“Abang, lama lagi ke?” tanya Lyn.
“Sikit lagi, yang. Kenapa?”
“Tak ada apa. Laparlah,” jawab Lyn lantas masuk ke bilik itu. Dia berdiri di sebelah suaminya. Sekadar mahu melihat apa yang dibuat oleh suaminya itu.
“Ni projek mana?” tanya Lyn. Sempat mengalihkan dokumen tebal yang menindih kertas A1 itu.
“Sungai Buloh.” Johan membuka laci lalu mengeluarkan sebongkah coklat.
“Aik? Semenjak bila pulak suka makan coklat ni?”
“Abang beli untuk Lyn. Tak sempat nak bagi kat rumah. Dah lapar. Sebat aja dulu. Lepas ni kita pergi makan,” ujar Johan tanpa memandang isterinya.
Lyn mengerutkan kening sambil menyambut huluran itu. Tidak faham maksud suaminya tadi. Dia duduk di hadapan meja Johan sambil membaham coklat itu. Kenyangnya tidak, namun pedih perutnya hilang.
“Jom?” Tiba-tiba Johan kembali bersuara. Kerjanya sudah selesai.
Lyn terus bangun mengekori suaminya.
“Nak makan kat mana?” tanya Johan.
“Ikut abanglah.”
Johan terus memandu keretanya ke restoran yang sempat difikirkan. Setiba di situ, Lyn memandang sekeliling. Tidak pernah makan di situ.
“Macam mana abang tahu restoran ni?” tanya Lyn. Mulalah otaknya merangka prasangka. Agaknya Johan pernah datang ke sini bersama Syiha.
“Abang pernah datang sebelum ni. Sedap juga makanan di sini.”
“Dengan perempuan tu ke?” tanya Lyn mula tidak puas hati.
Langkah Johan terhenti sebelum sempat masuk ke restoran itu.
“Kata tadi lapar? Jomlah.”
“Tak nak! Lebih baik lapar daripada makan kat sini! Nak mengimbas kenangan lalu ke?” tegas Lyn. Muka sudah berubah lain macam.
“Abang bawa ke sini sebab dekat dengan ofis. Janganlah fikir yang bukan-bukan.”
“Nak balik!”
Mengucap panjang Johan dibuat wanita seorang ini.
“Okeylah, kita pergi tempat lain ya?”
“Tak nak! Nak balik.”
“Nanti sakit perut, lambat makan,” tekan Johan cuba memujuk.
“Lyn nak balik! Abang tak faham ke???”
Johan menggaru kepalanya.
“Yalah, abang bungkus makanan dulu ya?”
Lyn tidak menjawab. Menonong kembali ke kereta. Hati mula berdenyut sakit semula.
Johan memandu ke restoran lain. Dalam keadaan mood isterinya tidak baik, terpaksalah dia memesan makanan untuk dibawa pulang.
Tidak cukup mencuka, makanan yang dibeli suaminya tidak mahu disentuh. Terpaksalah Johan meletakkan sendiri makanan yang telah siap dibungkus di tempat duduk belakang.
“Yang…” panggil Johan.
Lyn menepis sentuhan suaminya.
“Janganlah macam ni.”
“Soalan tadi abang tak jawab pun!”
“Soalan apa?”
“Macam mana abang tahu restoran tu? Abang pernah bawa dia ke situ ke?” tekan Lyn sedikit kasar. Meluap-luap rasa hendak tahunya.
“Tidak… Ida yang ajar abang pergi ke situ. Abang pergi seorang aja,” ucap Johan bersungguh-sungguh.
“Boleh percaya ke?”
“Tengok tu? Abang jelaskan tak nak percaya. Lyn nak jugak abang jawab… ‘ya, abang pergi makan dengan dia’. Kalau dah memang abang pergi seorang, maknanya abang pergi seoranglah. Takkan abang nak jawab lain.”
“Semenjak bila abang pandai keluar seorang?” Masih juga tidak percaya.
“Okeylah… abang pergi ke situ sebelum ni, waktu kita tinggal berasingan dulu. Abang selalu makan di luar. Abang tanya Ida di mana tempat yang sedap sebab abang dah tak larat makan nasi goreng aja malam hari. Dia cadangkan abang pergi situ. Abang ingat nak bawa Lyn ke sana. Ada macam-macam kat sana boleh cuba. Tiba-tiba abang kena marah pulak. Belum sempat abang jelaskan, dah nak balik,” jelas Johan.
“Ya ke? Jomlah pergi sana.”
Terpaku Johan memandang isterinya itu.
“Habis tu, siapa nak makan makanan yang abang dah beli kat belakang tu?”
“Alah…. bawa ajalah balik. Jomlah cepat. Dah lapar ni.”
“Kalau dengar dulu apa yang abang nak cakap tadi, kan senang. Sanggup tahan lapar asalkan dapat marah abang,” gerutu Johan. Menggaru kepala dia sebelum kembali menggerakkan kereta. Ikut jugalah kehendak Lyn. ‘Hailah, isteri…. isteri…. sabar ajalah….”
“Alah… tadi Lyn tanya, abang tak nak jawab.”
“Takkan abang nak jawab kat pintu restoran itu. Kalau satu soalan aja takpelah. Ni dah macam Detektif Conan bertanya.”
Spontan Lyn memukul paha lelaki itu. Terkejut Johan.
“Sedap aja cakap kita ni Detektif Conan.”
Johan ketawa kecil sebelum meraih jemari isterinya lalu diletakkan di atas pahanya.
“Takkan abang nak biarkan Lyn dekat dengan apa yang Lyn tak boleh terima. Abang pun faham, sayang. Abang sendiri pun tak mahu jejak tempat yang pernah tercatat kesilapan sendiri. Inikan pulak bawa isteri abang ke situ. Itu cari gaduh namanya.”
Lyn diam pula. Percuma sahaja syak wasangkanya. Akibatnya perut pun kebulur!
Di restoran itu rupanya memang ada bermacam-macam yang kalau boleh, semua dia nak! Daripada masakan kampung ke masakan barat.
Sementara menunggu makanan, Johan membelek telefon bimbitnya. Kemudian ditunjukkan kepada isterinya itu.
Lyn terpaku memandang tiket penerbangan ke Milan yang sudah dibeli oleh suaminya. Suka? Sudah tentu! Sementelah tarikh itu hanya sehari sebelum ulang tahun perkahwinannya.
“Suka?”
“Mestilah!”
Johan tersenyum sebelum telefon bimbitnya disimpan semula. Melihat kegembiraan sang isteri, itu sudah cukup melegakan hatinya.
“Abang nak habiskan cuti tahunan abang. Kita boleh upah penjaga harian sementara kita di sana untuk bantu Bibik. Kesian kalau dia seorang aja.”
“Setuju,” sambut Lyn. Cuma dia agak berat hati untuk meninggalkan anak kecilnya itu. Bukannya dia tidak tahu, Zairyl kalau tidur mesti mahu dekat dengannya terlebih dahulu.
Mereka duduk di kerusi berbentuk sofa. Johan bersandar untuk merehatkan tubuhnya daripada kepenatan seharian. Lyn pula mula membelek telefon bimbitnya. Namun kemudian Johan mula menyentuh belakang sang isteri. Kemudian rambut wanita itu pula disebak ke belakang.
Lyn menoleh ke arah suaminya. Lelaki itu tersenyum semata sambil mengusap belakangnya. Tidak selalu dilayan begini. Seronok pula dia dengan perhatian lelaki itu. Tersenyum-senyum sambil membaca semua pesanan di WhatsApp.
“Lyn tak mahu pindah semula rumah kita?” tanya Johan tiba-tiba.
“Tak naklah. Susah anak-anak nak pindah tadika. Rumah sekarang okey, kan?” balas Lyn tanpa memandang suaminya.
Perlahan Johan menegakkan tubuhnya lalu mengambil telefon sang isteri. Objek itu diletakkan di atas meja sebelum dia kembali bersandar. Berharap isterinya akan memberi perhatian kepadanya.
Mahu tidak mahu wanita itu bersandar juga.
“Abang nak kita pindah semula ke?”
“Tunggulah anak kita masuk sekolah rendah nanti.”
Lyn terus mengangguk setuju.
Seketika kemudian wanita itu menoleh, mencari anak mata sang suami. Matanya ditadah tenungan lembut daripada lelaki itu.
“Kenapa tak dari dulu aja kita buat semua ni?”
Johan tidak terus menjawab.
“Kadang-kadang perkahwinan ni membosankan.”
“Abang bosanlah dengan Lyn?”
“Dengarlah dulu…. suka sangat menyampuk. Lepas tu marah abang.”
Lyn ketawa pula. Tidak dapat dikawal tindakannya. Mulutnya yang banyak cakap itu segera ditekup.
“Abang rasa, dulu kita ni tak ubah macam orang lain. Mula-mula kahwin semuanya seronok. Lama-lama janggal kita nak buat macam ni. Kita buat benda yang sama saja setiap hari. Sebelum Lyn dapat tahu pasal Syiha, abang sentiasa fikir tentang keputusan abang untuk kahwin dengan dia. Abang tahu indahnya sekejap sahaja kalau abang kahwin sampai empat pun. Keadaan itu akan sampai juga lama-kelamaan.”
“Tapi abang tetap nak teruskan juga, kan? Belikan dia rumah, kereta.”
“Abang silap, Lyn. Dipengaruhi perasaan. Kadang-kadang abang menyesal, tapi abang tak boleh tarik semula keputusan abang. Perempuan… sekali lelaki menyebut soal kahwin depan dia, sampai bila-bila dia akan ingat janji tu,” balas Johan perlahan. Nafas dihela deras. Satu kesilapan yang paling sukar untuk dikenang. Dia malu kepada dirinya sendiri.
“Sampai satu masa, perkahwinan tu hanyalah satu perkahwinan. Tiada apa yang mengujakan tentang itu,” ucap Johan lagi.
“Betul.”
“Silapnya apabila kita tak usaha untuk mencarinya. Kita biarkan sahaja keadaan tu semakin lama semakin buruk. Pilih menggantikan sang baharu itu tidak juga akan membuatkan jiwa kita berasa puas. Kereta tidak akan selamanya baru. Sampai suatu masa akan buruk juga. Mungkin kita akan jemu padanya. Apabila muncul kereta model lain yang lebih cantik, kita sibuk nak gantikan sedangkan ia sama sahaja. Sampai suatu masa kita telah mengejar apa yang mampu membuatkan kita puas,” ujar Johan perlahan.
“That’s right,” jawab Lyn.
“Abang cuba belajar daripada kesilapan abang, Lyn. Abang tak mampu jadi sebaik-baik lelaki untuk isteri abang. Tapi abang akan cuba,” ucap Johan lagi.
Wanita itu meraih jemari suaminya. Dia sendiri juga tidak akan mampu menjadi sebaik-baik wanita buat suaminya. Peluang itu harus diberikan dan dia lihat memang benar lelaki itu sedang berusaha. Seharusnya dia memberikan peluang untuk Johan membuktikannya.
“Peluang masih terbuka depan mata. Grab it,” Lyn membalas sedikit lunak.
Dengan lembut Johan meraih bahu isterinya agar rapat kepadanya. Dahi wanita itu dikucupnya sekali. Perpisahan dulu membuatkan dia berasa betapa berharganya kasih sayang yang dikurniakan Allah. Demi Tuhan, dia tidak ingin mensia-siakannya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan