“Mummy dengan daddy bawa lain kali ya? Kalau semua pergi, siapa nak jaga kucing kita?” pujuk Johan.
Lyn hanya mendengar sambil mengemas pakaian.
“Lain kali tu bila?”
“Nantilah… tunggu cuti sekolah hujung tahun ya? Daddy bawa pergi Port Dickson.”
“No! No! No! Tak mahu Port Dickson. Dina nak pergi Milan jugak! Takkanlah daddy bawa mummy pergi Milan tapi Dani dengan Dina pergi Port Dickson aja. Tak adil! Port Dickson tu kan dekat. Mummy dapat naik kapal terbang, kita naik kereta aja. Jadi, Dina nak pergi jugak!” tegas Dina bersungguh-sungguh.
Lyn ketawa serta-merta. Menggaru kepala Johan dibuatnya. Anak-anaknya kalau pasal berjalan memang tidak mahu ketinggalan. Selera pun boleh tahan.
“Ada ke daddy janji nak bawa pergi PD? Kasi uplah sikit kut ya pun. Paling kurang Singapore ke…. Korea ke? Ingat budak berdua tu naif sangat ke sampai nak dirasuah dengan janji ke PD?” Lyn menjawab sambil ketawa.
Johan tergelak juga akhirnya.
“Okeylah. Hujung tahun ni daddy bawa ke Korea nak? Time winter,” ujar Johan.
“Janji?”
“Insya-Allah, panjang umur daddy ni, daddy akan bawa jugak,” balas Johan sambil mengusap rambut anaknya.
“Okey. Tapi tahun depan daddy kena bawa Dani dengan Dina ke Milan jugak tau. Tapi nanti… mummy pulak kena tinggal. Jaga kucing kat rumah.”
“Amboi, sedapnya bercakap! Mummy tarik balik cadangan pergi Korea tadi. Pergi PD aja sudah!” bebel Lyn.
Johan ketawa lembut. Dina segera memeluk bapanya, tanda janji yang sudah terpateri tadi tidak boleh lagi dimungkiri.
“Jadi, kali ni biar daddy bawa mummy dulu. Next time giliran Dani, Dina dengan adik. Boleh ya?”
“Okey. Tapi kalau daddy tak tunaikan janji, Dina tak nak cakap dengan daddy sampai bila-bila.”
“Takutnya daddy. Tak berani daddy nak mungkin janji.” Johan ketawa spontan.
Lyn tersenyum senang. Senang pula anak-anak itu dipujuk suaminya.
Jam 7 malam Ariana tiba di rumah Lyn. Dia akan berada di rumah ini bersama anak-anak saudaranya sepanjang abang dan kakak iparnya ke Milan. Sebelum bergerak ke lapangan terbang untuk penerbangan jam 2 pagi nanti, Lyn menangis pula. Sedih mahu meninggalkan anak-anaknya.
“Dahlah. Anak-anak kita okey. Ary ada. Bibik ada. Janganlah bimbang,” ucap Johan lembut.
Mereka tiba agak awal di KLIA, tetapi terlewat urusan daftar masuk bagasi dek sibuk pergi makan tengah malam pula. Sudahnya mereka terpaksa menunggu pekerja syarikat penerbangan menyelesaikan tugas di kaunter sebelah.
“Agak-agak kita dapat layanan first class lagi tak?” bisik Johan kepada isterinya.
Lyn terus menoleh ke arah lelaki di belakangnya itu.
“In your dreams!” bisik Lyn selamba.
Johan menyeringai serta-merta.
“Abang ke tandas dulu ya? Nak melaburlah pulak. Nanti dalam flight susah nak cuci.”
Lyn sekadar mengangguk tanpa memandang ke mana lelaki itu pergi.
Sesudah selesai masalah di kaunter itu, gadis Sarawak itu segera mendekati Lyn.
“Sorry, system down pulak,” ujar gadis yang bernama Chitadel itu sebelum beg milik Lyn diambilnya.
“Biasalah tu. Dari dulu lagi itu ajalah masalahnya,” balas Lyn selamba. Ketika dia bertugas di sini dahulu, masalah ‘sistem down’ itu benar-benar menyusahkan mereka. Tambahan pula waktu yang tidak sebanyak mana untuk daftar masuk bagasi.
“Mana husband you?” tanya Chitadel sambil meletakkan bagasi ke atas penimbang.
“Toilet,” jawab Lyn lantas memandang sekeliling. Kelihatan suaminya sedang berlari-lari anak ke arahnya. Tetapi matanya turut terlihat seseorang berjalan laju seperti sedang mengejar Johan.
“Stop her!” tegas Lyn mula menyirap darahnya kepada Johan.
Johan berhenti berlari-lari anak dan memandang ke belakang. Terkejut melihat manusia itu berada tidak jauh daripadanya. Pucat wajahnya serta-merta. Bagaimana Syiha tahu dia berada di sini?
“Who is she, Lyn?” tanya Chitadel kepada bekas pengurusnya itu.
“Bakal madu tak jadi!” gerutu Lyn dengan riak wajah ketat.
Chitadel berdiri pula di balik kaunter untuk melihat gerangan manusia itu.
“Dia nak naik flight yang sama dengan you ke?” ujar Chitadel.
“Tak tahu,” jawab Lyn lantas menoleh ke arah Chitadel semula.
Ketika mendekati isterinya, riak wajah Johan tidak tentu arah. Lyn sudah mula mencuka, tanda hendak marah.
“Sebelum aku buat kau hilang kerja, baik kau berambus dari sini!” jerit Lyn semakin sakit hati melihat Syiha yang berkelakuan seperti dubuk yang menanti masa untuk merampas bangkai daripada singa. Sentiasa berkitar di sekeliling mereka biarpun dia berada di situ bersama suaminya.
Penumpang lain yang berada di kaunter sebelah segera memandang ke arah Lyn.
“Sabar, yang….”
“Apa sabar-sabar???”
Johan terdiam serta-merta. Daripada dia yang kena hamun, lebih baiklah Syiha yang kena! Dalam hatinya mula memarahi Syiha pula. Sibuk saja! Di mana dia berada, di situlah juga gadis itu akan muncul.
“Kalau you bukan passenger flight ni, tolong pergi dari sini. I panggil MAB officer nanti!” arah Chitadel kepada gadis itu.
“Abang Johan…” ucap Syiha penuh kesayuan. Masih ada sisa-sisa harapan agar Johan menerimanya semula.
Johan buat-buat tidak kenal sambil memandang ke arah bagasi yang bergerak di atas conveyor.
“Aku tampar juga perempuan ni nanti!” Bola mata Lyn terjegil melihat Syiha yang masih berani hendak memanggil suaminya.
“Dahlah, sayang. Jangan pedulikan dia,” ucap Johan kepada isterinya.
Syiha akhirnya berlalu setelah terlihat pekerja airlines itu mula mencapai walkie-talkie. Bimbang juga dia dikenakan tindakan kerana mengganggu pengguna lapangan terbang.
Selesai urusan di kaunter itu, Lyn menonong pergi. Rasa macam hendak mengamuk kepada suaminya pula. Hilang mood hendak berhoneymoon!
Maka terhegeh-hegehlah sang suami mengejar sang isteri untuk memujuk. Dalam keadaan inilah, teramat penting untuk dia menjaga perkataan. Jangan sampai tersalah menyusun kata-kata dan memberi jawapan!
“Yang, lajunya jalan.” Johan cuba mencapai tangan isterinya.
“Tepilah! Tak payah pegang-pegang!” bentak Lyn.
“Kenapa marah abang ni? Bukan abang yang panggil dia pun. Yang, janganlah macam ni…” keluh Johan.
Lyn berhenti melangkah beberapa meter sebelum tiba di balai pelepasan. Lama dia memandang suaminya dengan berbagai-bagai rasa yang bermain dalam diri.
“Abang tak tahu pun dia ikut kita sampai di sini,” ucap Johan.
“Habis tu, kenapa abang lari tadi?”
“Abang tengok dari jauh ada staf depan Lyn. So, abang larilah, nak cepat sampai kat kaunter. Betul! Abang tak tipu ni!” ucap Johan bersungguh-sungguh.
Rasa hendak marah, tetapi melihat raut minta simpati sang suami, tidak jadi Lyn hendak marah. Tidak sampai hati.
“Jomlah,” ajak Lyn sedikit hambar. Tidak mahu percutian kali ini terencat dek langau busuk yang masih tidak puas-puas mahu mengganggu rumah tangganya. Namun insiden itu memang telah merencatkan perasaan terujanya.
‘Dahlah kena tunggu 10 tahun baru dapat rasa pergi honeymoon. Ada pulak pengacau!’ desis hati Lyn. Masih bengang dengan Syiha.
Selesai urusan di kaunter imigresen, Johan menanti isterinya pula. Wanita itu bercakap dengan petugas imigresen sebelum ketawa. Agaknya mereka saling kenal.
“Dah?”
Lyn sekadar mengangguk. Lelaki itu segera mencapai jemari isterinya. Inilah masanya untuk berjalan berpegangan tangan. Nama pun hendak pergi berbulan madu. Takkanlah seorang berjalan di barat, seorang di timur. Selain itu, Johan berharap mood isterinya akan segera pulih. Namun sehingga mereka sudah selamat duduk di dalam pesawat, Lyn masih lagi lebih banyak berdiam.
Wanita itu hatinya halus. Apabila sudah terluka, lekas sahaja dia terusik biarpun sekadar hal yang kecik.
“Yang,” panggil Johan sebelum jemari sang isteri dicapai.
Lyn sekadar menoleh tanpa bersuara.
“Janganlah monyok aja. Abang rasa macam abang seorang aja yang seronok.”
“Lyn cuma teringatkan anak-anak.”
“Bukan sebab peristiwa tadi?”
Lyn diam pula. Kembali memandang ke jendela. Entah apa yang seronok memandang ke sana.
Johan meraih dagu wanita itu. Cuba memandang sang isteri dari dekat. Keadaan kabin agak gelap. Susah dia hendak membaca apa yang tertera di raut itu.
“Abang tahu sayang cepat terusik apabila berkaitan dengan dia. Pertemuan tadi tu bukan sebahagian rancangan kita. Dia sekadar orang yang datang menempel. Dia takkan jadi masalah sehinggalah kita biarkan dia jadi masalah. Sayang, abang dah serik berurusan dengan orang macam tu. Biarlah dia datang seribu kali pun, abang takkan biarkan dia jadi racun dalam hidup kita lagi.”
“Tapi tadi abang diam aja.”
“Kita depan orang ramai tadi, sayang. Abang kalau naik angin, buruk rupa. Nanti tak pasal-pasal kita dapat malu. Hakikatnya abang nak cepat-cepat pergi. Abang tak mahu dekat dengan dia lagi. Tak ada guna kita memenatkan diri marah orang yang tak reti bahasa macam tu.”
Lyn mengangguk sedikit sambil menggenggam tangan suaminya.
“Sorry,” ucap Lyn perlahan.
“Kalau abang marah dia, dengan abang sekali hilang mood nanti. Lyn, abang boleh pujuk. Abang ni…. siapa nak pujuk?” ujar Johan lagi.
Lyn tergelak serta-merta mendengar bicara lelaki itu.
“Macam itulah sayang abang.” Lelaki itu melekapkan bibirnya ke dahi sang isteri. Kemudian bibir wanita itu dijamahnya spontan.
“Janganlah! Ada orang!”
“Gelap. Tak nampak,” balas Johan perlahan. Sekali lagi dia mengulangi perbuatan itu, tetapi Lyn segera memalingkan wajah ke arah sana.
“Tengok tu?” cebir Johan kecewa. Berkobar-kobar pula semangatnya mahu meratah bibir seksi itu. Tidak peduli biarpun orang lain melihatnya.
“Janganlah, abang!” gerutu Lyn lantas menolak tangan suaminya.
Johan menangkap pergelangan tangan sang isteri. Jemari itu dielusnya lembut. Dalam fikirannya sentiasa berlegar, mencari apa yang mungkin akan membuatkan isterinya merasa bahagia dengannya.
Kerana…. baru sedekad usia pernikahan ini, dia pernah menghantar sengsara kepada wanita yang paling dicintainya. Dan kini, dia hanya ingin membuat wanita ini benar-benar bahagia dengannya.
Berbulan madu hanya untuk 7 hari 6 malam. Mereka pulang ke Kuala Lumpur demi anak-anak. Tidak betah meninggalkan anak-anak lebih lama daripada itu.
“Romantik tak honeymoon?” tanya Ariana malam itu.
Seharian ini puas Lyn melayan kerinduan anak-anaknya. Sakan masing-masing menerima hadiah. Ariana turut menerima upah kerana sudi menjaga anak-anak buahnya. Johan telah membelikan Ariana sehelai gaun persalinan untuk hari perkahwinan adiknya itu nanti.
“Best. Lepas kahwin nanti ajaklah Harry pergi honeymoon kat sana. Recommended!” balas Lyn.
“Alah… lambat lagi nak kahwin.”
“Apa lambatnya? Tahun depan, kan?” jawab Lyn.
“Akak hadiahkan pakej bulan madu, baru Ary ajak Harry pergi. Ermm… apa aja acara penting kat sana? Takde apa-apa suprise ke?” Ariana menyeringai. Sibuk hendak korek rahsia.
“Mana boleh beritahu. Nanti you all tiru,” jawab Lyn lantas ketawa.
“Mesti Abang Johan nyanyi untuk akak, kan?”
“Alah… tahu ajalah dia ni,” gerutu Lyn dengan senyum lebar.
“Really? Ary teka rambang aja. Betul ke?” Membesar bola mata Ariana tanda teruja.
“Sikitlah.”
“Alah….ceritalah,” pujuk Ariana kian teruja.
“Dia ajak pergi The Duomo Roof. Tengok sunset. Tengok view city dari the top roof. Cantik. Macam biasalah, ramai couple kat sana. Ada macam penyanyi jalanan dengan gitar. Selamba badak aja dia minta mamat tu nyanyikan lagi untuk akak.” Lyn tersenyum saat meluahkan kisah itu. Sungguh indah. Sangkanya semua itu sudah dirancang Johan, tetapi rupanya idea itu datang spontan apabila suaminya itu ternampak penyanyi jalanan di situ.
“Waduh…. waduh…. skil memikat masih tajam lagilah tu. Mamat Italian tu nyanyi lagu apa?”
“This I promise you.”
“Oh….English songs. Ingat lagu Itali ke apa.”
“Yang tak tahannya…. dia menyanyi kat situ, ramai orang tengok. Semua orang datang tengok kami. Ada satu couple ni datang sambil pegang bunga. Bunga tu dia hadiahkan kat akak. Dia kata bunga tak ada, jadi dia sedekah bunga dia. Konon tak lengkap kalau tak ada bunga. Malu akak, Ary. Ambil jugalah walaupun segan. Dapatlah mamat Italian tu 100 Euro. Upah nyanyi. Senyum sampai telinga dia.”
Ariana tersenyum ceria mendengarkan itu. Jelas di matanya kakak iparnya ini sedang menikmati kegembiraannya. Itulah yang diharapkan sangat ketika dia membawa kisah kecurangan abangnya lebih setahun dulu.
“I love him,” ucap Lyn perlahan. Senyumannya menghilang saat dia terkenangkan Johan. Dia tahu suaminya mencuba sedaya upaya untuk membahagiakannya; menjaga hatinya. Sungguh dia terharu.
“Let him know,” balas Ariana lembut.
Lyn mengangkat pandangan kepada adik iparnya itu.
“But life can be so cruel,” ujar Lyn perlahan.
Ariana mencapai jemari Lyn. Jemari itu digenggam lembut.
“Takdir tak selalu sama. Abang Johan pun dah tak macam dulu lagi,” ucap Ariana perlahan.
Lyn menghela nafas panjang. Malas hendak berfikir terlalu jauh. Nikmati saja masa yang ada sebaik mungkin. Nescaya dia akan bahagia juga nanti.
“Ary percaya Abang Johan ikhlas dengan apa yang dia buat. Dia nak bahagiakan akak. Akak berhak terima semua tu,” ucap Ariana tatkala Lyn hanya berdiam.
“Akak hargai apa yang dia buat, Ary. Akak happy. Happy sangat-sangat. Anak-anak akak pun dah tak macam dulu. Takde apa lagi akak nak,” balas Lyn perlahan.
“I’m happy for you,” ucap Ariana dengan senyum lebar.
“Thank you.” Lyn membalasnya dengan senyum mekar. Dia tahu, di samping usaha untuk mengembalikan kelurga ini, doa orang sekeliling juga bermakna buatnya. Dia bersyukur, ramai yang sayang kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan