Ketika Johan masih di tingkat atas, Lyn sudah mencapai kunci kereta. Hanya anak kecilnya dibawa bersama. Dua anak perempuannya diminta menunggu di rumah. Tanpa meninggalkan pesan buat sang suami, Lyn terus menghidupkan enjin kereta.
Johan berlarian turun ke bawah sebaik sahaja terdengar bunyi kereta isterinya. Tidak sempat menahan, dia hanya mampu memandang Toyota Camry itu berlalu keluar dari ruangan garaj.
“Mummy pergi mana?” tanya Johan kepada dua anaknya.
“Tak tahu. Mummy suruh daddy hantar Dani dengan Dina pergi sekolah,” ucap Dani lembut.
Johan mengeluh sedikit. Dia ingin membawa isterinya ke klinik. Sayangnya Lyn entah ke mana pula.
“Dah sarapan?” tanya Johan kepada dua anaknya.
“Dah.”
“Jom, daddy hantar ke sekolah. Hari ini daddy cuti. Nanti tengah hari daddy ambil ya?” balas Johan sambil menghulurkan tangan kepada dua anaknya itu.
Setelah pulang daripada menghantar dua anaknya itu, Johan mendail nombor isterinya, namun tidak berjawab. Sudah diagaknya, mimpi di siang harilah jika Lyn mahu bercakap dengannya dalam keadaan begini.
“Bibik, puan ada beritahu nak ke mana?” tanya Johan ketika wanita itu menghidangkan air buatnya.
“Bilangnya mahu ke klinik.”
“Oh…” Johan termangu seketika. Sedikit terkilan kerana isterinya itu tidak mahu menunggunya untuk pergi bersama.
“Bisa aku ngomong sebentar, pak?” ucap Bibik Sutinah.
“Apa dia?”
Wanita itu tunduk sedikit sebelum kembali memandang Johan. Serba salah. Tetapi sebagai orang yang melihat semua ini, dia merasakan dia perlu menyuarakan teguran.
“Aku cuma risau dengan keadaan ni. Bapak sama ibu, usah nikah lama. Aku lihat dia sekarang enggak suka ngomong. Cumaan melayan anak-anaknya. Dia lebih suka diam. Bapak, sama siapa lagi dia mahu berbicara jika bukan sama suaminya? Siapa yang akan mengerti jika bukan suaminya? Maafkan aku jika aku ikut campur urusanmu. Tapi aku sayang sekali sama isterimu. Dia majikan yang baik. Terlalu baik pada aku. Aku tidak mahu dia sedih, pak. Aku juga sedih melihat dia jadi begitu. Dan aku tidak mahu anak-anakmu ikut sengsara kerana tindakanmu.”
Johan terdiam mendengar bicara wanita itu.
“Laki-laki selalu saja melihat yang di luar sana lebih baik. Padahal yang di rumah ini jauh lebih baik berbanding itu. Allah bisa membutakan mata hati kita dalam sesaat. Aku tidak mahu terus menyalahkanmu. Tetapi selaku kepala rumah tangga, berusahalah lebih banyak lagi. Aku tahu ibu itu orangnya keras hati. Aku ngerti kesakitannya kerana aku juga perempuan. Dan aku juga lihat betapa dia seorang isteri yang baik kepadamu. Ibu yang penyayang kepada anak-anakmu. Kudrat wanita itu tidak banyak, pak. Dia terluka. Dia juga sudah pasti merasa capek sekali dengan semua ini. Walhal dia tidak punya pilihan lain. Kerana dia isterimu. Tapi kapan kau punya fikiran untuk menghargai dia?”
“Saya faham, Bibik….” Johan menjawab perlahan.
“Aku tahu, dalam keadaan begini dia tidak mahu memaafkanmu. Tapi sekeras-keras hati manusia, Allah mampu melembutkannya tanpa perlu satu saat pun. Maafkan aku, pak. Aku ke dapur dulu.”
Johan mengangguk sedikit. Malu juga mukanya ditegur oleh wanita itu. Tetapi dek kerana umur Bibik Sutinah jauh lebih tua daripadanya, dia lebih rela berdiam.
Johan menghela keluhan sambil meraup rambutnya. Kusut. Bukan mudah mengambil hati isterinya itu semula setelah dia membuat onar begini. Terasa seperti yang dikatakan Bibik Sutinah, dia yang harus berusaha.
“Dari mana ni, Lyn?” tanya Puan Sri Sakinah hairan melihat Lyn muncul tiba-tiba di rumahnya. Tidak bekerjakah menantunya ini?
“Dari klinik, munmy.”
“Siapa yang tak sihat? Lyn ke Aril?”
“Lyn yang tak sihat,” jawab Lyn dengan sedikit senyuman hambar. Tangan wanita tua itu dikucupnya lembut sebelum bertanyakan tentang bapa mentuanya pula.
“Daddy keluar jalan kaki lepas breakfast tadi. Baliklah tu sekejap lagi. Tak sihat, kenapa tak rehat aja di rumah? Pregnant lagi ke,”
“Hesy! Taklah. Lyn ada hal nak cakap dengan daddy.”
“Mummy call dia suruh dia balik,” putus Puan Sri Sakinah sebelum dia berlalu ke arah telefon.
Lyn melabuhkan duduk di sofa bersama anak kecilnya. Dia tahu Tan Sri Muzhaffar akan keluar berjalan kaki setiap hari demi menjaga kesihatannya selepas terkena serangan strok dahulu.
Tidak lama kemudian, terdengar dehaman lelaki tua itu dari luar rumah.
“Hmm…. tak kerja ke?” tegur Tan Sri Muzhaffar hairan.
“MC, daddy.” Lyn bangun lalu mendekati bapa mentuanya.
“Johan?”
“Ada kat rumah.”
“Dia tak hantar kamu ke?” Hati lelaki tua itu mula merasa keanehan.
“Dia uruskan Dani dengan Dina. Lyn ada hal nak cakap dengan daddy sekejap,” ujar Lyn perlahan.
Lelaki tua itu mengangguk sebelum dia berlalu ke arah tangga. Lyn duduk semula di sofa. Tidak lama kemudian Puan Sri Sakinah datang mengambil cucunya itu.
“Daddy ada dalam pejabat dia. Pergilah. Biar Aril dengan mummy,” ucap wanita tua itu lembut.
Lyn berlalu setelah anak kecilnya bertukar tangan. Di salah sebuah bilik di tingkat atas, Lyn terlihat bapa mentuanya sedang duduk di sofa.
“Ada masalah ke?” tanya lelaki tua itu setelah menantunya itu duduk berhadapan dengannya.
“Lyn dengan Johan…” Lyn tunduk seketika. Sengaja membuka mukadimah itu agar orang tua itu tidak terkejut besar nanti. Bimbang nanti apa yang diucapkan membuatkan Tan Sri Muzhaffar masuk hospital lagi.
“Daddy, Lyn nak minta cerai.”
Tan Sri Muzhaffar tersentak besar. Terbeliak matanya memandang menantunya itu. Sesuatu yang amat sukar untuk diterima dengan tenang.
“Kenapa?”
“Lyn minta maaf. Lyn dah tak boleh teruskan lagi…”
“Johan ada perempuan lain ke?” teka Tan Sri Muzhaffar tanpa menunggu menantunya itu habis bercerita.
Lambat-lambat Lyn mengangguk.
Tan Sri Muzhaffar terdiam. Namun dadanya turun naik kencang tanda kemarahan sudah mula menghebat dalam dadanya. Sesuatu yang teramat-amat dia benci.
“Dia kata dia dah putuskan hubungan dengan perempuan tu. Tapi Lyn dah tak boleh terima dia macam dulu semula walaupun dia berjanji akan berubah. Pandang muka dia pun Lyn tak boleh, daddy. Tolonglah Lyn. Lyn tak tahu ap nak buat.”
“Siapa perempuan tu?”
“Staf di pejabat.”
Tan Sri Muzhaffar menghentak tangannya di lengan sofa.
“Memang nak mampus si Johan ni!”
“Apa yang bagus benar perempuan yang dia suka tu???”
“Daddy, Lyn dah tak sanggup nak hadap keadaan yang sama macam dulu. Keadaan dah tak sama. Lyn ada anak-anak yang nak dibesarkan. Biarlah dia buat keputusan yang baik untuk diri dia. Lyn hanya nak teruskan hidup dengan anak-anak.”
“Dia masih anak dara. Masih muda.”
“Jangan kamu terburu-buru buat keputusan untuk bercerai. Anak-anak masih kecil. Apa nak jadi dengan budak-budak tu? Ambil masa. Tenangkan fikiran. Biar daddy bercakap dengan Johan.”
Lyn menggeleng dengan senyum hambar.
“Lyn rasa dah tak boleh dekat dengan dia lagi. Lyn dah tawar hati, daddy.”
“Daddy faham, nak. Kamu ada seribu satu sebab untuk teruskan dengan penceraian. Tapi daddy tak akan benarkan sebelum kamu berdua berusaha perbetulkan keadaan ni. Terutamanya Johan. Kalau tak berjaya, daddy reda. Daddy hormati kehendak kamu. Selagi dia tak pukul kamu, pukul anak-anak… daddy tak mahu kamu begitu cepat ambil keputusan macam ni.”
“Lyn dah ambil keputusan, Lyn nak pindah dari rumah tu. Segala-galanya menyakitkan. Lyn tak tahu nak mengadu pada siapa, daddy.” Di hujung bicara Lyn tunduk menahan tangisan.
Tan Sri Muzhaffar menghela keluhan panjang. Sakit benar hatinya kepada anak lelakinya itu. Tidak habis-habis membuat onar!
“Kalau kamu pilih macam tu, daddy tak mampu paksa. Bukan daddy yang kena hadap keadaan tu. Sekurang-kurangnya daddy mahu kamu tabah demi anak-anak. Nak harapkan Johan, memang lintang-pukanglah budak-budak tu nanti. Daddy akan bercakap dengan Johan nanti. Lyn, daddy tahu apa yang kamu lalui ni menyakitkan. Tapi daddy tak sanggup kehilangan kamu dari kelurga ni. Ini satu tamparan besar pada daddy. Daddy malu pada abah kamu.”
“Johan dah tak sayangkan Lyn. Lyn dah tak mampu teruskan lagi, daddy. Dia kata dia nak lupakan perempuan tu. Tapi dalam diam dia orang tetap berjumpa. Macam mana Lyn nak terima lagi? Berbulan-bulan dia tak pedulikan Lyn dan anak-anak. Lyn tak boleh lupa semua tu,” Air mata wanita itu gugur tanpa dapat ditahan. Puas disekanya namun gugur lagi.
Tan Sri Muzhaffar meletak siku di atas lengan sofa sebelum dia menongkat kepala. Kesal. Betapa sedih hatinya dengan semua ini. Terlalu kecewa mengenangkan cucu yang masih kecil belaka. Kerana bapa yang tidak sedar diri, anak-anak pula yang menjadi mangsa.
Puas menangis, Lyn menyeka air matanya. Hatinya sedikit tenang setelah itu.
“Lyn minta maaf, daddy. Lyn tak berniat nak beratkan kepala daddy dengan semua masalah rumah tangga Lyn. Apa saja keputusan yang Lyn buat, Lyn mesti minta pendapat daddy dulu.”
“Kamu tak beritahu daddy tentang ini lebih awal lagi. Kenal baru sekarang, Lyn?”
“Sebab Lyn kenal suami Lyn macam mana. Dia tak boleh dipaksa. Kesannya akan lebih buruk. Dia akan memberontak, salahkan Lyn. Lyn dah tak boleh terima lagi semua tu, daddy.”
Tan Sri Muzhaffar diam semula. Ada benar juga kata-kata menantunya itu. Teringat dahulu, dia memaksa Johan menerima Lyn sebagai isteri. Sudahnya perasaan Lyn diseksanya sehingga Lyn jadi pendendam.
“Biarlah daddy bercakap dulu dengan dia. Kamu juga perlukan masa. Buat keputusan dalam keadaan fikiran tenang. Baru kita dapat fikirkan tindakan yang betul. Daddy takkan halang kamu kalau kamu nak berpisah seketika daripada Johan. Masa yang ada tu kamu boleh gunakan untuk berfikir panjang. Selebihnya, daddy terima keputusan kamu sekiranya hati kamu sudah bulat hendak bercerai.”
Lyn mengangguk sedikit. Akur dengan cadangan bapa mertuanya itu.
Menjelang tengah hari Lyn meninggalkan kediaman Tan Sri Muzhaffar. Namun haluannya tidak terus ke rumah. Kereta dihalakan ke sebuah taman perumahan. Rumah itu seharusnya menjadi kediamannya semenjak dia menjawat jawatan General Manager Neraca Holdings. Tetapi dia tidak berhasrat untuk mendiami rumah itu sebelum ini. Sekarang fikirannya sudah berubah.
Sementara menunggu kehadiran Nirina, Lyn melayani Zairyl di dalam kereta. Anak itu ralit bermain dengan permainannya di tempat duduk bayi. Lyn tersenyum memandang keletah anak itu. Namun seketika kemudian senyumannya memudar. Ada kehibaan yang singgah tiba-tiba saat merenung tampang Zairyl. Sekecil ini, adakah anak ini mampu memahami kemelut yang melanda ini bapanya?
Sedang Lyn ralit memandang keletah anaknya, ada ketukan kedengaran pada cermin di tepinya. Lyn pantas menoleh. Nirina rupanya sudah tiba di situ.
“Hai, Aril…” sapa Nirina setelah Lyn membuka pintu. Anak kecil itu menoleh sebelum dia mendepangkan tangan mahu mengikut ibunya. Mulalah tercebik-cebik dia melihat ibunya sudah keluar tanpa membawanya bersama.
“Sabarlah. Mummy nak buka pintu.”
“Biar I bukakan pintu rumah, puan”
“Okey,” balas Lyn. Segera dia membuka pintu tempat duduk anaknya sementara Nirina membuka pintu rumah itu. Lambat-lambat nanti meraung pula heronya itu.
“Ini rumah kita,” bisik Lyn sambil mengucup pipi anaknya itu.
“Rumah ni dah dibersihkan semalam. I pun dah datang cek petang semalam.”
Lyn memandang sekeliling. Perabotnya lengkap, persekitaran juga bersih. Sedap mata memandang.
“Ada apa-apa yang puan nak tambah?”
“Tak perlu buat masa ni. Ini dah cukup.”
Nirina mengangguk. Segan hendak bertanya mengapa tiba-tiba bosnya mahu berpindah ke rumah ini sedangkan sudah berbulan rumah ini disediakan untuknya. Cuma dia sudah dapat mengagak sebabnya.
“Tak apalah. You boleh balik ofis. I MC sampai esok.”
“Kalau perlukan apa-apa, you can call me,” ujar Nirina sambil menyerahkan kunci rumah itu kepada Lyn.
“Thank a lot, Nirina.”
“Most welcome, madam.” Nirina melemparkan senyum. Tiada apa yang dia mahukan selain berharap semoga semuanya baik-baik belaka.
Setelah bayang Nirina berlalu, Lyn terus ke bilik tidur sambil mendukung Zairyl. Kesemua bilik dijengahnya. Puas hati dengan keadaan di dalam bilik itu. Kini dia terfikir hendak menyediakan keperluan dapur pula.
Diangkut anak kecilnya ke sana dan ke mari. Zairyl seakan-akan mengerti keadaan ibunya. Dia tidak banyak meragam. Leka dengan permainan yang dikalungkan ke lehernya. Sehingga ke petang, banyak yang berjaya diselesaikan oleh Lyn sebagai persediaan untuk berpindah ke rumah baharu.
Nekad! Kali ini biarlah dia menjalani hidup sendiri.
Beraraklah awan yang kelabu….
Kerisauan Johan berterbangan pergi setelah melihat kereta isterinya masuk ke kawasan rumah itu. Lekas-lekas dia ke pintu. Macam hendak menyambut kepulangan Lyn dan Zairyl.
“Lyn pergi mana? Abang risau.”
Lyn tidak menjawab. Johan segera mengambil anaknya daripada dukungan Lyn.
“Mummy…” sapa dua beradik kembar itu.
“Ya, sayang. Mummy nak naik atas. Dina dengan Dani dudu tengok TV ya?” pesan Lyn sebelum dahi anak-anaknya dikucup bergilir.
“Lyn…” panggil Johan sambil mengekori isterinya menapak anak tangga.
Sepatah Lyn tidak menjawab. Seolah-olah tidak wujud lelaki itu dekat dengannya. Atau tidak mendengar. Namun lelaki itu tetap mengekori isterinya sehingga ke dalam bilik.
“Lyn,” panggil Johan lagi.
“Boleh tak you berhenti panggil I? Kalau dulu biasa tak ambil tahu, sekarang kenapa perlu pura-pura???”
Johan terpacak di ambang pintu bilik mereka sambil memandang isterinya membuka wardrobe. Melihat itu hatinya kian tidak sedap. Tepat dugaannya! Lyn mengeluarkan beg pakaian.
Lelaki itu menghela nafas perlahan sebelum dia berpaling untuk menjauh. Kakinya diatur semula ke bawah. Namun fikiran melayang entah ke mana. Zairyl terpaksa diberikan kepada pembantu rumah sebelum dia naik semula ke atas. Bukan main laju lagi kain baju dikemaskan oleh Lyn pula.
“Lyn, daddy ada call abang tadi.”
“Baguslah. Jadi, you dah tahu apa yang I beritahu pada daddy you.”
Johan melabuhkan duduk di birai katil. Berdiam agak lama. Memikirkan apa yang harus diucapkan untuk menghalang kehendak isterinya itu. Tetapi lidahnya ini seperti berat. Sebahagian diri merasakan dia tidak layak untuk merayu lagi.
Buat seketika ruangan kamar itu begitu sunyi tanpa suara mereka berdua. Wanita itu pula macam sudah tidak sabar mahu berangkat pergi. Begitu cepat menyudahkan kerjanya. Seterusnya Lyn berlalu ke kamar anak-anaknya pula.
Namun sepanjang masa itu, sekali-sekala air matanya jatuh. Sebahagian diri mula berasa keliru. Patutkah dia memisahkan anak-anaknya daripada Johan? Bagaimana pula dengan kehendak anak-anaknya? Adakah dia kejam kepada anak-anaknya juga?
Tiba-tiba Lyn mencampakkan sehelai baju anaknya. Esakannya terlepas sendirian di kamar itu. Mimpikan semua ini? Suatu masa dulu, ketika dia kembali kepada Johan, dia tidak pernah termimpi yang dia akan pergi lagi. Tidak pernah!
Tetapi akhirnya beginilah dia. Setiap hari yang dilalui, hanya duri-duri kesakitan yang ditinggalkan oleh orang yang disayangi terpaksa dikutipnya. Hatinya sudah hancur. Dia sendiri takut untuk menyentuh serpihannya. Namun tiada siapa yang mampu duduk di sisi, sama-sama mencantumkannya semula.
“Lyn…” Johan masuk ke dalam kamar itu. Pilu hatinya saat melihat isterinya menangis di situ sendirian.
Lyn lekas-lekas menyeka air mata. Tidak ingin menangis di hadapan Johan. Tetapi kehadiran lelaki itu dekat dengannya semakin membuatkan kesedihannya tidak tertahan. Mengapa lelaki ini hanya ingin datang setelah puas menyakiti hatinya?
Johan menghela nafas perlahan sebelum bahu isterinya dipaut. Mahu wanita itu memandangnya. Teringat bicara bapaknya tadi. Daddynya mahu dia merelakan keputusan wanita ini untuk berpisah buat sementara waktu. Ada sebabnya. Tetapi hatinya terus meraung.
‘Sayang, tak usahlah pergi…’ bisik hati Johan sendiri. Kata-kata itu seperti tidak mampu diluahkan lagi.
“Ruang yang ada akan buat kita bertambah jauh. Abang takut, Lyn….” luah Johan rendah.
“Tak perlu takut. Sekiranya rumah tangga ni gagal dipertahankan, you masih boleh pilih perempuan lain.”
“Lyn, abang rela melutut kalau itu mampu buat Lyn bertahan untuk sedikit masa lagi dengan abang di rumah ini. Abang tahu maaf dah tak ada ertinya lagi. Tapi abang masih percaya rumah tangga ini masih boleh diselamatkan lagi. Cuma abang minta, sayang…. tolonglah…. tolonglah jangan pergi….”
Johan tidak berdaya meneruskan bicaranya. Dia tunduk lalu sebelah tangannya menekup kedua-dua belah matanya. Bahunya bergegar menahan tangis. Tidak tahu bagaimana untuk menadah kehancuran yang akan tiba sekejap lagi. Bagaimana untuk dia memandang setiap wajah anak-anaknya?
“Abang dah musnahkan kebahagiaan anak-anak abang. Apa yang abang nak jelaskan pada mereka bertiga suatu hari nanti? Sayang, tolonglah. Demi Tuhan, abang tak akan lakukan semua tu lagi.”
Lyn menyeka air matanya.
“I dah tak tahu macam mana nak hidup dengan you selepas ini. Hati I dah tak macam dulu lagi, Johan.”
“Abang tahu, sayang. Abang faham…. abang yang menyebabkan keadaan jadi macam ni. Hanya sekali ni sahaja abang minta, berilah abang peluang untuk memperbetulkan keadaan. Biar berapa lama masa yang diperlukan, abang tak akan putus asa. Lyn…” Johan mencapai jemari isterinya. Di jari manis perempuan itu masih ada sebentuk cincin. Setia berada di situ semenjak dulu. Buat seketika dia memandang jemari itu tanpa putus.
“Hati abang ni telah dibutakan dalam sekelip mata. Suatu masa dulu, abang tak pernah terfikir akan buat macam ni pada perempuan yang abang sayang. Inilah pengalaman hidup abang. Abang malu untuk merayu lagi, sayang…” Johan tersedu-sedu tanpa dapat meneruskan bicara.
“Abang tak layak. Abang miskin segala-galanya. Tanpa Lyn dan anak-anak abang, abang hanya kosong,” tambah Johan dalam tangisannya.
“You dah tinggalkan I semenjak awal you kenal dia. I seorang diri mengharap you pulang ke rumah ni seperti mana you dulu. Tapi dunia you bukan lagi di rumah ini.” Sepotong dua bicara itu membuatkan Lyn menangis tiba-tiba.
“Sebanyak mana pun kasih sayang yang diberi, satu dua kekurangan yang ada itu dah cukup untuk hancurkan hati I. Kenapa, Johan? You tahu I macam ni. Kenapa tergamak you buat macam ni? Takkanlah sedetik pun you tak mampu fikir tentang anak-anak, tentang perasaan I?” luah wanita itu tanpa dapat menghentikan tangisannya.
“Abang khilaf, sayang. Demi Tuhan, abang tak akan ulangi lagi semua tu.” Johan meraih wajah isterinya itu. Air mata wanita itu diseka. Tidak ingin air mata itu lebih banyak tumpah kerana kesilapannya.
“You tak akan mampu faham. You tak akan mampu duduk di tempat I, Johan. I cuma perempuan biasa. Tapi kenapalah perasaan ini dicencang lumat seolah-olah I ni malaikat?” Tersedu-sedu perempuan itu. Setiap harapan sudah hancur berkecai. Setiap pengorbanan hanya debu yang tiada harganya.
Lyn menarik nafas panjang agar dirinya kembali tenang.
“I tahu you tak akan mampu tinggalkan dia. Jadi, biar I yang undur diri. Pergilah pada dia, Johan. Sebelum ni dia perempuan yang istimewa kepada you. Jangan jadikan I sebagai halangan.”
Johan diam memandang Lyn kembali mengemas pakaian anak-anaknya. Tidak tahu bagaimana lagi untuk mengubah pendirian isterinya itu saat ini. Perlahan dia bangkit. Mahu mencari anak-anaknya. Mahu menghabiskan masa yang tidak sebanyak mana ini dengan mereka.
Namun…. betapa hatinya pilu memandang setiap raut itu.
“Daddy minta maaf, sayang.”
“Kenapa daddy minta maaf? Daddy ada buat salah ke?” tanya Dina perlahan. Terkebil-kebil matanya.
Johan tersenyum hambar. Lekas-lekas menarik anaknya lalu dahi mereka dikucup bergilir. Betapa sukarnya untuk menjelaskan bagaimana seorang bapa seperti dia sanggup memberi kehancuran kepada dunia anak-anaknya? Dunia mereka tidak lagi sama seperti dulu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan