Dua mata itu berzina dan zinanya adalah memandang….
Renungan wanita itu membuatkan Johan tidak senang duduk. Di hadapannya Rosman, asyik berkata-kata berbual mengenai projek yang sedang dikendalikannya. Johan di kerusinya resah dengan panahan mata si gadis yang sedari tadi sering mencuri pandang kepadanya. Dek kerana kedudukan meja si gadis itu yang berhadapan dengan mejanya, maka seringlah dia terpandangkan wanita itu tanpa sengaja.
Selesai mengisi perut di kafe itu, Johan segera beransur pergi. Namun sebelum naik ke tingkat 18, dia singgah seketika di tandas. Selesai menunaikan hajatnya, Johan tergesa-gesa keluar dari tandas itu. Namun dalam keadaan yang tidak dijangkanya, dia terlanggar seseorang di hadapan tandas itu. Hampir terjelepok gadis itu dirempuhnya. Spontan Johan mencapai pergelangan tangan gadis itu sebelum dia benar-benar terjatuh ke lantai.
“Sorry…. sorry…. I tak nampak you tadi,” ucap Johan dalam kekalutannya.
Setelah dipandangnya wajah gadis yang dilanggarnya itu, barulah Johan perasan gadis itu adalah gadis yang merenungnya semenjak tadi.
“I minta maaf. I tak sengaja,” ucap Johan dengan helaan nafas kelegaan.
“Takpe. Tak jatuh pun.” Gadis genit itu menjawab sambil tersipu-sipu. Mata pun terkerling-kerling kepada sang lelaki yang masih dihantui rasa bersalah kepadanya. Betapa dia amat menyenangi insiden ini walaupun tubuhnya agak kesakitan dirempuh lelaki itu.
“You yang duduk depan I waktu dalam kafe tadi, kan? What is your nama?” Entah kenapa tiba-tiba terdetik dalam hati Johan untuk mengenali gadis ini.
“Nur Syiha. Panggil Syiha aja. Abang ni kerja kat sini, kan?”
Berdetak seketika jantung Johan saat itu.
“Abang dia panggil aku?’ bisik hatinya. Di pejabat, selain Ariana, tiada sesiapa yang berani memanggilnya dengan gelaran itu kerana mereka sentiasa mengamalkan panggilan formal dalam urusan kerja.
“Vice General Manager,” ucap Johan sedikit gugup.
Manja benar nada suara gadis ini. Boleh tergugat imannya jika dia berlama-lama.
“Syiha baru bertugas di Sales Department.” Tanpa disuruh Syiha memberitahu tentang dirinya pula. Nada sengaja dialunkan selembut yang boleh.
Johan mengangguk sedikit. Tidak tahu mahu berkata apa lagi kepada si gadis itu. Namun matanya terus memandang sang gadis yang tersenyum manis itu.
“Syiha selalu nampak abang sebelum ini. Segan Syiha nak tegur,” kata Syiha lembut. Memulakan ayatnya untuk menambat hati sang lelaki.
“Kenapa pulak nak segan?” kata Johan sambil ketawa kecil. Dia tidak tahu pula yang mereka selalu bertemu sebelum ini. Kalau ada pun mungkin dia tidak perasan kerana bukan semua kakitangan syarikat ini dia mampu ingat.
“Takdelah…. tak ingat dulu kita pernah tunggu lif sama-sama lepas lunch. Mula-mula kita jumpa depan lif dulu abang macam sombong. Sebab tu Syiha segan nak tegur,” kata Syiha semakin seronok apabila Johan mahu melayan bicaranya.
“Oh…. sorry. I baru teringat. Ya, kita ada jumpa sebelum ini,” balas Johan lantas ketawa kecil.
Bersorak riang hati Syiha mendengar kata-kata Johan itu. Kata-kata itu ibarat satu perlawaan kepadanya untuk meneruskan lagi ayat-ayat magisnya kepada lelaki itu.
“Lain kali kalau jumpa Syiha senyumlah sikit. Muka serius sangat,” tambah Syiha, lebih lembut daripada tadi. Sebuah renungan menggoda dihadiahkan berserta dengan senyuman yang paling manis yang pernah dimilikinya.
“Really? I selalu sibuk. Kurang beri perhatian pada sekeliling,” Johan menjawab biasa. Meremang seketika bulu roma Johan melihat Syiha merenungnya seperti itu.
Entah kenapa, dia tidak ingin mengelak daripada gadis ini walaupun sedar cara Syiha seperti mahu memikatnya. Entah kenapa, ada sedikit kenakalan dalam dirinya yang mengajak dia ke arah yang tidak pernah dilaluinya. Teringin juga mahu menguji sejauh mana kehebatannya sebagai lelaki dalam menarik minat wanita kepadanya. Mungkin juga dia sudah muak dengan watak sebagai suami yang setia.
‘Alah! Semua lelaki pun macam ni. Ada bini dekat rumah tapi di pejabat, mengayat yang lain. Setakat main-main, apa salahnya? Bukannya aku nak kahwin dengan dia pun….’, bisik hati Johan, ikut membenarkan.
“Abang dah kahwin?” tanya Syiha masih mahu beramah-tamah dengan Johan.
“Dah. Anak dah nak masuk tiga,” jawab Johan jujur. Tentang itu dia sememangnya tidak ingin menipu. Percuma sahaja jika dia menipu kerana ramai orang lain di dalam pejabat yang sudi untuk membocorkan rahsianya nanti.
“Oh! Anak abang berapa perempuan, berapa lelaki?” tanya Syiha lagi. Sengaja buat-buat tidak tahu supaya masa dapat dibazirkan dengan suami orang ini.
Tersenyum Johan apabila Syiha bertanya mengenai anak-anaknya.
“Buat masa ni dua-dua perempuan. Tak tahulah nanti lepas my wife bersalin nanti dapat anak perempuan atau lelaki.”
“Mesti comel anak-anak abang, kan? Yalah…. bapanya pun handsome, mestilah anak-anaknya pun macam tu,” komen Syiha lunak. Kerlingan yang dihantar memberi sedikit bayangan kepada Johan mengenai hatinya yang sudah dilanda rasa suka itu.
Johan tersenyum lagi mendengar pujian itu.
“Syiha tak naik atas? Dah pukul dua lebih ni,” kata Johan sambil menilik jam di tangannya itu. Dia juga sebenarnya mahu naik ke pejabat segera.
“Eh! Yalah, abang. Asyik sangat berborak dengan abang, terus terlupa pula nak masuk kerja,” Syiha buat-buat ketawa gedik.
“I naik dulu,” kata Johan meminta diri.
“Okey,” sambut Syiha gembira.
Semenjak itu senyumannya kian mekar. Sehingga dia tiba di mejanya senyuman itu masih memekar sehingga Syafikah teman yang duduk paling dekat dengannya menjadi pelik dengan kelakuannya itu.
“Apa hal kau asyik tersengih ni, Syiha?”
Syiha terus memandang Syafikah. Rasanya dia tidak mampu menyembunyikan sesuatu yang amat menggembirakan dirinya seperti ini. Betapa saat ini dia amat bahagia dengan kemajuan yang sudah diperoleh. Lebih bahagia daripada si fakir yang dikurniakan wang sejuta.
“Kau tahu tak tadi aku berborak dengan siapa, Ika?”
Syafikah memandang pelik. Kemudian dia menggeleng. Namun wajah Syiha terus dipandangnya. Mahu tahu juga!
“Aku terserempak dengan Encik Johan. Dia langgar aku waktu aku lalu kat depan toilet ground floor dan kami berkenalan. Bestnya, Ika. Tak sangka dia tu gentleman. Cara dia minta maaf kat aku tu nampak macam dia tu romantik gila,” desis Syiha terlalu teruja.
Syafikah terlopong seketika. Merudum jatuh semangatnya. Encik Johan? Ingatkan artis manalah yang mahu diceritakan Syiha hingga membuatkan temannya itu jadi begitu.
“Kau ni buat suprise aku aja. Kau maksudkan Encik Johan ru ke? Apa yang best sangat borak dengan dia tu?” kata Syafikah acuh tidak acuh.
“Eeii…. handsome gila dia tu bila pandang dari dekat. Aku dah lama usyar dia tu, kau tahu? Baru hari ini aku dapat berbual dengan dia. Best gila!” ucap Syiha masih teruja seperti tadi.
“Kau ni yang seronok sangat ni, kau jangan lupa dia tu dah berbini. Memang dia handsome, tapi dia dah kahwin, dah ada anak. Janganlah kau perasan lebih. Entah-entah dia tidak hairan pun dengan kau ni,” pesan Syafikah perlahan sahaja. Kurang senang dengan gelagat Syiha yang terujakan suami orang.
“Aku tahulah dia dah kahwin. Tapi salah ke kalau aku suka kat dia? Semenjak first day aku ternampak dia minggu lepas, aku dah jatuh hati kat dia. Bukannya aku yang minta macam ni. Tapi dah hati aku nak suka kat dia, nak buat macam mana?” sambut Syiha selamba.
“Suka hati kaulah, Syiha.”
Syafikah menggeleng perlahan melihat teman yang dikenalinya semenjak universiti dahulu. Syiha yang memasuki tahun pertama sama dengannya dahulu pernah digantung pengajian selama satu semester kerana melanggar peraturan universiti. Gadis itu cuba menjalinkan hubungan dengan pensyarah sendiri. Mujur sahaja pensyarah itu sememangnya bukan jenis yang suka mengambil kesempatan ke atas pelajar. Akibatnya, ketika rakan-rakan lain meraikan kejayaan mendapat segulung diploma, Syiha terpaksa ulang semester.
“Aku memang betul-betul suka kat dia tu, Ika. Salah ke apa aku buat ni?”
“Salah Syiha! Dia suami orang. Kau tak patut ulang semula sejarah lama kau dengan pensyarah kita. Banyak lagi lelaki lain kat luar sana yang bujang. Kenapa mesti ganggu rumah tangga orang? Kau tak kasihankan bini dia ke? Kalau kau yang diperlakukan macam tu suatu hari nanti, apa kau akan rasa?” ujar Syafikah serius.
“Tapi bukannya aku saja-saja nak suka kat dia. Aku tak sengaja terjatuh hati pada dia. Aku tahu perbuatan aku ini akan membuatkan ada orang lain sakit hati. Tapi aku dah tak boleh halang perasaan aku ni lagi, Ika,” jelas Syiha bersungguh-sungguh.
“Kau sepatutnya jauhkan diri kau daripada dia. Bukannya layan angan-angan untuk dekat dengan dia. Kalau kau sengaja goda dia macam yang kau buat pada Encik Azman dulu, tak mustahil dia akan tergoda. Kasihan isteri dia, Syiha. Lagipun Encik Johan tu anak orang kenamaan. Kalau perbuatan kau ni diketahui dek orang, tak bersepai malu kau nanti!” tekan Syafikah.
“Alah! Kalau dia kuat iman takdenya dia akan tergoda kat aku. Tapi Ika, kau percaya dengan jodoh, kan? Kalau dah tersurat aku dengan dia ada jodoh, apa boleh buat? Ini semua kehendak Tuhan. Lagipun salah ke kalau aku sekadar bak mencari pasangan yang boleh menjamin masa depan aku? Aku tak mahu lelaki bujang sebab lelaki bawah 30-an ini tidak matang dan hidup tidak stabil. Aku tak mahu jadi macam kebanyakan perempuan-perempuan kat luar sana. Lepas berkahwin, masih juga kena keluar bekerja bantu suami untuk besarkan anak-anak.” Masih dalam nada selamba Syiha menjawab.
Syafikah tersenyum sinis. Muak dia dengan alasan Syiha itu. Serta-merta dia dia mengemas mejanya. Dia mahu keluar bertemu klien sedikit masa lagi. Sambil mengemas mejanya itu dia berkata lagi pada Syiha.
“Terpulang pada kaulah, Syiha. Jangan nanti kerana tindakan kau hari ini, kau akan menanggung sengsara sepanjang hayat kau. Aku ingatkan aja. Memang lelaki boleh kahwin lebih daripada satu. Tapi Allah Maha Melihat segala isi hati kita. Allah tahu niat kita macam mana. Allah pun tak suka kita aniaya orang lain. Apatah lagi mempermainkan hukum Tuhan. Duit ini bukan tiket untuk mendapatkan kebahagiaan. Kalau dapat suami yang banyak duit sekalipun tetapi suami pulak yang jenis tidak setia, itu belum dinamakan bahagia. Tapi ikut suka kaulah. Kalau kau rasa tindakan kau ni bagus untuk kau, teruskanlah. Aku tak nak campur. Tapi kalau apa-apa terjadi pada kau, kau jangan merayu pada aku minta tolong carikan kau kerja lagi. Kau tahu-tahulah…. Encik Johan tu anak Tan Sri Muzhaffar, tuan punya syarikat ni. Jangan nanti apa yang kau kejar tak dapat, sebaliknya apa yang ada terlepas macam itu aja.”
Syiha mencebik mendengar bicara Syafikah. Ah! Zaman di tangga pengajian tidak sama dengan dunia pekerjaan. Apa yang dia tahu, dia akan terus mendekati lelaki itu walaupun ada yang bakal menangis kerana perbuatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan