Jumaat, 6 November 2015

Curangla Lagi Episod 2 Novel

Bab 2


Suasana lobi bangunan Neraca Holdings itu hiruk-piruk setelah kebanyakan kakitangan selesai menikmati makan tengah hari. Rata-rata masing-masing mula berkumpul di hadapan kawasan lif untuk naik semula ke tingkat masing-masing.

Gadis muda itu berdiri yang paling belakang sekali. Dek kerana kelewatannya, terpaksalah dia menanti giliran untuk menaiki lif itu. Setelah sampai gilirannya, dia juga ikut menyempit masuk ke dalam lif yang sudah disumbat dengan seramai-ramai manusia. Sayang sekali, sebaik sahaja kakinya mencecah lantai lif, bunyi amaran segera kedengaran, menandakan berat yang mampu ditampung oleh kotak bersangkut pada tali kabel itu sudah berlebihan. 

Mahu tidak mahu, dengan rasa sebal dan malu, gadis muda itu keluar semula dari lif itu. Setelah pintu lif tertutup, dia tinggal sendirian di situ menanti lif yang lain.

Syiha terus menanti sambil bersandar pada dinding bersebelahan dengan pintu lif itu. Matanya meliar memandang hiasan di dinding batu itu. Ada lukisan pemandangan kota luar negara yang sarat dengan bangunan tinggi. Lukisan itu menjadi santapan matanya. Timbul keinginan hatinya untuk menjejaki kota yang kelihatan indah itu biarpun sekadar dipotretkan dengan tangan dan warna.

Sedang pada itu, perhatian Syiha tergugat serta-merta dengan kehadiran seorang lelaki yang turut membawa bersama aroma Chanel No. 5 yang menyengat hidungnya. Lelaki yang mengepit gulungan kertas putih bersaiz A1 di celah lengannya itu berdiri beberapa kaki daripadanya. Kelihatannya lelaki itu juga ingin menanti lif.

Bola mata Syiha tidak mampu beralih daripada memandang lelaki itu. Sudah hampir 3 minggu dia bertugas di Neraca Holdings, inilah kali pertama dia perasan ada lelaki setampan itu. Lelaki berkulit cerah yang memiliki bentuk wajah yang cukup gagah di matanya. Kesan cukuran jambang pada sekitar wajah lelaki itu membuatkan dirinya terpesona.

‘Alamak…. kalaulah aku ada pakwe handsome macam ni….. kan best!’ hati Syiha berbisik sendiri.

Terkesan dirinya sedang dibaca, Johan menghalakan pandangannya ke arah si empunya mata. Dia segera melemparkan senyuman untuk menyapa. Namun melihat si gadis yang masih mahu merenungnya, Johan kembali memandang angka-angka yang tertera di atas kotak lif itu. Sekolah-olah tidak sabar untuk berlalu dari situ kerana dia tidak sanggup terus membiarkan dirinya dijamah oleh mata sang wanita seperti itu. Tetapi gadis itu masih memerhatikannya membuatkan dia merasa sedikit janggal.

“May I help you?” tanya Johan. 

Gadis itu pantas menggeleng sambil tersipu-sipu.

Akhirnya lif yang di tengah terbuka. Dua manusia itu masuk ke lif itu bersama. Johan menekan angka di mana pejabatnya berada. 

Syiha hanya tegak berdiri di dalam lif itu menahan debar. Gatal benar mulutnya ini mahu menyapa sang lelaki. Namun melihat lelaki itu sekali pun tidak menoleh ke arahnya, dia jadi malu pula. Daripada gaya, mungkin lelaki itu seorang arkitek ataupun jurutera di syarikat tempatnya bekerja.

Tidak mengapa…. untuk hari permulaan, maklumat yang masih samar seperti ini sudah terlalu mencukupi untuk dirinya. Sementara menanti hari kedua, mungkin dia boleh memikirkan apa yang harus dilakukan untuk memulakan langkah perkenalan dengan lelaki yang sudah mula mengintai ruang hatinya itu.

Kata orang, kalau dah berjodoh….

4 hari kemudian, setelah selesai waktu pejabat, Syiha bersama orang lain bergerak meninggalkan ruangan pejabat untuk pulang. Singgah seketika di hadapan lobi bangunan itu apabila ternampak Hanim yang merupakan penyelianya si hadapan lobi itu. Teringin pula dia mahu beramah-tamah dengan wanita akhir 20-an itu.

“Tunggu siapa, Cik Hanim?” sapanya. 

“Oh! Tunggu tunang saya. Dia janji nak datang ambil,” balas Hanim sambil tersenyum kepada kakitangan yang masih baharu bertugas di jabatannya itu.

“Awak balik naik apa ni?” soalnya pula. Gadis berkulit sawo matang itu direnungnya. Gadis ini semenjak kali pertama dilihatnya lebih sebulan yang lalu, memang suka bersolek tebal. Setiap hari gincunya berbeza warna. Begitu juga dengan pewarna matanya. Sesuailah dengan tugas sebagai pegawai pemasaran yang harus siap kelihatan menarik ketika berada di hadapan klien. 

“Naik apa lagi, naik LRTlah,” jawabnya.

“Oh…. LRT kat depan itu ya? Nak balik ke mana?” soal Hanim. Baru kali ini dia berkesempatan bertanya banyak kepada Syiha.

“Bandar Tasik Selatan.”

Jawapan Syiha membuatkan Hanim terdiam seketika. Dia yang juga kerap menggunakan LRT sebelum memiliki kereta sendiri bagaikan sudah maklum benar dengan laluan transit aliran ringan itu.

“Jauh ke rumah dari stesen itu?”

“Jauh jugak. Tapi nak buat macam mana, saya mana ada kereta,” jawab Syiha merujuk pada keadaan dirinya yang baru habis belajar dan baru bekerja. Sudah tentulah belum ada berkemampuan memiliki kereta. Apatah lagi di KL ini serba serbinya memerlukan belanja. Dengan gaji yang tidak sebesar mana, dia hanya mampu memandang sahaja kereta idamannya di ruang pameran kereta.

Jawapan itu disambut dengan anggukan Hanim yang sudah mengerti bicara ada maksud itu. 

“Baru habis belajar macam Syiha ini memanglah kena bersusah dahulu. KL ni pulak kalau gaji tak besar dan tak pandai berjimat cermat mana nak mampu pakai kereta. Saya dulu pun begitu,” komen Hanim lembut.

Syiha hanya mengangguk bersetuju dengan kata-kata Hanim itu.

“Tapi ada baiknya juga naik kenderaan awam ni, Syiha. Naik KTM atau LRT ini tak perlulah nak beratur panjang dalam kesesakan. KL ni sesak sepanjang masa. Kadang-kadang bosan juga dengan keadaan itu. Saya pun kadang-kadang naik LRT jugak kalau nak cepat sampai. Naik kenderaan awam lebih jimat masa dan duit,” sambung Hanim.

“Tapi pagi-pagi jem jugak naik LRT. Ramai orang gunakan LRT sekarang. Kalau tak pandai menyempit, alamat datang lambatlah saya hari-hari,” balas Syiha pula.

“Memang. Itu memang sejak dulu lagi dah berlaku, tapi berbanding naik kereta, lagi baik naik LRT. Perjalanan LRT tak jem melainkan di dalamnya itu yang macam tin sardin. Alah! Kita setakat nak menumpang pergi kerja, nak buat apa selesa sangat macam dalam bas ekspres,” ulas Hanim separuh berlucu.

Syiha tersenyum sahaja.

Tiba-tiba perbualan mereka diganggu oleh sebuah kereta Bentley yang menderu laju lalu berhenti di hadapan lobi. Walaupun kawasan itu kawasan larangan meletakkan kereta, namun tuan punya kereta itu bagaikan tidak peduli dengan arahan itu.

“Hmm…. ingatkan tunang saya. Rupanya bukan. Mimpi ajalah,” ucap Hanim sambil tergelak kecil.

Namun lelucon Hanim itu tidak mendapat perhatian daripada Syiha kerana matanya asyik memandang lelaki yang begitu tampan dengan kaca mata hitam baru sahaja keluar dari kereta itu. Dengan tergesa-gesa lelaki itu meninggalkan keretanya di situ dan masuk ke dalam bangunan tanpa memperdulikan kehadiran mereka berdua. Mata Syiha ralit memandang sehingga bayang sang lelaki menghilang. 

“Handsome gila lelaki itu,” keluh Syiha tanpa sengaja.

Keluhan itu sempat juga didengari oleh Hanim. Serta merta terpandangkan Syiha masih merenung ke arah lelaki yang baru berlalu itu.

“Handsome memang handsome, tapi laki orang tu, dik oi…. jangan pandang lebih-lebih sangat. Nanti tergoda dengan laki orang, susah pulak,” balas Hanim mengingatkan.

“Kenal ke dia tu?” soal Syiha kepada Hanim. Terlupa pula dia yang mahu ke stesen LRT tadi apabila wajah lelaki yang dipujanya dalam diam berada di hadapan mata. 

“Apa pulak tak kenalnya. Itu Encik Johan. Vice GM, salah seorang eksekutif di sini. Dia anak Tan Sri Muzhaffar; adik kepada Dato’ Adrean; abang kepada bos kita, Cik Ariana,” jelas Hanim serba ringkas.

Dada Syiha berdetak.

“Dia dah kahwin?” soal Syiha sekali lagi.

“Dah lama pun. Kalau tak silap, isteri dia sekarang tengah mengandung anak ketiga,” cerita Hanim. Teringat dia pernah bertugas di bawah arahan wanita bernama Nur Azlyn itu. 

“Kenal ke isteri dia?” soal Syiha lagi. Masih mahu tahu.

“Saya pernah bekerja di bawah arahan Puan Nur Azlyn dulu. Tapi lepas 9 bulan dia bekerja di sini, dia berhenti sebab dapat tawaran kerja dengan airlines. Dia orang tu dah lama kahwin. Anak kembar dia orang pun comel gila.”

Penjelasan Hanim itu menerbitkan satu perasaan yang aneh dalam hati Syiha. Entah kenapa, perasaannya merasa lain macam. Pedih dan ngilu bermain-main di tangkai hatinya. Mendengar kisah mengenai keluarga lelaki itu, dia mula dipagut rasa cemburu entah kenapa. Mengapa harus lelaki itu sudah beristeri? Mengapa tidak bujang sahaja supaya dia boleh memikatnya?

“Sayang, dah pergi check up ke?” soal Johan kepada isterinya melalui corong talian itu. Terasa bersalah pula kerana terlupa janji untuk menemani isterinya itu untuk memeriksa kesihatan kandungannya.

“Dah. Penat Lyn tunggu abang, tapi abang tak datang pun,” balas sang wanita dalam nada rajuk.

“Abang lupalah, yang. Tadi abang busy sangat sampai lupa terus. Sorry ya? Next appointment abang temankan,” akui Johan jujur.

“Abang tu cakap aja. Bulan lepas pun janji yang sama. Tapi lupa lagi. Jangan nanti waktu Lyn nak bersalin, abang lupa nak datang sudahlah…”Lyn mejawab perlahan.

Spontan Johan tergelak.

“Yang…. takkanlah abang nak buat macam tu. Ingat abang ni kejam sangat ke? Abang bukannya sengaja. Tadi abang betul-betul busy, yang. Sorry ya?” Johan membalas dengan suara lembut memujuk.

“Yalah. Ni pukul berapa nak balik ni? Jangan cakap abang balik tengah malam lagi sudahlah.” Ternyata rasa kecil hati wanita itu masih bersisa. Dahulu Johan sering mengadu yang dia tidak memberikan perhatian kepada suaminya. Tetapi sebaliknya kini, dia merasakan Johan sepuluh kali lebih teruk mengabaikan dirinya. Dahulu Johan jugak yang menyebut-nyebut hendakkan anak lagi. Kini apabila isteri sudah hamil, dia buat tidak tahu sahaja.

“Ermm.. hari ini abang balik awal sikit dari semalam. Tapi sekarang abang masih ada dekat office lagi ini. Ada kerja sikit nak buat. Siap aja ini abang balik ya?”

“Okeylah. Lyn tunggu abang.”

Mendengar kelembutan suara sang isteri serta-merta hati Johan diterpa rasa rindu yang tidak bertepi. Terbayang dia sekujur tubuh yang sedang hamil 4 bulan itu.

“Hmm….. tadi sayang pergi jumpa doktor pakai baju apa?”

“Pakai baju apa? Kenapa tiba-tiba tanya pasal itu pulak?” Kedengaran nada Lyn mula hairan dengan pertanyaan suaminya itu. Sebahagian hatinya mulai geli hati dengan pertanyaan seperti itu.

“Saja nak tahu. Tadi doktornya lelaki ke perempuan?”

“Abang ni…. dah nama pun appointment dengan doktor Anisah, dah tentulah jumpa dia. Mana ada doktor lelaki kat klinik tu. Abang ni dah buang tabiat ke apa?”

“Hesy! Sayang ni…. tak baik cakap dekat abang macam itu.”

“Habis itu yang cakap merepek-repek ni kenapa? Dulu waktu Lyn mengandungkan anak pertama kita pun kita pergi klinik tu. Ada ke pernah abang jumpa doktor lelaki dekat situ?” tekan Lyn. Kegeraman dengan loyar buruk suaminya itu.

“Manalah tahu dah ada doktor lelaki. Abang tak mahu nanti doktor tu raba-raba perut bini abang. Diselaknya baju sayang abang ni dari bawah sampai atas. Hesy! Simpang malaikat, yang. Abang seorang aja lelaki yang boleh buat macam tu. Siapa berani buat macam itu dekat bini abang, abang cencang-cencang jari dia nanti,” balas Johan seperti bersungguh-singgah sahaja.

Terbahak-bahak tawa sang wanita melalui corong itu. Geli hati benar dia mendengar kata-kata suaminya.

“Dahlah! Malas nak layan orang yang otak senget ini. Lama-lama nanti baby ini pun boleh terkenan ikut jadi senget macam daddy dia.”

Terbuai seketika perasaan sang lelaki dengan tawa manja seperti itu.

“I love you,” ucap Johan lembut.

“Eh! Ingat lagi abang ayat tu ya? Ingatkan dah beli dalam otak abang itu. Dah lama tak dengar abang cakap macam itu dekat Lyn. Hmm… dulu waktu baru kahwin, mulut itu tak jemu-jemu cakap I love you. Sekarang ini makna I love you pun dah tak berapa nak tahu. Yalah, anak dah tiga, kan? Nak buat apa romantik-romantik lagi,” perli sang isteri sedikit pelik dengan kelakuan suaminya itu. 

“Mana ada macam itu, yang. Kalau abang tak cakap macam itu sekalipun, itu tak bermakna abang tak sayang Lyn,” ucap Johan perlahan.

“Lyn tahu abang sayang Lyn. Sahaja Lyn nak test abang tadi.”

Johan tersenyum kelat sendirian. Sedikit sebanyak dia merasa tersindir dengan kata-kata isterinya itu. Namun dia sedar dalam kebanyakan hal dia sememangnya sering kali mengabaikan isterinya itu. Kadangkala apabila masing-masing dihambat kesibukan, hubungan ini menjadi hambar seketika. Tetapi itu tidaklah bermakna dia tidak sayang kepada isterinya.

Cuma semenjak kebelakangan ini, dia selalu merasakan kesunyian apabila isterinya itu melebihkan kerja berbanding dirinya. Sering kali ketika dia sibuk, isterinya itu berada di rumah dan apabila dia berada di rumah, isterinya itu pula yang terpaksa bekerja. Kadangkala dia terpaksa tidur berulit kesepian apabila Lyn ke Dubai buat kesekian kalinya.

Mungkin kerana itulah mulutnya ini sudah tidak terbiasa lagi mengucapkan ayat keramat itu kepada Lyn. Tetapi biar apa pun keadaannya, Johan tahu dia sayangkan isterinya. Teramat sayang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan