatnya abang balik. Banyak kerja?” tanya Lyn perlahan. Matanya memandang Johan yang sedang mengosongkan kandungan poket seluarnya. Segala benda di dalam poketnya diletakkan di atas meja di sebelah tempat tidurnya.
“Hmm…” Hambar jawapan Johan saat itu. Agak lambat dia menjawab soalan isterinya.
“Abang tak sihat ke? Lemah aja?” Lyn bertanya lagi setelah dia mendekati lelaki itu. Tubuh Johan dibalikkan menghadapnya. Tampang sang lelaki ditatapnya tanpa putus. Kehambaran lelaki itu kian jelas dilihat. Semakin dirasakan dirinya dijauhi oleh lelaki itu dalam diam. Lyn tidak tahu kenapa perasaan ini yang dialaminya semenjak kebelakangan ini. Mereka berdua agak jauh. Dingin!
“Abang penat.” Itu sahaja jawapan Johan. Dia masih menjauhkan diri daripada Lyn dengan duduk di birai katil.
Perlahan Johan meraup wajahnya. Memang dia keletihan. Tetapi bukan kerana kerja. Sebaliknya letih melayan Syiha yang merengek mahu itu dan ini daripadanya. Letih memandu membawa Syiha yang mahu ke sana dan ke sini. Johan mengeluh seketika cuba melepaskan setiap cebis tekanan yang membebani diri. Paling meletihkan apabila teringatkan desakan Syiha agar segera menemui kedua ibu dan bapanya.
Johan mula merebahkan tubuh ke atas katil itu untuk merehatkan diri.
Melihatkan itu, Lyn juga ikut duduk di sebelah suaminya. Perlahan jemarinya mencapai butang kemeja suaminya itu.
“Pergilah mandi. Kalau abang nak makan, Lyn boleh panaskan lauk.” Lyn bersuara lembut setelah butang baju Johan sudah dilepaskan kesemuanya. Tidak sampai hati pula dia mahu meminta-minta daripada suaminya dalam keadaan Johan keletihan begitu.
“Abang dah kenyang. Tadi abang dah makan. Abang nak mandi sekejap. Abang belum solat lagi ni.”
“Solatlah cepat. Dah nak pukul 12 ni,” sambut Lyn biasa. Melihat Johan tiada mood, malas dia mahu bertanya banyak mengapa selewat ini Johan masih belum bersolat lagi. Bimbang jika dia banyak bertanya nanti Johan akan kebosanan melayan perangainya.
Johan terus bangun meninggalkan Lyn di situ. Selesai mencapai tuala miliknya, dia terus menghilang ke dalam bilik air. Lyn bangun semula dari katil setelah Johan berlalu. Dia menjenguk seketika anaknya di dalam katil bayi itu. Tangan Aril dibetulkan lalu diselimutkan anaknya itu. Suhu penghawa dingin dinaikkan sedikit. Kemudian katil itu digoyangkan agar lena anak itu tidak terganggu.
“Sayang, hari Jumaat ni abang kena pergi Hanoi lagi.”
Suara Johan yang kedengaran tiba-tiba membuatkan pandangan Lyn kepada Aril tertuntas serta-merta. Dia menoleh memandang suaminya. Lyn segera duduk di tepi katil itu sambil terus memandang kelakuan Johan.
“Berapa lama abang nak ke sana?” tanyanya lembut.
“Seminggu agaknya. Tak tahu lagi. Kalau urusan di sana tiada masalah, abang balik cepat,” ujar Johan sambil mengenakan baju tidur.
“Munirah pergi jugak ke?”
“Dia memang dah ada kat sana pun.”
Lyn terdiam. Terbayang dia wajah wanita berusia sebaya Johan yang masih belum berkahwin itu. Kadangkala apabila Johan selalu sangat berdua sahaja dengan wanita itu, dia bimbang. Namun Johan selalu berkata yang dia langsung tidak berminat terhadap anak dara itu. Lagipun selama dia mengenali wanita itu, dia tidak melihat ada sifat-sifat ‘terdesak’ pada Munirah sehingga perlu merampas suami orang. Munirah terlalu profesional dan komited pada kerjayanya sebagai jurutera sivil.
“Rosman pergi jugak?” Lyn bertanya lagi. Kali ini tentang teman rapat Johan itu. Sudah lama dia tidak mendengar tentang Rosman yang sudah menduda kini.
Johan menggeleng.
“Di di Penang sekarang. Dia handle projek lain.”
Mereka berdiam seketika. Lyn hanya mampu memandang Johan sedang menyikat rambutnya di hadapan cermin. Selesai menyikat rambut, Johan memandang isterinya itu.
“Rasa macam nak minum Milolah. Boleh buatkan abang Milo panas?” pinta Johan lembut.
“Tengok tu? Tadi tak cakap nak air. Bila orang dah nak tidur, barulah cakap nak minum air,” rungut Lyn sedikit geram. Terasa malas benar dia mahu turun ke bawah semula.
“Tolonglah kejap. Kata sayang abang? Kalau sayang, takkan buatkan air pun malas?” penuh mendayu Johan memujuk Lyn.
Lyn akur juga dalam pada dia menjeling geram melihat suaminya itu. Tidak sampai 5 minit kemudian, dia naik ke bilik itu semula. Sangkanya Johan pastinya sedang mengerjakan solat, tetapi tidak. Sebaliknya dia melihat Johan sedang bercakap dengan seseorang di telefon. Berbisik-bisik lelaki itu dengan temannya itu. Buat seketika Lyn memandang sahaja kelakuan suaminya itu dari belakang. Apabila ternampak kelibatnya, Johan lantas meminta diri daripada teman perbualannya itu.
“Siapa?” soal Lyn biasa.
“Joshoa dari UEM. Dia tanya abang pasal kondo di Pantai Hill Park tu,” kata Johan lantas telefonnya dimasukkan ke dalam laci meja di sebelah tempat tidurnya.
Lyn hanya memandang sahaja kelakuan suaminya tanpa sebarang syak wasangka. Bukan sekali dua dia pernah melihat Johan melayan soal kerjanya walaupun sudah berada di rumah dalam waktu selewat ini.
Johan berlalu ke bilik air semula. Air yang dihidang oleh Lyn tidak terus disentuhnya. Seketika kemudian dia keluar dari bilik air dengan wajah yang basah oleh wuduk.
Lyn terus berbaring di atas katil tanpa mahu menunggu Johan lagi. Dia sudah keletihan dan perlu bangun awal lagi esok. Matanya dipejamkan terus, cuba untuk merehatkan fikirannya setelah seharian dia bergelut dengan segala urusan kerja.
Namun dalam matanya terpejam, akal fikirannya terus segar. Segala perbuatannya dengan Johan sebentar tadi kembali mengitari ruang gelap itu. Sikap Johan yang dingin semenjak kebelakangan ini asyik mengajaknya berfikir tentang apa yang tidak kena dalam hubungan mereka berdua.
Sifat romantis Johan menghilang entah ke mana. Selalunya pulang ke rumah biarpun seletih mana, lelaki itu suka mengusiknya. Mengusik… biarpun dia cukup letih mahu melayan sikap loyar buruk sang suami. Malah sifat nakal lelaki itu jugalah yang selalunya membuatkan dia semakin sayang kepada Johan. Tetapi hairan, semua itu sudah menghilang sama sekali semenjak kebelakangan ini.
‘Mengapa? Aku ada buat salah dengan dia ke?’ bisik hati Lyn sendiri.
Lyn kembali membuka matanya apabila terasa ada beban memberat di tilam. Tubuhnya dihadapkan ke arah Johan yang sudah mahu merehatkan dirinya. Segera mendapatkan kepastian daripada suaminya itu. Dia tidak ingin membiarkan kedinginan sang suami terus menjeratnya sehingga meruntuhkan istana yang sudah lama terbina.
“Abang,” panggilnya lembut.
Johan segera menoleh kepada isterinya itu.
“Apa kata abang tentang keputusan Lyn nak sambung kontrak dengan Emirates? Abang belum bagi jawapan lagi?” ujar Lyn lembut sahaja.
“Kan abang dah beritahu malam tu?” sambut Johan.
“Abang kata apa? Lyn tak ingat apa-apa pun.” Dengan kerutan di kening Lyn bertanya lagi.
“Kalau Lyn nak sambung kerja dengan EK, sambunglah. Abang tak kisah. Yang penting Lyn suka kerja kat situ. Apa yang baik untuk Lyn abang ikut aja,” jawab Johan juga lembut. Kali ini dia memang sungguh-sungguh membenarkan. Dia memang tidak mahu Lyn kembali ke Neraca Holdings atau berhenti kerja buat masa ini. Pendiriannya kini sudah 100 peratus berubah semenjak bertemu Syiha. Dulu dia juga yang kerap meminta Lyn berhenti kerja demi anak-anak.
“Betul? Dulu abang asyik kompelin Lyn balik lambat. Selalu tiada di rumah. Abang rasa terabai bila Lyn selalu kena travel. Sekarang dah tak rasa macam tu ke? Lyn tak nak abang buat keputusan sekadar untuk nak menjaga hati Lyn, tapi hakikatnya abang tak rela. Lyn tak nak kita bermasam muka selalu tentang tu,” sambut Lyn pula.
Johan tersenyum sedikit.
“Abang ada kata macam tu ke?” soalnya seolah-olah tidak ingat tentang itu semua.
Lyn mencebik. ‘Buat-buat lupa pulak dia!’
“Baru-baru ni sebelum Lyn pergi Dubai, kita bertengkar lagi pasal benda yang sama. Abang cakap Lyn selalu habiskan masa dengan kerja berbanding dengan abang dan anak-anak. Takkan dah lupa?”
Johan terus tergelak mendengar luahan isterinya itu. Dalam hatinya saat ini memang dia merelakan sepenuhnya Lyn menyambung kontrak dengan Emirates kerana jika Lyn terpaksa selalu ke Dubai, adalah dia masa dengan yang lagi ‘seorang’ itu.
“Okeylah…. waktu tu abang memang kecil hati dengan Lyn. Tapi sekarang dah tak macam tu lagi. Abang tahu bini abang ni walaupun dia kat sana tapi fikiran dia tetap kat sini dengan abang dan anak-anak. Kali ini abang faham, sayang. Kalau Lyn nak sambung kontrak dengan EK lagi, sambunglah. Abang izinkan,” jawab Johan lembut.
Serentak itu tangannya membelai rambut sang isteri. Sesungguhnya kasihnya terhadap Lyn tidak pernah menghilang. Cumanya…. dia sedang berkira-kita mahu mencambahkan sedikit lagi kebahagiaannya dengan mewujudkan cawangan baru.
Kata-kata Johan membuatkan rasa gembira yang tidak terhingga dalam hati Lyn. Keizinan dan kerelaan Johan menerima dan memahami kehendaknya begitu bermakna baginya. Baginya ini semua lebih berharga daripada wang berjuta.
“Thank you,” ucap Lyn terharu.
“Thank you aja?” usik Johan juga gembira. Gembira kerana dia yakin selepas ini dia akan ada lebih banyak masa dengan bakal ‘cawangan’ baharunya itu.
“Kalau nak lebih daripada tu…. lain kali ajalah, sebab sekarang dah tengah malam. Lyn dah penat. Nanti tak sempat nak ambil mood, Lyn dah tidur. Sorry, lain kali aja!” tukas Lyn seolah-olah mengerti apa mahunya lelaki itu sebagai balasan kebaikannya itu.
Johan tersengih memandang sang isteri yang sudah memejamkan mata serapat-rapatnya. Melihat Lyn yang sudah memejamkan mata, Johan segera mengalihkan pandangannya ke siling di atas. Saat ini apa yang dirunsingkannya kembali mengitari ruang fikiran.
‘Macam mana aku nak cakap dengan dia pasal Syiha? Buatnya kalau dia mengamuk, matilah aku!’ keluh hati Johan sendirian. Terkedip-kedip matanya memikirkan strategi yang harus dilancarkannya agar segala keinginannya itu mendapat restu daripada wanita di sebelahnya ini.
‘Alahai…. susah juga nak tambah cawangan ni. Nak kena minta izin isteri dulu. Kahwin dekat Siam aja lagi senang. Tak payah nak fikir apa-apa dah,’ bisik hati Johan resah.
Johan mengeluh seketika.
“Tapi betul ke aku nak kahwin dengan dia?” Tiba-tiba hatinya menanyakan kepastian itu. Tiba-tiba dia merasa tidak yakin pula dengan keputusannya sendiri. Benarkah dia merasai cinta yang sebenarnya terhadap Syiha? Atau dia sekadar terbawa-bawa oleh perawakan manja wanita muda itu?
Entahlah! Johan tidak tahu. Kini dia kian keliru.
Lyn menghempaskan tubuhnya ke atas katil bersama rasa kecewa tidak bertepi. Sakit hatinya bukan kepalang. Suara Johan masih terngiang-ngiang di telinganya sebentar tadi. Semenjak dia pulang dari Dubai 2 minggu yang lalu, dia semakin terperasan perangai Johan yang sudah lain macam.
Puas dia memikirkan apa kenanya dengan lelaki itu. Hari ini sekali lagi Johan memaparkan kepelikannya. Bukankah Johan tahu yang setiap kali hari Jumaat dia akan pulang awal? Mengapa Johan sanggup mempersiakan masa yang ada untuk kliennya sedangkan malam nanti lelaki itu akan terbang pula ke Hanoi?
Geram benar dia dengan lelaki itu yang masih mahu melebihkan soal kerjanya sedangkan dalam tempoh seminggu ini mereka akan terpisah seketika. Semenjak kebelakangan ini mereka amat jarang memiliki masa bersama. Johan pula seperti sengaja mahu mengelak daripadanya. Bermacam-macam alasan diberikan apabila diminta pulang awal ke rumah.
‘Buat penat aja aku balik awal untuk dia. Tengok-tengok dia sibuk juga dengan kerja dia. Dia ingat aku tiada perasaan agaknya. Senang aja bagi alasan sibuk!’ dengus hati Lyn yang masih membara.
Puas membatukan diri di atas katil, Lyn bersiap untuk menunaikan solat Isyak. Teringat dia akan anak-anaknya, tiba-tiba dia berasa bersalah pula. Kerana marahkan Johan, dia terlupa segala perkara yang lain sehingga dia tidak tahu apa sudah jadi dengan anak-anaknya itu. Sudahlah Johan langsung tidak pulang ke rumah untuk bertemu dengan anak-anak sebelum ke luar negara, kini dia pula mengabaikan anak-anaknya itu.
Akhirnya selesai bersolat Lyn turun ke bawah. Dia menemukan anak-anak perempuannya itu sedang makan.
“Mummy, hari itu kan… waktu mummy pergi kerja jauh…. daddy bawa Dani dengan Dina pergi ICT dengan bibik.” Dani membuka cerita saat Lyn sibuk mengacah anak bongsunya.
“Ya ke? Bila daddy bawa pergi sana?” soal Lyn melayan cerita anaknya itu.
“Err…. entah! Dani dah lupa. Kita orang jalan-jalan dengan bibik. Daddy pergi jumpa auntie dekat kedai jauh, mummy. Dani main-main kat situ dengan Dina dan bibik,” balas Dani ceria. Di matanya masih tergambar keseronokan yang dilaluinya sebelum ini.
“Daddy jumpa auntie dekat kedai jauh? Auntie mana, sayang?” soal Lyn biasa.
“Kawan daddylah,” jawab Dani selamba.
“Seronok mummy. Nanti Dani nak ajak daddy dengan mummy pergi sana lagi. Ada banyak permainan kat sana. Best sangat!” Tanpa sebarang perasaan dia menceritakan lagi pengalamannya sebelum ini.
“Dani nampak auntie tu tarik lengan daddy, mummy. Dia orang pergi jalan kat tempat lain. Dani nak ikut, tapi daddy tak bagi.” Sekali Dani melengkapkan ceritanya. Namun saat itu mulutnya mencebik entah kenapa.
Spontan Lyn menuntaskan pandangannya kepada Bibik Sutinah yang hanya membisu sahaja.
“Auntie mana ni, bibik?” Kali ini soalan itu tertuju kepada wanita Indonesia itu pula.
“Saya enggak kenal. Mungkin teman baiknya Tuan Johan.”
“Muda ke tua?” soal Lyn masih tidak berpuas hati.
“Err…. muda. Mungkin dalam 20-an gitu,” wanita itu menjawab jujur.
Perasaan Lyn semakin dihambat rasa tidak enak. Siapakah kenalan Johan yang berusia semuda itu?
“Dani kata dia jumpa auntie di kedai jauh. Kat mana kedai tu? Jauh sangat ke?” soal Lyn lagi. Semakin bertambah soalannya apabila Bibik Sutinah mengatakan yang dia tidak kenal dengan wanita itu.
Bibik Sutinah terus berdiam. Bukannya dia tiada jawapan, namun sukar dia mahu meluahkannya. Dia pura-pura mengambil lauk seolah-olah tidak mengikuti perbualan itu.
“Bibik, saya tanya bibik ni!” tukas Lyn geram apabila soalannya tidak berjawab.
“Saya enggak tahu, puan. Saya cuma disuruh sama Tuan Johan jagain mereka. Selebihnya Tuan Johan lagi menghilang sama cewek itu,” jawab wanita Indonesia itu perlahan. Semacam serba salah pula nadanya.
Tersirap darah Lyn mendengar penjelasan pembantu rumah itu. Dua perkara yang benar-benar aneh di situ yang dirasainya. Johan tidak pernah sengaja membiarkan anak-anak mereka duduk jauh daripadanya di tempat awam yang sesak seperti itu kerana bimbangkan anak-anak akan hilang atau dilarikan. Keduanya, mengapa masih perlu berjumpa orang luar waktu bersama anak-anak? Dan mengapa perlu duduk jauh daripada anak-anak?
Dan…. setahu Lyn, kebanyakan kawan-kawan Johan lelaki. Kalau ada perempuan pun semuanya isteri orang. Lagipun kalau tiada apa-apa yang pelik, mengapa Bibik Sutinah seperti mahu mengelak daripada menjawab soalannya?
“Pukul berapa selalu Tuan Johan balik rumah waktu saya tiada?” Lyn mula hendak bertanya tentang itu pula. Selama ini dia tidak pernah mengesyaki suaminya, namun sementelah anak-anaknya ternampak kelibat ‘auntie’ bersama bapa mereka saling bertarik-tarik, apa salahnya dia bertanya sedikit lagi. Lagipun semenjak kebelakangan ini suaminya sendiri sudah menunjukkan ura-ura ke arah berubah laku.
“Malam selalunya dia pulang jam 11 atau 12 gitu. Enggak tentu. Kadang-kadang lagi lewat dari itu.”
Tiada komen untuk jawapan seperti itu daripada Lyn. Dia diam melayan anak kecilnya yang suka benar mengulum jari sendiri. Namun penjelasan wanita Indonesia itu jelas sekali tidak menyenangkan hatinya. Dia tahu ada yang tidak kena di sini.
“Ada apa-apa yang saya patut tahu ke, bibik?” soal Lyn kepada wanita itu. Dia tahu Bibik Sutinah adalah antara orang yang paling hampir dalam keluarga ini. Jadi sebarang masalah yang berlaku, Bibik Sutinah juga akan tahu. Lagipun reaksi wanita itu semacam sahaja. Seperti ada sesuatu yang disimpannya.
“Puan, saya ini cuma makan gaji di sini. Saya bimbang kalau apa-apa yang saya bilang sama puan, nanti saya dimarahin sama Tuan Johan.” Wanita itu kelihatan serba salah.
“Anak-anak mummy, kalau dah siap makan naik atas, ya? Gosok gigi, lepas tu tidur. Esok bangun awal ya?” kata Lyn setelah melihat dua orang anak kembarnya itu sudah kekenyangan. Inilah peluang untuk dia mendapatkan penjelasan orang sekelilingnya. Kerana dia terlalu ingin tahu apa yang dilakukan oleh suaminya itu sepanjang dia tiada.
“Esok kan tak sekolah, mummy.” Dani menjawab dengan sedikit cebikan.
“Habis tu?”
“Dani nak tengok TV9. Ada cerita Upin dengan Ipin.”
“Mana ada Upin Ipin malam-malam macam ni? Dah! Jam dah dekat pukul 10. Mummy kata naik atas tidur. Budak-budak tak boleh tengok TV sampai larut malam,” tegas Lyn enggan melayan kehendak anaknya itu yang kemaruk akan rancangan kartun itu.
Dani mencebik seketika. Namun suruhan sang ibu diikutkan juga. Sepeninggalan dua kembar itu, Lyn kembali memandang pembantu rumahnya. Wanita itu makan lambat-lambat.
“Apa yang bibik maksudkan tadi tu? Saya tak faham.”
“Saya bimbang nanti saya dibilang suka mengadu domba.”
“Cakap aja! Tiada sebab awak nak takut kalau awak bercakap benar. Saya nak tahu berapa kali Tuan Johan balik awal sepanjang saya tiada di rumah selama ini,” tegas Lyn enggan mendengar alasan wanita itu.
“Enggak pernah. Selalunya selesai waktu kantoi, dia pulang sebentar melihat mereka bertiga, kemudian pergi lagi selepas selesai mengganti baju. Setiap hari pulangnya lewat, Dani dan Dina, Mbak Ariana yang ngurusin mereka.” Bibik Sutinah menjawab agak rendah dalam rasa serba salahnya.
Lyn terdiam. Namun hangat dadanya mendengar apa sang dikatakan oleh pembantu rumahnya itu. Pulang sebentar dan keluar lagi setelah mengganti baju? Suaminyakah yang suka membuat perangai seperti itu? Selalunya Johan tidak begitu. Lelaki itu tidak akan pulang mempersiapkan diri dengan pakaian baru walaupun dia ada janji dengan klien di luar pada waktu malam. Selalunya Johan akan terus pergi sahaja dengan baju kerjanya. Lagipun sewaktu dia menghubungi suaminya, dia tidak pernah dengar pula Johan ada memberitahunya yang dia ada janji dengan klien setiap malam.
“Apa dia buat dengan perempuan tu di ICT?”
“Saya enggak tahu, puan. Kami cuma lihat dari jauh aja. Mereka berdua minum-minum di kedai. Ketawa-ketawa bercanda berdua. Sewaktu mereka mahu ke tempat lain, Dani sama Dina…. mereka berlarian mahu mengikut Bapak Johan sama cewek itu. Tetapi mereka langsung disuruh Bapak Johan kembali semula ke tempat kami menunggu tadi. Dia pergi lagi sama cewek itu.”
Lyn menghela nafas perlahan. Rasa tidak enak semakin menyebukan hulu hatinya. Hanya satu saja andaian yang ada dalam mindanya saat ini, namun itu lantas disangkalnya kerana dia percaya Johan tidak akan tergamak memperlakukannya seperti itu.
“Maaf, nyonya. Bibik cuma bilang apa yang bibik nampak. Bibik bukannya mahu mengadu domba sama nyonya tentang sikap Bapa Johan itu,” ucap Bibik Sutinah perlahan sahaja. Takut apa yang diucapkannya membuatkan Lyn mengesyaki yang lain terhadap Johan.
“Takpe. Saya tak marah bibik. Lagipun saya yang sibuk nak tahu sangat tadi,” sambut Lyn sedikit pun tidak mahu menyalahkan pembantu rumah itu. Sedaya upaya dikawal perasaannya. Terasa apa yang dihidangkan di telinganya terlalu menyakitkan.
Rentak hati Lyn sudah tidak sekata. Cerita pembantu rumah itu seakan menjurus ke arah kecurangan sang suami di belakangnya selama ini benar-benar mengerikan hatinya. Ditambah pula dengan sikap aneh Johan semenjak kebelakangan ini, itu semakin menambah lagi haru-biru perasaannya saat ini. Benarkah itu semua menandakan kebahagiaannya sudah mula melenyap? Sesingkat inikah kebahagiaannya? Hanya 7 tahun?
‘Ya Tuhan, janganlah hendaknya segala apa yang dikatakan oleh bibik itu benar. Aku tidak sanggup untuk menanggungnya…’ pinta hati Lyn sayu.
Bibik Sutinah bangun setelah selesai makan. Namun baru dua langkah dia meninggalkan meja itu, dia memandang Lyn semula.
“Nyonya, saya hampir terlupa tentang sesuatu. Sebentar tadi Mbak Ariana ada ke sini dan dia ada titipkan sesuatu untuk puan. Dia bilang barang itu harus dibuka sendiri sama nyonya,” ujar wanita Indonesia itu sambil memandang Lyn semula.
“Barang apa?” soal Lyn semula. Ini lagi satu pelik! Main kirim-kirim barang pulak! Bukannya tak boleh hantar sendiri atau telefon saja.
“Surat. Ada di atas meja di hadapan. Saya letakkan di bawah pasu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan